Tuesday, March 31, 2009

JIKA ANDA INGIN MENJALIN HUBUNGAN DENGAN ALLAH, PERBAHARUILAH TAUBAT (3)



Wahai akhi, ini semua tidak akan terjadi kerana dia senantiasa membawa semangat bertaubat. Kerana itulah, wahyu berikut diturunkan: "Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berduyung-duyung. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat." (An-Nashr: 1-3)

Ketika solat, dalam ruku' dan sujud baginda membaca:

سبحانك اللهم ربنا وبحمدك اللهم اغفرلي

"Maha suci Allah, dan dengan memuji-Mu maka ampunilah aku."

Baginda saw. juga pernah bersabda:

يا أيها الناس توبوا إلى الله, والله إني لأستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة

"Wahai manusia ! Bertaubatlah kepada Allah. Demi Allah, sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih dari 70 kali."

Bekal dan senjatamu untuk mencegah kejahatan dan memerangi syaitan adalah taubat. Jika anda berpegang teguh dengannya, anda akan meningkat dari tingkatan orang-orang yang lalai kepada tingkatan orang-orang yang ingat dan termasuk di dalam lindunganNya.
"Sesungguhnya hamba-hambaKu tidak ada kekuasaan bagi kalian terhadap mereka." (Al-Hijr: 42)

Apakah taubat itu dan bagaimana kita patut bertaubat?

Taubat adalah pintu masuk dan pelita yang menerangi jalan anda menuju Allah. Dia telah memerintah, melarang dan memperingatkanmu.

Langkah pertama: Hendaklah anda menyedari bahawa anda telah melakukan kelalaian dan kesalahan, serta telah menyia-nyiakan kewajiban terhadap Allah swt. Anda orang yang paling tahu tentang diri anda sendiri, sedangkan Allah lebih tahu tentang diri anda daripada anda sendiri. Sedarilah bahawa anda makhluk yang lemah, sedangkan Allah swt Maha Kuat; anda adalah pihak yang memerlukan, sedangkan Allah swt pemilik kurnia; anda pelaku dosa, sedangkan Allah swt Yang Benar.

Dosa ini akan menjauhkan anda dariNya serta akan memindahkan anda dari daftar hamba-hamba Allah yang muqarrabin (didekatkan kepada Allah) ke daftar para mudznibin (pelaku dosa); dari daftar para mahbubin (orang yang dicintai) ke daftar para mahquqin (orang dimurkai); dari daftar para muhsinin (orang yang berbuat baik) ke daftar para musi'in (orang yang berbuat jahat). Jika anda mengingat semua itu, akan datanglah penyesalan, barangkali sampai menangis. Rasulullah saw bersabda:

طوبي لمن بكت عيناه من خشية الله

"Beruntunglah orang yang matanya menangis kerana takut kepada Allah."

Alangkah beruntung dan berbahagianya anda. Allah juga bergembira melihat taubat ini, sebagaimana seorang ibu bergembira ketika menjenguk anaknya. Suatu ketika seorang wanita berlalu di hadapan Rasulullah saw, sedangkan anaknya berada di tangannya. Nabi saw bersabda:

أترون هذه طارحة ولدها في النار؟ قلنا لا, وهي تقدر علي أن لا تطرحه فقال : الله أرحم بعباده من هذه بولدها

"Apakah kamu semua berfikir bahawa wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Mereka (para sahabat) menjawab: Tentu tidak, wahai Rasulullah saw." Baginda bersabda lagi: "Kasih sayang Allah kepada orang-orang mukmin lebih besar daripada kasih sayang wanita ini kepada anaknya."

Perasaan, kesedaran, penyesalan, tekad dan keinginan; itulah taubat sejati. Dalam hadis disebutkan bahawa: "Taubat adalah tekad." Hadis ini menyebutkan bahagian pertengahan, iaitu tekad kerana tekad itu muncul dari kesedaran dan penyesalan dan akan melahirkan kehendak. Maka Rasulullah saw jadikannya sebagai rukun yang paling kuat.

Wahai akhi, anda akan dapati masalah taubat di banyak surah di dalam al-Quran. Anda akan dapati ia disebut bermula dari Surah al-Baqarah sampai ke Surah an-Nashr.

Dalam Surah al-Baqarah anda akan bertemu dengan firmanNya: "Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (Al-Baqarah: 37)

Allah permudahkan bagi umat Muhammad saw untuk bertaubat....

Firmannya: "Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kamu dan bunuhlah diri kamu. Hal itu adalah lebih baik bagi kamu di sisi Tuhan yang menjadikan kamu. Maka Allah akan menerima taubat kamu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (Al-Baqarah: 54)

Dalam ketentuan umat-umat terdahulu, untuk bertaubat mesti ada korban. Adapun anda, cukup bertaubat dengan gerakan hati dan perasaan. "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah: 286)

Anda boleh merujuk pada ayat-ayat berikut: Ali-Imran: 135-136, An-Nisa': 17, Al-Maidah: 39, At-Taubah: 117, At-Tahrim: 8, An-Nashr: 3, Al-Baqarah: 222.

Mohonlah pertolongan Allah untuk menjadikan kita orang yang gemar kepada taubat...

Jika Allah tidak menghendaki anda bertaubat, nescaya Dia tidak akan mengilhamkan kepada anda untuk bertaubat. Jika anda kembali kepada Allah dengan bertaubat, maka itu merupakan petunjuk bahawa Dia mencintai anda. "Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya." (At-Taubah: 118)

Dalam doa sayyidul istighfar, Rasulullah saw berdoa:

"Ya Allah, Engkaulah Tuhanku. Tidak ada Tuhan kecuali Engkau. Engkau telah menciptakan diriku, sedangkan aku adalah hamba-Mu dan aku berada di atas perjanjian-Mu sehabis kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan perbuatanku. Aku mengakui nikmat yang Engkau limpahkan kepadaku dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang mengampuni dosa kecuali Engkau."

Nabi saw pernah bersabda: "Barangsiapa mengucapkannya pada pagi hari dengan penuh keyakinan, kemudian pada malam harinya meninggal dunia, nescaya dia masuk syurga. Dan barangsiapa mengucapkannya pada petang hari dengan penuh keyakinan, kemudian pada siang hari itu dia meninggal dunia, maka dia masuk syurga."

Semoga solawat dan salam dilimpahkan kepada Sayyidina Muhammad, juga kepada segenap keluarga dan para sahabatnya.






Monday, March 30, 2009

JIKA ANDA INGIN MENJALIN HUBUNGAN DENGAN ALLAH, PERBAHARUILAH TAUBAT (2)



Allah swt. telah mengutus seorang Rasul untuk menjelaskan kepada anda apa yang baik dan apa yang buruk bagi anda. Allah juga menciptakan musuh yang sentiasa bersiap siaga, iaitu iblis yang telah bersumpah untuk menjerumuskan anda kepada keburukan. Firman Allah bermaksud: "Kemudian aku (iblis) akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur." (Al-A'raf:17)

Anda dihadapkan kepada dua kekuatan ini. Jika kekuatan roh menang, anda naik ke alam Al-Malaul A'la, akan tetapi jika kekuatan benda -berunsur tanah- menang, anda jatuh hingga ke martabat yang serendah-rendahnya. Firman Allah bermaksud: "Maka sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya." (Asy-Syams:9-10)

Taubat adalah timbangan yang menguatkan dan tangga yang untuk meningkatkan kebaikan. Para hukama' mengatakan: "Seluruh maqam mempunyai awal dan akhir kecuali taubat. Ia senantiasa menyertai seseorang sejak dari awal hingga akhirnya. Jika anda terseret oleh kekuatan jahat, boleh jadi anda mendapatkan ilham untuk bertaubat sehingga kembali sebagaimana keadaan sebelumnya, atau anda terdorong untuk terus melakukan kemaksiatan dan tetap pada kejahatan sehingga anda kalah dalam pertarungan."

Firman Allah bermaksud: "Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan derajatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya yang rendah. Maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya ia mengulurkan lidahnya (juga)." (Al-A'raf:176)

Adapun orang yang terjerumus, jatuh dan cenderung kepada daun timbangan kejahatan, sedangkan tali yang menghubungkannya dengan kebaikan hampir terputus, akan tetapi dia menyedari kesalahan dan bertaubat, segera berdiri dengan penuh rasa takut, tunduk, taubat dan menyesal, maka dia akan pulih kembali kepada posisinya semula, bahkan daya tahannya semakin kuat sehingga dirinya semakin dekat dengan kebaikan.

Itu telah diisyaratkan oleh Allah di dalam surah Ali-Imran:135-136.

Jika seseorang itu tekun bertaubat, terus menerus mengingat dan melaksanakannya, maka akan tumbuh di dalam dirinya daya kewaspadaan. Jika syaitan datang membisik dan menggoda supaya mengikutnya, dia segera sedar, tetap pada pendiriannya dan takut kepada perintah Allah. Bacalah Surah Al-A'raf:201.

Jika dia terus memegang teguh taubat, maka syaitan akan putus harapan terhadapnya, kerana dia telah melindungi diri dengan kewaspadaan; diri, perasaan dan rohnya telah disinari oleh hakikat pengetahuan yang benar selain ketaatan. Ketika itulah dia berada dalam lindungan Allah.

JIKA ANDA INGIN MENJALIN HUBUNGAN DENGAN ALLAH, PERBAHARUILAH TAUBAT (1)




Izinkan saya berbicara dengan saudara tentang taubat. Semoga Allah menurunkan rahmat dan ketenanganNya kepada kita sekalian.

Allah swt. berfirman yang bermaksud: "Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran kali pertama. Kamu tiada menyangka bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin bahawa benteng-benteng mereka akan dapat mempertahankan mereka dari (siksaan) Allah; maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang mereka tidak sangka-sangka. Dan Allah mencampakkan ketakutan dalam hati mereka; mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang yang beriman. Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan." (Al-Hasyr:2)

"Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya, 'Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.' Maka Allah menurunkan ketenanganNya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimah Allah itulah yang tinggi. Allah Mahaperkasa lagi Mahabijaksana." At-Taubah:40)

Lihatlah ketika pertolongan Allah datang, maka tiada kuasa pun boleh menggagalkannya. Kemudian Allah memberi kasih sayang dan rahmatNya. Betapa perlunya kita bertaubat dengan taubat nasuha (taubat sebenar).

Manusia dipengaruhi oleh dua kekuatan: kekuatan rohani dan kekuatan jasmani. Anda adalah makhluk rohani dengan roh yang anda miliki, tetapi juga makhluk jasmani dengan badan yang membungkus anda. Justeru itu anda boleh saja dipengaruhi oleh kedua-keduanya sama ada ke arah kebaikan atau kejahatan. Anda adalah makhluk spiritual dengan rahsia firman Allah bermaksud: "Dan telah Ku tiupkan padanya roh-Ku." (Shad:72)

Pada saat yang sama anda juga makhluk bersifat material dengan rahsia firman Allah bermaksud: "Dan Engkau ciptakan dia dari tanah." (Al-A'raf:12)

Ini adalah penciptaan manusia pertama kali dahulu. Masing-masing dari keduanya mempunyai tuntutan, keinginan, permulaan dan akhir yang berbeda dari yang lain, sedangkan anda maju mundur di antara keduanya. Sekarang anda fahami firman Allah bermaksud: "Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan." (Al-Balad:10)

Anda berada di pertengahan. Roh menarik anda ke alamnya yang tinggi, sedangkan material menarik anda ke alamnya (tanah) yang rendah.

Sunday, March 29, 2009

RENUNGILAH PARA SAHABAT Radiallahu 'anhu.. di mana kita?



Ketahuilah bahawa di dalam jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka seluruh jasad akan baik dan jika ia rosak maka seluruh jasad juga akan rosak. Ketahuilah, itulah hati.

Ada tiga unsur penting yang ada pada diri para sahabat RA yang mengungguli mereka daripada orang lain. Seandainya ketiga-tiga hal itu wujud di dalam diri kita, nescaya kita akan berjaya melangkah ke jalan kemuliaan dan kemenangan, sebagaimana yang telah mereka perolehi.

Pertama: Unsur Keimanan Yang Sempurna

Keimanan inilah yang membersihkan mereka dari keinginan apa pun selain dakwah. Mereka telah mendengar seruan, "Maka segeralah kembali kepada Allah." (Adz-Dzariyat:50)

Mereka menjadikan kalimah La ilaha illallah sebagai slogan, pada saat yang sama mencampakkan slogan selainnya. Orang-orang musyrik berada dalam kesesatan kerana mereka mempertuhan selain Allah. Orang-orang Parsi berada dalam kesesatan kerana mereka mengabdikan diri kepada nafsu dan syahwat. Ahli kitab berada dalam kesesatan kerana mereka menjadikan pendeta dan orang-orang alim mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah. Bumi secara keseluruhan berada di atas panji kesesatan kerana tidak mengambil cahaya daripada Allah. Para sahabat RA berada di atas kebenaran yang nyata kerana mereka telah menghindari penyembahan kepada berhala dan hawa nafsu serta menyerahkan seluruh pengabdian kepada Allah. Mereka tidak beribadat kecuali kepada Allah, tidak patuh kecuali kepada Allah, tidak bergantung kecuali kepada Allah, tidak memohon kecuali kepada Allah dan tidak merasakan kebahagiaan kecuali kerana berdekatan dengan Allah. Mereka tidak merasa menderita kecuali oleh dosa yang menjauhkan dari Allah. Semua itu merupakan faktor pertama yang menyatukan hati mereka, kerana mereka tidak patuhi kepada si fulan atau si fulan.

أبى الإسلام لا أب لى سواه ** إذا افتخروا بقيس أو تميم

Bapakku Islam, tidak ada bapak selainnya bagiku
Ketika orang ramai berbangga dengan Qais atau Tamim

Para sahabat RA tahu bahawa bumi ini milik Allah yang diwariskan kepada siapa saja di antara hamba-hambaNya yang dikehendakiNya dan bahawa kesudahan yang baik akan diperolehi orang-orang yang bertaqwa. Segala perbedaan yang biasanya memecahkan hati-hati menjadi kelompok-kelompok yang berpecah musnah lantaran mereka telah diwarnai oleh sibghoh (celupan) Allah. (Al-Baqaroh:138)

Kedua: Unsur Cinta, Kesatuan Hati dan Pautan Jiwa.

Faktor apa lagi yang menjadikan mereka berselisih? Apakah mereka akan berselisih kerana kenikmatan dunia yang fana ataukah kerana perbedaan gaji, tugas dan status, sedangkan mereka mengatahui bahawa "Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa." (Al-Hujurat:13)

Justeru tidak ada faktor yang menyebabkan mereka berpecah-belah. Mereka bersatu dan bersaudara. Yang satu tidak menghinakan yang lain, tetapi masing-masing mencintai saudaranya dengan sepenuh kecintaan, kecintaan yang mencapai tingkatan itsar (mengutamakan orang lain). "Dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan)." (Al-Hasyr:9)

Mereka juga sentiasa menghayati firman Allah yang bermaksud, "Katakanlah jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik." (At-Taubah:24)

Ketiga: Unsur Pengorbanan.

Mereka telah faham semua ini, sehingga rela memberikan apa saja untuk Allah, hinggakan ada di kalangan mereka yang merasa keberatan mengambil ghanimah yang telah dihalalkan oleh Allah untuk mereka. "Maka makanlah dari sebahagian rampasan perang yang telah kamu ambil itu, sebagai makanan yang halal lagi baik." (Al-Anfal:69)

Hal inipun mereka merasa keberatan dan menghindari. Mereka meninggalkannya kerana mengharapkan pahala dari Allah swt. agar amal mereka tidak dikotori oleh kepentingan peribadi.

Ketiga-tiga unsur ini iaitu keimanan yang membersihkan diri mereka dari fikiran apapun selain makrifatullah, ukhuwwah yang mengikat hati mereka sehingga seakan-akan menyatu dan pengorbanan yang mendorong mereka untuk memberikan jiwa dan harta dalam rangka menggapai ridho Allah, yang menyebabkan mereka tampil dalam profil seperti ini. Faktor-faktor inilah yang telah mengeluarkan sekelompok manusia tersebut dari kehinaan kepada kemuliaan, dari perpecahan kepada kesatuan, dan dari kebodohan kepada ilmu. Mereka adalah pemberi petunjuk bagi umat manusia dan calon-calon pengantin di syurgaNya yang penuh dengan kemewahan dan kenikmatan abadi.

Semoga Allah dorongkan kita untuk mengikut jejak langkah para sahabat RA. Sabda Nabi saw. "Sahabat-sahabatku seumpama bintang-bintang, siapa sahaja di kalangan mereka yang kamu contohi nescaya kamu akan mendapat petunjuk."



Friday, March 13, 2009

Mari Bersyukur

Di dalam hadis yang sahih Rasulullah saw telah bersabda:

من أصبح آمنا فى سربه معافى فى جسده وله قوت يومه فكأنما حيزت من الدنيا بحذافيرها

Maksudnya: "Sesiapa yang berpagi-pagi dalam keadaan dalamannya tenang, sihat tubuh badannya dan baginya ada makanan pada hari itu, maka dia seolah-olah memperolehi dunia dan segala isinya."

Ada tiga nikmat yang disebut oleh Rasulullah saw di dalam hadis di atas:

1) Ketenangan
2) Kesihatan badan
3) Kecukupan makanan

Ketiga-tiga perkara di atas adalah rukun hidup yang amat difahami oleh Rasulullah saw.

Berhubung ketenangan, Rasulullah saw mengajar kita berdoa kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat mazmumah yang lapan (hadis Abu Umamah al-Bahili).

اللهم إنى أعوذ بك من الهم والحزن وأعوذ بك من العجز والكسل وأعوذ من الجبن والبخل وأعوذ بك من غلبة الدين وقهر الرجال

Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku, aku berlindung denganMu dari rasa serabut dan kesedihan, lemah, malas, pengecut, kedekut, hutang dan dikuasai oleh orang".

Berhubung kesihatan, Rasulullah saw mengajar kita umatnya supaya menjaga kesihatan. Kesihatan adalah mahkota seseorang. Kehilangannya bermakna hilang suatu yang paling berharga dalam hidup ini. Ia adalah nikmat yang amat besar yang perlu disyukuri.

Demikian juga makanan, merupakan rukun hidup. Seorang mukmin makan untuk hidup, bukan sebaliknya hidup untuk makan. Yang hidup untuk makan ialah binatang. Adapun manusia terutama mukmin menjadikan makanan sebagai wasilah untuk beribadat kepada Allah swt.

wallahu a'lam....