Monday, May 12, 2014

Sembang Hudud - pendapat seorang sahabat saya...

Apabila ramai orang bercakap pasal perlaksanaan Hukum Hudud; apakah ia melambangkan satu berita baik atau ia merupakan satu malapetaka kepada ummah?
“Setiap tempat dan ketika ada bicaranya tersendiri” merupakan pepatah arab yang sering diungkapkan oleh mereka yang pernah belajar bahasa tersebut. Perlaksanaan beberapa hukum hudud di Arab Saudi tentunya berbeza dengan Brunei Darussalam yang baru mewar-warkannya sebagai contoh.
Keserabutan bicaranya di Malaysia semakin hangat apabila masing-masing tidak mengukur di bumi apa dan di bumi mana mereka sedang berbicara.
Walau agak serabut, mari kita lihat setiap yang berlaku ada positifnya. Ada hikmah dan ada kebaikannya. Mari kita murnikan bicara kita.
Khusus di Malaysia yang telah bertukar menjadi masyarakat majmuk; bicara kita sekitar  “here and now”. Kita bukan zaman Al Marhom Sultan Alauddin Riayat Shah yang warak itu atau zaman Al Marhom Hang Tuah ahli zikir yang punya ilmu jihad. 
Ini semua telah dimusnahkan oleh penjajah-penjajah terencana yang dendam dengan kejayaan Al Marhum Sultan Mohmmmad Al Fateh dan tenteranya: sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera yang diiktiraf oleh Rasulullah S.A.W.
Peninggalan penjajah tidak secara percuma. Sudah tentu ia menyediakan bom jangka panjangnya, selain meraut kekayaan hasil bumi kita. Mereka tinggalkan dalam keadaan kita serba jahil, serba lemah dan serba kebingungan. Ekonomi yang tidak tersusun dan keadaan sosial dan politik yang tidak seimbang. Rasa tidak puas hati masyarakat Cina dan India terhadap penduduk asal Bumiputera yang memiliki “ketuanan” pasti berakar umbi.
Kefahaman dan penghayatan Islam amat jauh dari erti Islam yang syumul dan jauh dari  arah cara hidup, cara bernegara dan berundang-undang yang Allah aturkan buat manusia tidak kira di mana mereka berada.
Tinggallah sedikit ahli zikir yang tidak dapat merasakan erti bernegara. Ahli feqah yang dituduh “berpura-pura” menyokong kepimpinan Negara dan menerima “seadanya” kerana menjaga Maqasid Syariah. Pada satu sudut yang lain pula, ada ulama’ yang dituduh  mencari kesalahan “pewaris penjajah” dan menyerangnya sepanjang zaman sehingga hari ini.
Bagi saya kesemuanya itu; samada ahli zikir, ahli feqah yang menerima pemerintah seadanya dan yang menolak pemerintah sedia ada, semuanya kita doakan mendapat ganjaran besar dari Allah kerana itulah zaman mereka dan itulah ujian Allah terhadap mereka.
Kita fokus kembali kepada “here and now” agar menepati “Setiap tempat dan ketika ada bicaranya tersendiri”.

Ketika pemerintah yang ada mengisi kemerdekaan mengikut “kemampuan” dan cabaran yang ada; rakan-rakan masyarakat Cina, India, Murut, Kadazan, Iban dan lain-lain pastinya membina diri dan terus mencari identiti. Itu tiada cacat celanya.
Simpati saya terhadap kelompok yang berbangga dengan ketuanan Melayu, yang tidak mahu menerima dunia kelilingnya berkembang dan berubah. 
Hakikat golongan yang berhijrah dari Tanah Besar atau dari Benua India telah meninggalkan zuriyat yang merasakan mereka dilahirkan di sini, membesar di sini dan tiada tanah air lain melainkan di sini. 
Apakah ada yang cuba menolak realiti ini dan malas berfikir panjang dan tidak menerima hakikat dunia berubah. Jalan mudah dengan menjulang ketuanan Melayu dan mengheret sejarah dalam kehidupan semasa. 
Sejarah memang sangat penting. Tetapi menafikan realiti ini dan tidak mahu dan tidak faham erti perkongsian hidup adalah menafikan hakikat Maqasid Syariah  Islam itu sendiri.
Kota Yastrib (sebelum bertukar kepada Madinah Muawwarah) berserabut dengan perselisihan Aus dan Khazraj penduduk asal yang dilaga-lagakan oleh masyarakat Yahudi yang dilaknat Allah S.W.T. Mereka menguasai ekonomi dan kewujudan mereka dirasakan sebagai mencabar ketuanan Arab.
Ketika Aus dan Khazraj tercari-cari identiti mereka dengan sibuk memilih kepimpinan baru mereka; cahaya Islam memancar dari Mekah sekembalinya baginda S.A.W dari Sidratul Muntaha dan Kota Baitul Maqdis dalam peritiwa Isra’ dan Mi’raj.
Selepas Rejab, Syaaban, Ramadhan dan Syawal; baginda S.A.W memulakan dakwahnya di celah-celah kesibukan Haji di Aqabah.
Hijrah Nabi S.A.W ke Madinah lantas dinobat sebagai ketua Negara Madinah, mengajar kita erti “Here and Now”. Baginda tidak mencampakan penduduk Yahudi ke padang pasir atau ke laut Merah. 
Baginda mengikat Aus dan Khazraj dengan ikatan Ilahi, kalimah Tauhid dan Iman. Baginda mengikat Muhajirin (sahabat berasal Mekah)  dan Ansar ( sahabat dari golongan Aus dan Khazraj) dengan ikatan Ilahi, persaudaraan  Ukhuwah dan “Itsar” (mengutamakan orang lain dari diri sendiri).
Baginda atur kedua kelompok Ansar dan Muhajirin  untuk memerdekakan diri dari perhambaan kepada Yahudi yang mencengkam dari sudut ekonomi dan lainnya.
Kemudian baginda S.A.W membuat Piagam Madinah satu kesepakatan yang praktis antara Muslimin dan Yahudi serta pelbagai qabilah yang ada, semuanya berpijak kepada bumi yang nyata. 
Kebebasan, keselamatan, keadilan, kebajikan dan kesejahteraan menjadi tonggak Negara Madinah itu. Satu pendekatan Wasatiyyah yang Rabbani.
Ini semua baginda S.A.W lakukan dengan mengambil kira Yahudi itu satu kaum yang dilaknat oleh Allah S.W.T. Penjelasan dari para Anbiya’ sepanjang Isra’ dan Mi’raj mengingatkan kedegilan, helah tipu daya dan temberang keturunan kaum Musa a.s itu.
Isra’ Mi’raj yang menagih beginda untuk bernegosiasi dengan Allah S.W.T dalam mengurangkan amanah 50 waktu solat adalah satu tarbiyah atau “short course” latihan intensif buat baginda menghadapi kaum itu, sebaik baginda berhijrah tidak sampai 3 tahun selepas peristiwa Isra’ Mi’raj. 
Negosiasi berlaku antara Muslimin yang dipimpin Nabi S.A.W dan kaum Yahudi ketika itu. “Ending”nya beberapa tahun kemudian, Yahudi terhalau dari Kota Madinah selepas berlakunya peperangan yang cuba baginda elakkan termasuk peperangan Khaibar. 
Negosiasi antara kaum dan agama pada perkara menyusun perkongsian hidup kekal sebagai satu sunnah Nabi S.A.W. Tentunya tidak pada isi kandungan Aqidah, Iman dan seumpamanya. Perkara itu adalah perkara “privacy”. Inilah satu pendekatan Wasatiyah.
Menuduh kaum Cina atau India sebagai Yahudi di Asia Tenggara adalah tidak adil. Kalau nak kata sebagai “terpengaruh” dengan ejen atau perancangan Yahudi; kita semua adalah sebahagian dari mangsa tersebut. Sebab itu dalam surah Fatihah kita diminta untuk mengulang “Tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus……dan bukan jalan yang dibenci (seperti yahudi)”.
Mencari “titik persamaan” adalah asas kepada orang yang pernah belajar ilmu negosiasi. Malangnya ada mereka yang menggelar diri mereka sebagai pendakwah tetapi agak sempit sedikit cara berfikirnya, menganggap pengamal negosisasi sebagai golongan liberal dan plural pula.
Dengan mempertahan Aqidah dan Syariat Islam serta maruah umatnya dan memelihara sistem Beraja Islam, kita wajar meneruskan pendekatan dakwah dan tarbiyah kepada semua di sekeliling kita.
Tiba-tiba, membicarakan hukum hudud di Malaysia ( perbincangan tiada kaitan di Brunei) adalah mengheret semua ke  dalam sebuah kotak yang sempit.  Mari keluar dari kotak ini kepada gelanggang medan yang lebih besar dan luas.
Satu Contoh Titik Pertemuan
Titik pertemuan antara kita rakyat Malaysia, orang Islam dan bukan Islam seperti rata-rata Cina, India dan yang lainnya banyak. 
Masyarakat bukan Islam yang mengamalkan meditasi untuk mencapai proses nirwana akan terkejut dengan titik pertemuan yang hampir sama dengan apa yang ada dalam masyarakat Islam. 
5 larangan utama mereka yang mesti ditinggalkan untuk mencapai tahap Nirwana ialah:
Tidak boleh mencuri
Tidak boleh membunuh
Tidak boleh menipu
Tidak boleh seks bebas
Tidak boleh mabuk (yang akhirnya menyusahkan orang lain)
Apa bangsa sekalipun, apa agama sekalipun di Malaysia bersepakat untuk menolak 5 perkara ini. Rakyat Malaysia yang tidak bertamadun sahaja yang akan menafikannya.  
Tanyalah nyonya cina jiran kita yang baik itu, atau aci India yang manis senyumannya itu, yang bersama kita mengenderai LRT ke tempat kerja: “adakah anda happy suami anda meniduri wanita lain ? ”.
Atau tanyakan pemandu teksi yang sering mencari makan “mengayuh” lewat malam, “anda selesa memandu di belakang kereta seorang pemandu Melayu yang sedang mabuk? ”.
Apakah kita izinkan pembunuh bersiri berkeliaran di taman perumahan kita? Buaya yang membaham anak-anak kepada saudara kita dari masyarakat Iban di sungai Sarawak pun kita sangat bersimpati, inikan pula manusia pembunuh berjiran dengan kita.
Pencuri wang di perkhidmatan internet bank, sangat kita bimbangi. Bayangkan seluruh wang gaji kita hilang sekelip mata atau anak gadis kita diragut atau disimbah asid secara tiba-tiba ketika pulang dari sekolah.
Semua ini diperangi oleh semua kaum dan agama di negara kita. Bezanya penganut agama Kristian mengatakan ia satu dosa “sin”, pengamal ajaran Ghautama Budhha mengatakan akan terganggu proses meditasi, mustahil ke puncak nirwana. Penganut ajaran Hindu mengatakan pembuat kesalahan-kesalahan di atas akan melalui proses kitaran kehidupan semula dalam alam ini dalam jelmaan-jelmaan yang tertentu. 
Islam mendidik rakyatnya agar menjauhi perkara-perkara tersebut. Malah pemerintah wajib membina benteng agar penganutnya dan mereka yag hidup bersamanya tidak berpeluang melakukannya. Sebarang pemboleh ubah yang boleh membuatkan seseorang terjebak ke arah perbuatan-perbuatan itu mesti diusahakan agar dihapuskan terlebih dahulu.
Selepas ini semua, kalau ada yang masih degil “mangkereng”, mereka tidak boleh dilepaskan begitu sahaja, berjalan dengan bebas selepas menyetubuhi wanita bukan isterinya di khalayak ramai, yang boleh dilihat oleh 4 orang yang bukan tujuan untuk mengendap atau “skoding”, di tempat seolah-olah terbuka, maka barulah bicara hukum hudud sangat sesuai pada tempatnya.
Ayuh rakyat Malaysia! Mari sama-sama membina Negara, menyusun kehidupan dari bersengketa pada perkara yang kita sendiri tidak memahaminya.
Ayuh masyarakat Islam! Mari sama-sama kita laksanakan Islam dalam diri kita, laksanakan Dakwah dan Tarbiyah, mengenengahkan isu yang tepat pada masa dan tempatnya.
Berdakwah kepada pemerintah agar mereka takut kepada Allah S.W.T lebih baik dari kita mencaci hamun tidak tentu pasal.
Memanfaat dan memperkuatkan sistem demokrasi beraja lebih baik dari bicara yang melemahkan dan memalukan kita sendiri.
Mendokong pendekatan Wasatiyah berasaskan Maqasid Syariah adalah sesuatu yang lebih bermakna dari membiarkan Umat Islam kekal bercakaran.


Penulis adalah Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus Ahli Dewan Perwakilan Nasional, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram). Pernah menjadi tawanan Regim Israel ketika bersama Kapal Marvi Marmara 2010 dan disambut oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia sekembalinya dari bumi Barakah itu. Sebelum itu beliau pernah bertanding untuk kerusi DUN Rengit, Johor, namun kini menumpukan kepada kerja-kerja kemanusiaan dan kerjaya barunya. Kerap membentangkan kertas kerja, ahli panel forum dan ceramah anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia. Bercita-cita melihat seluruh Umat Islam bekerjasama dan akhirnya bersatu di bawah panji-panji Islam.



No comments: