Monday, October 8, 2012

Usrah Adalah Qaedah Asas dalam Struktur Dakwah Kita


Tulisan: Sheikh Mohamed Hamed Eliwa
Terjemahan: Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria (TACZ)

Sesungguhnya Imam Al-Banna telah menegaskan makna ini ketika bercakap di hadapan Ikhwan pada suatu hari: “Usrah merupakan Qaedah Asas dalam binaan dakwah kita. Naqib usrah pula adalah batu penjuru dalam binaan ini”. Ia merupakan kalam pengasas Ikhwan Muslimin (IM) bagi menunjukkan betapa mustahak dan betapa kesatuan dakwah ini terbina di atas sistem ini. Justeru Imam Al-Banna telah meletakkan Peraturan Khusus (Laihah Khas) bagi menjamin kelangsungannya berdasarkan disiplin yang telah ditetapkan dan efektif agar pentarbiyahan individu terlaksana. Itulah matlamat daripada dakwah ini. Peraturan ini telah ditetapkan pada bulan Rabi’ul Awal 1362H bersamaan bulan Mac 1943.

Berkenaan Sistem Usrah ini, Imam Al-Banna berkata: “Wahai Ikhwan sekalian, sistem ini amat berguna untuk kita dan dakwah ini dengan izin Allah SWT. Ia berfungsi untuk mengontrol (mengawal) ikhwan yang ikhlas dan menjadikan mereka berada dalam suasana mudah dihubungi dan menerima arahan dari masa ke semasa untuk kepentingan dakwah yang mulia ini. Ia akan menguatkan ikatan dan meningkatkan ukhuwah satu sama lain dari tahap kata-kata (teori) ke tahap perbuatan dan praktikal (pelaksanaan)”.

Usrah adalah Wadah Utama Tarbiyah kerana tarbiyah berdasarkan Sistem Usrah adalah merupakan tarbiyah sebenar (hakiki) disebabkan beberapa faktor:

(1) Di dalam usrah kehalusan dan kedalaman tarbiyahnya wujud (kerana bilangan sedikit dan mudah dimutaba’ah dan berlakunya muayasyah).

(2) Di dalam usrah adanya hikmah dan berlakunya proses pemindahan pengalaman (di bawah seliaan seorang mu’allim dan murabbi iaitu naqib) berpandukan Manhaj Tarbiyah bersumberkan Al-Quran, As- Sunnah dan terikat dengan jadual masa secara bertahap dan terarah.

Tatkalamana tarbiyah melalui jalan usrah memungkinkan tersedianya atau terbinanya individu secara Islami dan sempurna, maka ianya (Sistem Usrah) akan berterusan sekalipun setelah tertegaknya Kerajaan Islam. Kerana tarbiyah melalui jalan usrah akan berfungsi sebagai pembekal untuk kerajaan memenuhi keperluan sumber manusia berkualiti. Ciri-ciri insan soleh seumpama itu memang diperlukan oleh mana-mana kerajaan secara berterusan. Ini bermakna bahawa Sistem Tarbiyah melalui Usrah adalah Unsur Tetap (thawabit) dakwah IM.

Sebagaimana Usrah merupakan wadah utama tarbiyah, Usrah juga merupakan Unit bagi mengawal keanggotaan dan tanzim dalam Struktur Jemaah. Bagaimana mungkin unit keanggotaan (sepenting ini) boleh berubah mengikut situasi dan keadaan?!!

Ingatlah bahawa Unit Keanggotaan adalah sebahagian dari sistem itu. Ia adalah batu bata dalam struktur binaannya dan tidak mungkin mana-mana binaan akan kekal bilamana batu bata- batu batanya terpisah (terkeluar) dari struktur asalnya.

Usrah merupakan keluarga setiap al-akh dan ia adalah kaum kerabat terdekatnya. Ia merupakan ikatan sebenar dan amat diperlukan bagi menghubungkan antara individu dan Jemaah. Ia merupakan satu-satunya wasilah yang akan membantu Jemaah memutaba’ah anggotanya dari pelbagai sudut. Semua kepentingan tersebut menjadi ciri-ciri khusus bagi usrah.

Tidak ada seorang pun boleh mengatakan bahawa Sistem Usrah merupakan Unsur Thawabit dalam Islam, tetapi sebagai anggota IM, kita semua telah bersetuju untuk menjadikannya sebagai salah satu Unsur Thawabit dalam dakwah kita.

Penentuan tersebut sebagai mencontohi tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W. kepada para sahabatnya di Darul Arqam ibn Abi Al-Arqam. Penentuan tersebut juga berdasarkan pendirian yang diambil oleh Nabi S.A.W. bersama kaum Ansar yang berbai’ah dengan baginda pada Bai’at Aqabah Kedua.

Justeru itu tidak harus ada seorang pun daripada kalangan kita yang  boleh mengeluarkan kenyataan bahawa Usrah bukan dari Thawabit Ikhwan Muslimin. 

Kita tegaskan kepadanya …”tidak sekali-kali tidak”.
Dalam IM, Usrah merupakan Unsur Tetap (tidak berubah) daripada Thawabit Sistem Tarbiyah dan keanggotaan kerana ia adalah wadah tarbiyah utama dan unit keanggotaan dalam struktur tanzim Jemaah. Lebih-lebih lagi ia juga merupakan unit terpenting untuk kelangsungan individu dan jemaahnya.... 

وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين




Saturday, September 29, 2012

PANDUAN NABI S.A.W. UNTUK MENJADI USAHAWAN BERJAYA

Diambil dari:
http://blogahmadtarmizi-miji.blogspot.com/2009/02/panduan-perniagaan-oleh-nabi-muhammad.html

Sebenarnya Nabi Muhammad SAW ada memberi panduan dalam mencari nafkah atau menjadi usahawan. Sila lihat hadith yang dikutip oleh Sayid Sabiq dalam kitabnya ‘Anasirul Quwati fil Islam’, berkata Anas RA lebih kurang begini...

Seorang pemuda dari kalangan sahabat Ansar datang kepada beliau meminta-minta. Kata beliau, “Engkau.. takde apa-apakah di rumah?”

“Ada!” Jawab pemuda Ansar itu. “Hanya sehelai tikar dan sebuah takar (tempat air minum) sahaja..”

“Bawa kedua-dua barangan itu ke mari!!” Arah Nabi.

Pemuda itu pun pergi mengambilnya dan membawa kepada Nabi. Nabi terus membuat tawaran, menjual secara lelong barangan tersebut kepada kawan-kawan di situ. Dijual dengan harga paling tinggi, iaitu 2 dirham.

“Nah! Satu dirham engkau beli makanan untuk keluraga engkau, dan bakinya engkau beli sebuah kapak!” Saran Nabi. “.. bawa kapak itu kemari!!”

Pemuda itu terus mempraktikkan idea tersebut, ia kembali dengan sebuah kapak yang baru dibeli. Nabi mengambilnya dan mengikat pada sebatang tongkat (yakni siapkan hulu hingga boleh terus guna), dan menyerah balik. Katanya, “Pergilah cari kayu api dengan kapak ini, dan juallah hasilnya! Jangan sampai aku nampak kamu lagi selama 15 hari (dari sekarang)!!”

Selepas 15 hari berlalu, kembalilah kawan itu, dia berjaya mengumpulkan wang sebanyak 10 dirham. Sebahagian dibeli makanan dan sebahagian lagi pakaian.

“Hal ini adalah lebih baik dari engkau datang di Hari Kiamat dengan wajahmu bernoda, tanda meminta-minta.” Jelas Nabi lagi. (Hadith dirawikan oleh Abu Daud).

Hadith ini menggambarkan pengangguran, kemiskinan dan meminta-minta memang ada, walaupun perlu dihapuskan. Nabi mencetuskan idea kreatif, bagaimana menjadi usahawan, dapatkan modal, memotivasi (contohnya tempoh 15 hari sasaran masa ditetapkan), kecekapan melihat pasaran (waktu itu jual bahan bakar atau kayu api) dan sebagainya. Memang hebat Nabi Muhammad SAW.

Pengalaman masa mudanya pernah jadi usahawan. Pernah jadi gembala kambing sebagai tarbiah kepimpinan (Ingat hadith Nabi, setiap kamu adalah pengembala...). Pernah berkongsi atau usahasama niaga dengan ahli bisnes kecil As-Saa’ib bin Abis Saa’ib. Pernah berniaga import-eksport Mekah-Syam, di mana sumber ‘finance’nya ialah Khadijah sendiri walaupun waktu itu masih belum jadi isterinya (akhirnya taukeh finance itu jadi isteri atau miliknya).

Dikatakan beliaulah pencetus idea-niaga ‘surung makan, tarik pun makan’, pergi ke Syam membawa dagangan dari Mekah, pulang membawa dagangan dari Syam. Di mana amalan sebelum itu cuma pergi membeli dagangan untuk penduduk Mekah dari Syam sahaja. Dengan itu penduduk Mekah dapat menikmati barang keperluan dengan harga yang lebih rendah.

Begitu juga ramai tokoh-tokoh usahawan yang berjaya, adalah anakdidik beliau, seperti Abdul Rahman bin Auf, Usman bin Affan dan sebagainya yang dijamin syurga. Mereka bukan sahaja berjaya dari sudut usahawan semata-mata, bahkan menjadi tokoh-tokoh politik dan pemimpin perjuangan Islam.

Bahan berkaitan:
http://www.motivasisantai.com/motivasi-bisnes/2012/06/05/berniaga-cara-nabi-muhammad-saw/

Wednesday, September 26, 2012

Sifat-sifat Nabi SAW....dlm BA


Egypt's Morsi debuts at UN General Assembly (Full speech)



Ringkasan Ucapan Dr Muhammad Mursi di Persidangan PBB:

1) Penghinaan terhadap Rasul Islam Muhammad S.A.W adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali dengan lisan bahkan perbuatan.

Mereka ini hanya merosakkan keamanan dan ketenteraman dunia. 

Apa yang dihadapi oleh orang Islam tidak boleh diterima dan kami memusuhi sesiapa sahaja yang menghina nabi kami.

Mesir mengiktiraf kebebasan bersuara, namun bukan kebebasan yang merosakkan keharmonian dan menyemai kebencian.

Namun kami menolak untuk menggunakan kekerasan dalam tindak balas terhadap kebodohan itu (penghinaan nabi)..

2) Rakyat Palestin perlu diberi hak memiliki Al-Quds sebagai Ibu Negaranya yang rasmi dan berdaulat.

3) Darah rakyat Syria adalah terlalu berharga untuk disia-sia dan ditumpahkan oleh kerajaanya sendiri setiap hari dan malam. Rakyat Syria mempunyai kedudukan yang mulia di dalam hati rakyat Mesir.

Rakyat Syria punyai hak untuk menikmati kebebasan mereka sendiri tanpa ditekan oleh mana-mana undang-undang zalim.

Kami akan terus bekerja keras dan berusaha dengan segala cara untuk meletakkan satu penyelesaian kepada penderitaan rakyat Syria dan membantu mereka menyediakan sistem yang mereka mahukan.

Ia merupakan penderitaan kita semua dan kita bertanggungjawab untuk menghentikan tragedi berdarah era ini (Syria).

4) Mesir akan bekerjasama dengan saudara-saudara Arab untuk memperbaiki kedudukannya dalam dunia ini.

5) Mesir akan menjadikan Sidang Kemuncak Negara Islam sebgai paltform membentuk persefahaman dan menggalakkan dialog antara tamadun.

6) Sudan hari ini perlu diberi sokongan lebih daripada biasa.

Sudan telah pun memberikan pengorbanan yang besar dalam membentuk keamanan dan kestabilan tetapi ia tidak mendapat sokongan antarabangsa yang sewajarnya maka tibalah masa membalas budinya.

7) Presiden yang dipilih secara demokratik di Somalia merupakan tanda ke arah kestabilan dan saya menjemput Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membantu rakyat Somalia untuk mencapai masa depan yang lebih baik.

8) Kita perlu menghentikan sokongan terhadap mana-mana kerajaan yang rosak yang telah terbukti zalim kerana ia akan merosakkan keamanan yang ada di rantau itu.

9) Adalah hak semua negara di dunia, termasuk negara-negara di rantau ini dan Mesir,untuk menggunakan tenaga nuklear untuk bagi tujuan keamanan dan bukan senjata.

10) Dunia mempunyai tanggungjawab untuk menyokong usaha Afrika untuk membangunkan dan menyokong usaha-usaha untuk menjaga kekayaan daripada dirompak.

Mesir akan terus bekerjasama dengan saudaranya di Afrika bagi meningkatkan taraf hidup melalui pertukaran kepakaran dan pengalaman.

11) Perlu mengislahkan PBB yang dilihat hanya sekadar pemerhati tanpa tindakan.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد