Thursday, November 7, 2013

Saya Seru Mereka .... dan Saya Berdoa Untuk Mereka....

أدعوهم   وأدعو لهم
Sesungguhnya ia adalah akhlak duat (pendakwah) dan para murabbi (pendidik) bersama para muridnya, ketika para duat sibuk melayani mereka pada siangnya, dan mendoakan untuk mereka pada malamnya. Ketika Imam Hasan Al-Banna ditanya tentang rahsia penerimaan di kalangan manusia dan betapa pengaruhnya yang menakjubkan di kalangan mereka yang didakwahkan, Imam menjawab: "Saya telah menyeru mereka pada waktu siang dan pada waktu malam saya akan mendokan untuk mereka". Ia adalah suatu pelajaran yang kita dapat mempelajarinya di sepanjang jalan dakwah ini, faedahnya bahawa: 

"Mengetuk telinga-telinga siapa yang kita seru dengan menunjuk ajar, nasihat dan panduan sahaja tidak mencukupi, mesti disusuli pula dengan doa untuk mereka di dalam 'khulwah kita' bersama ALLAH terutama pada waktu malam yang amat berharga itu, kerana mengadap ALLAH di waktu malam itu adalah rahsia penerimaan manusia".

Ini sama seperti kata-kata Imam Ibn Qayyim: "Barangsiapa mengadap ALLAH dengan sepenuh hatinya, nescaya ALLAH balikkan hati para hamba kepadanya". Kita bermohon kepada ALLAH Subhanahu Wata'ala akan taufik, bantuan dan restu-Nya jua...

Keikhlasan Kita....menghidup dan membahagiakan hati

إخلاصنا يحيي القلوب
Sesungguhnya kehidupan dan kebahagian sebenar bagi hati terletak pada keikhlasannya kepada Tuhannya dalam setiap kata-kata dan amal perbuatan, kerana dengan keikhlasan, hati akan berhubungan dengan penciptanya lalu sentiasa mengharapkan restu daripada-Nya, tamak untuk mendapatkan ganjaran daripada-Nya, takut sia-sianya kepenatan beramal dengan sebab hilangnya keikhlasan dan rosaknya tujuan.

Justeru hati akan berbahagia dan diliputi ketenangan setelah semua usaha yang ikhlas dilakukan, lalu akan bertambah kebaikan itu di dalam kehidupan, petunjuk dan taqwa. 

Allah SWT berfirman: "Dan orang-orang yang telah mendapat petunjuk, akan bertambah bagi mereka petunjuk dan akan dikurniakan untuk mereka ketaqwaan". 

Maka ayulah kita semua! Kita sama-sama hidupkan hati kita dengan keikhlasan, mari kita bahagiakannya dengan memperelokkan tujuan untuk kita semua meraih daripada Tuhan kita penerimaan yang mulia, seterusnya dengan itu kita memperolehi taufik dan ganjaran. "Sesungguhnya akan tergelincirlah orang yang tidak ikhlas".


Presiden Muhammad Mursi - Seluruh Dunia Bersamamu!






Siapakah Dr Mursi yang amat digeruni pihak lawannya itu?

Sehinggakan pelbagai cara dan konspirasi direncana untuk menjatuhkan beliau tetapi hari ini dunia bangkit menyatakan solidariti bersamanya.

Kami kongsikan sekali lagi video yang telah kami terjemah dan pos sebelum ini. saksikan.

*Seandainya anda berpeluang bertemu dengan sosok hebat ini, apakah yang mungkin anda akan katakan kepada beliau?-mesirkini

#mesirkini
#R4BIA 

Thursday, October 24, 2013

Mari Merenung Sejenak....

Soalan; Siapa lebih afdhal di antara si kafir yang adil atau si muslim yang zalim?

Jawapan saya:

1- Melalui kisah pendek; kisah masyhur dalam tarikh Islam, tapi ramai tak perasan boleh jadi hingga tak dpt mengambil 'lesson learn' dari kisah itu. Ringkasnya, selepas Hulago menawan Kota Baghdad pada tahun 1258M, mereka membunuh lebih sejuta penduduknya, lalu mereka terus mara ke selatan utk menawan Hullah (الحلة) yg terkenal sebagai Kota Ilmu di waktu itu. Mereka kumpulkan ulamak dan bertanya satu soalan, soalan itu dlm wording arabicnya;
أيهما أفضل الحاكم المسلم الجائر، أم الحاكم الكافر العادل؟
'Mana lebih afdhal antara pemerintah muslim yg zalim atau pemerintah kafir yg adil?'

Maka berlakulah perdebatan yg hangat untuk menjawab persoalan itu...

Tak jelas pula kenapa ia jadi hangat; adakah kerana soalan itu baru atau ada faktor lain yg jadikan ia panas. Secara logiknya adalah suatu yg tak masuk akal para ulamak overlook isu ini, sedangkan mereka berbahas panjang 'furu masail' (masalah cabang dlm feqah) yg jauh lebih sukar dari itu !!!!

Lama mereka (para ulamak) pening berbahas... Hingga akhirnya sampai giliran sekumpulan ulamak, di kalangan mereka seorang alim yg terkenal di Kota Hullah dan Kota Baghdad; iaitu Allamah Syed Ibn Thowus Alawi. Katanya;
(الحاكم الكافر العادل هو أفضل من المسلم الجائر) 
"Pemerintah yg kafir lagi adil itu lebih afdhal drp muslim yg zalim/jahat...."

Ketika ditanya dalil, jawapan yg diberi berhujah kan aqli (logik akal), katanya;
بأن لنا عدل الكافر العادل عندما يحكم وعليه وزر كفره لوحده، بينما لنا ظلم المسلم الجائر إذا حكم، وله لوحده اسلامه الذي يثاب عليه، وهو اسلام شكلي بالطبع....
"Bahawa kita dapat nikmati keadilan si kafir yg adil ketika dia berhukum, sedang dosa kufurnya utk dirinya shj. Sebaliknya kita akan merasai kesengsaraan dari kezaliman si muslim yg jahat/zalim bila dia berhukum (memerintah), sedang keislamannya sekadar utk dirinya shj -diberi pahala sekadarnya- Islamnya itu hanya kulit/bentuk luaran shj...".

Jawapan itu menjadi sebab termeterinya perjanjian damai yg akhirnya menghentikan pertumpahan darah... 

Utk berhujah, kisah itu tidak cukup sbb kisah tersebut punya contct-nya, bimbang ia diambil/dicedok di luar contact. Kisah Hulago serang Kota Baghdad dan lahir beberapa fatwa berkaitan insiden serangan n pembunuhan dsb. Isu wala' kpd orang kafir dsb byk dibahaskan oleh Ibnu Taimiyyah, kita boleh dptkannya di dlm Kitab Majmuk Fatawanya...

Yang lebih afdhal ialah si kafir yg adil kerana asas kpd pemerintahan dlm Islam ialah keadilan. Bagaimana seorang pemerintah Islam tidak berlaku adil ?!

Allah SWT menolong dengan keadilan yg dilaksanakan oleh sesuatu kaum sekalipun kaum itu kufur. Sebaliknya Allah SWT menghina dengan kezaliman yg dilakukan oleh sesuatu kaum sekalipun kaum itu muslim.

2- Di dalam Sirah Nabi SAW arahkan para sahabatnya berhijrah ke negara Habasyah kerana di sana terdapat pemerintah yg adil, dia tidak menzalimi sesiapa...

Hasil pemerhatian kita didapati bahawa ramai orang Islam berhijrah ke negara kafir (UKE, USA), mereka hidup lebih aman di sana. Antara mereka orang arab yg rasa amat selesa hidup di negara org putih dari tempat sendiri spt di Egypt dan lainnya.

Hujah lain;

  1. Sesuatu pemerintahan akan kekal berkuasa selama ia berlaku adil sekalipun kafir, tidak sebaliknya.
  2. Bila seorang pemerintah itu adil, terlaksana beberapa faedah; rasa aman utk diri, famili, maruah, harta, masa depan, rasa nikmat kebebasan dsb...

Perbahasan panjang lebar ikhwah dpt kaji dlm tulisan Syaikhul Islam, Ibn Taimiyyah dlm kitabnya;
الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر
Di bawah adalah nas katanya Rahimahullah;
وأمور الناس إنما تستقيم فى الدنيا مع العدل الذى قد يكون فيه الإشراك فى بعض أنواع الإثم أكثر مما تستقيم مع الظلم فى الحقوق، وإن لم تشترك فى الإثم. قيل: "الله ينصر الدولة العادلة وإن كانت كافرة، ولا ينصر الدولة الظالمة ولو كانت مؤمنة

"Dan urusan manusia sesungguhnya akan menjadi elok di dalam dunia ini (bukan akhirat) dengan terlaksananya keadilan, sekalipun bersama pelaksanaan keadilan itu kadang-kadang berlaku beberapa jenis kemaksiatan. Urusan dunia tersebut lebih terurus dalam situasi terlaksananya keadilan berbanding dalam situasi kezaliman dalam masalah penunaian hak. Justeru dikatakan; Allah menolong daulah yang adil sekalipun kafir, dan DIA tidak akan menolong daulah yang zalim sekalipun mukmin".

Kesimpulannya:

"Urusan manusia  di dalam dunia ini sesungguhnya akan jadi betul dengan adanya keadilan, pelaksanaan Syariah Islam adalah kesempurnaan kepada keadilan sebenar, justeru kita mesti berusaha ke arah pelaksanaan Islam yang sebenar".

akhukum,
UsTACZ

Monday, October 21, 2013

Mutiara Kata Syahid Syed Qutb Rahimahullah

من روائع الشهيد سيد قطب
Terjemahan: UsTACZ

Berkata pengarang Kitab Zilal Rahimahullah: "Allah Subhanahu Wata'ala yang menjaga dakwah ini. Maka di kala Dia (Allah) menghendaki bagi dakwah ini menjadi gerakan yang benar, Dia mendedahkan untuk para pendokongnya melalui mehnah (ujian) yang panjang, Dia melambatkan untuk mereka meraih kemenangan, Dia menyedikitkan bilangan mereka, Dia menjadikan manusia lambat menerima dakwah ini sehingga Dia benar-benar mengetahui bahawa mereka terbukti telah mampu bersabar, thabat (tetap pendirian), benar-benar bersedia dan layak ditabalkan sebagai 'Qaedah Sulbah' yang merdeka, punya kesedaran dan amanah."

Kemudian dipindahkan langkah-langkah mereka selepas itu dengan kuasa-Nya Subhanahu Wata'ala - dan Allah sentiasa berkuasa atas setiap sesuatu, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Ujian adalah satu kemestian untuk memperteguhkan pemilik aqidah. Kesengsaraan akan membongkar kekuatan tersembunyi dan menzahirkan keupayaan yang tersimpan. Ia mampu membuka jendela hati yang terkadang tidak diketahui oleh para mukmin mengenai dirinya melainkan setelah melalui kesengsaraan. Segala nilai, pertimbangan dan konsep belum mampu dapat dipastikan kesahihan dan istiqamahnya melainkan di dalam situasi mehnah yang akan menghilangkan kekaburan dari mata serta karat-karat dari hati...

Yang paling penting dari semua yang disebut di atas, atau kaedah bagi semua yang telah dinyatakan....ialah الإلتجاء إلى الله وحده -kembali bergantung kepada Allah yang Maha Esa semata-mata- ketika semua sandaran bergoncang, ketika semua bayangan fantasi dalam pelbagai demensi terbayang..lantas hati bersunyi-sunyian dengan Allah semata-mata, tiada sandaran yang lain melainkan sandarannya sahaja... Di kala itu sahaja, tersingkaplah kekaburan, terbukalah penglihatan, dan akan terpampang dan terbentang luas ufuk sejauh pandangan mata, tiada kekuatan melainkan kekuatan-Nya, tiada keupayaan melainkan keupayaan-Nya, tiada tempat perlindungan melainkan perlindungan-Nya jua.

Dan nas al-Quran membawa jiwa ini ke titik di ufuk tertinggi di sana; 
قل لن يصيبنا إلا ما كتب الله لنا
Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad), tidak akan mengenai musibah itu kepada kami melainkan apa yang telah Allah tetapkan bagi kami..."

Satu Tulisan Baik Untuk Direnung....

Disiarkan pada Jan 10, 2013

BILAKAH NON-MUSLIM DIPERANGI?
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Sekalipun umat Islam di Malaysia telah hidup sekian lama bersama dengan mereka yang non-muslim, namun di sana masih terdapat beberapa persoalan dasar yang tidak jelas dalam pemikiran sesetengah pihak. Ketidakjelasan itu boleh menatijahkan tindakan yang tidak tepat dalam keadaan tertentu. Dalam keadaan biasa, mungkin kesannya kurang kelihatan, tetapi apabila krisis tertentu melanda, kita akan merasai kesan salah tanggapan terhadap Islam dan prinsipnya khusus berkaitan hubungan muslim dengan non-muslim.
Saya ingin menggesakan pelbagai pihak untuk menganjurkan wacana dan dialog tentang hubungan muslim dengan non-muslim di sudut nas-nas Islam yang sebenar. Perbincangan yang bebas dari ketamakan politik dan fanatik perkauman. Ini penting untuk nama baik Islam dan dakwah, serta masa depan negara ini.
Beberapa persoalan tentang prinsip interaksi antara muslim dan non-muslim seperti apakah asas hubungan antara muslim dan non-muslim; perdamaian ataupun permusuhan? Apakah sebabnya jihad dalam Islam difardukan; kerana kekufuran ataupun disebabkan permusuhan yang dilancarkan? Siapakah kafir zimmi dan harbi?, dan lain-lain lagi perlu didalami.
Disebabkan kegagalan memahami asas-asas ini dengan baik, maka sentimen agama yang kadang-kala tidak tepat dimainkan. Apatahlagi ada pihak yang menangguk di air keruh mengambil kesempatan politik pilihanraya.
Kenapa Non-Muslim Diperangi?
Ini satu persoalan yang penting. Jika salah langkah, maka banyak darah yang dihalalkan atas nama Tuhan. Secara umumnya dua punca (‘illah) dibahaskan oleh sarjana ; non-muslim diperangi atas sebab kekufuran ataupun peperangan yang mereka dilancarkan? Jawapan yang berbeza boleh memberikan implikasi yang berbeza terhadap sikap dan tindakan.
Para ulama usul al-Fiqh cuba untuk mencari `Illah (punca hukum) jihad disyariat. Maka para ulama dari mazhab al-Syafi`i dan al-Zahari berpendapat `illahnya ialah kerana kekufuran mereka. Ini bermaksud mereka diperangi kerana mereka kufur dengan Allah. Namun, pendapat ini dianggap lemah dan tidak boleh dipegang secara kefahaman dan praktikalnya. Sehingga Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Jihad meminta supaya ulama mazhab Syafi’i pada hari ini hendaklah menjelaskan kepada masyarakat awam bahawa pendapat al-Imam al-Syafi’i dalam hal ini adalah lemah dan ditolak. Ini bimbang digunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan keganasan.
Senarai golongan non-muslim yang tidak boleh dibunuh semasa peperangan yang disebut dalam nas-nas sahih seperti wanita dan kanak-kanak, ahli ibadah yang sedang beribadah dalam rumah ibadah mereka, pekerja dan petani yang tidak terlibat secara langsung dengan peperangan, para perwakilan diplomatik dan lain-lain menjadi bukti bahawa sekadar kekufuran atau tidak beriman belum melayakkan seseorang itu dibunuh. Islam tetap memelihara nyawa mereka. Jika kekufuran itu punca mereka diperangi, sudah tentu golongan tersebut juga diperangi.
Oleh itu jumhur (majoriti) ulama berpendapat `illah (punca) sebenar non-muslim diperangi bukanlah kerana akidah mereka, tetapi kerana (al-Hirabah) iaitu menzahirkan permusuhan terhadap harta dan nyawa orang muslim disebabkan Islam yang dianuti. Maka, bagi golongan non-muslim yang tidak melancarkan peperangan dan permusuhan mereka terhadap umat Islam, mereka tidak diperangi. Kalaulah kekufuran yang menjadi alasan tentulah sewajar semua non-muslim itu diperangi. Inilah pendapat yang dipegang dalam Islam. Antara dalil-dalil yang dikemukakan oleh majoriti ulama ialah firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 190 (maksudnya):
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”.
Juga firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 13: (maksudnya):
“Mengapa kamu tidak memerangi golongan yang telah mencabuli perjanjian mereka, serta mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan mereka jugalah yang mula-mula memerangi kamu? Apakah kamu takutkan kepada mereka padahal hanya Allah yang berhak kamu takuti, sekiranya kamu orang-orang yang beriman”.
Juga ayat 36 daripada Surah al-Taubah:(yang bermaksud):
“Perangi golongan musyrikin itu keseluruhannya seperti mana mereka mereka memerangi kamu keseluruhan”.
Semua ayat-ayat di atas adalah jelas menunjukkan peperangan yang dilancarkan ke atas mereka adalah di atas sikap dan tindakan salah yang dilakukan mereka, bukan kerana kekufuran atau akidah mereka. Ayat-ayat ini menafikan hujah para ulama mazhab al-Syafi`i dan al-Zahiri.
Bersikap Baik
Bahkan dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 begitu jelas Allah menyatakan: (maksudnya)
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) setelah membentang pendapat-pendapat mengenai ayat di atas, berkata:
“Pendapat yang lebih tepat ialah; ayat ini bermaksud Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan adil kepada sesiapa yang tidak memerangi kamu dari kalangan penganut semua agama. Ini kerana Allah menyebutnya secara umum dengan katanya “orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu” merangkumi sesiapa sahaja yang bersifat demikian” (Al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Aiy al-Quran 28/66 Beirut:Dar al-Fikr).
Juga telitilah firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 6-7 (maksudnya):
“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman. Yang demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrikin (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrikin) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”
Pengarang al-Jihad fi al-Islam yang merupakan tokoh Mazhab Syafi’i di Syria iaitu Said Ramadan al-Buti dalam mengulas ayat di atas, berkata:
“Dari dua ayat tersebut, kita dapat fahami dengan jelas ia meyanggahi apa yang difahami oleh ulama mazhab al-Syafi`i dan al-Zahiri. Dari sini kita kemukakan kepada mereka (para ulama tersebut) soalan-soalan yang mereka tidak mungkin dapat menjawabnya, iaitu; Sekiranya `illah (punca hukum) jihad atau peperangan ialah kekufuran, sedangkan perintah Allah agar kita melindungi kaum musyrikin sepanjang tempoh mereka berada di samping kita, dengan harapan mereka mendengar ayat-ayat Allah dan beriman denganNya. Kemudian diperintahkan agar kita menghantarkan mereka ke tempat yang aman sekiranya mereka ingin pergi tanpa beriman… andainya kekufuran adalah sebab yang membawa kepada kita membunuh mereka, apakah mungkin untuk kita membantu mereka dengan perlindungan yang seperti ini, sedangkan mereka itu musyrikin? Sekiranya kekufuran mewajibkan peperangan, apakah mungkin untuk kita berurusan seperti itu dengan golongan Allah perintahkan kita memerangi mereka?. Ternyata sebab (kita dibenarkan berurusan baik dengan mereka) kerana mereka tidak menzahirkan permusuhan dan cenderung kepada perdamaian”.( Sa`id Ramadhan al-Buti, al-Jihad fi al-Islam, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr)
Dengan ini jelas, jihad berlaku hanya apabila mereka menzahirkan peperangan terhadap umat Islam kerana agama. Jika non-muslim mengkritik atau mencabar muslim melalui saluran undang-undang dalam negara Islam itu sendiri, ataupun membantah salahguna kuasa pihak umat Islam itu tidak dianggap memusuhi umat Islam kerana agama. Bahkan itu hak yang negara Islam berikan kepada mereka.
Siapakah Kafir Harbi?
Isu kafir harbi kadang-kala disebut oleh sesetengah pihak tanpa memahami maksud sebenar istilah berkenaan. Istilah harb merujuk kepada peperangan. Dalam pembahagian silam tentang jenis-jenis negara; disebut Dar al-Islam dan Dar al-Harb. Juga ditambah oleh sebahagian penulis pembahagian ketiga Dar al- ‘Ahd.
Secara ringkasnya, Dar al-Islam mempunyai tiga ciri utama; kekuasaan politik berada di tangan muslimin, zahir padanya hukum dan syiar Islam sekalipun tidak sempurna ataupun sebahagian sahaja dan kaum muslimin aman beramal dengan agama mereka sementara ahl-zimmah aman berdasarkan perjanjian mereka. Manakala negara-negara yang mempunyai perjanjian dengan umat Islam maka mereka adalah Dar al-‘Ahd.
Atas asas ini Dr Yusuf al-Qaradawi menyimpulkan bahawa keseluruhan negara umat Islam yang wujud pada hari ini adalah Dar al-Islam ataupun negara Islam termasuklah Malaysia. Sementara kesemua negara bukan Dar al-Islam yang berada di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu adalah Dar al-‘Ahd termasuklah Amerika. Hanya dikategori sebagai Dar al-Harb pada masa ini ialah Negara Zionis Israel disebabkan kerana permusuhan yang zahir dan berterusan dengan umat Islam (Lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, Cairo: Maktabah Wahbah, ms 888-908)
Setelah memahami hal tersebut, maka dalam istilah awal, warga non-muslim yang hidup dalam masyarakat muslim ataupun bawah Dar al-Islam (negara Islam) dengan mengikat perjanjian kewarganegaraan disebut sebagai ahl-zimmah. Dalam konteks moden setiap yang mendapat kerakyatan dalam Dar al-Islam itu seorang zimmi, bererti yang dipelihara atau dilindungi haknya. Walaupun begitu, istilah ahl-al-zimmah itu boleh elakkan di zaman kini dengan menyebut rakyat atau warga negara non-muslim.
Sementara kafir harbi, berdasar yang dibincang di atas ialah non-muslim yang menolak dan menentang seruan Islam, bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, tiada sebarang perjanjian aman dengan Dar al-Islam dan mereka tinggal di negara mereka Dar al-Harb (Lihat: ibid, ms 912).
Maka non-muslim yang mendapat kerakyatan dan dipelihara oleh undang-undang negara muslim, tidak dinamakan dengan kafir harbi. Sehinggalah dia tiada lagi sebarang ikatan perjanjian dengan negara Islam dan tidak dilindungi lagi oleh undang-undang negara Islam. Dengan itu rakyat Malaysia yang bukan muslim tidak boleh dikatagorikan kafir harbi yang boleh diperangi dan halal darahnya ditumpahkan selagi mereka mempunyai ikatan hubungan dengan negara!

Sunday, October 13, 2013

Bicara Keistimewaan dan Kelebihan Hari Arafah

Terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan Hari Arafah di antara ialah: 

1. Hari Pembebasan
Hari Arafah adalah hari pembebasan. Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidak ada satu hari pun yang di hari itu Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka daripada hari ‘Arafah, sebab pada hari itu Dia turun kemudian membangga-banggakan mereka di depan para malaikat seraya berfirman: ‘Apa yang mereka inginkan? ‘  ( Sahih Muslim 3275).

Hari Arafah adalah hari yang utama di mana Allah Ta’ala membebaskan hamba-hambaNya dari api neraka dan Allah membangga-banggakan orang-orang di Arafah di depan para malaikat.

2.  Hari Disempurnakan Agama-Nya 
Hari Arafah adalah hari yang agung kerana hari ini Allah telah menyempurnakan agama-Nya, dan melengkapkan nikmat-Nya:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Maidah: 3).

3. Hari Perayaan
Hari Arafah merupakan sambutan perayaan yang mulia bagi Hujjaj. Berkata Ibnu Qayyim :
( Hari Arafah adalah hari raya bagi ahli Arafah, kerana itulah ditegah bagi mereka yang berada di Arafah melaksanakan puasa sunat ) ( lihat : Zadul Maad )

4. Sebesar – besar rukun haji terletak di Arafah iaitu Wuquf
Wukuf di Arafah ialah rukun haji yang terpenting, tanpanya tidak sah ibadah haji. Sabda rasulullah s.a.w. maksudnya :
( Haji adalah Wuquf di Arafah ) – Riwayat Imam Ahmad, Termizi  Ibnu Majah
Berkata Imam Nawawi :  Maksudnya : Tiang dan sebesar rukun haji adalah Wuquf di Arafah

Antara amalan yang sunat dilakukan pada Hari Arafah:

1. Puasa
Hari Arafah merupakan hari yang mempunyai kelebihan tersendiri. Jika para jemaah haji diwajibkan berada di padang Arafah untuk wuquf di sana, kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji dianjurkan untuk berpuasa pada hari ini. 
Rasulullah S.A.W.  telah ditanya mengenai puasa hari Arafah? Maka jawab Rasulullah S.A.W yang artinya  :  Dikaffarah (ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang. (Riwayat  Imam Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)

2. Berdoa
Rasulullah SAW menggesa supaya kita memperbanyakkan berdoa pada hari yang agung ini. Baginda SAW bersabda:
“Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik ucapan yang pernah aku dan rasul sebelumku ungkapkan ialah tiada tuhan melainkan Allah …” (Riwayat at-Timizi).

Marilah sama sama kita memohon agar Allah s.w.t. menjadikan kita pada hari Arafah tergolong orang-orang yang diterima amalnya, orang-orang yang diberikan kemenangan dan orang-orang yang Allah bebaskan dari api neraka. Aamein

Disediakan Oleh : 
Ustaz Saufi haji Abdullah
AJK Tarbiyah IKRAM KELANTAN