Monday, June 23, 2014

Dalam Ibadat Puasa Terdapat Bekalan _Al-Marhum Ustaz Mustafa Masyhur

Kami telah sebutkan bahawa ‘ibadat sembahyang, puasa, zakat dan haji dianggap sebagai sumber yang penting dan dinamik untuk menjadi bekalan di jalan da’wah. Kami telah pun cuba menerangkannya pada perkara yang berkaitan dengan sembahyang. Di sini pula kami menjelaskannya perihal yang berkaitan dengan puasa. Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Surah Al-Baqarah: Ayat 183)

Orang yang berpuasa mendapat pakaian taqwa. la merupakan perisai yang mempertahankan diri daripada kejahatan dan fitnah. ‘Ibadat puasa lebih istimewa daripada ‘ibadat-’ibadat yang lain kerana ia dinisbahkan secara khusus kepada Allah. Daripada Abi Hurairah Radiyallahu ‘anhu:

Bersabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam: Allah ‘Azzawajalla berkata: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. la adalah untukku dan Akulahyang membalasnya. Puasa adalah perisai. Apabila seseorang itu berpuasa pada suatu hart maka janganlah mengungkapkan perkataan yang jelek dan janganlah menengking. Sekiranya seseorang mencelanya atau menyerangnya, maka kata-kanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa “Demi yang diri Muhammad di tanganNya, sesungguhnya berubahnya bau mulut orang berpuasa adalah lebih baik disisi Allah dari bau kasturi. Orang yang berpuasa merasai dua kegembiraan. Apabila ia berbuka, ia bergembira. Dan apabila ia bertemu dengan Tuhannya, ia bergembira denganpuasanya.”

(Muttafaqun Alaih)

Fardu puasa terikat dengan bulan Ramadan. Apabila disebut Ramadan seolah disebut syurga yang amat luas. Seorang Muslim merentasinya, seolah-olah iaberjalan di tengah-tengah padang pasir kehidupan yang bahang panasnya tidak terperi dan terpaksa menempuhi pelbagai fitnah, maka puasalah yang menjadi bekalan dan memberikan kebaikan kepadanya. Ianya difardukan pada bulan Ramadan agar bekalan dapat digandakan dan bertambahlah seri dan kebaikan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengkhususkan pada bulan Ramadan kebaikan yang banyak. Jika kita mengetahuinya nescaya kita mengimpikan agar sepanjang tahun dijadikan sebagai bulan Ramadan. Pada bulan ini Al-Qur’an diturunkan:

Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antarayang benar dengan yang salah

(Surah Al-Baqarah: Ayat 185)

Padanya terdapat malam Lailatulqadar. Malam yang lebih baik dan seribubulan. Pada bulan ini, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan ditambat, ganjaran amalan digandakan, dan dilakukan i’tikaf dan qiamullail. Demikianlah seorang Muslim yang benar menyambut bulan Ramadan dengan gembira. Orang mu’min gembira dengan kelebihan dan rahmat Allah. la melapangkan diri dari bebanan kehidupan. la menambah dan memperbaharui kecergasannya untuk menyambung semula perjalanan di jalan. Sesiapa pun tidak merasa keenakan kebaikan itu dan mendapat bekalannya melainkan mereka yang menjalani ‘ibadah puasa Ramadan seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam.

Pada bulan Al-Qur’an, pendampingan kita terhadap Al-Qur’an juga bertambah dengan membaca, mengamal, menghafal dan menggunakannya untuk qiamullail. Lalu kita memperolehi bekalan dari sumbernya yang sebenar. Ia tidak memadamkan nur, hikmah, hidayah dan pengajaran. Bahkan mengubati apa yang di dalam dada. Itulah bekalan yang amat baik.

Pada bulan Ramadan, orang yang berpuasa melakukan qiamullail pada setiap malam selama sebulan. Padanya terdapat bekalan yang padat. Dengan cara itu, ia membiasakan diri untuk ber’ibadat dan bersabar melakukan dan merasainya. Seterusnya, menjalinkan hubungan yang berterusan, mendekatkan diri, khusyu’ dan tunduk kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Pada bulan Ramadan, disunatkan i’tikaf yang memberikan kesan tersendiri dan membentuk jiwa. Orang yang beri’tikaf menjadi tetamu Allah di rumah Allah. Ia telah meninggalkan kesibukan urusan hidup untuk menumpukan keta’atan dan taqarrub(mendekatkan diri) kepada Allah dengan zikir, sembahyang, do’a, munajat, membaca Al-Qur’an, istighfar, taubat, dan menangis kerana takutkan Allah. Demikianlah Allah Subhanahu wa Ta’ala memuhakan tetamunya, lalu melimpahkan nur dan hidayat ke atas mereka. Setelah itu, mereka keluar dengan berbekalkan taqwa, iman dan petunjuk. Di dalam ayat-ayat puasa engkau mendapati firman Allah:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdo ‘a apabila ia berdo ‘a kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

(Surah Al-Baqarah: Ayat 186)

Puasa menghasilkan sifat ikhlas dan mengelokkan ingatan hati terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala, kerana ia adalah rahsia antara hamba dan Tuhannya. Ikhlas kepada Allah adalah antara bekalan terbesar dan paling perlu bagi setiap Muslim di jalan da’wah. Tiada kebaikan daripada ‘amalan atau usaha yang tiada keikhlasan kepada Allah. Allah Subhanahu wa Ta’ala terkaya daripada segala sekutu. Allah tidak menerima sebarang ‘amalan melainkan yang ikhlas kepadaNya.

Puasa menghasilkan mujahadah terhadap keinginan nafsu dan jasad. Ia menguatkan kemahuan Muslim. Inilah bekalan yang mesti dan daruri bagi da’i kepada Allah dan mujahid di jalanNya. Puasa menahan kemahuan nafsu syahwat dan suatu yang halal dalam satu jangka waktu, pada setiap hari, selama sebulan. Perbuatan sebegini membantu seseorang untuk me-negah diri daripada benda yang haram pada waktu-waktu yang lain.

Puasa menghasilkan kesabaran. Ia adalah suatu sifat yang sentiasa ada pada para da’i kepada Allah. Ia membantu mereka bersabar mengharungi halangan dan meneruskan perjalanan di jalan da’wah tanpa rasa hina, lemah dan ingin tunduk kepada musuh.

Maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

(Surah Ali-’Imran: Ayat 146)

Sebarang gertakan atau janji buruk, ancaman, penyeksaan atau pengusiran tidak melewatkan mereka sedikit pun.

Puasa mendidik dan membendung anggota badan selama sebulan. la telah terbiasa dengannya. Puasanya tidak terbatas pada menahan syahwat perut dan kemaluan sahaja. Malahan puasa yang sebenar ialah puasa seluruh anggota dari segala apa yang Allah Subhanahu wa Ta’ala haramkan. Mata, telinga, lidah, tangan dan kaki juga berpuasa di samping mulut dan kemaluan. Inilah suatu bahagian tarbiyyah yang penting dalam personaliti Muslim.

Puasa membentuk budi-pekerti yang lemah-lembut terhadap orang jahil. Apabila seseorang itu mencetuskan kemarahan orang yang berpuasa dengan mencela atau memarahinya, ia menahannya dan berlemah-lembut seraya berkata: “Sesungguhnya aku berpuasa.” Para da’i kepada Allah amat memerlukan akhlaq sebegini seperti mengawal nafsu, berlapang dada dan tidak marah semata-mata kerana keinginan nafsu. Semua itu merupakan suatu impak yang baik pada kemaslahatan da’wah:

kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu

(Surah Ali-’Imran: Ayat 159)

Ia menjimatkan waktu dan tenaga untuk kemaslahatan da’wah dan penghasilan, berbanding membuang waktu dan tenaga lantaran berlaku kemarahan di dalam perdebatan, perselisihan, menentukan sesuatu danberdamai semula. Tatkala itu, da’wah dan segala sesuatu penghasilan dan gerak-kerja akan menjadi mangsa. Benarlah firman Allah yang Maha Besar:

Dan tidaklah soma (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik

(Surah Fussilat: Ayat 34)

Puasa mendidik hati mengasihani golongan miskin dan mereka yang memerlukan bantuan. Ketika mana seseorang itu berasa lapar, ia bersegera menghulurkan tangan untuk membantu mereka. Justeru, disyari’atkan zakat fitrah untuk menguatkan dan mengingatkan pengertian yang sedemikian. Inilah suatu aspek tarbiyyah yang penting dan mesti ditegakkan di kalangan kaum Muslimin.

Semasa berpuasa, perut dikosongkan dan pemakanan dikurangkan. Kedudukan roh menjadi tinggi, hati menjadi jernih, seterusnya hijab dan tarikan duniawi terhindar. Kejernihan dan sinaran memancarkan cahaya kebenaran di dalam hati. Maka teranglah hati, dan nafsu pun bersedia untuk menjalani proses tazkiah dengan zikir, bacaan Al-Qur’an, istighfar, taubat dan do’a. Lahirlah kebahagiaan hakiki, keselesaan ruh dan perasaan mendekati Allah. Pengertian ini menguatkan sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesungguhnya syaitan berjalan di dalam diri anak Adam melalui saluran darah, maka sempitkanlah laluannya dengan berlapar.

(Muttafaqun Alaih)

Puasa pada hari yang amat panas khususnya, dapat mempersiapkan diri Muslim dengan kesabaran dan kesanggupan mengharungi medan jihad, peperangan dan pertarungan dengan musuh atau menghadapi situasi sukar di dalam bidang da’wah. Tarikan duniawi dan tuntutan jasmani tidak menjadi penghalang atau menyukarkan untuk meneruskan perjalanan da’wah.

Puasa mengajar bagaimana seharusnya seorang mu’min bergembira dengan taufiq dan pertolongan daripada Allah untuknya melaksanakan ‘ibadat dan mengikhlaskan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengingatkan kita bahawa orang yangberpuasa mendapat dua kegembiraan: Apabila ia berbuka dan sewaktu iabertemu Allah dengan puasanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Katakanlah (wahaiMuhammad) kedatangan Al-Qur’an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan (dari segala benda dan perkara yang tidak kekal).

(Surah Yunus: Ayat 58)

Perkara ini memperbetulkan gambaran yang salah pada kebanyakan orang, mereka bergembira apabila mendapat kebendaan dunia dan bersedih ketika kehilangannya.

Puasa mengukuhkan pengertian jama’ah di dalam diri. Kaum Muslimin di seluruh dunia berpuasa pada bulan yang sama. Mereka merasai kebaikan dengan sebab puasa dan bulan Ramadan disertai bersama saudara mereka di seluruh dunia yang berlainan keturunan. Perasaan kesatuan di antara kaum Muslimin adalah perkara yang penting dan perlu khususnya mereka yang menjalankan usaha da’wah.

Oleh kerana ‘ibadah puasa mengandungi kebaikan, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah “mensunatkannya” pada hari-hari yang tidak wajib kita melaksanakannya, sepanjang tahun. Baginda menggalakkan kita melakukannya lantaran kesungguhan dan kecintaannya kepada perkara yang baik.

Oleh kerana, rahmat Allah kepada kita dan Allah menyukai suatu yang baik kepada kita, dipermudahkan salat ketika kita musafir, sakit dan peperangan. Allah hanya meringankannya sedikit sehingga kita tidak meninggalkannya langsung dan tidak mendapat kebaikan dan bekalan darinya. Berpunca daripada rahmat Allah, dan supaya tidak membcban-kan kita, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan keringanan kepada mereka yang bermusafir atau sakit. Mereka dibolehkan meninggalkan puasa Dengan menggantikannya pada hari lain atau membayar fidyah.

Puasa menghubungkan Muslim dengan alam semesta yang mengandungi bulan dan bintang. Mereka memerhatikannya untuk mengetahui awal bulan dan melihatauak bulan pada awal bulan Ramadan dan bulan Syawal. Dengan cara ini, mereka mengenali penciptaan Allah yang menunjukkan kepada kebesaran dan kekuasaanNya.

Puasa membiasakan Muslim mementingkan dan menepati masa. Setiap orang yang berpuasa meneliti waktu imsak dan waktu berbuka. Mereka menghalusinya agar puasa tidak terbatal dengan sebab pengabaian atau tidak teliti. Perbuatan sebegini berulang-ulang selama sebulan sehingga boleh melengkapkan diri seseorang dengan karektor tersebut. Para da’i kepada Allah pada hari ini amat memerlukannya di dalam kehidupan dengan da’wah, perjumpaan dan pekerjaan, supaya ia tidak membantutkan perkara yang penting atau mensia-siakan masa orang lain tanpa faedah.

Di samping itu, puasa memberikan kesan kesihatan yang baik kepada jasad. Mutakhir ini, ilmu kedoktoran moden telah mendedahkan hakikat tersebut. Sebahagian rumah sakit telah menjadikan puasa sebagai cara yang berkesan untuk mengubati kebanyakan penyakit.

Semua ini adalah bekalan dan kesan tarbiyyah dari puasa. Bulan puasa senang untuk dilalui kepada sesiapa yang benar niatnya dan berpuasa sepertimana yang dikehendaki Allah dan diajar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam.

Apa yang kita lihat pada hari ini, sebahagian besar kaum Muslimin telah menukarkan bulan puasa kepada bulan menjamah dan membanyakkan makanan. Sepatutnya, kita perlu berlapar dan mengurangkan makanan. Bulan ‘ibadat, qiamullail dan Al-Qur’an telah bertukar menjadi bulan yang melekakan dan berjaga malam dengan perbuatan yang sia-sia. Ianya telah menjadi peluang kepada seniman dan seniwati untuk menghidupkan malam-malam bulan Ramadan dengan perkara yang buruk dan membinasakannya. Saya mengatakan bahawa perhimpunan mungkar ini telah mencemar hakikat Ramadan. Keadaan ini tidak diredai Allah dan juga RasulNya. Kita mestilah berusaha membetulkannya.

Akhir sekali, saya bermohon kepada Allah agar memanfa’atkan kita dengan Ramadan dan bekalan puasa. Apa yang telah saya sebutkan bukanlah suatu yang telah meliputi tajuk ini tetapi hanyalah sebahagian daripada aspek-aspeknya. Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala mengurniakan manfa’at kepada kita.

Related Posts

Friday, June 13, 2014

TG Nik Aziz: Tengok bola jangan sampai lupa Ramadhan

Kesimpulan isu Istihalah Khinzir_ menarik

Posted on Friday, June 13 @ 12:46:55 MYT 

PendapatADA yang bertanya, setelah diketahui pandangan Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwas and Research), Persidangan Fiqh Eropah, dan Persidangan Fikah Perubatan di Morocco 1997 dan lain-lain tidak mengharamkan istihalah khinzir yang terdapat bahan perubatan, makanan dan gunaan yang lain.

Sementara itu, Majma’ al-Fiqh al-Islamiy berpusat di Jeddah pada keputusan 1986 dan sebahagian pembesar ulama Arab Saudi mengharamkan gelatin khinzir yang terdapat dalam bahan perubatan dan makanan, apakah pendirian yang wajar diambil?

Rumusan saya seperti berikut:

1. Pada asasnya, istihalah adalah menukar sesuatu bahan najis kepada bahan yang lain seperti bangkai kepada abu, mayat yang sudah menjadi tanah, arak kepada cuka, baja najis kepada pokok yang subur dan seumpamanya diiktiraf dalam fikah Islam sejak dahulu. Cumanya, ada mazhab yang menyempitkan asas istihalah ini seperti Syafi’yyah dan Hanabilah (Hanbali).

Ada pula yang meluaskannya seperti Hanafiyyah dan Zahiriyyah juga Malikiyyah. Tokoh muhaqqiqin (penganalisis) seperti al-Imam Abu Bakr Ibn al-‘Arabi, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, al-Syaukani, Sadiq Hasan Khan dan lain-lain menyokong dan meneguhkan hujah proses istihalah boleh menukar najis kepada bahan bersih.

2. Antara dalil disebut fuqaha dalam istihalah ialah hadis Nabi Muhammad SAW: “Sebaik-baik hidangan adalah cuka.” (Riwayat Muslim)

Cuka berasal daripada arak yang berubah secara istihalah. Ada pun hadis yang melarang menjadi arak itu cuka ditakwilkan sebagai larangan di peringkat awal pengharaman arak bertujuan menghapuskan habis-habisan termasuk memecahkan bekas arak.

Pada hal bekas tersebut boleh digunakan jika dibersihkan. Namun, itu pendekatan di peringkat awal pengharaman.

Nabi  Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik wangian adalah kasturi” (Riwayat Muslim) sedangkan kasturi berasal daripada darah kijang yang bertukar menjadi wangian.

Bangkai, darah dan daging khinzir diharamkan dalam al-Quran. Namun, kasturi berasal daripada darah dibenarkan kerana bertukar sifat.

Terdapat lagi dalil lain daripada naqli (nas) dan aqli (lojik) yang dipakai dalam masalah ini.

3. Disebabkan umat Islam tidak menjadi pengeluar, kita asyik menjadi pengguna, bahan berasal khinzir tersebar begitu luas dalam pelbagai aspek kehidupan manusia seperti makanan, perubatan dan bahan kecantikan.
Kehidupan manusia, termasuk umat Islam terpaksa berkait dengan bahan berasal daripada sumber haram. Fatwa dalam hal ini sudah pasti diperlukan

4. Fatwa tentang hal ini dikeluarkan ulama termasuk yang membabit isu istihalah. Berikut kesimpulan fatwa Majlis Fatwa Eropah mengizinkan bahan berasal haram tapi berubah melalui proses. Begitu juga alkohol sedikit dalam makanan tertentu yang tiada kesan.

Hukum syariah

Fatwa (34) - Soalan: Bahan daripada sebahagian makanan mengandungi item yang ditandai huruf  "E' dan nombor. Kami diberitahu item tersebut dihasilkan daripada lemak dan tulang babi.
Jika perkara ini betul, apakah hukum syariah terhadap makanan sedemikian.

A) Item membawa huruf “E” dan rentetan nombor adalah bahan tambahan. Aditif mempunyai lebih 350 sebatian dan ia mungkin dalam bahan pengawet, pewarna, perasa dan pemanis.

Aditif dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut sumbernya:
Pertama: Sebatian asal kimia tiruan
Kedua: Sebatian asal tanaman.
Ketiga: Sebatian asal haiwan
Keempat: Sebatian larutan dalam alkohol

Yang berkuatkuasa pada semua sebatian adalah mereka tidak menjejaskan status makanan ini menjadi halal seperti berikut:

Kumpulan pertama dan kedua adalah halal kerana ia berasal daripada bahan yang dibenarkan dan tidak membahayakan daripada menggunakan item tersebut.

Kumpulan ketiga juga halal, kerana asal haiwan tidak sama semasa proses pembuatan. Malah ia berubah secara radikal daripada bentuk asalnya kepada satu bentuk baru bersih dan tulen melalui proses yang dipanggil transformasi kimia. Transformasi ini juga memberi kesan hukum mengenai bahan tersebut.

Oleh itu, jika bentuk asal adalah najis atau haram, transformasi kimia berubah kepada satu lagi ramuan yang memerlukan ketetapan baru. Contohnya, jika alkohol berubah dan telah berubah kepada cuka, maka ia tidak kekal haram, tetapi membawa ketetapan baru mengikut jenis produk baru, iaitu halal.

Bagi kumpulan keempat, item ini biasanya pewarna dan digunakan dalam kuantiti yang sangat sedikit, yang larut dalam bentuk produk akhir, yang difikirkan satu perkara dimaafkan.

Oleh itu, apa-apa makanan atau minuman yang mengandungi mana-mana bahan ini masih halal dan dibenarkan untuk kegunaan orang Islam.

Kita juga perlu ingat bahawa agama kita adalah agama mudah dan kita telah dilarang daripada membuat perkara yang menyusahkan.

Lebih-lebih lagi, mencari dan menyiasat perkara itu tidaklah seperti apa yang ALLAH SWT atau Rasul-Nya memerintahkan kita  untuk lakukan.

Iktiraf khilaf fikah

Anggota Majlis Fatwa Eropah terdiri daripada: Professor Yusuf Al-Qaradawi, Presiden  ECFR (Mesir, Qatar), Hakim Sheikh Faisal Maulawi, Naib Presiden (Lebanon),  Sheikh Hussein Mohammed Halawa, Setiausaha Agung (Ireland), Sheikh Dr Ahmad

Jaballah (Perancis), Sheikh Dr Ahmed Ali Al-Imam (Sudan), Sheikh Mufti Ismail Kashoulfi (UK), Ustadh Ahmed Kadhem Al-Rawi (UK) dan Sheikh Ounis Qurqah (Perancis).

Sheikh Rashid Al-Ghanouchi (UK), Sheikh Dr Abdullah Ibn Bayya (Arab Saudi), Sheikh Abdul Raheem Al-Taweel (Sepanyol), Judge Sheikh Abdullah Ibn Ali Salem (Mauritania), Sheikh Abdullah Ibn Yusuf Al-Judai, (UK), Sheikh Abdul Majeed Al-Najjar,

Sheikh Abdullah ibn Sulayman Al-Manee’ (Arab Saudi), Sheikh Dr. Abdul Sattar Abu Ghudda (Arab Saudi), Sheikh Dr. Ajeel Al-Nashmi (Kuwait), Sheikh Al-Arabi Al-Bichri (Perancis), Sheikh Dr. Issam Al-Bashir (Sudan) dan Sheikh Ali Qaradaghi (Qatar),

Sheikh Dr. Suhaib Hasan Ahmed (UK), Sheikh Tahir Mahdi (Perancis), Sheikh Mahboub-ul-Rahman (Norway), Sheikh Muhammed Taqi Othmani (Pakistan).

Sheikh Muhammed Siddique (Jerman), Sheikh Muhammed Ali Saleh Al-Mansour (UAE), Sheikh Dr. Muhammed Al-Hawari (Jerman), Sheikh Mahumoud Mujahed (Belgium), Sheikh Dr. Mustafa Ciric (Bosnia), Sheikh Nihad Abdul Quddous Ciftci (Jerman),

Sheikh Dr. Naser Ibn Abdullah Al-Mayman (Arab Saudi) serta Sheikh Yusf Ibram (Switzerland).

5. Walaupun golongan ulama bersetuju pada asasnya proses istihalah itu, mereka kadang-kala berkhilaf pendapat tentang apakah sesuatu proses itu benar-benar merubah sifat bahan-bahan najis itu atau pun tidak. Ada bahan yang diyakini telah berubah, ada yang diandaikan tidak.

Dalam soal gelatin babi umpamanya, sarjana fikah masa kini berfatwa berdasarkan kepada taklimat saintis kepada mereka.

Kadang-kala berlaku khilaf. Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah tadi yang terdiri daripada tokoh Islam dari Arab dan ulama Islam yang menetap di Eropah, begitu juga Persidangan Fiqh Eropah dan beberapa orang tokoh ilmuwan Islam antarabangsa menganggap telah berlaku istihalah.

Sementara sebahagian ilmuwan pula menganggap proses istihalah bagi gelatin itu tidak sempurna. Maka, jadilah isu gelatin di sudut itu perkara yang syubhah.

6. Sesiapa yang mengelakkan sesuatu yang syubhah -sekali pun tidak sampai ke peringkat haram- merupakan perkara yang baik untuk diri dan agamanya. Namun, dia tidak boleh berkeras mengharamkan untuk umat Islam yang lain yang mempunyai pandangan yang berbeza.

Dalam soal makan-minum, perubatan, pakaian, perhiasan, kebudayaan setiap pihak mesti mengakui keluasan fikah Islam dan mengiktiraf khilaf fikah yang berasaskan hujah.

Tidak boleh hina-menghina dan bermusuhan dalam persoalan amalan peribadi yang seperti ini selagi semua pihak beramal atas dalil yang diyakininya.

7. Selagi, umat Islam mempunyai sumber yang pasti halal, mereka sepatutnya mengelakkan sumber yang syubhah.

Di Malaysia umpamanya, gelatin halal wujud dan boleh didapati, maka memulaukan yang syubhah dapat menggalakkan industri halal.

8. Umat Islam hendaklah berusaha menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.

Kelemahan industri umat Islam adalah punca berleluasanya bahan yang syubhah dan juga mungkin haram.

Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online. 

Wednesday, June 11, 2014

DNA Babi: Dr Maza Canggah Ustaz Kazim Elias_saya sokong Dr Maza

Posted on Tuesday, June 10 @ 07:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur




Berikut status yang dimuatnaik oleh Dr Mohd Asri Zainal Abidin sekitar jam 1 tengahari tadi yang dijangkakan berhubungkait dengan pandangan Ustaz Kazim Elias mengenai isu gelatin dan DNA Babi.

Saya terkejut dengan seorang penceramah agama yang dikenali mengulas isu kenyataan al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai kesan DNA khinzir dalam makanan dan bahan yang terdapat secara meluas di dunia hari ini. Jika kita dengar ulasan penceramah tersebut seakan Dr Yusuf al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah yang terdiri dari ramai tokoh ilmuwan antarabangsa, beberapa persidangan Fekah di peringkat antarabangsa dan lain-lain yang mengharuskan itu tidak tahu bahawa babi itu haram.
Bagi menyokong hujahnya, penceramah itu secara ‘janggal’ menyebut empat-empat mazhab mengharamkan babi. Katanya pula, ulama hanya khilaf tentang kulit babi.
Saya ingin katakan, pertama, sesiapa yang ingin mengulas sesuatu hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan tentang apa yang dia ulas. Jika tidak ia hanya menampakkan kedangkalan diri dalam dunia ilmu yang luas.

Dr Yusuf al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah, Persidangan Fekah Perubatan yang berlangsung di Morocco pada tahun 1997 dan lain-lain bukan tidak tahu bahawa babi itu haram. Namun isu yang dibahaskan ialah istihalah yang telah merubah sifat sesuatu bahan. Para ulama dalam pelbagai mazhab Islam mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini.

Isunya, bukan ingin makan seketul babi goreng ataupun sup babi, tetapi ingin memakan coklat, ataupun biskut tapi terdapat kesan DNA babi disebabkan bahan tertentu yang asal-usulnya babi namun telah berubah sifat kimianya.
Adapun kenyataan beliau bahawa mazhab empat mengharamkan khinzir amatlah canggung. Beliau hendaklah tahu bahwa bukan setakat empat mazhab, bahkan semua mazhab termasuk al-Auza’i, al-Thauri, Laith bin Sa’d, Zahiri, Zaidi dan lain-lain semuanya mengharamkan khinzir. Ia ijmak. Namun, bukan itu isunya. Apa yang dibincangkan isu istihalah.

Adapun kata beliau khilaf ulama hanya tentang kulit babi, sebenarnya bukan sahaja tentang kulit babi, tapi juga tentang tulang dan bulu. Apakah boleh dibuat sesuatu yang bermanfaat, seperti kasut ataupun bone china seperti hari ini ataupun tidak boleh? Walaupun banyak imam yang melarang perkara itu, tetapi ramai juga para imam yang membolehkan. Contoh boleh lihat nukilan al-Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni yang menyebut beberapa pendapat. Jika kita semak pendapat yang membolehkan itu dipertahankan oleh beberapa tokoh ulama termasuk al-Imam al-Syaukani.
Sebenarnya, masalah istihalah babi ini masalah khilafiyyah. Ada yang membolehkan seperti Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Persidangan Fekah Perubatan di Morocco 1997 dan lain-lain. Ada pula yang mengharamkan seperti Majma al-Fiqh al-Islami di Jeddah, Arab Saudi.

Bukan orang Islam nak disuruh ternak babi, tapi sarjana fekah membincangkan bahan yang berubah tapi asal-usulnya ada kaitan dengan babi. Ini boleh difahami juga seperti rakyat muslim Singapore yang meminum new water iaitu air najis yang telah dirawat menjadi air bersih yang digunakan di Singapore sekarang. Bukan mereka nak minum najis, tetapi air itu asal bernajis namun telah dirawat dan dibersihkan.

Kita mengingatkan semua pihak, termasuk diri kita bahawa berceramah satu kebolehan yang lain, mungkin ia dibantu oleh kepetahan, jenaka dan lain-lain. Namun hendak membincangkan isu ilmu hendaklah berasaskan maklumat dan pengetahuan.
Sekali lagi, hal ini khilaf pendapat dalam kalangan ulama. Setiap orang membaca, meneliti dan mengikut apa yang dia yakin lebih diredhai Allah untuk dirinya.
Fatwa ini dibincangkan oleh para sarjana Islam moden sebab bahan berkena kepada banyak produk yang wujud terutama mereka yang hidup di negara minoriti muslim. Sementara sifat Islam itu memudahkan umatnya yang dalam kesulitan. Kita juga perlu ingat hal ini berlaku apabila kita tidak menjadi pengeluar dan asyik jadi pengguna.
Sumber FB Rasmi Dr Asri



Sunday, June 8, 2014

8 Penyakit Yang Boleh Sembuh Dengan Berjalan Kaki


Kesihatan
Jika selama ini andamalas untuk berjalan, fikirkan kembali. Satu kajian telah membuktikan berjalan boleh mengurangkan lapan jenis penyakit dan yang paling penting adalah proses rawatan tanpa mengeluarkan wang.

Berikut 8 jenis penyakit yang boleh disembuhkan dengan berjalan :-

1. Serangan Jantung : Berjalan boleh mengurangkan risiko serangan jantung. Otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras (dari pembuluh koroner ) agar segar dan berfungsi normal mengepam darah tanpa henti.

Berjalan dengan cepat boleh mengalirkan darah ke dalam jantung. Dengan sering berjalan , kolesterol baik (HDL) yang bekerja sebagai spans penyerap kolesterol (LDL) akan meningkat dengan berjalan kaki tergopoh-gopoh.

Tidak banyak cara di luar dapat mengubati seperti ini. Berjalan dengan cepat boleh menurunkan risiko serangan jantung.

2. Stroke :Satu kajian dilakukan kepada 70 ribu pesakit di Harvard School of Public Health yang bekerja sambil berjalan kaki sebanyak 20 jam dalam seminggu, hasilnya risiko diserang stroke menurun hingga dua pertiga.

3. Membakar Lemak :Rutin berjalan kaki akan meningkatkan metabolisme tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang oleh aktiviti berjalan kaki, kelebihan kalori yang tersimpan di dalam tubuh akan ikut terbakar, kemudian kenaikan berat badan tidak terjadi.

4. Melangsingkan Badan : jika anda kelebihan berat badan, mulailah untuk rutin berjalan Pergerakan kaki hingga seluruh tubuh mampu menurunkan berat badan dan lemak yang ada terutama diperut anda akan terkikis. Lakukan berjalan kaki secara rutin selama satu jam.

5. Kanser : Gejala kanser akan lenyap dengan sendirinya jika kita rajin jalan kaki. Kanser yang dimaksudkan adalah jenis kanser usus besar (colorectal carcinoma).

Kita tahu, bergerak badan ikut melancarkan peristaltik usus, sehingga buang air besar lebih lancar. Kanser usus dicetuskan oleh najis tertahan lama dalam saluran pencernaan. Sementara dalam satu kajian lain, berjalan boleh menurunkan risiko terkena kanser payudara.

6. Mencegah Osteoporosis : Sering berjalan bukan hanya menyebabkan otot-otot badan menjadi sihat, rangka atau tulang di dalam tubuh anda juga akan menjadi sihat dan kuat.

Osteoporosis tidak cukup hanya dengan rutin mengambil vitamin D dan kalsium yang banyak, tubuh juga memerlukan gerak badan dan memerlukan waktu paling kurang 15 minit dibawah sinar matahari pagi dan anda akan terhindar dari osteoporosis.

7. Mencegah Kencing Manis : Dengan rutin berjalan kira-kira 6 km per jam, dalam tempuh sekitar 50 minit, mampu mencegah berkembangnya diabetes, khususnya pada mereka yang bertubuh gemuk (National Institute of Diabetes and Gigesive & Kidney Diseases).

Selagi gula darah boleh dikawal hanya dengan cara bergerak badan (brisk walking), ubat tidak diperlukan. Anda hanya memerlukan berjalan secara rutin untuk terus menjaga kesihatan badan dan terhindar dari diabetes.

8. Depresi :Berjalan kaki dengan cepat boleh menggantikan ubat anti depresan yang biasanya diminum secara rutin oleh pesakit depresi. Mulai sekarang, rajinlah berjalan kaki akan menyembuhkan pesakit yang tengah depresi.

Ihsan dari tranungkite.net