Thursday, December 25, 2008

Gambar di tempat main ski - Aviemore,Scotland


Pemandangan indah di Aviemore tempat di mana pengunjung boleh bermain ski dengan bayaran. Salji agak kurang dibandingkan sehari sebelum ini, ia dah mula cair,apapun seronok sebab 'fist time' tengok salji dari dekat dan dapat sentuh pulak tu....




Jauh nampak termenung? Ingat siapa tu?




Kesejukan nampak!!!

Gambar di Straffilan, Wigwams, Scotland 25/12




















Thursday, December 18, 2008

Musafir ke United Kingdom 19/12/08 - 31/12/08

Alhamdulillah pada Jumaat 19/12/08, jam 5.45am (waktu Kuwait) tiba di Kuwait, transit di sini lebih kurang 6 jam. Berlepas ke London pada jam 12.30pm. Cuaca di sini agak sejuk 0 darjah di luar airport, dalam airport ni boleh tahan lagi. Nampak tenang di sini.... passenger pun tak ramai, agaknya zaman gawat ni ramai yang berfikir untuk berjimat cermat kut...

Jumaat 12.30pm (waktu Kuwait) bertolak ke London dan sampai enam jam setengah kemudian. Saya sampai jam 4.30pm, waktu maghrib baru sahaja masuk. Setibanya di sana, dari airport saya dibawa ke rumah sahabat di utara Finchley, London. Bermalam di situ sebelum bertolak ke Glasgow, Scotland keesokannya jam 11.55am menaiki flight tambang murah di sini. Cuaca di sini agak sederhana 10 darjah Celsius, tetapi anginnya masyallah mencucuk-cucuk kulit, sejuknya luar biasa sekali kerana tiupan anginnya. Agak kekok juga bila pertama kali naik domestik flight di sini, persis Air Asia tempat kita. Orang kata Air Asia belajar daripada sini juga...

Belari-lari jugalah nak ke flight kerana masa agak lewat. Dalam cuaca sejuk tu berpeluh juga, kerana dari tempat 'check in' ke pintu balai berlepas jaraknya agak jauh, kalau lutut sakit siksalah jawabnya. Alhamdulillah lutut ni masih sihat, harap-harap sihat ni berpanjangan lah, sebab lepas ni banyak lagi nak kena berjalan untuk berdakwah di jalan Allah....

Sampai di sana, alhamdulillah saya dibawa menginap di hotel Travelodge, Braehead... jarak dari airport Preswik lebih kurang 45 minit berkereta. Cantik hotelnya penyambutnya juga peramah; mereka pandai menghormati tetamu. Nampak semacam budaya orang putih ni mereka menghormati tetamu yang datang tanpa kecuali. Sikap peramah diiktiraf oleh Islam sebagai baik dan perlu dibudayakan dalam kehidupan. Tidur selesa, cuma makan sedikit gusar kerana tak tau lagi halal dan haramnya. Sahabat2 di sini telah sedikit sebanyak bagi panduan untuk cari makanan halal di sini, taklah susah sangat cuma nasi lemak dan yang sewaktu dengannya tak adalah kat sini. Malam di sini lebih panjang dari siang. Tidur malam jadi problem kerana mata Malaysia, tapi badan kat Glasgow.... bila tidur dua tiga kali bangun tak subuh lagi... jenuh juga nak sesuaikan diri ni. Maghrib di sini masuk jam 4.30pm dan waktu subuh esoknya jam 6.30am.... Pendek kata banyak benda pelik di sini yang saya belum biasa... Alhamdulillah Allah kurniakan kesihatan yang baik, yang datang bersama saya ada yang sudah demam. Sahabat yang menjemput saya di airport tadi pun selsema. Masyallah bimbang juga kita kut2lah berjangkit... 'ala kulli haalin wa ni'mah' ...... Rasulullah saw bersabda: 'Tiada jangkitan dan tiada sialan....' bermaksud penyakit sebenarnya tiada kuasa atau 'power' kecuali dengan izin Allah jua. Kita mesti yakin bahawa yang berkuasa dan memberi bekas hanyalah Allah Ta'ala. Makhluk sesungguhnya tidak mampu membawa apa2 mudarat dan manfaat apapun. Lihat sahaja dalam peristiwa 'Hijrah Rasul' - mereka (musyrikin Mekah) merancang tetapi Allah tidak izinkan ia berlaku. Rasulullah saw akhirnya sampai ke bumi Yathrib (Madinah).

Pendek ceritanya saya dapat mengutip banyak pengajaran dalam musafir kali ini; kata orang jauh perjalanan luas pengalaman. Mudah2an Allah memberkati usaha2 meramaikan orang baik2 yang kita semua lakukan. Jangan pula ada orang yang apabila dia buat baik, dia menidakkan pula usaha baik yang dilakukan oleh orang lain. Allah tetap akan memberi pahala kebaikan itu walau sebesar zarrah sekalipun.

Alhamdulillah saya selamat sampai ke Malaysia negaraku tercinta pada jam 12.30pm menaiki pesawat Kuwait Airline.... semoga kembaliku ke tanahairku tercinta akan menambahkan semangatku untuk berbakti kepadanya.

Friday, December 12, 2008

Kepimpinan Sebagai Tanggungjawab dan Amanah

Memandangkan ulama mufassirin menyentuh tentang kekuasaan sebagai satu amanah, maka sedikit komen tentang tanggungjawab yang penting ini. Apabila terlibat dengan tampuk kepimpinan, antara tanggungjawab kepemimpinan yang diwahyukan kepada para nabi dan rasul seperti yang dijelaskan oleh al-marhum Ustaz Mustafa Masyhur di dalam al-Qiyadah wal Jundiyyah adalah seperti berikut :

1. Objektif Islam untuk diamalkan dalam kehidupan, membangunkan Islam sebagai cara hidup yang komprehensif.
2. Memelihara ke-universalan tujuan dan medan gerakan dengan semua konsekuensinya tanpa melupakan satu dari aspeknya. ISLAM adalah satu kesatuan yg memiliki berbagai dimensi yang saling menyempurnakan, tanpa adanya pemisahan.
3. Aspek tarbiyyah ahli yg perlu dijaga, kerana ia adalah satu asas keutuhan, tanpanya tidak dapat mewujudkan generasi penerus pewaris dan pendukung kerja2 amal.
4. Pendidikan buat generasi umat Islam, jangan disibukkkan dengan kegiatan yg melalaikan seperti perlumbaan kereta, lumba suara dan kecantikan.
5. Memberi penekanan khusus buat wanita dan remaja, target jangka masa panjang dan pendek.
6. Mendampingi ahli ilmu agar mendapat pengetahuan yang jelas terhadap sesuatu isu, contohnya untuk pembangunan bangunan rumah, berapa bilik yg perlu ada. Ini namanya keperluan asas.
7. Menjalankan tanggungjawab dakwah kepada berbagai bangsa. Dahulu contohnya PERKIM ditubuhkan untuk target jangka masa panjang agar golongan yang bukan Islam memahami Islam supaya tak memusuhinya.
8. Menyedarkan umat Islam kepentingan berusahniaga, agar jadi mulia dan tidak selama2nya bergantung kepada dana kerajaan semata2.
9. Semasa memikul tanggungjawab ini hendaklah menyusun suatu plan yang dapat menyelesaikan masalah. Ini mencakupi kajian terhadap masalah, tujuan, tahap, jalan penyelesaian, kemungkinan2, serta control yang dapat menjamin kesinambungannya. Jangan buat highway, tapi hanya bantu menyelesaikan masalah dalam masa setahun dua sahaja.
10. Memilih pembantu2 yang dapat menjalankan tugas dengan dedikasi.
11. Hendaklah menyusun waktu dan urusannya dengan efficient.
12. Mengemukakan satu pendapat sahaja berkaitan syariat Islam dalam masalah furu’iyyah yang ada padanya khilafiyyah.
13. Membahagikan masa dgn baik dalam urusan keluarga, administration, activities kemasyarakatannya. Jangan dekat pilihanraya barulah terjengul muka.
14. Elakkan konflik dengan pandangan orang lain selagi dapat mengelakkan.
15. Jika merasakan tanggungjawab itu dapat dilaksanakan oleh orang lain dengan cara yg lebih baik, maka hendaklah diserahkan kepimpinan itu kepadanya.
16. Mengambil pendekatan komunikasi dengan cara yg paling mudah dan berkesan.
17. Berusaha meningkatkan ilmu dengan menghadirkan diri ke kursus2 jangka pendek, bergaul dengan ahli ilmu, mendatangi kelas2 agama dsb.

Tuesday, December 9, 2008

Meneladani Mereka yang Memiliki Tekad Membaja

Orang-orang yang mempunyai cita-cita yang tinggi adalah mereka yang tidak pernah merasa puas jika keinginannya hanyalah keinginan yang bersifat haiwani semata; melakukan sesuatu hanya untuk memuaskan kehendak perut dan seksnya sahaja. Akan tetapi mereka akan selalu bersungguh-sungguh berada dalam linkungan kemuliaan syariat Allah swt, sehingga ia menjadi sebahagian daripada wali Allah di dunia, khalifah-Nya di muka bumi ini dan kelak mendapat keridhaan-Nya di akhirat.



Sejarah Islam telah menukilkan dengan tinta emas tentang kisah para ulama' salaf yang sangat menarik; melalui cita-cita mereka yang tinggi, pandangan mereka yang sangat mendalam terhadap sesuatu, berpalingnya mereka dari masalah yang remeh dan tidak berguna serta keteguhan pegangan mereka terhadap agama yang maha agong dan mulia ini.



Ibnu Syihab menceritakan: "Di kala Umar Ibnul Khattab berangkat menuju ke Syam bersama Abu Ubaidah Ibnul Jarrah mereka terhalang oleh sungai. Umar ra kemudian turun dari untanya, menanggalkan sepatunya lalu menggantungnya di tengkuknya, kemudian beliau memegang tali untanya dan menyeberangi sungai tersebut.



Demi menyaksikan tindakan Umar ra itu lantas Abu Ubaidah berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Mengapa engkau melakukan hal ini? Aku tidak mengira bahawa penduduk negeri ini akan memuliakanmu dengan apa yang engkau telah lakukan ini".



Umar ra kemudian berkata: "Wahai Abu Ubaidah! andai saja bukan engkau yang mengucapkan itu, nescaya aku akan menghukumnya sebagai pengajaran bagi umat Muhammad saw. Sesungguhnya kita adalah suatu kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan dengan yang lain daripada Islam nescaya Allah akan menjatuhkan kita ke dalam kehinaan".

Seorang Arab datang menemui Khalifah Muawiyah di kediamannya. Ketika khalifah melihat pakaiannya yang basah dan lusuh, tampak ketidakselesaan di wajah khalifah. Melihat hal itu orang arab tadi berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya pakaian yang saya pakai ini tidak akan berbicara dengan kamu, tetapi orang yang ada di dalam pakaian inilah yang akan berbicara dengan kamu". Di saat orang arab tadi mendekat tahulah khalifah bahawa dia adalah seorang pemimpin dan dimuliakan oleh kaumnya.

Insyallah akan disambung kemudian.....

Monday, December 8, 2008

Sembelihan Qurban 11 Zulhijjah 1429H












Pada Hari Raya kedua-bersama ikhwah dan akhawat Isma Daerah Kuala Terengganu- menyembelih 2 ekor lembu, bertempat di Surau Haji Salleh, Lorong Hilir berdekatan SMKA Sheikh Abdul Malek.



Saturday, December 6, 2008

Tazkirah Kematian

Awal hari ini -8 zulhijjah 1429- ayahanda kepada seorang teman meninggal dunia, hari ini juga pada tengaharinya ada jemputan walimatul urus. Berhadapan dengan situasi begini teringat ana pada suatu kisah bagaimana Lukman Hakim pernah berpesan kepada anaknya: "wahai anakku! apabila dua majlis walimatul urus dan majlis kematian bertembung, maka utamakan majlis kematian kerana ia mengingatkan kamu kepada akhirat sedangkan majlis walimatul urus mengingatkan kamu akan dunia".

Benar sekali... antara sebab mengapa manusia menyeleweng dari agama Allah kerana mereka lupa hari kematiannya. Ingatkan mati menghancurkan kelazatan dunia. Tiada apa yang akan kita bawa ke sana melainkan amalan soleh yang akan menemani kita dan membela kita. Ia akan berhujah di hadapan Allah Azzawajalla. Perbaikilah amalan soleh di dunia ini kerana ia amat bermanfaat di kala kita keseorangan di akhirat nanti.

Kita tidak tahu berapa umur yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kita. Namun yang pasti umur itu ditolak daripada angka yang tidak diketahui!! Ibarat 'count down' yang menjadi kebiasaan setengah kita mengira datangnya tahun baru, begitulah kita sepatutnya mengira umur yang sentiasa berkurangan dari detik ke detik. Setiap detik berlalu, kita sebenarnya makin mendekati kepada kematian. Persoalannya apa yang kita sediakan untuk hari kematian kita??

Tepuk dada saudara dan tanyalah Iman ??

Thursday, December 4, 2008

Lawatan sambil belajar ke Kuwait




Bersama dua sahabat (Ust Mohd Lokman dan Ust Fauzi) semasa melawat Kuwait pada Februari 2008 yang lalu atas jemputan Ma'ahad Kursi Nur. Tiga gambar ini diambil semasa melawat Kuwait Tower salah satu mercu tanda bandaraya Kuwait...











Kekuatan Tempatnya di Hati

Kekuatan adalah kerja hati dan tiada sesuatupun yang dapat menguasai hati seorang manusia setelah Allah yang menguasai pemiliknya. Sebagaimana burung-burung yang terbang tinggi di angkasaraya dengan kepakan dua sayapnya, demikian pula manusia yang terbang menuju ketinggian dengan tekad dan cita-citanya bebas dari belenggu yang mengikat tubuhnya.

Ibnu Qutaibah pernah berkata: "Seorang yang merdeka takkan rela kecuali berada di ketinggian bagai bola api yang hendak dipadamkan oleh pemiliknya, namun ia enggan dan terus menjulang ke angkasa."

Al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauzi berkata: "Ketahuilah bahawa seorang hamba menempuh perjalanannya menuju Allah dengan hati dan semangatnya, bukan dengan tubuhnya. Sesungguhnya hakikat taqwa itu ada di dalam hati, bukan pada anggota tubuh. Allah swt berfirman: 'Demikianlah (perintah Allah) dan barangsiapa mengagongkan syi'ar-syi'ar Allah, maka sesungguhnya yang demikian itu timbul dari kekuatan hati.' (Al-Hajj:32) dan firman-Nya lagi: 'Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah swt, tetapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.' (Al-Hajj:37)
Rasulullah saw bersabda: 'Ketaqwaan itu ada di sini (sambil menunjuk dada baginda).'"

Maka orang yang cerdas melintasi jalan panjang disertai dengan semangat, kemahuan yang kuat, cita-cita yang tinggi, tujuan yang murni dan niat yang ikhlas. Namun ada ramai orang malas yang melintasi jalan itu dengan penuh kelelahan, amal yang sangat sedikit dan perjalanan yang teramat berat. Mereka tidak tahu bahawa dengan tekad yang membaja dan cinta yang mendalam, kesulitan itu dapat disingkirkan dan perjalanan menjadi mudah dilalui. Melangkah maju menuju Allah hanya dapat dilakukan bila disertai dengan kemahuan yang kuat, kejujuran dan kebebasan.

Seorang yang memiliki kebebasan dan kemahuan kuat dapat membawa orang lain bersamanya. Petunjuk yang sempurna hanya Rasulullah saw. Baginda saw sentiasa menepati haknya pada kedua sudut ini. Kesempurnaannya sebagai manusia dan kemahuannya yang kuat membuat telapak kakinya bengkak kerana Qiyamullail yang baginda lakukan setiap malam. Puasa yang baginda sentiasa lakukan membuat para sahabat menduga bahawa baginda tidak pernah berbuka. Baginda berjihad pada jalan Allah, berinteraksi dengan para sahabat dan tidak menjauhkan diri dari mereka. Baginda tidak pernah meninggalkan amalan sunnahnya serta wirid hariannya. (al-Jawabul Kaafi, Ibnul Qayyim Al-Jauziyah)

Ukhuwwah adalah syarat memasuki Syurga...

Muqaddimah.
Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian umat Islam yang lain . Ia merupakan ikatan rabbani , ikatan yang diikuti dan dibina atas dasar ketaatan kepada Allah yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi saw. yang bermaksud :“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah” . (Hadith riwayat Imam Ahmad)

Di dalam ajaran Islam persaudaraan adalah suatu tunggak yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan juga sebagai sendi yang menghubungkan anggota masyarakat. Harakah Islamiyyah sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuatkan satu anggota yang lain. Ianya umpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain turut menanggung penderitaannya.

Ukhuwwah Dalam Konteks Amal Islami

Bagi memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan jemaah, Islam telah menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak dan kewajipan tersebut dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan kepada tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan hanya sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata.

1. Ukhuwwah (yang terjalin antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda baginda Rasulullah saw yang bermaksud : “Sesiapa yang Allah ingin dikurniakan kebaikan kepadanya, nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya ia terlupa (lalai) teman itu menolong memberi peringatan, dan apabila (temannya itu) memperingatkannya, ia akan menolongnya." Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a yang mengatakan: “Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka, kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesusahan”.

2. Di sudut kejiwaan pula, ukhuwwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah saw: “Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari ia beri’ktikaf selama dua bulan di dalam masjid ku ini”. (Hadith riwayat Al-Hakim dan ia mengatakan sanad-sanadnya sahih )

3. Persaudaraan juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seorang yang di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya”.

4. Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah saw bersabda: “Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara:
(1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam.
(2) Apabila ia menjemputmu maka penuhilah jemputannya.
(3) Apabila ia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya.
(4) Apabila ia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit ( mengucapkan yarhamukaLlah ).
(5) Apabila ia sakit hendaklah engkau menziarahi.
(6) Apabila ia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya” . (Hadith riwayat Muslim)

5. Ukhuwwah juga bererti kemesraan, kasih sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Allah berfirman dalam surah al-balad ayat ke 17 yang bermaksud: “Selain itu dia termasuk dalam golongan orang yang beriman dan berwasiat satu sama lain supaya bersabar dan dengan berkasih sayang”. Rasulullah saw bersabda:“Janganlah kamu saling memutuskan silatur-rahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad-menghasad. Sebaliknya jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal (haram) bagi seorang muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari”. Rasulullah saw juga bersabda: “Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu ( kerana itu juga satu kebaikan). ( Hadis riwayat Muslim). Dalam hadis yang lain Rasulullah juga bersabda : “Setiap perkara kebaikan adalah sedekah. Sesungguhnya di antara perkara ma’ruf itu ialah bermanis muka ketika bertemu saudaramu dan menolong memenuhi bejana saudaramu dengan air”. (Hadis riwayat Al –Tirmidhi). Selain itu Rasulullah saw juga menjelaskan cara yang paling baik dan praktikal untuk merapatkan ukhuwwah ialah dengan memberikan hadiah. Sabda Nabi yang bermaksud: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih sayang dan akan jauhlah permusuhan”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Ukhuwwah menurut ajaran Islam ialah keghairahan dan setia kerana Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari Qiamat”. (Hadis riwayat Al-Tirmizi). Seseorang Islam itu juga diingatkan supaya mendoakan untuk saudara seIslamnya. Ini penting kerana dalam satu hadis Nabi bersabda yang bermaksud: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya di belakangnya adalah mustajab, terdapat malaikat yang dihantar khas untuk mendengarnya, lalu malaikat itu akan berkata setiap kali dia berdoa: Amin dan bagimu juga seperti yang kamu doakan untuk saudaramu”. Tambahan pula jika kita mempunyai kesilapan terhadap saudara kita, sudah tentulah kita perlu meminta ampun dari Allah untuknya. Menurut Al Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ ulumiddin cara ini lebih baik dan praktikal dari kita pergi memberitahunya kesilapan kita terhadapnya lalu menambah kemarahannya kepada kita.

Penutup :
Demikianlah secara ringkas tanggungjawab yang terpikul atas bahu kita selaku umat Islam, lebih-lebih lagi dalam konteks kehidupan kita secara berjemaah sudah tentulah perkara seperti ini dipandang secara lebih serius. Inilah rahsia kejayaan Nabi, para sahabat dan golongan salaf sebelum kita, yang telah berjaya membangunkan tamadun yang tidak ada tolok bandingnya sepanjang sejarah kehidupan manusia. Mereka merupakan generasi Islam beriman yang unik yang menjadi model kepada semangat ukhuwwah dan kasih sayang sesama mereka.

IMAN MEMBANGKITKAN KEKUATAN TERPENDAM

RASULULLAH SAW BERSAMA PARA SAHABATNYA DAN MEREKA YANG SIDDIQ TELAH MEMBUKTIKAN BAHAWA IMAN ADALAH SUMBER PELBAGAI KEKUATAN YANG DIMILIKI OLEH SETIAP MUSLIM. BAGINDA SAW JUGA TELAH MEMPERLIHATKAN KEPADA DUNIA BAHAWA IMAN KEPADA ALLAH SWT, RASUL-NYA DAN SYURGA YANG DIJANJIKAN UNTUK MEREKA YANG BERTAQWA DAPAT MEMBANGKITKAN KEKUATAN YANG TERPENDAM YANG TERDAPAT DI DALAM DIRI MEREKA.

DENGAN KEKUATAN ITU MEREKA DAPAT MENGUBAH DAN MENGELUARKAN DIRI SERTA MASYARAKAT MEREKA DARI KEGELAPAN JAHILIYAH MENUJU CAHAYA ISLAM YANG TERANG BENDERANG.

INILAH SEBUAH HAKIKAT PERUBAHAN. PERUBAHAN YANG MEMBAWA KEHIDUPAN KITA HARI INI LEBIH BAIK DARI SEMALAM DAN HARI ESOK YANG LEBIH BAIK DARI HARI INI SERTA PERUBAHAN YANG AKAN MEMBERIKAN KEBAHAGIAAN HIDUP DI DUNIA DAN AKHIRAT.

FIRMAN ALLAH SWT: "....... SESUNGGUHNYA ALLAH SWT SEKALI-KALI TIDAK AKAN MENGUBAH SUATU NIKMAT YANG TELAH DIANUGERAHKAN-NYA UNTUK SUATU KAUM SEHINGGA KAUM ITU MENGUBAH APA YANG ADA PADA DIRI MEREKA SENDIRI...." (Surah al-Anfaal:53)