Nukilan: Sheikh Mohamed Hamed Elawa
Terjemahan: UsTACZ

الحمد
لله العلي الكبير اللطيف الخبير ،والصلاة والسلام على قدوة المربين وسيد الداعين
إلى الله على بصيرة والمجاهدين فيه بإحسان ، وعلى آله وأصحابه ومن والاه
وبعد,
Firman Allah SWT:
هُوَ
الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ
آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا
مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang
(arab) yang ummiyyin (yang tidak tahu membaca dan menulis) seorang Rasul (Nabi
Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat
Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan
mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah
(al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat).
Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam
kesesatan yang nyata”.
(Surah al-Jumu’ah: 2)
Sesungguhnya Tuhannya telah mentarbiyahnya, maka DIA-lah
sebaik-baik yang mentarbiyah. Lalu DIA menjadikan akhlaknya selari dengan
al-Quran. Nabi SAW menjadi qudwah terbaik bagi para sahabat dan pengikutnya
melalui tutur katanya, perbuatannya dan keadaan hal ehwalnya keseluruhannya.
Begitu juga dalam aqidah, ibadah, akhlak, muamalat serta tingkahlakunya. Firman
Allah SWT:
لَقَدْ
كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
(Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW
qudwah terbaik).
Dia (Rasulullah SAW) adalah sebaik-baik murabbi dari sudut rabbaniyyahnya; menggauli, bermuayasyah dengan mereka (para sahabat), mempersaudarakan antara mereka, memberi arahan dan tarbiyah yang terbaik buat mereka, mengagihkan tenaga kepakaran mereka secara bijaksana, lalu dengan itu mereka berubah daripada golongan awam biasa yang terpedaya menjadi pemimpin yang mampu mencipta kemenangan. Kenapa? Kerana Rasulullah SAW adalah murabbi qudwah yang amat prihatin dan berlemah lembut dengan mereka para pengikutnya. Firman Allah SWT:
لَقَدْ
جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ
عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul
dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat
keberatan kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat
menginginkan kebaikan bagi kamu, dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta
kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”.
(Surah at-Taubah: 128)
Kedudukan Tarbiyah Dalam Medan Dakwah

Tarbiyah dalam kontaks dakwah merupakan perkara utama dan
terpenting. Ia menjadi petunjuk dan dikira sebagai perkara thawabit (prinsip
tetap) dalam agenda pengislahan , perubahan, pembinaan dan pembentukan.
Itulah dia jalan bagi pembentukan individu muslim. Individu yang terbentuk
inilah yang akan membentuk rumahtangga muslim qudwah, seterusnya membentuk
masyarakat muslim harapan dan kerajaan Islam harapan. Imam al-Banna
Rahimahullah telah menfokuskan prinsip tarbiyah dan takwin ini dalam konsepnya
yang syumul, katanya:
كوّنوا
أنفسكم تتكوّن بكم أمتكم
“Bentuklah diri kamu, nescaya akan terbentuklah melalui kamu
umat kamu”.
العمل مع
أنفسنا هو أول واجباتنا ، فجاهدوا أنفسكم واحملوها على تعاليم الإسلام وأحكامه ،
ولا تتهاونوا معها في ذلك بأي وجه من الوجوه
“Beramal dengan diri kita sendiri adalah kewajipan pertama
kita, maka bermujahadahlah dengan diri kamu, bawalah ia mengikuti pengajaran
Islam dan hukum hakamnya, jangan kamu meremehkannya dalam apa jua keadaanpun”.
Berkata Ustaz Mustafa Masyhur Rahimahullah:
لقد
أثبتت الأحداث والأيام أنه بقدر الاهتمام بالتربية تتحقق الأصالة للحركة ،
واستمراريتها ونموها ، ويكون التلاحم بين الأفراد ووحدة الصف …. ، وعكس ذلك إذا
أهمل جانب التربية أو حدث فيه تقصير، يظهر الضعف والخلخلة فى الصف ، ويبرز الخلاف
والفرقة ويتضائل التعاون ويقل الانتاج
“Sesungguhnya peristiwa-peristiwa dan hari-hari yang telah
berlalu membuktikan bahawa keaslian harakah berkait rapat dengan
keprihatinan terhadap tarbiyah. Keprihatinan terhadap tarbiyah menjamin
kesinambungan dan kesuburan harakah, dan ia juga menjadi unsur kesatuan di
antara individu dan safnya…. Begitulah pula sebaliknya, bilamana sudut tarbiyah
diabaikan atau berlaku kecacatan dalam aspek tarbiyah, maka akan lahir fenomena
kelemahan di dalam saf, seterusnya ia boleh menyebabkan berlaku perselisihan,
perpecahan, lemahnya kerjasama yang akhirnya membawa kepada berkurangnya
produktiviti”.
Kedudukan Murabbi Di Medan Tarbiyah
Murabbi adalah paksi dalam operasi tarbiyah, ia juga satu
rukun terpenting, bahkan ia adalah batu penjuru dalam binaan dakwah ini seperti
perumpamaan yang dinyatakan Imam al-Banna ketika membincangkan soal usrah
dan naqibnya:
هي قاعدة
الأساس فى بناء دعوتنا ، ونقيبها هو حجر الزاوية فى هذا البناء
“Ia adalah kaedah asas dalam binaan dakwah kita, sementara
naqib usrah adalah batu penjuru dalam binaan ini”.
Justeru harapan dan cita-cita tarbiyah dan takwin amat
bergantung kepada peranan murabbi. Ia bergantung kepada sejauhmana murabbi menjiwai
peranannya, menekuni usaha, mengesani qudwah dan muayasyah bersama ikhwannya,
keprihatinannya terhadap dakwah dan risalahnya. Sesungguhnya operasi tarbiyah
akan bertambah mantap dan mendalam kesannya jika usaha yang disebut di atas
diperkasakan, tentunya setelah diberi taufiq dan bantuan daripada Allah SWT.
Di sini kami ingin menyenaraikan beberapa wasiat umum yang
wajib dititikberatkan oleh murabbi qudwah agar peranan tarbawinya efektif.
Wasiat ini merangkumi tiga sudut asas dalam binaan takwin murabbi. Antaranya
yang berkaitan;
1. Peribadi murabbi, jiwa dan
pembinaannya.
2. Peranan murabbi, kemahiran
tarbawi.
3. Peranan murabbi menguruskan
ikhwannya, amal dakwah yang berkait dengan tugasnya sebagai murabbi.
Berikut adalah 10 wasiat bagi murabbi qudwah:
1. Murabbi mestilah mengambilberat hal keadaannya bersama tuhannya. Dia mesti memperuntukkan masa bagi dirinya. Maka hendaklah dia memelihara dirinya, berusaha mensucikannya dengan penuh keyakinan yang benar dan memastikan ibadat yang dilaksanakan sah di sisi Allah SWT.
Maka dia mestilah memberi perhatian yang serius dalam semua
perkara yang boleh meningkatkan rohnya serta memastikan dia sentiasa berada
dekat dengan tuhannya kerana kejayaannya mentarbiyah ikhwannya amat bergantung
kepada kejayaannya mentarbiyah dirinya.
Di antara wasiat Imam al-Banna ialah;
ميدانكم الأول أنفسكم ، فإذا انتصرتم عليها كنتم على غيرها أقدر، وإذا أخفقتم فى
جهادها كنت على سواها أعجز، فجربوا الكفاح معها اولاً
“Medan pertama kamu ialah diri kamu sendiri. Maka apabila
kamu berjaya pada medan pertama ini, nescaya kamu akan berjaya di medan yang
lain, sebaliknya jika kamu lokek untuk berjihad dengan diri kamu, maka kamu
akan lebih lemah di medan yang lain. Ayuh! Singsing lengan kalian untuk
memenangi jihad bersama diri sendiri dahulu"...
Apabila seorang murabbi menganggap bahawa dia mampu mengubah
ikhwannya sedang dia sebenarnya tidak mampu untuk mengubah dirinya sendiri,
maka ia dikira sebagai kealpaan yang membinasakan.
Benarlah pepatah yang mengatakan;
لاتُحسم معارك الميدان قبل حسم معارك الوجدان
“Pertempuran di medan tidak boleh dicapai sebelum
pertempuran di dalam jiwa diraih”.
وأول ميادين تربية النفس التربية الإيمانية, فهي المحرك لكل
خير والدافع لكل رشد
Ketahuilah bahawa medan pertama tarbiyah diri ialah tarbiyah
imaniyah. Ia adalah dynamo segala kebaikan dan menjadi faktor terkuat untuk
melakukan sesuatu perkara.
Murabbi mesti tahu bahawa tarbiyah adalah bekalan dan
pemberian. Sesungguhnya dia tidak akan mampu untuk sentiasa memberi untuk
ikhwannya jika dia tidak memiliki
bekalan yang berterusan.
Allah SWT berfirman:
وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى
“Dan berbekallah kamu, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan
itu ialah taqwa".
Binaan iman serta ta’abbud (ibadat) seorang murabbi adalah saham terpenting untuk
takwin sahsiah rabbaniyyah yang hatinya
tertakluk dengan penciptanya (Allah SWT), dan tidak akan tertipu dengan hiasan
dunia berupa kecantikan, pangkat dan gelaran. Iman itu jugalah yang membantunya
memperbanyakkan ibadat, solat-solat sunat dengan khusyuk dan khudhu’,
memperbanyakkan zikir dan doa, tilawah al-Quran dan
mentadabbur maknanya.
2. Hendaklah akhi murabbi menghiasi dirinya dengan
akhlak yang mulia, menjaga reputasi yang baik dan menjaga muamalah sesuai
dengan qudwah yang telah ditunjukkan oleh kekasihNya Nabi Muhammad SAW. Dengan
demikian murabbi tersebut mampu membuka ruang/memberi kelapangan kepada
ikhwannya dengan akhlaknya.
Di dalam hadis Nabi SAW bersabda:
إِنَّكُمْ لَا تَسَعُونَ النَّاسَ بِأَمْوَالِكُمْ، وَلَكِنْ
لِيَسَعَهُمْ مِنْكُمْ بَسْطُ الْوَجْهِ، وَحُسْنُ الْخُلُقِ
“Sesungguhnya kamu tidak mampu
memberi kelapangan kepada manusia dengan harta kamu, akan tetapi kelapangan itu
boleh kamu lakukan hanya melalui senyuman dan akhlak yang baik”.
Antara akhlak asas yang perlu dimiliki oleh para murabbi
ialah akhlak sabar, berlapang dada, lemah lembut, rahmah, rendah diri, suka
memaafkan kesalahan.
Firman Allah SWT:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظّاً
غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ
لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ
إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
"Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad)
berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan
berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitar kamu. Kerana itu
maafkanlah mereka dan mohonkanlah keampunan buat mereka, dan bermusyawarahlah
dengan mereka dalam urusan itu, kemudian apabila engkau telah membulatkan
tekad, maka bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang
yang bertawakkal".
(Surah Ali- Imran: 159)
Manusia menjadi tawanan perlakuan ihsan (baik) seseorang.
Dan hati sentiasa menerima baik para muhsinin (orang baik) dan akan berada di
sekitarnya. Lihat saja pengajaran dari kisah teman sepenjara Nabi Yusof
alaihissalam, Allah SWT berfirman:
إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ
“Sesungguhnya kami lihat kamu adalah tergolong dari kalangan
orang-orang yang baik (muhsinin)”.
Sebagaimana kita memberi kelapangan dengan akhlak, kita juga
mentarbiyah mereka dengan akhlak secara praktikal melalui pandangan mereka
terhadap kecantikan tindaklaku kita. Dengan demikian bolehlah kita simpulkan
dengan suatu hakikat bahawa;
"Akhlak murabbi adalah ibadah yang mampu membawanya
bertaqarrub kepada tuhannya, ia adalah jalan untuk mentajmi’ semua hati
ikhwannya, dan merupakan medan untuk mentarbiyah ikhwannya serta mentakwin
muridnya".
3. Hendaklah akhi murabbi itu berusaha bersungguh-sungguh menimba ilmu bermanfaat untuk dirinya dan dilimpahkan kepada ikhwannya. Kerana murabbi juga berfungsi sebagai ustaz (guru) dari sudut pengisian ilmu sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Banna:
أستاذ بالإفادة العلمية
“Murabbi itu adalah ustaz (guru)
dari sudut pengisian ilmu”.
Ilmu yang kita maksudkan bukan hanya ilmu yang dihafal dan
menguasai beberapa buah buku –sekalipun ia dianggap penting- Namun yang lebih
penting ialah bagaimana ilmu itu boleh dimanfaatkan sebagaimana sepatutnya.
Justeru penekanan yang harus diberi kepada setiap bab dari ilmu tersebut ialah
tentang kepentingannya di sudut amal tarbawi dan disiplinnya. Paling utama
ialah bagaimana ilmu tersebut dipraktikkan. Memanfaatkan ilmu di sini bukan
hanya teorinya semata-mata, tetapi ia harus melampaui kepada pengalaman amali
yang merupakan terjemahan sebenar
kepada hakikat ilmu tersebut.
4. Hendaklah akhi murabbi berusaha sedaya upaya mengembangkan
potensi dirinya sendiri. Antaranya berusaha memahirkan diri dengan beberapa
ilmu kemahiran asas seperti; perancangan tarbawi, menyelesai masalah,
pembentangan dan penyampaian, berdialog dan berbincang, mutaba’ah dan penilaian
tarbawi, pembahagian tugas, menanam nilai, merubah tingkahlaku… dsb. Akhi
murabbi juga harus menguasai manhaj marhalah yang dilaksanakannya, bagaimana
mengoperasi manhaj agar mencapai objektifnya, bagaimana melaksanakan pelbagai
wasail tarbiyah agar mencapai objektifnya masing-masing.
Di antara ilmu tambahan (penyempurna) bagi para murabbi
ialah ilmu untuk mengenali sahsiah manusia; ciri-ciri dan cara bagaimana
berinteraksi dengan setiap kategori itu, kemudian hendaklah dia menguasai
tentang medan-medan amal dakwah dan peluang yang perlu dimainkan agar dia mampu
memberi taujihat yang bersesuaian dengan kemampuan mereka (mutarabbi).
5. Murabbi hendaklah berusaha melaksana dan memperdalamkan mu’ayasyah
bersifat tarbawi bersama mutarabbinya sama ada secara fardi atau jamaie.
Mu’ayasyah ini tentunya akan membantu untuk merealisasikan tiga rukun usrah (ta’aruf,
tafahum dan takaful), memperkasakan hubungan hati dan penyatuan perasaan di
antara anggota usrah dan sebagai persediaan membentuk bi’ah (suasana) yang
membantu menyuburkan tarbiah. Justeru, murabbi berpeluang berta’aruf secara dekat dengan
mutarabbinya untuk memastikan potensi dan keupayaannya, secara tidak lansung
dapat berperanan mengikut kesesuaiannya serta dapat mengenal pasti permasalahan
dan kesukaran yang dihadapi selain berusaha mencari titik penyelesaiannya.
Demi merealisasikan mu’ayasyah di antara suasana keterbukaan yang
terkawal dan pergaulan tarbawi yang berobjektif, mestilah dipelbagaikan
wasilah, aktiviti dan metodologinya agar murabbi dapat melihat mutarabbinya di
dalam situasi berbeza. Tujuannya agar mutarabbi mampu membentuk tarbiah yang
efektif dan taujih yang diberikan hasil mu’ayasyah secara praktikal dalam realiti
mutarabbi tersebut. Kesimpulannya boleh dikatakan bahawa; “Mu’ayasyah yang
mendalam adalah asas tarbiah yang sebenar”.
6. Murabbi hendaklah
mentarbiah mutarabbinya di sudut iman dan ibadat melalui tazkiah (pembersihan)
jiwa dengan ketaatan dan jenis ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah untuk
merealisasikan ubudiah kepada Allah. Semua itu mampu dicapai dengan mengikhlaskan
hati kepada Allah, membetulkan niat dalam setiap perkataan dan amalan tanpa
memandang kepada habuan, gelaran, pangkat dan sebagainya. Selain itu, mutarabbi
dapat meningkatkan diri mereka serta menaikkan ruh jihad dan pengorbanan jiwa,
harta dan masa di jalan Allah. Allah berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 111:
إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ
الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ
Maksudnya : “Sesungguhnya
Allah membeli daripada orang-orang mukmin diri mereka dan harta mereka kerana
bagi mereka ada balasan syurga”.
Kemudian memperdalamkan di dalam diri mereka
perasaan tajarud terhadap dakwah dan fikrah mereka, iaitu Islam yang tulen
kerana pengorbanan, jihad dan tajarud menuntut ruh jundi (ketenteraan). Maka menjadi
tanggungjawab para murabbi mentarbiah mutarabbinya untuk mendengar dan taat di
dalam situasi apa pun; susah, senang, cergas atau terpaksa dalam perkara bukan
maksiat di samping membiasakan mereka menunaikan tugasan masing-masing dengan sempurna.
7.
Murabbi hendaklah
berusaha menanamkan makna ukhuwah dan kasih sayang kerana Allah di antara ikhwah
secara praktikal, bukan teori kerana ukhuwah adalah rahsia kekuatan seperti
yang telah dinyatakan oleh Imam Al-Banna. Hendaklah murabbi berusaha menanam
prinsip thiqah di jalan dakwah. Perkara paling asas ialah thiqah kepada qiadah,
thiqah kepada manhaj, thiqah sesama ikhwah sepanjang jalan dakwah, thiqah
kepada pertolongan Allah untuk memenangkan agama ini.
Murabbi
juga hendaklah berusaha menanam pengharapan tinggi dengan bantuan Allah kepada
hamba-hambaNya yang soleh, sentiasa memberi pencerahan tentang perjalanan
dakwah ini dengan menekankan pentingnya thabat walaupun dilanda mehnah, ujian
dan fitnah sama ada dalam situasi kesusahan dan kesenangan. Allah berfirman:
وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ
فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: “Dan Kami akan timpakan ke atas kamu
ujian dengan keburukan dan kebaikan sebagai fitnah untuk kamu, dan kepada Kami
jua kamu dikembalikan”.
Di
antara kewajipan murabbi juga ialah menerangkan kepada ikhwan tentang
penyelewengan fikrah dan harakah yang akan menjauhkan mereka dari jalan dakwah
agar mereka berhati-hati kerana kebiasaannya penyelewengan tersebut bermula
dari perkara yang kecil, kemudian bertambah sedikit demi sedikit dengan
berlalunya masa.
8. Hendaklah murabbi mengetahui potensi dan keupayaan ikhwahnya, lalu
berusaha sedaya upaya mengagihkan peranan untuk memberi khidmat kepada dakwah
serta mengajak mereka agar bergerak dan bekerja. Perkara itu boleh dilaksanakan
melalui program secara praktikal. Murabbi qudwah sepatutnya tidak boleh
menerima mereka yang tidak menjiwai kepentingan dakwah dan tidak bekerja untuk
dakwah. Antara faktor yang boleh membantu murabbi ke arah itu ialah
mempergiatkan pergaulan, mu’ayasyah serta memperkenalkan mereka medan dan
bidang dakwah yang banyak.
Murabbi hendaklah memberi latihan amali bagaimana cara melaksanakan
dakwah dengan betul di pelbagai medan; rumahtangga, jiran tetangga, keluarga
terdekat, di tempat belajar, di tempat kerja dengan menfokuskan di medan yang
sesuai dengan kemampuan dan situasi mereka. Umpamanya di kalangan remaja,
pelajar atau menyebarkan dakwah atau melakukan kebajikan dan khidmat untuk
masyarakat dan sebagainya, mengikut struktur jawatankuasa dan unit kerja di
dalam Jemaah.
9. Murabbi
hendaklah menyediakan mutarabbinya biah (suasana) tarbawi yang akan menyuburkan
tarbiah mereka mengikut manhaj marhalah. Untuk itu aktiviti yang dilaksanakan
tidak seharusnya terhad dalam lingkungan usrah sahaja, akan tetapi mestilah
menjangkau wasilah-wasilah lain yang tidak kurang pentingnya seperti daurah,
nadwah, mukhayyam, katibah dan lain-lain secara jamaie. Penyediaan biah yang
kondusif bagi menyuburkan tarbiah ini
hendaklah disusuli dengan mutaba’ah yang akan menilai pertumbuhan mereka
berdasarkan manhaj marhalah sesuai dengan prinsip ‘Tarbiah Berdasarkan
Objektif’. Justeru mereka yang terkehadapan akan dapat diperkasakan disamping
mereka dapat memberi aspirasi kepada mereka yang lemah.
Melalui proses ini
juga, murabbi hendaklah menyeimbangkan di antara dua metodologi tarbiah fardiah
dan jamaiah berpaksi kepada prinsip ‘perbezaan peribadi’ dalam tarbiah tanpa
mengabaikan aspek peningkatan jati diri dalam diri setiap mutarabbinya. Hal ini
kerana, ia adalah salah satu konsep
tarbiah fardiah. Tarbiah fardiah itu termasuklah aspek ibadat, kemasyarakatan,
dakwah dan sebagainya tetapi dalam lingkungan disiplin harakah dan tanzim.
10. Murabbi
hendaklah mengumpulkan hati ikhwahnya di sekitar dakwah serta thiqah pada jalannya
(qiadah – manhaj – individu), disamping mentarbiah mereka agar terlaksana
intima’ sebenar kepada dakwah secara (perasaan – fikiran – tanzim). Mutarabbi
mesti ditarbiah agar memahami bahawa mereka adalah pendokong dakwah, justeru
wajiblah mereka berfikir untuk dakwah, menasihati juga untuk dakwah dan
menjunjung cita-cita dakwah. Demikian juga wajib para murabbi membakar semangat
ikhwahnya agar sama-sama menyumbang pandapat, pemikiran untuk mengembangkan
gerak kerja ini dengan menanamkan prinsip ‘Agama itu adalah nasihat’ secara
beradab dan berdisiplin.
Murabbi
hendaklah mentarbiah mereka bagaimana untuk bersyura (bermesyuarat) secara
ilmiah dan praktikal bertunjangkan adab dan mekanisma yang betul. Kita berdoa
kepada Allah SWT supaya DIA menolong memberi kemenangan kepada dakwah kita,
menyebarkan fikrah kita, memberkati ukhuwah kita, memberi taufiq pimpinan kita,
menghimpunkan kita semua di atas kalimah kita yang benar. Begitu juga kita
berdoa kepada Allah SWT agar DIA mengikhlaskan niat kita, menerima amalan kita
dan menjadikan semua amalan kita itu pada timbangan kebaikan di hari kiamat
nanti… Allah berfirman:
يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَا عَمِلَتْ
مِنْ خَيْرٍ مُحْضَرًا
Maksudnya: “Pada hari di mana kamu akan
mendapati setiap jiwa memperolehi segala perkara yang dilakukan di dunia dahulu
dihidangkan di hadapan masing-masing”.
No comments:
Post a Comment