Tuesday, April 30, 2013

Islam Agama Fitrah, Ia Mudah Difahami....

Assalamualaikum,



Hari ini tanggal 1 Mei, semua bercuti meraikan Hari Pekerja. Mereka golongan yang bekerja untuk kemakmuran dan kemajuan negara sejak sekian lama. Semoga kita semua menjadi pekerja yang komited melaksanakan amanah dengan jujur. Sesungguhnya Allah tidak bertanya tentang hasil, tetapi DIA akan tanya kita tentang kerja yang kita lakasanakan, amanahkah kita dan jujurkah kita dalam melaksanakan kerja tersebut.

Pagi tadi sempat saya berkuliah subuh di Surau dalam kawasan SMKPP 11(2), Presint 11, Putrajaya. Tidak ramai makmum yang ke surau pagi ini, barangkali kerana cuti, ramai yang keluar bercuti mencari kelainan di luar dari Putrajaya yang tenang. Ketenangan Putrajaya sedikit tercalar dan ramai yang mula sangsi tentang kesejahteraan di sini setelah berlaku insiden Timbalan Pengarah Kastam ditembak mati minggu lepas.

Dalam kuliah ringkas saya pagi tadi, saya menyentuh tajuk simple, iaitu 'Islam Agama Fitrah, Ia Mudah Difahami'. Istilah yang lebih tepat untuk digunakan untuk non-muslim yang masuk Islam ialah 'revert', ia lebih mesra..... kembali kepada fitrah, bukan 'convert' ....berpindah atau bertukar agama.

Kenapa Islam ini mudah difahami? Kerana Islam adalah agama fitrah. Ia tidak bertentangan dengan undang-undang semulajadi (sunnatullah) yang Allah tetapkan. Justeru ramai orang di barat sekarang revert kepada Islam. Pendakwah juga tidak sukar untuk menerangkan Islam kepada non-muslim kerana simple-nya Islam ini. Saya teringat sebuah buku lama yang ditulis oleh Abul A'la Maududi bertajuk Asas-Asas Islam. Di dalam buku tersebut beliau menerangkan Islam secara simple. Approach beliau berdakwah menarik minat ramai orang kepada Islam termasuk Maryam Jamilah yang terkenal itu.

Jom kita war-warkan Islam ini ke seluruh dunia. Islam agama yang bersifat universal (sejagat). Ia bukan untuk orang arab atau bangsa-bangsa tertentu, bahkan Rasulullah SAW diutus ke dunia ini sebagai 'rahmat' ke sekalian alam.....

Semoga pagi yang barakah ini membawa kesejahteraan kepada kita semua. Hari ini tanggal 1 Mei, empat hari lagi kita semua akan mengundi pada tanggal 5/5/2013, ia mungkin pilihanraya paling sengit dalam sejarah Malaysia sejak merdeka. Jangan tersalah pilih, nanti anda juga yang akan menyesal.

Selamat mengundi PRU13...

Wassalam.....

Monday, April 29, 2013

Perkasakan Rabbaniyyah Menempuh Hari Mengundi 5 Mei 2013


Taujihat Terakhir JK Tarbiyah

الحمد لله تعالى القائل في كتابه العزيز: ﴿قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ 
(162) لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ (163)﴾ (الأنعام)،

والصلاة والسلام على رسوله الأمين محمد بن عبد الله، سيد الداعين إلى الله على بصيرة، والمجاهدين فيه بإحسان.. وبعد...

Ikhwah dan akhawat sekalian,

Kita berada di ambang PRU13. PRU yang dikatakan sebagai ibu segala pilihanraya di tanahair kita sejak negara mencapai Kemerdekaan pada Ogos 1957.

Kepada Allah kita bermohon semoga pilihanraya kali ini menyebelahi Pakatan Rakyat (PR), kerana ia diyakini lebih membawa kemaslahatan kepada Islam, ummah dan dakwah yang berkat ini. Kita yakin sokongan dan kemenangan PR lebih mendatangkan ketenangan kepada jiwa dan hati kita insha Allah.

Hari mengundi akan tiba beberapa hari sahaja lagi (Ahad 5/5/2013). Justeru saya suka untuk mengingatkan para pimpinan di semua peringkat bagi memastikan anggota kita melaksanakan kewajipan-kewajipan berikut:



1.    Semua anggota diminta berpuasa pada hari Khamis 2/5/2013, dengan niat bertaqarrub kepada Allah melalui ketaatan ini, demi membantu memenangkan kebenaran dan calonnya dalam pilihanraya ini. Peruntukkan masa 15 minit sebelum azan maghrib dengan doa untuk kemaslahatan dakwah dan calonnya supaya Allah SWT memberi taufiq dan membantu mereka, sama ada secara individu atau jama’i di daerah atau dalam kelompok mengikut kesesuaian. Di dalam hadis Nabi SAW bersabda:

ثلاثة لا تُرَدّ دَعوتهم - وذَكَر منهم - : الصائم حَـتَّى يُفْطِر . رواه الإمام أحمد والترمذي وابن ماجه وابن خزيمة وابن حبان
“Tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak -Nabi SAW sebut antaranya- orang yang berpuasa sehingga dia berbuka”.

Di dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ . رواه ابن ماجه  
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ada masa yang doanya tidak akan ditolak, iaitu ketika berbuka”.

Ia membawa maksud bahawa berpuasa adalah salah satu sebab doa dimustajabkan Allah SWT.


2.    Semua anggota diminta untuk berada di masjid sebelum dan selepas fajar hari Sabtu 4/5/2013 sehingga naiknya matahari dengan niat iktikaf dan menghidupkan sunnah Nabi SAW. Rebutlah peluang keemasan tersebut untuk bertilawah al-Quran, berwirid, berzikir kepada Allah SWT kemudian disudahi dengan solat Dhuha selepas naiknya matahari beserta doa yang panjang dengan penuh khusyu’ untuk kemenangan ikhwah dan akhawat yang menjadi calon.

3.    Sebelum solat fajar (subuh) hari mengundi, iaitu hari Ahad 5/5/2013, hendaklah setiap ikhwah dan akhawat berusaha membangunkan ahli keluarga masing-masing sejam sebelum masuknya waktu fajar, kemudian dirikanlah 2 raka’at solat (qiamullail), diikuti dengan solat witir, kemudian bertawajjuh kepada Allah SWT dengan doa di waktu sahur khusus untuk ikhwah dan akahwat kita yang bertanding. Lakukanlah ia sehingga azan fajar dikumandangkan. Di dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر يقول: من يدعوني فأستجيب له، من يسألني فأعطيه، من يستغفرني فأغفر له» ، هذا لفظ البخاري في باب الدعاء والصلاة من آخر الليل.
“Tuhan kita Tabaraka Wata’ala sentiasa turun pada setiap malam ke langit dunia ketika malam berbaki sepertiganya, lalu Allah SWT berfirman: “Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan baginya, siapa yang meminta daripada-Ku, nescaya Aku memberi apa yang diminta, siapa yang meminta ampun kepada-Ku, nescaya Aku ampunkan dosanya”.
Insha Allah Azzawajalla fajar dakwah akan menyingsing selepas fajar 
menjelang dan setelah matahari naik….. Firman Allah;



(سورة إبراهيم: 20)
“Yang demikian itu, tidak menjadi kesukaran bagi Allah SWT 
melakukannya”….

Akhukum,
Ustaz Haji Tajul Arifin bin Che Zakaria (UsTACZ),
Pengerusi JK Tarbiyah Pusat

Friday, April 19, 2013

Sepuluh Wasiat Untuk Para Murabbi Qudwah



Nukilan: Sheikh Mohamed Hamed Elawa
Terjemahan: UsTACZ
الحمد لله العلي الكبير اللطيف الخبير ،والصلاة والسلام على قدوة المربين وسيد الداعين إلى الله على بصيرة والمجاهدين فيه بإحسان ، وعلى آله وأصحابه ومن والاه  وبعد,

Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (arab) yang ummiyyin (yang tidak tahu membaca dan menulis) seorang Rasul (Nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”.
(Surah al-Jumu’ah: 2)

Sesungguhnya Tuhannya telah mentarbiyahnya, maka DIA-lah sebaik-baik yang mentarbiyah. Lalu DIA menjadikan akhlaknya selari dengan al-Quran. Nabi SAW menjadi qudwah terbaik bagi para sahabat dan pengikutnya melalui tutur katanya, perbuatannya dan keadaan hal ehwalnya keseluruhannya. Begitu juga dalam aqidah, ibadah, akhlak, muamalat serta tingkahlakunya. Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
(Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW qudwah terbaik). 

Dia (Rasulullah SAW) adalah sebaik-baik murabbi dari sudut rabbaniyyahnya; menggauli, bermuayasyah dengan mereka (para sahabat), mempersaudarakan antara mereka, memberi arahan dan tarbiyah yang terbaik buat mereka, mengagihkan tenaga kepakaran mereka secara bijaksana, lalu dengan itu mereka berubah daripada golongan awam biasa yang terpedaya menjadi pemimpin yang mampu mencipta kemenangan. Kenapa? Kerana Rasulullah SAW adalah murabbi qudwah yang amat prihatin dan berlemah lembut dengan mereka para pengikutnya. Firman Allah SWT:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ
 “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat keberatan kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”.
(Surah at-Taubah: 128)

Kedudukan Tarbiyah Dalam Medan Dakwah
Tarbiyah dalam kontaks dakwah merupakan perkara utama dan terpenting. Ia menjadi petunjuk dan dikira sebagai perkara thawabit (prinsip tetap) dalam agenda pengislahan , perubahan, pembinaan dan pembentukan. Itulah dia jalan bagi pembentukan individu muslim. Individu yang terbentuk inilah yang akan membentuk rumahtangga muslim qudwah, seterusnya membentuk masyarakat muslim harapan dan kerajaan Islam harapan. Imam al-Banna Rahimahullah telah menfokuskan prinsip tarbiyah dan takwin ini dalam konsepnya yang syumul, katanya:
كوّنوا أنفسكم تتكوّن بكم أمتكم
“Bentuklah diri kamu, nescaya akan terbentuklah melalui kamu umat kamu”.

العمل مع أنفسنا هو أول واجباتنا ، فجاهدوا أنفسكم واحملوها على تعاليم الإسلام وأحكامه ، ولا تتهاونوا معها في ذلك بأي وجه من الوجوه
“Beramal dengan diri kita sendiri adalah kewajipan pertama kita, maka bermujahadahlah dengan diri kamu, bawalah ia mengikuti pengajaran Islam dan hukum hakamnya, jangan kamu meremehkannya dalam apa jua keadaanpun”.

 Berkata Ustaz Mustafa Masyhur Rahimahullah:

لقد أثبتت الأحداث والأيام أنه بقدر الاهتمام بالتربية تتحقق الأصالة للحركة ، واستمراريتها ونموها ، ويكون التلاحم بين الأفراد ووحدة الصف …. ، وعكس ذلك إذا أهمل جانب التربية أو حدث فيه تقصير، يظهر الضعف والخلخلة فى الصف ، ويبرز الخلاف والفرقة ويتضائل التعاون ويقل الانتاج
“Sesungguhnya peristiwa-peristiwa dan hari-hari yang telah berlalu  membuktikan bahawa keaslian harakah berkait rapat dengan keprihatinan terhadap tarbiyah. Keprihatinan terhadap tarbiyah menjamin kesinambungan dan kesuburan harakah, dan ia juga menjadi unsur kesatuan di antara individu dan safnya…. Begitulah pula sebaliknya, bilamana sudut tarbiyah diabaikan atau berlaku kecacatan dalam aspek tarbiyah, maka akan lahir fenomena kelemahan di dalam saf, seterusnya ia boleh menyebabkan berlaku perselisihan, perpecahan, lemahnya kerjasama yang akhirnya membawa kepada berkurangnya produktiviti”.

Kedudukan Murabbi Di Medan Tarbiyah

Murabbi adalah paksi dalam operasi tarbiyah, ia juga satu rukun terpenting, bahkan ia adalah batu penjuru dalam binaan dakwah ini seperti perumpamaan yang dinyatakan Imam al-Banna ketika membincangkan soal usrah dan naqibnya:
هي قاعدة الأساس فى بناء دعوتنا ، ونقيبها هو حجر الزاوية فى هذا البناء
“Ia adalah kaedah asas dalam binaan dakwah kita, sementara naqib usrah adalah batu penjuru dalam binaan ini”.

Justeru harapan dan cita-cita tarbiyah dan takwin amat bergantung kepada peranan murabbi. Ia bergantung kepada sejauhmana murabbi menjiwai peranannya, menekuni usaha, mengesani qudwah dan muayasyah bersama ikhwannya, keprihatinannya terhadap dakwah dan risalahnya. Sesungguhnya operasi tarbiyah akan bertambah mantap dan mendalam kesannya jika usaha yang disebut di atas diperkasakan, tentunya setelah diberi taufiq dan bantuan daripada Allah SWT.
  
Di sini kami ingin menyenaraikan beberapa wasiat umum yang wajib dititikberatkan oleh murabbi qudwah agar peranan tarbawinya efektif. Wasiat ini merangkumi tiga sudut asas dalam binaan takwin murabbi. Antaranya yang berkaitan;
1.    Peribadi murabbi, jiwa dan pembinaannya.
2.    Peranan murabbi, kemahiran tarbawi.
3.    Peranan murabbi menguruskan ikhwannya, amal dakwah yang berkait dengan tugasnya sebagai murabbi.

Berikut adalah 10 wasiat bagi murabbi qudwah:

1. Murabbi mestilah mengambilberat hal keadaannya bersama tuhannya. Dia mesti memperuntukkan masa bagi dirinya. Maka hendaklah dia memelihara dirinya, berusaha mensucikannya dengan penuh keyakinan yang benar dan memastikan ibadat yang dilaksanakan sah di sisi Allah SWT.


Maka dia mestilah memberi perhatian yang serius dalam semua perkara yang boleh meningkatkan rohnya serta memastikan dia sentiasa berada dekat dengan tuhannya kerana kejayaannya mentarbiyah ikhwannya amat bergantung kepada kejayaannya mentarbiyah dirinya.
  
Di antara wasiat Imam al-Banna ialah;


ميدانكم الأول أنفسكم ، فإذا انتصرتم عليها كنتم على غيرها أقدر، وإذا أخفقتم فى جهادها كنت على سواها أعجز، فجربوا الكفاح معها اولاً


Medan pertama kamu ialah diri kamu sendiri. Maka apabila kamu berjaya pada medan pertama ini, nescaya kamu akan berjaya di medan yang lain, sebaliknya jika kamu lokek untuk berjihad dengan diri kamu, maka kamu akan lebih lemah di medan yang lain. Ayuh! Singsing lengan kalian untuk memenangi jihad bersama diri sendiri dahulu"...

Apabila seorang murabbi menganggap bahawa dia mampu mengubah ikhwannya sedang dia sebenarnya tidak mampu untuk mengubah dirinya sendiri, maka ia dikira sebagai kealpaan yang membinasakan.

Benarlah pepatah yang mengatakan;

لاتُحسم معارك الميدان قبل حسم معارك الوجدان
Pertempuran di medan tidak boleh dicapai sebelum pertempuran di dalam jiwa diraih”.

وأول ميادين تربية النفس التربية الإيمانية, فهي المحرك لكل خير والدافع لكل رشد
Ketahuilah bahawa medan pertama tarbiyah diri ialah tarbiyah imaniyah. Ia adalah dynamo segala kebaikan dan menjadi faktor terkuat untuk melakukan sesuatu perkara.

Murabbi mesti tahu bahawa tarbiyah adalah bekalan dan pemberian. Sesungguhnya dia tidak akan mampu untuk sentiasa memberi untuk ikhwannya jika dia tidak memiliki bekalan yang berterusan.

Allah SWT berfirman:
وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى
“Dan berbekallah kamu, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah taqwa".

Binaan iman serta ta’abbud (ibadat) seorang murabbi adalah saham terpenting untuk 
takwin sahsiah rabbaniyyah yang hatinya tertakluk dengan penciptanya (Allah SWT), dan tidak akan tertipu dengan hiasan dunia berupa kecantikan, pangkat dan gelaran. Iman itu jugalah yang membantunya memperbanyakkan ibadat, solat-solat sunat dengan khusyuk dan khudhu’, memperbanyakkan zikir dan doa, tilawah al-Quran dan 
mentadabbur maknanya.

2. Hendaklah akhi murabbi menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia, menjaga reputasi yang baik dan menjaga muamalah sesuai dengan qudwah yang telah ditunjukkan oleh kekasihNya Nabi Muhammad SAW. Dengan demikian murabbi tersebut mampu membuka ruang/memberi kelapangan kepada ikhwannya dengan akhlaknya. 

Di dalam hadis Nabi SAW bersabda:

إِنَّكُمْ لَا تَسَعُونَ النَّاسَ بِأَمْوَالِكُمْ، وَلَكِنْ لِيَسَعَهُمْ مِنْكُمْ بَسْطُ الْوَجْهِ، وَحُسْنُ الْخُلُقِ
Sesungguhnya kamu tidak mampu memberi kelapangan kepada manusia dengan harta kamu, akan tetapi kelapangan itu boleh kamu lakukan hanya melalui senyuman dan akhlak yang baik”.

Antara akhlak asas yang perlu dimiliki oleh para murabbi ialah akhlak sabar, berlapang dada, lemah lembut, rahmah, rendah diri, suka memaafkan kesalahan

Firman Allah SWT:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
 "Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitar kamu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah keampunan buat mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu, kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal".
(Surah Ali- Imran: 159)


Manusia menjadi tawanan perlakuan ihsan (baik) seseorang. Dan hati sentiasa menerima baik para muhsinin (orang baik) dan akan berada di sekitarnya. Lihat saja pengajaran dari kisah teman sepenjara Nabi Yusof alaihissalam, Allah SWT berfirman:
إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ
Sesungguhnya kami lihat kamu adalah tergolong dari kalangan orang-orang yang baik (muhsinin)”.

Sebagaimana kita memberi kelapangan dengan akhlak, kita juga mentarbiyah mereka dengan akhlak secara praktikal melalui pandangan mereka terhadap kecantikan tindaklaku kita. Dengan demikian bolehlah kita simpulkan dengan suatu hakikat bahawa;

"Akhlak murabbi adalah ibadah yang mampu membawanya bertaqarrub kepada tuhannya, ia adalah jalan untuk mentajmi’ semua hati ikhwannya, dan merupakan medan untuk mentarbiyah ikhwannya serta mentakwin muridnya".

3. Hendaklah akhi murabbi itu berusaha bersungguh-sungguh menimba ilmu bermanfaat untuk dirinya dan dilimpahkan kepada ikhwannya. Kerana murabbi juga berfungsi sebagai ustaz (guru) dari sudut pengisian ilmu sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Banna:

أستاذ بالإفادة العلمية
Murabbi itu adalah ustaz (guru) dari sudut pengisian ilmu”.


Ilmu yang kita maksudkan bukan hanya ilmu yang dihafal dan menguasai beberapa buah buku –sekalipun ia dianggap penting- Namun yang lebih penting ialah bagaimana ilmu itu boleh dimanfaatkan sebagaimana sepatutnya. Justeru penekanan yang harus diberi kepada setiap bab dari ilmu tersebut ialah tentang kepentingannya di sudut amal tarbawi dan disiplinnya. Paling utama ialah bagaimana ilmu tersebut dipraktikkan. Memanfaatkan ilmu di sini bukan hanya teorinya semata-mata, tetapi ia harus melampaui kepada pengalaman amali yang merupakan terjemahan sebenar kepada hakikat ilmu tersebut.

4. Hendaklah akhi murabbi berusaha sedaya upaya mengembangkan potensi dirinya sendiri. Antaranya berusaha memahirkan diri dengan beberapa ilmu kemahiran asas seperti; perancangan tarbawi, menyelesai masalah, pembentangan dan penyampaian, berdialog dan berbincang, mutaba’ah dan penilaian tarbawi, pembahagian tugas, menanam nilai, merubah tingkahlaku… dsb. Akhi murabbi juga harus menguasai manhaj marhalah yang dilaksanakannya, bagaimana mengoperasi manhaj agar mencapai objektifnya, bagaimana melaksanakan pelbagai wasail tarbiyah agar mencapai objektifnya masing-masing.

Di antara ilmu tambahan (penyempurna) bagi para murabbi ialah ilmu untuk mengenali sahsiah manusia; ciri-ciri dan cara bagaimana berinteraksi dengan setiap kategori itu, kemudian hendaklah dia menguasai tentang medan-medan amal dakwah dan peluang yang perlu dimainkan agar dia mampu memberi taujihat yang bersesuaian dengan kemampuan mereka (mutarabbi).

5.      Murabbi hendaklah berusaha melaksana dan memperdalamkan mu’ayasyah bersifat tarbawi bersama mutarabbinya sama ada secara fardi atau jamaie. Mu’ayasyah ini tentunya akan membantu untuk merealisasikan tiga rukun usrah (ta’aruf, tafahum dan takaful), memperkasakan hubungan hati dan penyatuan perasaan di antara anggota usrah dan sebagai persediaan membentuk bi’ah (suasana) yang membantu menyuburkan tarbiah. Justeru,  murabbi berpeluang berta’aruf secara dekat dengan mutarabbinya untuk memastikan potensi dan keupayaannya, secara tidak lansung dapat berperanan mengikut kesesuaiannya serta dapat mengenal pasti permasalahan dan kesukaran yang dihadapi selain berusaha mencari titik penyelesaiannya.

Demi merealisasikan mu’ayasyah di antara suasana keterbukaan yang terkawal dan pergaulan tarbawi yang berobjektif, mestilah dipelbagaikan wasilah, aktiviti dan metodologinya agar murabbi dapat melihat mutarabbinya di dalam situasi berbeza. Tujuannya agar mutarabbi mampu membentuk tarbiah yang efektif dan taujih yang diberikan hasil mu’ayasyah secara praktikal dalam realiti mutarabbi tersebut. Kesimpulannya boleh dikatakan bahawa; “Mu’ayasyah yang mendalam adalah asas tarbiah yang sebenar”.

6.      Murabbi hendaklah mentarbiah mutarabbinya di sudut iman dan ibadat melalui tazkiah (pembersihan) jiwa dengan ketaatan dan jenis ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah untuk merealisasikan ubudiah kepada Allah. Semua itu mampu dicapai dengan mengikhlaskan hati kepada Allah, membetulkan niat dalam setiap perkataan dan amalan tanpa memandang kepada habuan, gelaran, pangkat dan sebagainya. Selain itu, mutarabbi dapat meningkatkan diri mereka serta menaikkan ruh jihad dan pengorbanan jiwa, harta dan masa di jalan Allah. Allah berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 111:

إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang mukmin diri mereka dan harta mereka kerana bagi mereka ada balasan syurga”.

Kemudian memperdalamkan di dalam diri mereka perasaan tajarud terhadap dakwah dan fikrah mereka, iaitu Islam yang tulen kerana pengorbanan, jihad dan tajarud menuntut ruh jundi (ketenteraan). Maka menjadi tanggungjawab para murabbi mentarbiah mutarabbinya untuk mendengar dan taat di dalam situasi apa pun; susah, senang, cergas atau terpaksa dalam perkara bukan maksiat di samping membiasakan mereka menunaikan tugasan masing-masing dengan sempurna.

7.      Murabbi hendaklah berusaha menanamkan makna ukhuwah dan kasih sayang kerana Allah di antara ikhwah secara praktikal, bukan teori kerana ukhuwah adalah rahsia kekuatan seperti yang telah dinyatakan oleh Imam Al-Banna. Hendaklah murabbi berusaha menanam prinsip thiqah di jalan dakwah. Perkara paling asas ialah thiqah kepada qiadah, thiqah kepada manhaj, thiqah sesama ikhwah sepanjang jalan dakwah, thiqah kepada pertolongan Allah untuk memenangkan agama ini.

Murabbi juga hendaklah berusaha menanam pengharapan tinggi dengan bantuan Allah kepada hamba-hambaNya yang soleh, sentiasa memberi pencerahan tentang perjalanan dakwah ini dengan menekankan pentingnya thabat walaupun dilanda mehnah, ujian dan fitnah sama ada dalam situasi kesusahan dan kesenangan. Allah berfirman:

وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Dan Kami akan timpakan ke atas kamu ujian dengan keburukan dan kebaikan sebagai fitnah untuk kamu, dan kepada Kami jua kamu dikembalikan”.

Di antara kewajipan murabbi juga ialah menerangkan kepada ikhwan tentang penyelewengan fikrah dan harakah yang akan menjauhkan mereka dari jalan dakwah agar mereka berhati-hati kerana kebiasaannya penyelewengan tersebut bermula dari perkara yang kecil, kemudian bertambah sedikit demi sedikit dengan berlalunya masa.

8.      Hendaklah murabbi mengetahui potensi dan keupayaan ikhwahnya, lalu berusaha sedaya upaya mengagihkan peranan untuk memberi khidmat kepada dakwah serta mengajak mereka agar bergerak dan bekerja. Perkara itu boleh dilaksanakan melalui program secara praktikal. Murabbi qudwah sepatutnya tidak boleh menerima mereka yang tidak menjiwai kepentingan dakwah dan tidak bekerja untuk dakwah. Antara faktor yang boleh membantu murabbi ke arah itu ialah mempergiatkan pergaulan, mu’ayasyah serta memperkenalkan mereka medan dan bidang dakwah yang banyak.

Murabbi hendaklah memberi latihan amali bagaimana cara melaksanakan dakwah dengan betul di pelbagai medan; rumahtangga, jiran tetangga, keluarga terdekat, di tempat belajar, di tempat kerja dengan menfokuskan di medan yang sesuai dengan kemampuan dan situasi mereka. Umpamanya di kalangan remaja, pelajar atau menyebarkan dakwah atau melakukan kebajikan dan khidmat untuk masyarakat dan sebagainya, mengikut struktur jawatankuasa dan unit kerja di dalam Jemaah.

9.      Murabbi hendaklah menyediakan mutarabbinya biah (suasana) tarbawi yang akan menyuburkan tarbiah mereka mengikut manhaj marhalah. Untuk itu aktiviti yang dilaksanakan tidak seharusnya terhad dalam lingkungan usrah sahaja, akan tetapi mestilah menjangkau wasilah-wasilah lain yang tidak kurang pentingnya seperti daurah, nadwah, mukhayyam, katibah dan lain-lain secara jamaie. Penyediaan biah yang kondusif  bagi menyuburkan tarbiah ini hendaklah disusuli dengan mutaba’ah yang akan menilai pertumbuhan mereka berdasarkan manhaj marhalah sesuai dengan prinsip ‘Tarbiah Berdasarkan Objektif’. Justeru mereka yang terkehadapan akan dapat diperkasakan disamping mereka dapat memberi aspirasi kepada mereka yang lemah.

Melalui proses ini juga, murabbi hendaklah menyeimbangkan di antara dua metodologi tarbiah fardiah dan jamaiah berpaksi kepada prinsip ‘perbezaan peribadi’ dalam tarbiah tanpa mengabaikan aspek peningkatan jati diri dalam diri setiap mutarabbinya. Hal ini kerana,  ia adalah salah satu konsep tarbiah fardiah. Tarbiah fardiah itu termasuklah aspek ibadat, kemasyarakatan, dakwah dan sebagainya tetapi dalam lingkungan disiplin harakah dan tanzim.

10.  Murabbi hendaklah mengumpulkan hati ikhwahnya di sekitar dakwah serta thiqah pada jalannya (qiadah – manhaj – individu), disamping mentarbiah mereka agar terlaksana intima’ sebenar kepada dakwah secara (perasaan – fikiran – tanzim). Mutarabbi mesti ditarbiah agar memahami bahawa mereka adalah pendokong dakwah, justeru wajiblah mereka berfikir untuk dakwah, menasihati juga untuk dakwah dan menjunjung cita-cita dakwah. Demikian juga wajib para murabbi membakar semangat ikhwahnya agar sama-sama menyumbang pandapat, pemikiran untuk mengembangkan gerak kerja ini dengan menanamkan prinsip ‘Agama itu adalah nasihat’ secara beradab dan berdisiplin.

Murabbi hendaklah mentarbiah mereka bagaimana untuk bersyura (bermesyuarat) secara ilmiah dan praktikal bertunjangkan adab dan mekanisma yang betul. Kita berdoa kepada Allah SWT supaya DIA menolong memberi kemenangan kepada dakwah kita, menyebarkan fikrah kita, memberkati ukhuwah kita, memberi taufiq pimpinan kita, menghimpunkan kita semua di atas kalimah kita yang benar. Begitu juga kita berdoa kepada Allah SWT agar DIA mengikhlaskan niat kita, menerima amalan kita dan menjadikan semua amalan kita itu pada timbangan kebaikan di hari kiamat nanti… Allah berfirman:

يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُحْضَرًا

Maksudnya: “Pada hari di mana kamu akan mendapati setiap jiwa memperolehi segala perkara yang dilakukan di dunia dahulu dihidangkan di hadapan masing-masing”.




Thursday, April 18, 2013

Memerangi Maksiat dan Kemungkaran Tanggungjawab Semua Orang Islam Tanpa Terkecuali


Terjemahan: UsTACZ
 
Definisi maksiat dan kemungkaran adalah semua yang dikategorikan oleh hukum syara’ sebagai haram dan rosak, ataupun sesuatu yang akal sihat menghukumkannya tidak baik. Memerangi maksiat dan kemungkaran tersebut merupakan prinsip asas lagi bijaksana dalam proses membina masyarakat sejahtera yang bersih dari unsur-unsur yang boleh membawa kepada kemunduran dan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Maka, berdiam diri dari perlakuan maksiat dan mungkar adalah dosa dan maksiat juga. Allah SWT berfirman:

" لعن الذين كفروا من بني إسرائيل على لسان داود وعيسى بن مريم ذلك بما عصوا وكانوا يعتدون  * كانوا لا يتناهون عن منكر فعلوه لبئس ما كانوا يفعلون "
 “Orang-orang kafir dari Bani Israel telah dilaknat melalui lisan (ucapan) Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu kerana mereka durhaka dan selalu melampaui batas. Mereka tidak saling mencegah perbuatan mungkar yang selalu mereka perbuat. Sungguh, sangat buruk apa yang mereka perbuat”.
(Surah al-Maidah: 78-79)


وعن حذيفة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال( والذي نفسي بيده لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليوشكن الله عز وجل أن يبعث عليكم عذابا من عنده ثم تدعونه فلا يستجاب لكم ) رواه الترمذي وحسنه . ومعنى أوشك أسرع.

Daripada Huzaifah RA daripada Nabi SAW, sabda baginda: 
“Demi jiwaku di dalam genggamanNya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar atau Allah SWT mengirim untuk kalian azab daripadaNya, kemudian kamu berdoa pada ketika itu, tidak akan dimustajabkan bagi kamu”. 


Maka, Islam menuntut daripada setiap orang agar tidak hanya berpada dengan meninggalkan maksiat dan kemungkaran (untuk diri sendiri), bahkan dia wajib memeranginya dalam skop yang dia mampu, bermula dengan kaum keluarga dan seterusnya kaum kerabat terdekat, jiran tetangga, kawan-kawan di tempat kerja, di lorong-lorong dan di semua tempat berlakunya maksiat dan kemungkaran itu. Usaha ini hendaklah dilakukan sesuai dengan kaedah syara’  yang terkenal:

"أن النهي عن المنكر لا ينبغى أن يؤدى إلى منكرفضلا عن أن يؤدى إلى منكر أشد منه".

“Bahawa mencegah dari kemungkaran tidak seharusnya membawa kepada berlakunya kemungkaran yang sama, apatah lagi ia akan membawa kepada kemungkaran yang lebih dahsyat dari itu”.

Disiplin dalam menjalankan usaha Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar:

1. Mesti memiliki ilmu tentang ma’ruf yang diseru kepadanya dan mungkar yang dilarang darinya. Ia dikenali juga dengan Basirah. Allah SWT berfirman:

{قُلْ هَـذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي }يوسف 108
“Katakanlah wahai Muhammad, inilah jalanku. Aku menyeru kepada Allah di atas bukti dan hujah, saya dan orang-orang yang bersama saya”.

Pengajaran yang diambil daripada disiplin pertama ini bukan banyak dan sedikitnya ilmu yang dimiliki oleh seseorang. Imam Bukhari dan Tirmizi telah meriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
" بلغوا عني ولو آية ".
“Sampaikan daripadaku sekalipun satu ayat”.

2. Berlemah lembut dan berkata-kata dengan perkataan yang lunak. Imam Muslim dan Abu Daud meriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda;

"إن الرفق لا يكون في شيء إلا زانه ولا ينزع من شيء إلا شانه".
“Sesungguhnya lemah lembut tidak berlaku atas sesuatu kecuali mesti ada nilainya, ia tidak dicabut dari sesuatu kecuali ada kebaikannya”.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول " من يحرم الرفق يحرم الخير "
وفي رواية " يحرم الخير كله " أخرجه أبو داود

Daripada Abu Hurairah RA katanya, saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang dihalang dari melakukan lemah lembut, dia telah dihalang dari melakukan kebaikan”.

وفي الآية { اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى، فَقُولا لَهُ قَوْلاً لَّيِّناً لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى } 
طه 43 – 44 
Di dalam Surah Taha, Allah SWT memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun alaihiwassalam dengan firmanNya:

“Pergilah kamu berdua (wahai Musa dan Harun) kepada Firaun itu, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Dan ucapkanlah kepada Firaun itu dengan ucapan yang lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut”.

Yang bercakap di sini sekarang tidaklah lebih baik daripada Musa dan Harun alaihimassalam, dan si yang ditargetkan dalam percakapan itu tidaklah lebih jahat daripada Firaun.

3. Mengkaji dari sudut maslahat dan mafsadah. Jika maslahat lebih besar dari mafsadah dalam isu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah yang mungkar, maka wajib dilaksanakan usaha amar ma’ruf dan nahi mungkar tersebut. Sebaliknya jika mafsadah lebih besar, maka tidak wajib diusahakan bahkan bolehjadi ia menjadi haram pula (Majmu’ Fatawa Ibn Taimiyah; Jilid 28, m/s 128).

Jika berlaku kekeliruan seumpama jika kamu berpendapat bahawa kemungkaran tersebut kemungkinan boleh berkurang dan ia (kemungkaran) akan terus kekal dalam jumlah tertentu atau kemungkaran tersebut akan melahirkan kemungkaran standing dengan yang telah ada; ketika itu ia termasuk ke dalam perkara ijtihadi, yang boleh diminta pandangan mereka yang memiliki kepakaran dan kebijaksanaan dalam isu berkaitan.


4. Menyampaikan menurut kemampuan dan kekuatan yang ada. Dimulai dengan memberi kefahaman kepada mereka yang jahil, kemudian memberi nasihat dan tazkirah dengan kalimah yang lembut. Diikuti dengan memberi nasihat hingga menjadikan seseorang itu rasa takut dan gerun terhadap Allah SWT ketika hendak melakukan sesuatu kemungkaran, kemudian memberi amaran dan ancaman, kemudian mencegahnya pula dengan tangan (kuasa) bagi yang memiliki kuasa seperti seorang ayah dalam rumahtangga, pemimpin di tempat kepimpinan masing-masing, begitulah seterusnya berdasarkan bidangkuasa yang dikurniakan oleh Allah kepadaNya.

(Rujukan;sumber dalaman IM) .... dengan sedikit olahan daripada penterjemah)