Tuesday, January 28, 2014

Nasihat Berguna Untuk Kebaikan Dunia Akhirat Kalian...

10 hal yang perlu diperhatikan AGAR URUSAN UPDATE STATUS TIDAK MERUGIKAN KITA DI HARI KIAMAT:

1.        Tersebut dalam mukadimah sahih Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda: «Siapa saja yang meriwayatkan sebuah hadis dariku sedangkan ia mengetahui bahawa itu adalah kebohongan, maka ia termasuk salah seorang pendusta». Oleh kerana itu, jangan siarkan kecuali hadis yang engkau tahu kesahihannya, agar tidak terkena ancaman hadis ini.

2.        Tersebut dalam sahih Muslim: «Cukup kejahatan dan keburukan seseorang jika ia menghina atau memandang rendah sesama muslim», oleh kerana itu, berhati-hatilah, jangan sampai menerbitkan mesej apa pun yang mengandungi gangguan atau penghinaan seseorang, atau suku, atau bangsa, marga, ... walaupun dengan maksud jenaka atau membuat tertawa.

3.        Tersebut dalam sahih Bukhari dan sahih Muslim bahawa Ummu Juraij pernah memanggil Juraij, lalu si Juraij tidak akan bertindak balas terhadap panggilan ibunya itu, lalu sang ibu mendo'akan buruk si Juraij, dan terkabulkanlah do'a sang ibu seketika, padahal waktu itu kesibukan si Juraij adalah kerana ia sedang solat. Imam Nawawi menyimpulkan satu pelajaran penting dari cerita si Juraij itu bahawa seorang anak bertanggungjawab bertindak balas panggilan bapak ibunya, dan itu respon ini hendaklah didahulukan, walaupun dengan mengorbankan solat sunnat. Oleh kerana itu, janganlah urusan update status mengalahkan birrul walidain, betatapun "sibuk"-nya kamu dengan urusan status itu.

4.        Tersebut dalam sahih Muslim: «Dan siapa saja yang menutupi aib seorang muslim, nescaya Allah SWT akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat», oleh kerana itu, jika sampai kepadamu maklumat tentang keburukan seseorang, hapus dan buanglah maklumat itu dan jangan disebarkan, agar engkau beruntung mendapatkan ganjaran dari Allah SWT yang berupa tertutupinya keburukanmu di dunia dan di akhirat.

5.        Tersebut dalam sahih Bukhari: «bahawa nabi Muhammad SAW pernah melihat seseorang yang diseksa dengan sebuah besi tajam ditusukkan dari rahang sampai tengkuk, dari mulut sampai tengkuk, dan dari mata sampai tengkuk, lalu beliau SAW bertanya tentang sebab azab tersebut. Beliau mendapatkan jawapan bahawa sebabnya adalah setiap pagi, lelaki itu keluar rumah dengan satu pembohongan, yang kemudian kebohongan itu tersebar ke seluruh penjuru dunia », adduuhhh ... betapa banyaknya isu-isu bohong tersebar di zaman ini, khususnya di era di mana orang tidak lagi melakukan cross check, adduuuhhh .. betapa banyaknya nama-nama palsu di dunia maya ... oleh kerana itu, ikutilah manhaj Al-Qur'an: tatsabbut dan tabayyun.

6.        Betapa banyak kemungkaran dapat dihilangkan ... betapa banyak derita dapat diselesaikan ... betapa banyak pula bid'ah boleh dihentikan, semua itu kerana ada kesatuan dan persatuan untuk menghadapinya melalui pelbagai tulisan, semua ini tehitung sebagai pintu kebaikan, dan Allah SWT mencintai orang-orang yang berbuat ihsan.

7.        Celaka sekali seseorang yang telah meninggal dunia, sementara dosa-dosanya masih terus mengalir ("dosa jariyah") beratus-ratus tahun, lebih banyak dari itu atau kurang dari itu, dan dia pun di alam kubur sana, terus menuai azab atas "dosa jariyah" itu , gara-garanya adalah keburukan yang ia mulai, dilanjut dan disebar luaskan oleh orang-orang sepeninggalnya ... Allah SWT berfirman: "Dan Kami tuliskan apa yang telah mereka lakukan dan juga jejak-jejak mereka" (Yasin: 12). Oleh kerana itu, jika engkau terperosok dalam kemaksiatan, jadikanlah urusan kemaksiatanmu itu antara dirimu dan Tuhanmu sahaja (sembunyikan dan jangan siarkan) dan janganlah engkau membantu orang lain dalam bermaksiat kepada Allah SWT.

8.        Semua peranti dan alat adalah satu cara untuk menguji dalam urusan muraqabatullah, maka, betapa agungnya rasa takut dan pengagunganmu kepada Allah jika engkau dapat melampaui kemungkaran melalui alat ini, walaupun dengan mudah kamu dapat mengikuti dan menontonnya, dan meskipun kamu dapat menyendiri dengan alat itu dengan tanpa pengawasan siapa-siapa. Jika engkau tetap dapat menghadirkan muraqabatullah, nescaya engkau termasuk orang-orang yang disifati oleh firman Allah SWT: "iaitu mereka yang takut kepada Tuhan mereka saat mereka menyendiri".

9.        Di hadapanmu terbuka pintu dakwah seluas-luasnya, sangat mungkin engkau menjadi seorang aktivis dakwah padahal engkau duduk manis di tempat tinggalmu, hanya dengan menggerakkan ibu jari tangan, maka, koleksilah berbagai hal yang bermanfaat, pilih hadis-hadis yang sahih, potong bahagian-bahagian dari klip yang berguna, lalu menyebar luaskannya, sebab, siapa saja yang memberi petunjuk kepada kebaikan, maka ia mendapatkan pahala seperti pahala yang didapat oleh yang melakukannya.

10.    Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: "Sepatutnya seseorang tidak kedekut, walaupun dengan melakukan sedikit kebaikan, atau dengan meninggalkan keburukan, betatapun kecilnya, sebab ia tidak mengetahui kebaikan mana yang akan menjadi sebab turunnya rahmat Allah SWT kepadanya, atau keburukan mana yang akan menjadi sebab kemurkaan Allah SWT kepadanya "(XI/321).

Saya hanya menterjemah ala kadarnya, semoga bermanfaat ...

Petikan Terjemahan: Abu Ismail

Friday, January 24, 2014

Peranan Qiadah Dalam Organisasi Dakwah (siri 2)

Merujuk Sirah Nabi SAW sebelum para sahabat berhijrah ke Madinah dan setelah berlangsungnya Bai'ah Aqabah, Rasulullah SAW memilih 12 pemimpin atau naqib yang akan bertanggungjawab kepada kaumnya merealisasikan Islam dan janji bai'ah. Terpilihlah para naqib itu; 3 orang daripada suku Aus dan 9 orang daripada suku Khazraj. Rasulullah SAW melantik mereka sebagai pemimpin dan bersabda: "Kamu adalah para pemimpin kaum kalian dengan segala risikonya seperti hawariyyun (pengikut setia) Isa bin Maryam dan saya adalah pemimpin kaumku (umat Islam)."

Al-Quran banyak menyebutkan muwasofat pemimpin. Ketika memilih Thalut menjadi pemimpin, Allah SWT menganugerahkan sifat 'ilmu yang luas dan fizikal yang kuat'. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 247:
وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوا أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِنَ الْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Nabi mereka mengatakan kepada mereka: "Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi rajamu". Mereka menjawab: "Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang diapun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?" Nabi (mereka) berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa". Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.

Ketika Nabi Yusof a.s. menerima amanah kepemimpinan sebagai menteri perbendaharaan negara, Allah mengurniakan sifat 'penjaga yang profesional'. 

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir) sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya".

Allah SWT juga menganugerahkan kepemimpinan kepada Musa a.s. memiliki sifat 'kuat dan amanah'. (Surah al-Qasas ayat 26)

Adapun sifat yang menonjol yang Allah SWT kurniakan kepada Nabi Muhammad SAW adalah 'rahmah' iaitu kasih sayang. Bahkan Nabi SAW diutuskan untuk menyebarkan kasih sayang kepada semua manusia dan jin termasuk yang tidak menganut Islam; rahmatan li al-alamin, rahmah ke seluruh alam.



Thursday, January 23, 2014

Peranan Qiadah Dalam Organisasi Dakwah (siri 1)



Bicara tentang pemimpin dakwah atau umat, Imam Hasan al-Banna menyebutkan empat peranan, iaitu sebagai bapa (daurul ab), peranan sebagai pemberi taujih ruhi (dauru as-sheikh), peranan sebagai pengajar ilmu (daurul ustaz) dan peranan sebagai pemimpin (daurul qaid). Keempat-empat peranan pemimpin atau naqib itu sangat penting dalam perjalanan dakwah agar para pendokong dakwah tetap beristiqamah dalam syariat Islam dan beriltizam dalam jamaah.

Dalam perjalanannya, para pendokong dakwah tidak akan terlepas dari pelbagai masalah yang dialami dalam hidupnya. Di situlah pentingnya qiadah dakwah yang berperanan sebagai bapa/orang tua yang bijaksana memimpin dengan penuh kasih sayang persis seperti perilaku bapa terhadap anak-anaknya, apalagi ikatan ukhuwah itu sebenarnya jauh lebih mendalam dari ikatan darah dan keturunan. Di dalam Pertubuhan Ikram Malaysia kita popularkan slogan 'Ukhuwah Teras Kegemilangan', alhamdulillah.

Peranan sebagai 'sheikh' yang memberikan taujihat ruhiyah sangat penting bagi qiadah dakwah.Qiadah adalah orang yang seharusnya memiliki potensi ruh yang tinggi. Tanpa kekuatan ruh, dakwah akan kekeringan, ia bergerak tanpa ruh dan hati. Dari situ akan berlaku kebarangkalian penyimpangan dan kemunduran kepada dakwah. Sumber kekuatan ruh paling utama ialah quwwah shilah billah (kekuatan hubungan dengan Allah). Hubungan ini amat diperlukan oleh semua da'i, lebih-lebih lagi qiadah dakwah.

Peranan qiadah berikutnya ialah peranan sebagai 'ustaz'. Qiadah mesti meningkatkan thaqafah-nya kerana orang yang tidak memiliki sesuatu, tidak akan dapat memberi sesuatu. Qiadah dan para da'i mestilah berusaha meningkatkan ilmu dan thaqafah-nya jika ingin melihat dakwahnya berkembang dan mampu memberi solusi terhadap permasalahan masyarakat. Qiadah dakwah harus dilihat mampu dan berupaya menjawab isu-isu semasa dan berwibawa membawa misi dan visi dakwah. Mereka bukan berteori, tetapi berupaya berinteraksi dalam realiti masyarakat lokal dan antarabangsa. Di dalam realiti hidupnya, qiadah menjadi qudwah dalam pedoman hidupnya.

Peranan qiadah dakwah adalah bahagian yang tidak terpisah sebagai pemimpin dalam ertikata sebenarnya, iaitu pemimpin yang memiliki autoriti atau punya kehebatan persis seorang komandan tentera kerana pemimpin dalam dakwah wajib didengari dan ditaati. Dakwah adalah aktiviti paling mencabar dalam kehidupan. Dakwah sangat berkait rapat dengan pengurusan, berupaya merancang, mampu beroperasi, bergerak cergas dan mengontrol (mengawal). Dakwah sangat berkait dengan manusia dan segala keistimewaannya sehingga qiadah dakwah harus memiliki kemampuan di bidang pengurusan secara keseluruhannya (dalaman dan luaran).

Keempat-empat peranan tersebut merupakan satu kesepaduan yang saling lengkap melengkapi agar para pemimpin dapat melaksanakan amanah sebagai qiadah dakwah dengan cemerlang.

insyallah akan bersambung.......

Wednesday, January 15, 2014

Isu Kalimah Allah: Mari Kita Selesaikan Dengan Bijaksana!

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)

13 Januari 2014 bersamaan 12 Rabi'ul Awwal 1435 H

Isu Kalimah Allah: Mari Kita Selesaikan Dengan Bijaksana!
1.      Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti dengan dekat perkembangan terkini isu kalimah Allah yang dicetuskan semula oleh peristiwa rampasan Bible dalam Bahasa Malaysia yang mengandungi kalimah Allah, oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
2.      Kedua-dua pihak telah mengemukakan sandaran undang-undang dalam tindakan masing-masing. JAIS sebagai badan yang dipertanggungjawabkan dalam penguatkuasaan undang-undang Islam di Selangor bertindak di bawah peruntukan Seksyen 9 Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang dengan jelas melarang penggunaan beberapa kalimah termasuk kalimah Allah oleh penganut agama lain.
Pihak yang membantah tindakan JAIS pula menggunakan semangat kebebasan mengamal agama yang dijamin oleh Perlembagaan, dan hujah bahawa kalimah ‘Allah’ di dalam bible versi Melayu telah lama diguna pakai apatah lagi ianya merupakan versi import yang termasuk dalam Penyelesaian 10 Perkara (10 Point Solution) yang telah diluluskan oleh Kabinet pada tahun 2011. Pada masa yang sama isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah The Herald masih lagi di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan.
3.      IKRAM berpandangan bahawa kes ini telah berada dalam keadaan berselirat antara peruntukan Perlembagaan, peruntukan Enakmen, kes Mahkamah dan keputusan eksekutif Penyelesaian 10 Perkara. Hanya kebijaksanaan daripada semua pihak dapat meleraikan kekusutan ini.

4.      IKRAM berpandangan bahawa penyelesaian melalui mahkamah ada keterbatasannya. Debat melalui media juga tidak akan menyelesaikan.  Oleh kerana Islam adalah agama yang cintakan kedamaian dan menghormati hak beragama semua pihak, IKRAM menyarankan penyelesaian dicari dalam suasana aman dan harmoni.

5.     IKRAM mencadangkan agar Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang telah ditubuhkan pada tahun 2010 dan Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) yang baru ditubuhkan memainkan peranan masing-masing dengan memberi cadangan penyelesaian kepada kerajaan. Kerajaan hendaklah memainkan peranan yang aktif dalam menyelesaikan isu ini melalui perundingan dengan semua pihak yang berkepentingan.

6.      IKRAM mengajak semua pihak bertenang dan memberi peluang kepada perundingan.  Marilah kita sama-sama memainkan peranan mencari penyelesaian yang baik bagi Malaysia dan semua rakyatnya.


Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad

Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

[Video] ISIS: Ulasan Syeikh Muhammad Ali As-Sabouni

Syeikh Ulama' Muhammad Ali Al Sabouni tampil membuat kenyataan mengisytiharkan penentangan Beliau terhadap puak Takfiri (ISIS).