Saturday, September 29, 2012

PANDUAN NABI S.A.W. UNTUK MENJADI USAHAWAN BERJAYA

Diambil dari:
http://blogahmadtarmizi-miji.blogspot.com/2009/02/panduan-perniagaan-oleh-nabi-muhammad.html

Sebenarnya Nabi Muhammad SAW ada memberi panduan dalam mencari nafkah atau menjadi usahawan. Sila lihat hadith yang dikutip oleh Sayid Sabiq dalam kitabnya ‘Anasirul Quwati fil Islam’, berkata Anas RA lebih kurang begini...

Seorang pemuda dari kalangan sahabat Ansar datang kepada beliau meminta-minta. Kata beliau, “Engkau.. takde apa-apakah di rumah?”

“Ada!” Jawab pemuda Ansar itu. “Hanya sehelai tikar dan sebuah takar (tempat air minum) sahaja..”

“Bawa kedua-dua barangan itu ke mari!!” Arah Nabi.

Pemuda itu pun pergi mengambilnya dan membawa kepada Nabi. Nabi terus membuat tawaran, menjual secara lelong barangan tersebut kepada kawan-kawan di situ. Dijual dengan harga paling tinggi, iaitu 2 dirham.

“Nah! Satu dirham engkau beli makanan untuk keluraga engkau, dan bakinya engkau beli sebuah kapak!” Saran Nabi. “.. bawa kapak itu kemari!!”

Pemuda itu terus mempraktikkan idea tersebut, ia kembali dengan sebuah kapak yang baru dibeli. Nabi mengambilnya dan mengikat pada sebatang tongkat (yakni siapkan hulu hingga boleh terus guna), dan menyerah balik. Katanya, “Pergilah cari kayu api dengan kapak ini, dan juallah hasilnya! Jangan sampai aku nampak kamu lagi selama 15 hari (dari sekarang)!!”

Selepas 15 hari berlalu, kembalilah kawan itu, dia berjaya mengumpulkan wang sebanyak 10 dirham. Sebahagian dibeli makanan dan sebahagian lagi pakaian.

“Hal ini adalah lebih baik dari engkau datang di Hari Kiamat dengan wajahmu bernoda, tanda meminta-minta.” Jelas Nabi lagi. (Hadith dirawikan oleh Abu Daud).

Hadith ini menggambarkan pengangguran, kemiskinan dan meminta-minta memang ada, walaupun perlu dihapuskan. Nabi mencetuskan idea kreatif, bagaimana menjadi usahawan, dapatkan modal, memotivasi (contohnya tempoh 15 hari sasaran masa ditetapkan), kecekapan melihat pasaran (waktu itu jual bahan bakar atau kayu api) dan sebagainya. Memang hebat Nabi Muhammad SAW.

Pengalaman masa mudanya pernah jadi usahawan. Pernah jadi gembala kambing sebagai tarbiah kepimpinan (Ingat hadith Nabi, setiap kamu adalah pengembala...). Pernah berkongsi atau usahasama niaga dengan ahli bisnes kecil As-Saa’ib bin Abis Saa’ib. Pernah berniaga import-eksport Mekah-Syam, di mana sumber ‘finance’nya ialah Khadijah sendiri walaupun waktu itu masih belum jadi isterinya (akhirnya taukeh finance itu jadi isteri atau miliknya).

Dikatakan beliaulah pencetus idea-niaga ‘surung makan, tarik pun makan’, pergi ke Syam membawa dagangan dari Mekah, pulang membawa dagangan dari Syam. Di mana amalan sebelum itu cuma pergi membeli dagangan untuk penduduk Mekah dari Syam sahaja. Dengan itu penduduk Mekah dapat menikmati barang keperluan dengan harga yang lebih rendah.

Begitu juga ramai tokoh-tokoh usahawan yang berjaya, adalah anakdidik beliau, seperti Abdul Rahman bin Auf, Usman bin Affan dan sebagainya yang dijamin syurga. Mereka bukan sahaja berjaya dari sudut usahawan semata-mata, bahkan menjadi tokoh-tokoh politik dan pemimpin perjuangan Islam.

Bahan berkaitan:
http://www.motivasisantai.com/motivasi-bisnes/2012/06/05/berniaga-cara-nabi-muhammad-saw/

Wednesday, September 26, 2012

Sifat-sifat Nabi SAW....dlm BA


Egypt's Morsi debuts at UN General Assembly (Full speech)



Ringkasan Ucapan Dr Muhammad Mursi di Persidangan PBB:

1) Penghinaan terhadap Rasul Islam Muhammad S.A.W adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali dengan lisan bahkan perbuatan.

Mereka ini hanya merosakkan keamanan dan ketenteraman dunia. 

Apa yang dihadapi oleh orang Islam tidak boleh diterima dan kami memusuhi sesiapa sahaja yang menghina nabi kami.

Mesir mengiktiraf kebebasan bersuara, namun bukan kebebasan yang merosakkan keharmonian dan menyemai kebencian.

Namun kami menolak untuk menggunakan kekerasan dalam tindak balas terhadap kebodohan itu (penghinaan nabi)..

2) Rakyat Palestin perlu diberi hak memiliki Al-Quds sebagai Ibu Negaranya yang rasmi dan berdaulat.

3) Darah rakyat Syria adalah terlalu berharga untuk disia-sia dan ditumpahkan oleh kerajaanya sendiri setiap hari dan malam. Rakyat Syria mempunyai kedudukan yang mulia di dalam hati rakyat Mesir.

Rakyat Syria punyai hak untuk menikmati kebebasan mereka sendiri tanpa ditekan oleh mana-mana undang-undang zalim.

Kami akan terus bekerja keras dan berusaha dengan segala cara untuk meletakkan satu penyelesaian kepada penderitaan rakyat Syria dan membantu mereka menyediakan sistem yang mereka mahukan.

Ia merupakan penderitaan kita semua dan kita bertanggungjawab untuk menghentikan tragedi berdarah era ini (Syria).

4) Mesir akan bekerjasama dengan saudara-saudara Arab untuk memperbaiki kedudukannya dalam dunia ini.

5) Mesir akan menjadikan Sidang Kemuncak Negara Islam sebgai paltform membentuk persefahaman dan menggalakkan dialog antara tamadun.

6) Sudan hari ini perlu diberi sokongan lebih daripada biasa.

Sudan telah pun memberikan pengorbanan yang besar dalam membentuk keamanan dan kestabilan tetapi ia tidak mendapat sokongan antarabangsa yang sewajarnya maka tibalah masa membalas budinya.

7) Presiden yang dipilih secara demokratik di Somalia merupakan tanda ke arah kestabilan dan saya menjemput Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membantu rakyat Somalia untuk mencapai masa depan yang lebih baik.

8) Kita perlu menghentikan sokongan terhadap mana-mana kerajaan yang rosak yang telah terbukti zalim kerana ia akan merosakkan keamanan yang ada di rantau itu.

9) Adalah hak semua negara di dunia, termasuk negara-negara di rantau ini dan Mesir,untuk menggunakan tenaga nuklear untuk bagi tujuan keamanan dan bukan senjata.

10) Dunia mempunyai tanggungjawab untuk menyokong usaha Afrika untuk membangunkan dan menyokong usaha-usaha untuk menjaga kekayaan daripada dirompak.

Mesir akan terus bekerjasama dengan saudaranya di Afrika bagi meningkatkan taraf hidup melalui pertukaran kepakaran dan pengalaman.

11) Perlu mengislahkan PBB yang dilihat hanya sekadar pemerhati tanpa tindakan.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد

Monday, September 24, 2012

Kewajipan seorang muslim terhadap Rasulullah s.a.w.

إخوان اون لاين - واجب المسلم نحو الرسول صلى الله عليه وسلم

Pengalaman Sukses Bersama Al-Quran

إخوان اون لاين - تجربة ناجحة مع القرآن

Di Dalam Al-Quran Terdapat Elemen-Elemen Yang Membahagiakan Kehidupan Ini

Tazkirah Mingguan Siri (2)



 (Sekitar Ikhlas dan Baik Qasadnya)

Tulisan: Ustaz Mohamed Hamid Elawa
Penterjemah: Ustaz Tajul Arifin bin Che Zakaria

Sesungguhnya keikhlasan semata-mata kerana Allah Azzawajalla dalam percakapan dan amalan di waktu sunyi dan terang adalah di antara kewajipan para Dae’i sepanjang jalan dakwah ini. Sebabnya ialah kerana Allah s.w.t. tidak menerima sesuatu percakapan dan amalan itu kecuali ianya dilakukan semata-mata keranaNya. Allah s.w.t. berfirman:

(إنا أنزلنا إليك الكتاب بالحق فاعبد الله مخلصا له الدين ، ألا لله الدين الخالص ..) الزمر 2-3
“Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya”.

Betapa pentingnya ikhlas ini, Imam Al-Banna menjadikannya (Ikhlas) salah satu daripada Rukun terpenting dakwah ini. Katanya: “Yang saya maksudkan dengan Ikhlas di sini ialah: Seorang akh muslim itu menqasadkan dengan percakapan, amalan dan jihadnya semata-mata kerana Allah s.w.t., demi mencari keredhaan dan ganjaran pahala daripadaNya tanpa menoleh kepada  ghanimah, kemasyhuran, gelaran, pangkat ataupun di depan (jadi pemimpin) atau di belakang (jadi pengikut). Dengan demikian jadilah dia jundi fikrah dan aqidah, bukan jundi kepada benda dan manafaat”.  (Risalah Ta’lim)

Keterangan di atas penting kerana riya’ (syirik tersembunyi) merupakan penyakit berbahaya dan amat tercela yang diajak oleh hawa nafsu dan was-was syaitan. Ia adalah penyakit amat berbahaya kerana ia merangsang perasaan seseorang lalu mengubah halatuju dan kecenderungan gerakgerinya tanpa keikhlasan, maka malang dan rugilah dia. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada sahabatnya bernama Muaz ibn Jabal:
(أخلص العمل يجزيك العمل القليل)
“Ikhlaskan hati ketika melakukan amal kerana kamu tetap akan diberi pahala sekalipun amalan itu kecil".

Sesungguhnya reality dan pengalaman telah menetapkan bahawa orang yang tidak ikhlas akan melakukan banyak kesilapan. Amat benarlah kata-kata ini:
(إنما يتعثر من لايخلص)
“Hanyasanya akan tergelincirlah orang tidak ikhlas”.

Justeru wajiblah ke atas Du’ah (para pendakwah)  memeriksa hati mereka dan bertanya diri mereka sebelum melakukan setiap amalan. Mereka hendaklah bermujahadah melawan kehendak nafsu mereka sepanjang beramal sehinggalah amalan tersebut selesai dilakukan dengan keyakinan dia bebas dari nawaitu untuk mendapat keuntungan peribadi atau terikut hawa nafsu atau mencari kemayshuran atau populariti di kalangan manusia. Semua itu benda yang pasti akan luput dan ia adalah kesenangan yang sedikit. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kami dan kamu sekalian keikhlasan dan qasad yang baik.

  وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين ................ بقلم / محمد حامد عليوة 



Friday, September 21, 2012

IMAM AL-BANNA DAN HAKIKAT DAKWAH KITA


Tulisan: Mohamed Hamid Elawa
Penterjemah: Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria (TACZ)

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه وبعد

يقول الله تعالى : ( قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُوا إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ ) يوسف 108

Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: ‘Katakanlah (wahai Muhammad):” Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala i’tiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”.

Ikhwan Muslimin adalah gerakan Islam yang komprehensif, bekerja demi untuk menegakkan ugama Allah di muka bumi ini dan untuk merealisasikan matlamat dan tujuan yang dengan sebabnya Islam yang maha suci ini datang. Ikhwan beriman  dengan Islam yang menjadikan  aqidah sebagai pengawal yang memelihara halatuju orang-orang Islam sebagaimana mereka juga beriman bahawa Islam juga merupakan syariat, kaedah yang syumul merangkumi setiap sudut kehidupan.

Berkata Imam Al-Banna dalam Risalah (الاخوان تحت راية القرآن):

“Wahai Ikhwan Muslimun, bahkan wahai semua manusia! Kita bukanlah parti politik, sekalipun politik di atas kaedah Islam merupakan fikrah kita yang asli. Kita bukan pertubuhan kebajikan dan pembaharuan, sekalipun kerja kebajikan dan pembaharuan merupakan objektif terbesar kita. Kita bukan pasukan riadhah, sekalipun riadhah badan dan ruh merupakan sebahagian dari wasilah terpenting kita. Kita tidak sama seperti pertubuhan sedemikian kerana semua pertubuhan ini hanya untuk tujuan tertentu dan untuk tempoh tertentu. Mungkin pertubuhan ini lahir hanya di atas dasar mahu mewujudkan sebuah pertubuhan atau sekadar mahu meletakkan nama rasmi bagi pertubuhan tersebut.

Akan tetapi wahai manusia! Kami adalah fikrah dan aqidah, sistem dan manhaj. Kami tidak terbatas pada tempat tertentu atau bangsa tertentu atau sempadan geografi tertentu. Kami tidak akan berhenti pada batas tertentu melainkan setelah bumi dan segala isinya kembali kepada Allah s.w.t. kerana sistem ini adalah sistem Tuhan Rabbul Alamin dan manhaj ini adalah manhaj Rasul-Nya yang bersifat jujur lagi amanah”.

Pada tempat yang lain iaitu di akhir Risalah (بين الأمس واليوم) Imam Al-Banna berkata:

“Wahai Ikhwan! Kamu bukan pertubuhan kebajikan, bukan parti politik, bukan badan yang ditubuhkan untuk tujuan yang terbatas. Kamu adalah ruh baru yang mengalir dalam hati umat ini dan menghidupkan umat ini dengan Al-Quran. Kamu adalah nur baru yang bersinar menghapuskan kegelapan materialisme ke arah ma’rifah Allah s.w.t. Kamu adalah suara yang berkumandang dan bergema melaungkan dakwah Rasulullah s.a.w.”.

Kita simpulkan kalam Imam Al-Banna dalam beberapa faedah dan natijah:

·         Bahawa dakwah Ikhwan adalah Dakwah Rabbaniyyah: Kerana asasnya itu berlegar di sekitar objektif kita yang membawa manusia mendekatkan diri kepada tuhan mereka. Berusaha menghubung dan mengikat hati-hati mereka dengan pencipta mereka iaitu Allah s.w.t. supaya mereka ikhlas semata-mata untuk ugama dan dakwah mereka. Mereka hendaklah membetulkan niat supaya ikhlas beramal kerana Allah s.w.t. tuhan semesta Alam.

·         Bahawa dakwah Ikhwan adalah Dakwah Islamiyyah: Kerana ia dinasabkan kepada Islam yang Maha Agung dengan kesyumulan, kesempurnaan dan kelengkapannya. Allah s.w.t. berfirman:
(الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإسْلامَ دِينًا ) المائدة 3

·         Bahawa dakwah Ikhwan adalah Dakwah Alamiyyah: Dakwah ini ditujukan kepada seluruh manusia kerana manusia pada hokum Islam adalah bersaudara. Asal usul mereka dari satu (Adam).
( وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ) سبأ 28
‘Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)’.
(إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ) .الحجرات 13
‘Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa’.

·         Bahawa dakwah Ikhwan adalah Dakwah Syumul: Dakwah ini tidak hanya mementingkan sudut tertentu dan mengabaikan sudut kehidupan yang lain. Ia tidak terbatas pada kerja-kerja politik dan pertembungan dengan parti serta sibuk dengan pilihanraya, sekalipun politik adalah sebahagian dari kerja kita. Sama halnya kita tidak boleh membataskan kerja-kerja kita pada sudut kemasyarakatan, kecemasan dan terlibat sama dalam aktiviti masyarakat, sekalipun kerja-kerja kebajikan tersebut merupakan sebahagian dari tanggungjawab kita.

·         Bahawa dakwah Ikhwan adalah Dakwah Tarbiyah dan Takwin: Kerana tarbiyah yang syumul dan takwin yang berterusan; kedua-duanya adalah tiang (pasak) bagi dakwah ini. Ia juga perbezaan terpenting yang membedakannya dari dakwah-dakwah lain. Melalui Manhaj Tarbawinya dakwah ini mampu digerakkan melalui soff yang mantap. Ini hasil terpenting tarbiyah (hasilkan individu muslim), sebabnya ialah kerana individu itu teras kepada kebangkitan ummah. Imam Al-Banna sentiasa ingatkan kita:
(كونوا أنفسكم تتكون بكم أمتكم)
“Bentuklah diri anda sekalian, nescaya akan terbentuklah dengan kamu umat kamu”.

Inilah tarbiyah… di mana semua orang mesti tunduk (mengikutinya) tanpa kecuali; sama ada besar atau kecil, lama atau baru, qiadah atau jundi. Dalam Ikhwan tiada orang yang berada di luar lingkungan tarbiyah dan takwin.

·         Bahawa dakwah Ikhwan adalah Dakwah Ikhlas dan Tajarrud: 

Dakwah ini mentarbiyah pengikutnya dan matlamat dari amal dan ucapan mereka tidak lain melainkan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan pahala dari sisi-Nya. Tidak ada nawaitu selain itu. Di sini bukan tempat untuk memperolehi kekayaan atau kemasyhuran atau pangkat dan gelaran. Justeru Ikhlas adalah satu rukun dari rukun-rukun Bai’ah. Imam Al-Banna sentiasa mengungkapkan kepada ikhwan kata-kata ini: (إن الخفي على هذه الطريق خير من الظاهر)
‘Sesungguhnya yang sunyi (tak bising) di atas jalan dakwah ini lebih baik daripada yang zahir (nampak/menonjol)’.
Dakwah ini juga suci dari dikuasai oleh hawa nafsu dan ketamakan; di mana orang yang berada di atas jalan ini mestilah tajarrud kepada fikrah dan prinsip dakwahnya kerana ia adalah semulia-mulia fikrah dan kedudukannya paling atas. Allah s.w.t. berfirman:
(صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ) . البقرة 138.
‘Celupan Allah, dan siapakah yang lebih baik celupannya selain Allah s.w.t. dan kami menjadi hamba yang menyembah kepadaNya’.

وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين

Wednesday, September 19, 2012

Rasulullah s.a.w. -Hijaz


Kewajipan Kita Membela Nabi Muhammad s.a.w...


Dunia Islam baru sahaja dikejutkan dengan penyebaran filem yang menyakiti Nabi s.a.w. Ia telah dilakukan oleh seorang Yahudi Amerika yang pernah membakar Al-Quran satu ketika dahulu. Reaksi spontan terhadap penyebaran filem jahat ini sebenarnya memberi satu gambaran positif dan bukti ‘keberkatan’ bahawa Ummah Islamiyah masih wujud, ruhnya masih hidup, masih punya kekuatan, masih punya harapan. Rasulullah s.a.w. amat berbangga dengan sikap seperti ini seumpama ‘singa yang mengaum’, menyatakan kesanggupan berkorban untuk melindungi kesucian agama dan sanggup mati demi agamanya.

Demikianlah sikap Ummah Islamiyah terhadap agamanya. Adakalanya ia menjadi lemah, namun ia belum mati. Ketika ia lemahpun.. sejarah membuktikan ia cuba sehabis kemampuan yang ada untuk bangkit mempertahankan tempat-tempat suci dan syiar-syiar agama maha mulia ini. Bukti terdekat ialah bagaimana saudara-saudara kita di Syria; sekalipun bermandikan darah dan ribuan telah gugur syahid, mereka tetap berusaha mempertahankan Rasulullah s.a.w. dan ini merupakan bukti yang jelas bahawa Ummah Islamiyah pada hakikatnya masih punya potensi untuk bangkit semula.

Tabiat Kemenangan dan Pembelaan

Kemenangan dan pembelaan buat Nabi Muhammad s.a.w. serta ajarannya mestilah dengan kaedah yang praktikal dan berkesan. Ia bukannya reaksi yang lahir secara spontan kemudian menghilang, sekalipun reaksi tersebut sewajarnya dipuji namun mestilah dengan syarat ianya dilakukan secara aman dan tidak melibatkan kerosakan lebih-lebih lagi mencabuli kemuliaan anak Adam..!!!
Kemenangan atau pembelaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. mestilah dengan menzahirkan unsur toleransinya, kemuliaannya, kekuatan kebenarannya sambil menerangkan petunjuk-petunjuk ketamadunan yang maha hebat, menyerlahkan ketinggian akhlaknya sehingga terhadap mereka yang menentang dan bermusuh dengannya. Allah s.w.t. berfirman:
(وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلاَمَ اللّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لا يَعْلَمُونَ)
“Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)”.
(Surah At-Taubah:ayat 6)

Ia sepatutnya disusuli dengan membuat kajian terperinci terhadap Sirah (sejarah) Nabi kita s.a.w. di kalangan pelajar-pelajar  di sekolah-sekolah dan universiti-universiti hingga ia menjadi suatu yang hidup di tengah-tengah masyarakat sebagai model terbaik untuk diteladani.
Kejadian seumpama ini bukan pertama kali berlaku dan bukan juga yang terakhir. Cukuplah bagi kita dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Al-Quran. Al-Quran telah menceritakan tentang tuduhan, umpatan, cacian golongan kafir dan musyrikin terhadap Baginda s.a.w. Baginda s.a.w. dituduh gila, tukang sihir, pemecahbelah masyarakat dan sebagainya yang tidak logik pada akal lebih-lebih lagi Baginda s.a.w. adalah Nabi dan Rasul yang terpilih.
Tuduhan dan tohmahan seumpama ini juga telah berlaku kepada semua para Rasul utusan Allah s.w.t. Mereka menghadapi semua itu dengan bijaksana dan tidak terpengaruh dengan unsur-unsur provokasi murahan musuh.
Sesungguhnya Allah s.w.t. memberi jaminan untuk memelihara para Nabi dan Rasul. Kenapa? Kerana Allah s.w.t. yang mengutus mereka ke alam ini. Allah s.w.t. yang memilih dan melantik mereka dan Allah s.w.t. tidak akan membiarkan mereka diperlakukan sewenang-wenangnya. Allah s.w.t. berfirman:
"والله يعصمك من الناس" (المائدة:67)
Maksudnya: 'Dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia'.
" إِنَّا كَفَيْنَاكَ الْمُسْتَهْزِئِينَ"(الحجر:95)
Maksudnya: 'Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu'.
 " وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ"(الشرح:4).
Maksudnya: 'Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan).

Faedah Perlakuan Jahat Ini
Namun yang peliknya ialah perlakuan jahat musuh-musuh Islam sebenarnya membawa faedah kepada Ummah Islamiyah, antaranya:

1.      Tajdid Iman dengan Nabi Muhammad s.a.w. bukan pada peringkat peribadi atau masyarakat atau Negara, bahkan di peringkat Ummah Islamiyah keseluruhannya.  Isu ini menambat hati-hati ummah dan menambahkan rasa  kecintaan mereka  kepada Rasulullah s.a.w. 
2.      Kebanjiran orang-orang barat (non-muslim) ke Islamic Center di negara-negara Barat. Ramai yang datang untuk mengetahui lebih lanjut tentang Rasulullah s.a.w. Ramai dari kalangan mereka telah memeluk agama Islam dengan sebab itu.
3.      Isu ini telah membingungkan pentadbiran negara-negara Barat. Agama Islam telah masuk dan mempengaruhi rakyat barat. Dalam masa yang singkat sahaja sejak filem tersebut disebarkan, Islam dijulang dan kalimahnya mendominasi persada antarabangsa. Allahu Akbar Walillahil Hamd……
Saya mengambil kesempatan di sini ingin mengajak segenap lapisan masyarakat di negara ini agar bertenang dan optimis bahawa Allah s.w.t. merancang yang terbaik bagi agama ini.
 Menolong dan membela Rasulullah s.a.w. tidak seharusnya dibataskan dengan slogan-slogan, syiar-syiar dan demonstrasi sahaja. Bahkan kasih dan sayang kita kepada Nabi s.a.w. mesti dibuktikan dengan perkara yang lebih asas lagi, iaitu mempelajari, mengikuti perjalanan hidupnya serta menyebarkan akhlaknya kepada masyarakat. Tanpa ini semua, slogan, syiar dan demonstrasi tidak memberi makna apa-apa.

Akhukum,
Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria
Pengerusi JK Tarbiah 
Pertubuhan Ikram Malaysia

Friday, September 14, 2012

Tazkirah Mingguan Siri (1)

Penterjemah: Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria (TACZ)

(اتباع الهوى)
إن اتباع الهوى داء عضال وسم فتاك ، ينخر فى القلب ويضيع ثواب العمل . وإن أصاب هذا المرض قلب أحد الدعاة على طريق الدعوة (نعوذ بالله من ذلك) تكون المشكلة كبيرة والعواقب وخيمة .
تعريف اتباع الهوى / (لغة) : هو ميل النفس إلى ماتحبه وترضاه .
(شرعا) : هو ميل النفس الى نيل شهوة تلائم طبعها ، أواتباع شبهة توافق عقلها .
وأخطر مايصيب قلب الداعية من الهوى (مرض  الشهوة)، فتراه يسخر طاقاته وجهده من أجل نيل مايرضى نفسه وهواها ، كمنصب أومال أومكانة أو شهرة أو تصدر المجالس وحمل أفخم الألقاب ، ومن الشهوة أيضا أن يشجعه شيطانه وهواه ليستغل إمكانات الدعوة للحصول على مبتغاه من أعراض الدنيا الذائلة وحطامها الفاني .
:Terjemahan
Terikut Hawa Nafsu
Sesungguhnya mengikut hawa nafsu adalah penyakit amat berat dan racun yang membinasakan, merobek/memusnahkan hati dan menghilangkan pahala amal
Jika penyakit berat ini menghinggapi hati seorang    pendakwah  di jalan dakwah ini (minta Allah jauhi), maka akan terjadilah masalah besar dan akibatnya terlalu dahsyat.
Takrif ikut hawa nafsu:
Pada bahasa: Ialah kecenderungan jiwa kepada apa yang dia suka dan redha.
Pada syara': Ialah kecenderungan jiwa untuk mendapatkan syahwat yang sesuai dengan tabiatnya atau ikut suatu yang samar-samar (syubhat) yang dipersetujui oleh akalnya.
Penyakit paling bahaya yang mengenai hati pendakwah dalam konteks hawa nafsu ini ialah 'penyakit syahwat'. 
Maka anda akan melihat dia akan menggunakan seluruh kemampuan dan usaha-usahanya semata-mata untuk memperolehi apa yang dikehendakinya seperti jawatan, harta, kedudukan, kemasyhuran atau menonjol diri dalam majlis-majlis yang diadakan dan berbangga-bangga dengan gelaran-gelaran hebat. 
Termasuk dalam penyakit syahwat  ini ialah bahawa syaitannya memberi semangat untuknya mengambil kesempatan (eksploitasi) peluang dakwah yang ada bagi memperolehi matabenda dunia yang akan hilang dan musnah. 

Thursday, September 13, 2012

Kesesatan Syi’ah Imamiyah Menurut Syaikh Al Qardhawi

Oleh: kamal_hasan
"DR Yusuf Al Qardhawi dalam Fatawa Mu'ashirah, menjelaskan 9 perbezaan tajam antara Ahlus Sunnah yang sederhana dengan Syiah Imamiyah Itsna Asy'ariah / 12 Imam. Berikut ini fatwa beliau:
1. Sikap Syiah terhadap Al Qur `an.
Sikap mereka terhadap Al Qur `an seperti yang telah saya jelaskan berulang-ulang kali bahawa mereka tetap percaya dengan Al Qur` an yang kita hafal. Mereka berkeyakinan bahawa Al Qur `an adalah firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Mushaf yang dicetak di Iran dengan mushaf yang dicetak di Mekah,

Madinah dan Kaherah adalah sama. Al Qur `an ini dihafal oleh anak-anak Iran di sekolah-sekolah agama (madrasah / sekolah pondok) di sana. Para ulama Iran juga memetik dalil-dalil Al-Qur `an di dalam masalah pokok-pokok dan furu di dalam ajaran Syi'ah yang telah ditafsirkan oleh para ulama mereka di dalam kitab-kitabnya. Namun masih tetap ada di antara mereka yang berkata, "Sesungguhnya Al Qur` an ini tidak lengkap. Kerana ada beberapa Surah dan ayat yang dihilangkan dan akan dibawa oleh Al Mahdi pada saat dia muncul dari persembunyiannya. "

Mungkin saja sebahagian besar ulama mereka tidak mempercayai hal ini. Malangnya mereka tidak mengkafirkan orang yang telah mengatakan hal di atas. Inilah sikap yang sangat berbeza dengan sikap Ahlu Sunnah, iaitu barangsiapa yang meyakini telah berlaku penambahan dan pengurangan terhadap Al Qur `an, maka dengan tidak ragu lagi, kami akan cap dia sebagai orang kafir.

Padahal keyakinan seperti ini terdapat di dalam kitab-kitab rujukan mereka, seperti Al Kaafiy yang setanding dengan kitab Shahih Al Bukhari bagi Ahlu Sunnah. Kitab ini telah dicetak dan diterjemahkan lalu didistribusikan ke seluruh dunia tanpa ada penjelasan apa-apa di dalamnya. Ada pepatah di masyarakat, "Orang yang diam terhadap kebatilan, sama dengan orang yang memperkatakannya."

2. Sikap Syiah terhadap As Sunnah

Definisi As Sunnah menurut Ahlu Sunnah adalah sunnah Rasulullah Shalallahu 'Alaihi wa Sallam yang telah dimaksum oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan Dia perintahkan umat Islam untuk mentaati beliau di samping taat kepada-Nya.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman, "Katakanlah," Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul; jika kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul (Muhammad) itu hanyalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajipan kamu hanyalah apa yang dibebankan kepadamu. Jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk, "(Surah An-Nur [24]: 54). "Dan taatlah kepada Rasul (Muhammad), agar kamu diberi rahmat," (Surah An-Nur [24]: 56). "Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan Ulil Amri (pemegang kuasa) di antara kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), "(Surah An-Nisa [04]: 59). "Katakanlah (Muhammad)," Taatilah Allah dan Rasul. Jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa Allah tidak menyukai orang-orang kafir, "(QS Ali Imran [03]: 32). "Barangsiapa mentaati Rasul (Muhammad), maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah. Dan sesiapa berpaling (dari ketaatan itu), maka (ketahuilah) Kami tidak mengutusmu (Muhammad) untuk menjadi penjaga mereka, "(Surah An-Nisa [04]: 80). "Dan tidaklah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut keinginannya. Tidak lain (Al-Quran itu) adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya), "(Surah An-Najm [53]: 3-4) dan ayat-ayat yang lain.

Akan tetapi batasan As Sunnah menurut Syiah adalah sunnah Rasulullah Shalallahu 'Alaihi wa Sallam dan para imam mereka yang maksum. Maksudnya, sunnah merangkumi bukan hanya sunnah Rasulullah Shalallahu 'Alaihi wa Sallam melainkan juga sunnah kedua belas imam mereka. Imam mereka yang 12 orang tersebut wajib ditaati sebagaimana taat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan Rasul-Nya yang dikuatkan dengan wahyu. Mereka telah menambah perintah Al Qur `an untuk taat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan Rasul-Nya iaitu agar taat kepada makhluk yang Allah Subhanahu Wa Ta'ala sendiri tidak memerintahkannya. Lebih dari itu, kita mengkritik Syiah kerana telah meriwayatkan sunnah dari orang-orang yang tidak tsiqah (dipercayai) kerana tidak memenuhi unsur keadilan dan kesempurnaan hafalan.

Oleh kerana itu, kitab-kitab rujukan Ahlu Sunnah tidak diterima oleh mereka. Mereka tidak mahu menerima kitab Shahih Bukhari, Muslim dan Kutub Sittah yang lain, tidak mahu menerima kitab Al Muwatha, Musnad Ahmad dan kitab-kitab yang lain.

3. Sikap Syiah terhadap Para Sahabat

Pandangan negatif mereka terhadap para sahabat merupakan pokok dan dasar ajaran Syiah. Sikap mereka itu adalah keturunan dari pokok ajaran mereka yang meyakini bahawa, Rasulullah Shalallahu 'Alaihi wa Sallam telah berwasiat jika beliau wafat, maka Ali bin Abi Talib adalah pengganti beliau. Akan tetapi para sahabat menyembunyikan wasiat ini dan mereka merampas hak Ali ini secara zalim dan terang-terangan. Para sahabat telah berkhianat terhadap Rasulullah Shalallahu 'Alaihi wa Sallam yang menjadi wasilah mereka mendapatkan petunjuk dan mereka hidup di zaman beliau untuk menolongnya walaupun dengan nyawa dan segala yang mereka miliki.

Yang menghairankan, apakah mungkin para sahabat bersekongkol untuk melakukan hal ini, sementara Ali Radhiyallahu 'Anh-sang pemberani-hanya boleh diam sahaja tidak berani mengumumkan haknya ini. Justeru Ali malah ikut membaiat Abu Bakar, Umar dan kemudian Uthman. Ali tidak berkata kepada salah seorang dari mereka itu, "Sesungguhnya aku mempunyai wasiat dari Rasulullah Shalallahu 'Alaihi Wa Sallam. Akan tetapi, mengapa kamu bersikap seolah-olah tidak tahu? Mengapa kamu hanya berbincang dengan enam orang sahaja dan kamu menyibukkan diri kamu sendiri? Siapakah orangnya yang harus memilih sedangkan umat Islam telah menetapkan hal ini dengan wasiat Rasulullah Shalallahu 'Alaihi Wa Sallam? "Mengapa Ali tidak mahu menjelaskan hal ini? Kemudian, jika memang Al Hasan bin Ali benar-benar telah tercatat sebagai khalifah selepas Ali kerana ada wasiat Rasulullah Shalallahu 'Alaihi Wa Sallam, tapi mengapa justru Al Hasan mengalah dan memberikan jawatan khalifah ini kepada Mu'awiyah? Mengapa Al Hasan melakukan hal ini, padahal ini merupakan perintah dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala? Dan mengapa justeru Rasulullah Shalallahu 'Alaihi wa Sallam di dalam hadisnya (hadis ramalan Rasulullah Shalallahu' Alaihi Wa Sallam) memuji sikap Al Hasan ini?

Soalan ini tidak boleh dijawab sama sekali oleh mereka.

Inilah tuduhan palsu mereka terhadap para sahabat yang tidak terbukti. Keterangan mereka ini sangat bertentangan dengan keterangan yang Allah Subhanahu Wa Ta'ala sebutkan di dalam beberapa Surah Al Qur `an. Seperti di akhir Surah Al Anfal, Surah At-Taubah, Surah Al Fath di pertengahan di akhirnya, Surah Al Hasyr dan Surah-Surah yang lain.

Demikian pula As Sunnah telah memuji para sahabat baik secara umum mahupun secara khusus. Juga zaman mereka itu dianggap sebagai sebaik-baik zaman setelah Rasulullah Shalallahu 'Alaihi Wa Sallam.

Juga apa yang dicatat oleh sejarah tentang mereka. Mereka adalah orang-orang yang telah menghafal Al Qur `an dan dari mereka lah umat menukilnya. Mereka juga adalah orang-orang yang telah menukil As Sunnah dan menyampaikan apa yang mereka nukil dari Rasulullah Shalallahu 'Alaihi wa Sallam baik perkataan, perbuatan mahupun persetujuan beliau kepada umat ini.

Mereka juga adalah orang-orang yang telah melakukan futuh (pembebasan negeri lain dengan damai) dan membimbing umat ini menuju tauhid Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan risalah Islam. Mereka juga telah mempersembahkan kepada bangsa-bangsa yang dibebaskannya contoh-contoh teladan Qur'an yang dijadikan sebagai panduan.

Samb:http://silverheritage.blogspot.com/2012/09/9-kesesatan-syiah-imamiyah-menurut.html
" 

Khutbah Nouman Ali Khan - response terhadap penghinaan terhadap peribadi Nabi s.a.w.

Saya kira  khutbah ini bertepatan dengan isu terkini....yang dikongsikan seorang ikhwah muda.

Nouman Ali Khan - Khutba - The Believer's First Response to Islamophobia

http://www.youtube.com/watch?v=P9fNjL5ryzA 

Moga bermanfaat....

Friday, September 7, 2012

Pesanan untuk Pejuang Islam di Medan Al-Qadisiyyah

Oleh: kamal_hasan
"Kepahlawanan Saad bin Abi Waqqas tertulis dengan tinta emas saat beliau memimpin pasukan tentera Islam menentang tentara Parsi Majusi pada masa lampau di Medan Qadissyah, Iraq.

Peperangan Qadisiyyah merupakan salah satu peperangan terbesar yang belum pernah terjadi sebelumnya di Iraq. Sejumlah kisah keberanian dan pengorbanan yang mendebarkan hati menghiasi insiden bersenjata ini.

Peristiwa monumental tersebut berlangsung pada tahun 14 H, iaitu pada zaman khalifah Umar bin al Khaththab R.A. Umar telah memerintahkan Saad bin Abi Waqqas bersama 30 000 pasukannya, berangkat menuju Qadasiyyah. Umar kemudiannya turut melaungkan tekadnya, "Demi Allah, aku akan mempertemukan penguasa bukan Arab dengan penguasa-penguasa di kalangan Arab."

Di antara mereka yang menuju ke medan Qadisiyyah terdiri daripada sembilan vateran perang Badar, manakala 300 pasukan yang lain pernah ikut serta dalam ikrar Bai'at Ar Ridhwan di Hudaibiyyah, dan 300 di antaranya mereka yang lain pernah mengikut serta dalam memerdekakan Makkah (peristiwa Fathu Makkah) bersama pimpinan Rasulullah S.A.W. Manakala yang berbaki adalah putera-putera Para Sahabat, dan ribuan wanita yang ikut serta sebagai perawat. Untuk mengekang pasukan tentera Muslim yang hadir ini, pasukan Parsi telah bersiap untuk bertempur dengan jumlah tentera 120 ribu orang dibawah panglima perang kawakan mereka, Rustum.

Sebelum tentera Islam menghadapi tentera Parsi di medan al Qadisiyyah, Khalifah Umar al Khattab R.A telah mewasiatkan pengajaran yang berguna buat kepada panglima tentera Islam Sa`ad ibn Waqqas R.A, "Sesungguhnya aku memerintahkanmu dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah Taala dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh-musuh mereka. Sesungguhnya orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita."
Di dalam Bidayah wan Nihayah Ibn Kathir mencatatkan, "Apabila bertembungnya dua bala tentera (Islam pimpinan Saad ibn Abi Waqqas dan Parsi pimpinan Rustum di medah al Qadisiyyah) Rustum mengutus utusan kepada Saad supaya dihantar kepadanya seorang yang bijak dan tahu menjawab soalannya. Lalu Saad mengirim al Mughirah ibn Syu'bah R.A".

Apabila al Mughirah ibn Syu'bah tiba, Rustum terus berkata kepadanya, "Kamu jiran kami. Kami telah bersikap baik kepada kamu. Kami menahan diri dari menyakitkan kamu. Pulang ke negeri kamu dan kami tidak akan menghalang kamu datang berniaga ke negeri kami."

Panglima Al Mughirah menjawab, "Kami bukan mencari dunia. Keinginan dan tuntutan kami adalah akhirat. Allah Taala telah mengirimkan seorang utusannya kepada kami dengan membawa pesanan (( Aku serahkan kepada kumpulan ini untuk menguasai setiap orang yang tidak beragama dengan agamaku (agama Islam) dan aku menghukum mereka melalui kumpulan ini. Aku tetap memberi jaminan bahawa kemenangan menjadi milik mereka (umat Islam) selama mana mereka berikrar dengan perkara ini (hukum-hukum Islam). Ia (Islam) adalah agama kebenaran. Sesiapa yang membencinya pasti dihina. Sesiapa yang berpegang teguh dengannya pasti mulia."

Rustum bertanya, "Maka apa dia sebenarnya?"

Al Mughirah menjawab, "Asas perjuangan kami ialah kesaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Nabi Muhammad adalah Rasulullah S.A.W dan memperakui apa jua yang dibawa dari Allah Taala."

Rustum menjawab, "Alangkah baiknya perkara ini! Apa lagi?"

Al Mughirah menjawab, "Membebaskan hamba-hamba dari penyembahan kepada sesama hamba kepada penyembahan kepada Allah."

Rustum menjawab, "Ini baik juga. Apa lagi?"

Al Mughirah menjawab, "Ke semua manusia adalah anak-anak Adam. Mereka semua bersaudara dari satu bapa (Nabi Adam) dan satu ibu (Hawa)."

Rustum menjawab, "Baik juga. Adakah jika kami masuk agama kamu, apakah kamu akan kembali dari negeri kami?"

Dia menjawab, "Demi Allah. Kami tidak mendekati negeri kamu melainkan untuk urusan muamalah dan apa-apa hajat."

Apabila al Mughirah keluar, Rustum berbincang dengan kumpulannya tentang masuk Islam, namun mereka enggan menerima.

Ibn Kathir seterusnya mencatat, "Kemudian Saad bin Abi Waqqas kembali menghantar seorang lagi utusan dengan permintaan darinya iaitu Rub'ie ibn 'Amir".

Mereka bertanya, "Khabar apakah yang membawa kedatanganmu ke sini?"

Rub'ie ibn 'Amir menjawab, "Allah mengutuskan kami untuk membebaskan dunia penghambaan sesama hamba kepada penghambaan diri kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada kelapangannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Dia utuskan kami agamanya untuk kami mengajak manusia kepadanya. Sesiapa yang menerimanya kami menerimanya dan kami kembali darinya. Sesiapa yang enggan kami peranginya sehingga kami kembali kepada janji Allah Taala (sama ada mati syahid ataupun mencapai kemenangan)."

Mereka bertanya, "Apa dia janji Allah itu?"

Rub'ie ibn 'Amir menjawab, "Syurga bagi yang mati berperang dan kemenangan bagi yang hidup."

Rustum berkata, "Aku telah dengar ucapanmu. Apakah kamu boleh tangguhkan urusan ini sehingga kami boleh bertenang memikirkan tawaranmu dan kamu juga bertenang menanti jawapan kami?"

Rub'ie ibn 'Amir menjawab, "Ya. Berapa lama kamu mahu? Sehari atau dua hari?"

Rustum menjawab, "Kamu perlu tunggu sehingga kami selesai menulis surat kepada penasihat-penasihat dan wakil-wakil kerajaan kami."

Rub'i ibn 'Amir berkata, "Kami tidak diajar untuk menangguhkan musuh ketika bertempur lebih dari tiga hari. Selesaikan urusan antara kamu dan mereka itu segera."

Rustum bertanya, "Alangkah tegasnya kamu, adakah kamu ini ketua tentera Islam?"

Rub'i ibn 'Amir menjawab, "Tidak. Tetapi umat Islam itu seperti satu jasad. Orang yang paling lemah dilindungi oleh orang paling kuat (tiada sikap zalim-menzalimi antara satu sama lain)."

Kemudian Rustum bermesyuarat dengan pembesar-pembesarnya dan berkata, kata Rustum, "Adakah kamu dapat melihat manusia lebih berwibawa dan lebih bijak dari kata-kata lelaki ini (Rub'ie ibn 'Amir)?"

Mereka menjawab, "Mengapa kamu berkata demikian? Adakah kamu mahu cenderung kepada agama dia ini (agama Islam) dan meninggalkan agama nenek moyang kita. Engkau tidak lihat bajunya?"

Rustum menjawab, "Celaka kamu. Jangan lihat kepada bajunya (yang kusut-masai), tetapi lihatlah kepada pendapat, percakapan dan keperibadiannya. Orang Arab memang bermudah-mudah dalam hal pakaian dan makanan, namun mereka menjaga maruah dan keturunan." - Rujuk "al Bidayah Wan Nihayah" Jilid 9 Halaman 621-623.

Peperangan al Qadisiyyah berakhir pada tahun 15 H dengan kekalahan tentera Parsi.

Sumber: http://silverheritage.blogspot.com/2012/09/mesej-islam-dari-medan-al-qadisiyyah.html
"