Wednesday, November 19, 2014

Jihad di Syria membelakangi syariat

Pusat Antarabangsa bagi Penyelidikan Radikal di King's College London menganggarkan lebih daripada 12,000 rakyat asing dari 74 negara pergi dan berjuang dengan pihak pemisah di Syria, dengan antara 60 dan 70 peratus adalah dari negara Asia Barat dan 20 hingga 25 peratus dari negara Eropah, manakala selebihnya dari Asia Tenggara.
Rakyat Malaysia juga dilaporkan terbabit dengan pejuang pemisah berkenaan, apabila mereka pergi ke Syria kononnya atas tiket jihad. Namun, ramai yang masih ragu dengan konsep jihad seperti yang didakwa. Wartawan BH, Rohaniza Idris mewawancara Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri untuk mendapatkan penjelasan mengenai jihad dan sama ada jihad di Syria dan Iraq dalam keadaan sekarang dibolehkan dalam Islam.

PENYERTAAN rakyat negara luar berperang di Syria merosakkan keadaan negara yang sedang bergolak. - Foto hiasan
Wartawan (S): Apakah yang dimaksudkan dengan jihad?
Dr Zulkifli (J): Jihad dari sudut bahasa adalah masdar kepada jahada, yujahidu, jihadan dan mujahadatan. Perkataan ini berasal daripada perkataan jahada, yajhadu dan jahdan. Jihad dan mujahadah bererti mencurahkan tenaga bagi menentang musuh. Terdapat tiga bahagian dalam jihad iaitu jihad melawan musuh, jihad melawan syaitan dan jihad melawan nafsu. Ketiga-tiga bahagian ini termasuk dalam ayat 78, surah al -Hajj yang bermaksud: "Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya". Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut Jihad dalam bahasa Arab ialah kata terbitan daripada jaahada bermaksud berusaha gigih untuk mencapai sesuatu matlamat.
Jihad mengikut istilah syariat Islam ialah berusaha gigih untuk menegakkan sebuah masyarakat Islam dan meletakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi, seterusnya membawa syariat Allah untuk memimpin seluruh alam.
Secara keseluruhannya jihad bererti seseorang Islam itu mencurahkan tenaga dan kekuatan bagi menentang kejahatan dan membuang kebatilan bermula daripada membuang kejahatan dalam diri dengan menolak godaan syaitan. Jihad juga bererti menentang kejahatan yang berlaku dalam masyarakat sekeliling yang mana ia berada sekadar mana yang termampu.
S: Adakah kategori bagi jihad?
J: Jihad ini boleh dibahagikan kepada jihad pendidikan - penyebaran kesedaran Islam dan menolak segala salah faham yang menghalang manusia daripada beriman dan memahami hakikat Islam yang sebenar.
Jihad dengan menyumbang harta benda untuk menampung keperluan ke arah pembentukan sebuah negara Islam yang diimpikan. Jihad peperangan berbentuk menyerang iaitu apabila masyarakat Islam berdepan dengan serangan musuh yang cuba menggugat Islam.
Jihad kerahan tenaga ketika musuh menyerang negara Islam dan menggugat agama, bumi dan kebebasan beragama umat Islam.
Dengan ini pengertiannya merangkumi semua kategori jihad ialah berusaha sedaya upaya untuk memartabatkan syariat Allah dan menyebarkan kalimah-Nya ke seluruh muka bumi.

MUFTI Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
S: Bagaimana dengan keghairahan sesetengah orang Malaysia yang berjuang dan berjihad di Syria?
J: Ramai tokoh tidak mengizinkan umat Islam dari negara lain berjihad di bumi Syria terutama dalam keadaan sekarang, situasi huru-hara di sana. Ketua Rabitah Ulama Idlib di Syria, Sheikh Abdullah Musthafa Rahhal berpendapat, ramai generasi muda dari Malaysia dan Indonesia yang terbabit berjihad di Syria tidak mengikut cara jihad dalam Islam. Malah, Sheikh Abdullah menyatakan generasi muda juga tidak benar-benar faham bahasa Arab dan keadaan semasa di sana sehingga mendedahkan mereka kepada manipulasi kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (IS) yang sebenarnya datang dari luar Syria atas sebab dan perjuangan yang kabur walaupun mendakwa atas nama jihad.
Semangat berkobar-kobar apabila dibakar dengan jihad mendorong mereka untuk menyertai kumpulan yang sebenarnya tidak berjihad atas nama Islam.
Generasi muda dari Malaysia dan Indonesia dinasihatkan tidak menyertai peperangan di Syria kerana dikhuatiri terpesong. Sheikh Abdullah juga menyatakan situasi di Syria, walaupun datang dengan tujuan yang baik dan semangat yang berkobar-kobar, niat mungkin terpesong kerana dangkal dengan selok-belok dan situasi di Syria sehingga mendorong mereka terjebak dalam kancah peperangan yang tiada kaitan dengan jihad.
Malah, Sheikh Abdullah menyatakan ISIL menggunakan nama ulama palsu yang sebenarnya datang dari negara lain termasuk Russia dan Iran atas tujuan yang tidak jelas statusnya.
Tokoh ulama terkenal Syam, Syeikh Usamah Rifaie pula menyatakan tidak perlu pemuda dari Malaysia menyertai misi jihad, sebaliknya lebih baik membantu misi kemanusiaan untuk memberikan makanan, minuman dan ubat-ubatan.
Nadir Mudir Maahad al Fatah Islami, Syeikh Muhammad Muwaffaq al-Murabi berpendapat tidak patut pemuda Malaysia datang ke bumi Syria berperang, tetapi lebih utama memberi bantuan kemanusiaan. Ulama Syria sendiri iaitu Syeikh Muhammad Husin Kanu juga menyatakan pendapat yang sama bahawa orang Islam di Malaysia bahkan dari negara lain tidak perlu terbabit berjihad di bumi Syria.
Pengerusi Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuan Islam, Dr Abdul Aziz Hanafi, menyokong kenyataan dikeluarkan Syeikh Abdullah Musthafa dan menyeru belia Malaysia jangan ghairah mendengar seruan jihad sedangkan mereka mungkin membunuh dan merosakkan lagi keadaan negara sedang bergolak itu.
S: Apa pandangan Dr sendiri berhubung perkara ini?
J: Pada saya berdasarkan pengamatan dan perbincangan dengan NGO Islam yang terbabit secara langsung membantu dan melaksanakan misi kemanusiaan di bumi Syria, jelas menunjukkan bahawa yang utama dan lebih penting adalah memberikan bantuan makanan, minuman dan pakaian serta ubat-ubatan berbanding berjihad di sana.
Antara asas kukuh yang perlu difahami umat Islam adalah Fiqh Aulawiyyat (Fiqh Keutamaan), memulakan dengan berbakti dan berkhidmat kepada ibu bapa adalah diutamakan berdasarkan hadis bermaksud "Datang seorang lelaki kepada Nabi SAW, lalu ia meminta kebenaran daripadanya untuk berjihad. Maka Baginda bertanya kepadanya: "Adakah ibu bapa engkau masih hidup? Dia menjawab: Ya! Baginda bersabda: "Maka hendaklah berbakti kepada kedua-duanya dikira engkau berjihad."
Berbuat baik kepada ibu bapa lebih baik daripada jihad. Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapa seperti dinaskan dalam al-Quran, Surah al-Isra ayat 23 bermaksud: Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
Sayid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: "Hubungan pertama selepas hubungan akidah adalah hubungan keluarga. Oleh kerana itu, penjelasan ayat ini menghubungkan kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa dengan kewajipan menyembah Allah SWT untuk menerangkan betapa tingginya nilai berbuat baik kepada ibu bapa itu di sisi Allah SWT.
Suasana di Syria sekarang yang mempunyai pelbagai puak dan pertempuran berlaku sesama sendiri, maka sepatutnya umat Islam menghindarinya dan memelihara darah mereka.
Isu kebuluran kerana kekurangan makanan dan ubat amat mendesak kepada jutaan rakyat Syria. Justeru, bantuan dengan menyumbangkan wang bagi membeli barangan berkenaan lebih diutamakan.
Menimba ilmu dan membabitkan diri dalam pelbagai bidang dan cadangan ilmu adalah penting lebih-lebih lagi untuk menyelesaikan isu kecelaruan pemikiran hasil daripada serangan al-Ghazwul Fikri.
Ulama Syria begitu bertegas yang keperluan utama adalah bantuan kemanusiaan bukan dengan jihad.
Sejarah Rasulullah SAW di Kota Makkah dan Madinah juga cukup menjadi bukti bahawa keputusan mengenai jihad hanya berada di bawah kuasa pemimpin dan tidak harus untuk menjerumuskan orang Islam ke dalam bahaya yang akibatnya tidak diingini.
Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam menegakkan syiar Islam dengan penuh hikmah yang disulami dengan ilmu serta dada yang penuh dengan sifat terbuka dan toleransi. Jauhkan diri kita daripada terikut-ikut tanpa memahami akan sesuatu dengan jelas.

BANTUAN kemanusiaan seperti perubatan lebih diperlukan di Syria. - Foto hiasan
S: Bagaimana pula dengan perjuangan IS, apakah pandangan Dr?
J: Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka Negara Islam Iraq dan Jajahannya atau Negara Islam Iraq dan Syria (IS). Mereka ini mendakwa adalah negara Islam, negeri yang diiktiraf dan aktif berjihad dengan kumpulan militan di Iraq dan Syria. Kumpulan ini mengisytiharkan atas nama agama berkuasa ke atas semua umat Islam dan bercita-cita membawa banyak negara Islam yang ada di seluruh dunia bersama.
Mereka memperkenalkan pemusatan politik Khalifah yang bermula dengan wilayah berdekatan di jajahan mereka termasuk Jordan, Israel, Palestin, Lubnan, Kuwait, Cyprus dan kawasan di selatan Turki termasuk Hatay.
Kumpulan ini pada asalnya dianggotai pelbagai kumpulan Sunni termasuk pertubuhan yang terdahulu, seperti Majlis Mujahidin Shura, Negara Islam Iraq (IS) dan Al-Qaeda di Iraq (AQI).
Berita mutakhir melaporkan bahawa Abu Bakar al-Baghdadi kini dilantik sebagai pemimpin Khalifah di IS. Pada 26 Jun lalu, mereka mengisytiharkan kewujudan semula kerajaan Khalifah selepas ia dimansuhkan sejak kewujudan Empayar Uthmaniah pada tahun 1924.
Rabitah Ulama Syam dalam reaksinya menyatakan kewujudan IS adalah fitnah dan mempunyai agenda peribadi. Mereka mengajak umat Islam menyertai mereka untuk setia kepada seorang lelaki.
Ulama berkenaan mahu fitnah itu dihentikan sebelum menjadi besar dan tindakan itu bahaya pada peringkat dalaman dan imej jihad. Ini mewujudkan musuh baharu pada peringkat antarabangsa terhadap mujahid dan rakyat Syria.
Berdasarkan pandangan dan pendapat ulama, maka saya berpendapat yang sama iaitu sokongan dan dokongan terhadap kelompok IS adalah bercanggah dengan Syariah Islam yang sebenarnya.
Melihat kepada syarat Khilafah Islamiah seperti dinukilkan oleh Imam al-Mawardi di dalam al-Ahkam al-Sultaniah jelas menunjukkan IS tidak menepati syarat dalam pelaksanaan negara Islam atau Khalifah. Umat Islam di Malaysia hendaklah menjauhi kumpulan ini dan tidak perlu memberikan sebarang bantuan serta kerjasama.
S: Mengapa sokongan tidak boleh diberikan kepada ISIL dan ISIS?
J: Mengikut pendapat ulama Syam, IS bukan setakat bercanggah dengan syariat Islam, tetapi mereka juga mencipta fitnah baharu dan melakukan kejahatan dalam negara. Antaranya menceroboh Syria dan memperbodohkan mereka dengan mengisytiharkan negara tanpa kehadiran sebenar mana-mana komponen yang realistik atau mana-mana kesahihannya. Pencerobohan dilakukan tanpa nasihat atau kelulusan mana-mana rakyat tempatan, ulama dan tanpa menghubungi sesiapa di negara itu.
Tuntutan monopoli Islam kepada mereka dan menuduh orang lain bodoh, pengkhianat dan menghina mana-mana orang yang tidak menyertai mereka. Mereka juga melampau dengan menuduh orang lain kufur dan menguji orang padanya untuk membuktikan mereka kufur sehingga mereka terpaksa mengaku kafir.
Mereka juga menuduh sesiapa yang tidak setuju dengan mereka sebagai pengkhianat dan kufur walaupun orang berkenaan dimuliakan dan lebih awal berjihad.
Paling menyedihkan mereka menjadi duri dalam daging dengan bertempur di belakang bertujuan meluaskan wilayah mereka dengan mengambil tanah mujahid .
Jika mereka gagal menguasai satu-satu kawasan, mereka sengaja mengaku kawasan berkenaan hak mereka dan mengalihkan arah mujahid daripada memerangi tentera Assad.
Tokoh ulama terkemuka, Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi membuat pengumuman bahawa pemerintahan Khalifah Islam diwujudkan IS adalah melanggar undang-undang syariah. Seorang ulama pakar Maqasid Syariah dari Maghribi, Prof Dr Ahmad al-Raysuni, pula menyatakan pengumuman IS hanyalah sebuah angan-angan, fatamorgana dan mimpi yang sebaiknya perlu ditinjau dari sudut realiti ilmiah mahupun syariah.
Pengerusi Gerakan Nahdah dan anggota Majlis Penasihat Kesatuan Ulama Sedunia, Syeikh Rashid Ghannoushi pula mempertikaikan penubuhan negara Islam di bawah IS kerana membawa tindakan yang zalim dan kejam tanpa sebarang pertimbangan sehingga mengorbankan ramai orang ramai. Penasihat Mufti Mesir, Dr Ibrahim Najm yang menjadi jurucakap Darul Ifta' Mesir pula berkata, sesiapa yang menyertai kumpulan IS adalah haram pada hukum syarak kerana mengakibatkan kehancuran negara dan gambaran yang buruk terhadap Islam pada pandangan dunia. Malah, Darul Ifta berpendapat IS tersasar dalam perjuangannya bagi menghalalkan tindakan menumpahkan darah dan mereka dianggap golongan pengganas yang menggerunkan sehingga boleh menyebabkan banyak kemaslahatan bagi pihak musuh Islam yang sudah pasti mengambil kesempatan.
Berdasarkan kepada pandangan dan pendapat tokoh ulama, maka saya berpendapat yang sama iaitu sokongan dan dorongan terhadap IS ini bercanggah dengan syariah kerana mereka tidak menepati pelaksanaan negara Islam.