Tuesday, May 26, 2009

PANDANGAN UMUM TENTANG KITAB ALLAH S.W.T. (3)

Assalamu'alaikum, afwan kerana terputus agak lama untuk menulis. Saya ingin menyambung kembali tajuk 'Pandangan Umum Tentang Kitab Allah s.w.t.' semoga perjalanan hidup kita diberkati oleh Allah...

Kitab Allah s.w.t. membangkitkan hati untuk percaya kepada apa yang seharusnya dipercayai oleh hati. Keimanan ini tidak berhenti sampai di sini saja kerana bila berhenti sampai di sini saja, ia hanya merupakan keimanan ilmiah secara teori saja. Al-Quran lebih dari itu. iaitu menyedarkan anda bahawa kehidupan di akhirat menanti anda dan pengawasan Allah senantiasa mengikuti anda.

"Dia mengetahui pandangan mata yang berkhianat dan apa yang disembunyikan oleh hati." (Surah Ghafir: 19)

Jadi ke mana pun anda menghadap, anda mengerti bahawa mata Allah melihat anda dan bahawa pengawasan Allah mengikuti anda. Kesimpulan ilmiah darinya ialah bahawa anda seharusnya senantiasa merasa diawasi oleh Allah s.w.t. "Jika kamu tidak boleh (seolah-olah) melihat Allah, maka (sedarilah) bahawa sesungguhnya Dia melihatmu."

Selain itu anda juga melihat akhirat senantiasa berada di hadapan anda. "Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya lantas mereka berkata: 'Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis).' Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang pun." (Surah Al-Kahfi: 49)

"Dan pada hari itu kamu melihat tiap-tiap umat berlutut. Tiap-tiap umat dipanggil untuk melihat buku catatan amalnya. Pada hari itu kamu diberi balasan atas apa yang telah kamu kerjakan." (Surah Al-Jaatsiyah: 28)

Jadi keyakinan ini bersifat fitrah dan praktikal berlandaskan kepada fitrah dan mengarahkan fitrah itu kepada amal dan kebaikan. Ia adalah Aqidah Salimah (keyakinan yang sejahtera), yang memadukan antara kesederhanaan dan kedalaman. Inilah unsur pertama.

Kedua adalah Ibadah Sohihah (ibadah yang benar/sah)

Dalam kitab Allah anda membaca: "Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat." (Surah An-Nur: 56)

Anda juga membaca: "(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi." (Surah Al-Baqarah: 197) "Diwajibkan kepada kamu berpuasa." (Surah Al-Baqarah: 183) "Dan berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, dengan zikir yang sebanyak-banyaknya." (Surah Al-Ahzab: 41) "Maka aku katakan kepada mereka: 'Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun." (Surah Nuh: 10)

Dalam kitab Allah disentuh perihal peribadatan yang biasa anda laksanakan dan peribadatan yang biasa anda tinggalkan. Sebab meninggalkan hal-hal yang terlarang juga merupakan ibadah. "Katakanlah kepada orang-orang yang beriman lelaki hendaklah mereka menahan sebahagian pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka." (Surah An-Nur: 30) "Sesungguhnya meminum khomar, berjudi, berkorban untuk berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan." (Surah Al-Maidah: 90)

Ironisnya, orang-orang musyrikin yang dicela oleh Allah telah melakukan undian nasib dengan anak panah. Mereka tidak percaya kepada apa yang dipercayai oleh ramai orang di kalangan mereka iaitu para peramal dan pendusta. Padahal Rasulullah s.a.w. bersabda:

من أتى كاهنا أو عرافا فصدقه بما يقول فقد حجبت عنه التوبة أربعين صباحا

"Barangsiapa mendatangi seorang tukang tenung atau peramal, kemudian membenarkan perkataannya, maka tidak diterima taubat daripadanya selama empat puluh hari."

Baginda juga bersabda:

من أتى كاهنا أو عرافا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد

"Barangsiapa yang mendatangi seorang tukang tenung atau peramal, kemudian membenarkan perkataannya, maka ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad."



No comments: