Wednesday, May 14, 2014

Aplikasi assobiyyah dalam pemelihara hegemoni – M A Ariffin

Dewasa ini, media utama mahupun media alternatif sering melaporkan detik-detik konflik dan ketegangan yang merisaukan. Rakyat dihidangkan dengan ancaman demi ancaman berbaur perkauman mahupun konflik antara agama.
Perkara ini adalah suatu simpton-simpton awal yang mampu membawa kepada ketidakstabilan yang lebih meruncingkan. Ketika negara ini kian pesat membangun, krisis dalaman telah mengganggu gugat fokus negara daripada pembangunan ekonomi kepada penyediaan solusi untuk menangani krisis ini. Ternyata ketegangan dan konflik adalah factor penyumbang yang meruntuhkan hegemoni negara.
Dalam magnus opusnya, Ibnu Khaldun pernah memberikan suatu refleksi yang ajaib apabila mengulas ayat dua daripada surah al-Mulk. Ibnu Khaldun berpendapat bahawa fenomena konflik dan ketegangan adalah lumrah dalam peradaban manusia yang dinamik.
Terdapat beberapa kelompok yang bakal lahir natijah daripada konflik dan ketegangan tersebut. Namun, Ibnu Khaldun mengangkat golongan yang mengambil pengajaran dan sentiasa belajar daripada ketegangan dan konflik tersebut kerana mereka bakal muncul sebagai golongan yang terbaik.
Maka, dalam kerencaman ketegangan dan konflik yang mengaburi kaca mata kita daripada melihat kebenaran, penulis ingin menyarankan para pembaca untuk melihat perkara ini dari kaca mata positif.
Ternyata ketegangan dan konflik sekiranya tidak diurus dengan bijak akan mendatangkan malapetaka terhadap hegemoni negara. Dalam al-Muqaddimah, Ibnu Khaldun telah menghidangkan dua teori sebagai suatu mekanisma untuk membentuk hegemoni sesebuah kelompok iaitu “Ketuanan Quraish” dan “Assobiyyah”.  
Tatkala  meneliti solusi terbaik untuk merangka gerak kerja memperjuangkan hegemoni negara, adalah bijak sekiranya kita terlebih dahulu memahami makna “hegemoni” itu sendiri. Dengan kepelbagaian latar belakang pembaca, mungkin ada yang cuba memaknakan hegemoni dari sudut politik, ekonomi, budaya, mahupun lapangan pengaruh. Penulis lebih cenderung untuk memberi pembaca suatu sudut pandang yang berbeza.
Ketuanan kaum sebagai mekanisme hegemoni
Dalam kontek Malaysia dari aspek kaum, Melayu dilihat sebagai kaum yang dominan kerana meliputi 56.1 % daripada seluruh populasi negara ini, diikuti oleh kaum Cina dengan populasi sebanyak 24.6%. Ternyata, perjuangan hegemoni dengan nada perkauman kian mendekati kegagalan.
Buktinya, setelah lebih 50 tahun, keharmonian antara kaum dalam negara ini masih belum mencapai kematangan yang memuaskan. Polarisasi kaum semakin menjadi-jadi. Usaha pengharmonian antara kaum tidak menjadi keutamaan.
Tragedi konflik perkauman sudah mendarah daging. Rakyat dipisahkan dengan fahaman politik perkauman. Perjuangan untuk keadilan, kebebasan dan kesamarataan lebih cenderung kepada kepentingan kaum sendiri.
Inilah yang disebut sebagai natijah daripada The Otherness dan Primordialisme hasil daripada asobiyyah perkauman yang menabur kebencian terhadap kaum-kaum lagi, tidak menghormati hak warganegara dan kemanusian kaum-kaum lain, menganggap ketuanan kaum sendiri sehingga menanggalkan nilai-nilai kemanusiaan dan kecintaan, serta memalitkan permusuhan dan sikap menghukum (Qadhi). Maka inilah disimpulkan Khemiri sebagai asobiyyah yang buruk dan jelik.
Ketuanan agama sebagai mekanisme hegemoni
Kedua, perjuangan hegemoni dengan agama dilihat lebih meyakinkan. Mengikut statistik, Islam memiliki potensi besar mendominasi hegemoni negara ini. Islam dilihat sebagai agama yang paling dominan kerana memiliki penganut paling ramai sebanyak 61.3%, diikuti oleh agama Buddha dengan jumlah penganut sebanyak 19%, dan seterusnya diikuti oleh agama Kristian dengan jumlah penganut sebanyak 9%.
Namun, statistik ini harus dilihat dengan sebelah mata kerana ternyata perbezaan matlamat politik menggagalkan potensi agama sebagai ruang mendominasi hegemoni. Ruang akan terbuka hanya sekiranya parti politik dipelopori penganut Islam seperi Umno, PKR dan PAS bersatu dan bersetuju untuk berganding bahu bersama-sama.
Namun, penulis melihat dengan kejayaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 2013 mengikat kerjasama politik antara PKR, PAS dan DAP pada masa hadapan.
Mungkin ramai yang menganggap bahawa kenapa perjuangan agama, terutamanya agama Islam sebagai mekanisme hegemoni dianggap sebagai tidak strategik oleh penulis. Penulis menolak agama sebagai mekanisma mencapai hegemoni dengan melihat kepada kerakusan dan penyelewengan gereja di Eropah melakukan pembunuhan para pemikir dan saintis barat yang bertentangan dengan gereja, dengan menggunakan hegemoni agama.
Rakyat barat bangkit lantas berjuangan sehingga termeterainya Perjanjian Peace of Westphalia. Bukti yang lebih visual terdapat di Mesir baru-baru ini. Hegemoni agama dipergunakan penguasa berkepentingan menumpahkan darah masyarakat awam yang tidak berdosa kerana menuntut hak kemanusiaan. Maka apa lagi sandaran untuk mendokong agama sebagai mekanisma mencapai hegemoni.
Di samping itu, apabila meneliti sejarah perjuangan ar-Rasul, para Khalifah Ar-Rasyidin dan Khalifah Umar Abdul Aziz, ternyata konsep “la ikraha fiddin” (tiada paksaan dalam beragama) begitu menyerlah dan menjadi syiar perjuangan mereka.
Di sini terdapat satu perbezaan yang harus difahami dengan baik antara misi dan mekanisma perjuangan Islam. Ternyata, sejarah Muslim menyaksikan bahawa perjuangan Islam bermisikan tauhid dengan mekanisme “rahmatal lil alamin” (rahmat untuk seluruh alam).
Ketuanan strategik
Maka, apakah konsep ketuanan yang strategik pada penulis? Penulis cuba menggarap makna ketuanan sebagai mekanisme hegemoni daripada tiga elemen universal yang dipelopori oleh Imam As-Syatibi, iaitu perjuangan kebebasan, kesamarataan dan keadilan, untuk mencapai keharmonian sejagat.
Di sini, penulis tidak akan memperincikan pandangan penulis terhadap tiga elemen ini, kerana penulis percaya penulis dan pembaca turut memiliki kerangka tersendiri untuk mendefinisikan tiga elemen tersebut.
Ternyata dengan memaknakan ketuanan kepada tiga elemen ini, penulis ingin membawa rakyat Malaysia untuk melihat jauh kehadapan dan bersifat lebih kreatif dlm menanggapi perjuangan hegemoni. Penulis menganggap mekanisme yang strategik adalah “Ketuanan Quraish” yang memperjuangkan nilai-nilai universal iaitu kebebasan, kesamarataan dan keadilan dengan “Assobiyyah” dalam kerangka kewarganegaraan Malaysia.
Ternyata penulis perlu memiliki rasional yang kukuh kerana berani mengangkat “Ketuanan” dan “Assobiyyah” yang demikian. Di sini, penulis ingin mengajak pembaca untuk mengimbau beberapa pemerhatian penting yang mengubah corak fikir dan tindakan masyarakat negara ini.
Pertama, apabila kejatuhan Khilafah Islamiyyah pada 19924 telah melahirkan gerakan pan-islamisma diseluruh dunia. Malaysia sendiri tidak terkecuali dan turut mengambil peranan. Hasilnya, lahir pelbagai gerakan beraliran agama Islam yang memperjuangkan Islam sebagai ad-Deen di negara ini.
Perkembangan gerakan-gerakan ini dalam memahami kandungan perjuangan Islami telah membuka penglibatan mereka dalam pendidikan, kebajikan, politik, dan ekonomi. Fenomena ini telah memberikan impak positif terhadap generasi yang lahir kemudian kerana mereka mula lahir dengan watak “rijalun hurrun” (A Free Man).
Hal ini kerana pendidikan yang ikhlas dan tidak berkepentingan telah membebaskan mereka daripada cengkaman kebodohan dengan cara pemberdayaan akal dgn ilmu, lantas membentuk kesedaran kemanusiaan dalam diri mereka.
Kedua, apabila meneliti corak perjuangan bangsa-bangsa lain di dunia pasca-kolonial, maka kita dapati terdapat beberapa perubahan dalam nada perjuangan mereka. Mereka bermula dengan gerakan nasionalisme yang memperjuangan kepentingan nasional, kemudian nada ini ternyata berubah dengan kelahiran dan tersebarnya aliran-aliran pemikiran seperti liberalisme dan sosiolisme.
Ini terbukti dengan kelahiran banyak organisasi-organisasi dan parti-parti politik dengan agenda dan nama liberalisme dan sosiolisme.
Natijah yang menarik dan positif
Ternyata rentetan daripada pertembungan kedua-dua fenomena tersebut telah melihat natujah yang menarik dan positif. Generasi terkemudian yang lahir melihat hasil pertembungan ini telah mula memahami baik dan buruk kandungan perjuangan tersebut.
Pemikiran mereka mulai matang dalam menilai dan mulai mengharapkan kandungan perjuangan yang lebih baik. Hasilnya, pada era ini ramai generasi baru yang mula menanggapi perjuangan perkauman berkepentingan dan perjuangan yang menyemarakkan konflik dan emosi, dengan penuh penolakan.
Ramai generasi baru yang mula mendokong perjuangan universal dengan misi untuk meletakkan kemanusian di tempatnya. Hasilnya, ternyata perjuangan keadilan, kesamarataan, keadilan yang lebih mengiktiraf kemanusiaan dalam ruang kasih sayang, saling mengenali dan hormat menghormati, menolak penyelewengan dan penindasan, menolak perkauman yang melampau dan menabur kebencian, mendapat tempat dan menerima dokongan yang menakjubkan.
Penulis melihat fenomena ini sebagai perubahan untuk kembali kepada fitrah insaniah.
Inilah yang dicatat oleh pengkaji sosiologi sebagai perubahan sosial bertitiktolakkan kematangan pemikiran dalam ruang awam. Perubahan ini mengubah cara fikir masyarakat awam daripada kesempitan minda monocultural yang dihimpit dengan ekslusiviti kelompok tertentu, dominasi kelompok tertentu dan penyingkiran sosial terhadap kelompok minoriti kepada keluasan minda multicultural yang bersifat inklusif, berdiri di atas dasar saling mengenali yang berterusan serta diperkaya dengan Eudaimonia (pembangunan kesejagatan nilai dan identiti untuk kebaikan masyarakat awam).
Ternyata, inilah kefahaman yang baik terhadap intipati universal yang diajar Islam sebagai ad-Deen sebagaimana yang disebut dalam surah Hujurat.
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Mengenal” (49:13)
Konklusi
Penulis menyeru para pembaca unruk mengimbau kembali akan golongan yang diangkat oleh Ibnu Khaldun iaitu golongan yang mengambil pengajaran dan sentiasa belajar daripada ketegangan dan konflik untuk menjadi golongan yang terbaik.
Malah penulis memasang harapan bahawa golongan yang terbaik ini adalah mereka yang memiliki kematangan pemikiran dan mampu untuk memilih mekanisma perjuangan yang terbaik demi kemaslahatan yang universal dan tidak berbaur kebencian dan mencabar keharmonian yang telah dibina dengan peluh dan darah oleh para negarawan dan nenek moyang kita.
Maka haruslah diingat bahawa kegagalan memilih mekanisme yang terbaik adalah titik tolak kepada kegagalan mengekalkan hegemoni negara ini. Ternyata mekanisma yang terbaik adalah dengan penolakan terhadap perjuangan bermekanisma agama dan perkauman, diganti dengan mengangkat mekanisme “Ketuanan Quraish” yang memperjuangkan nilai-nilai universal dengan “Assobiyyah” bersifat kewarganegaraan Malaysia.– 13 Mei, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: