Sunday, January 24, 2010
Alhamdulillah yang dengan nikmatNya sempurnalah segala kebaikan
Perutusan daripada Dr Mohd Bade’ Mursyidul Am IM
Ikhwah dan akhawat yang dimuliakan,
Salamullah Alaikum warahmatuhu wabarakatuhu..
Ini adalah perutusan pertama, saya tujukan kepada kalian setelah kalian curahkan thiqah kepada saya. Kalian telah menjadikan saya orang yang paling berat menanggung bebanan. Sekalipun Saidina Abu Bakar menyatakan secara tawadhu’, saya nyatakannya dengan sebenarnya: ‘Saya telah dilantik mengetuai kalian, namun saya bukan orang yang terbaik di kalangan kalian, taatlah kepadaku selama aku taat kepada Allah.”.. Kita amat perlu bergantung dengan doa, semoga keberkatannya mengandungi dua kebaikan yang telah disebutkan oleh Rasulullah saw: “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu doakan untuk mereka dan mereka pula mendoakan untuk kamu.”
Syura, institusi dan thiqah ialah tempat di mana jiwa ikhwah dan akhawat diuji. Syura di sisi kita adalah satu surah daripada surah-surah al-Quran. Ia merupakan satu fardhu dalam Islam dan akhlak amat diperlukan untuk melaksanakannya di semua peringkat dengan menggunapakai instrument terkini bagi menentukan pemilihan berjalan dengan lancar.
Kalian telah menyaksikan contoh yang telah ditunjukkan oleh Mursyid ke tujuh Ustaz Mohd Mehdi Akeef. Beliau telah merealisasikan pendirian berdasarkan kefahaman ini, dan menafikan segala pembohongan ke atas Jamaah yang maha berkat ini. Kita tidak pernah menjawab persoalan yang mengatakan bahawa IM menuntut dilaksanakan demokrasi untuk diadakan pemilihan; bila mereka dapat kuasa maka mereka tidak akan berundur dan ini bukti mereka tidak ikhlas dalam tuntutan tersebut. Kita tidak menulis untuk menjawab sangkaan jahat itu kerana ‘kita adalah kaum yang bekerja’. Pendirian yang diambil itu besar ertinya. Ia telah menghapuskan segala kebatilan dan persepsi jahat berniat untuk menggugat kerukunan Jamaah. Alhamdulillah dengan adanya rukun thiqah pada qiadah, yakin dengan janji Allah, yakin dengan pemeliharaan Allah, yakin dengan kesejahteraan manhaj serta perlaksanaannya, maka Allah telah memelihara kita daripada fitnah sehingga kita dapat merawat kesilapan yang berlaku sebagai penyempurnaan kepada kekurangan dalam suasana yang diliputi oleh kasih sayang. Dalam hal ini kita tidak bertemu dengan ikhwah yang menyakiti ikhwah yang lain dan ta’asub demi kepentingan diri atau hawa nafsunya.
Perkara terpenting ini telah kalian saksikan ianya terlaksana di kalangan qiadah Jamaah yang berkat ini, maka adalah menjadi kemestian juga untuk dilaksanakan di peringkat bawahan. Maka musyawarah (syura) mesti terlaksana juga di dalam usrah-usrah kerana memberi pandangan adalah salah satu rukun untuk pembinaan peribadi muslim yang merdeka dengan niat untuk mendapat keredhaan Allah. Memiliki kebebasan untuk memberi pandangan adalah kemestian kerana ialah salah satu objektif terpenting IM. Pembebasan tanahair tidak berlaku melainkan setelah berlakunya kemerdekaan insan.. Marilah kita mulakan dengan diri kita dahulu. Ayuh kita laksanakan musyawarah di semua peringkat kerana ia memerlukan latihan serta kesabaran untuk mendengar pendapat orang lain. Nasihat itu asas ad-Din dan ia sepatutnya terlaksana di peringkat pimpinan terlebih dahulu.
Ayuh kita sama-sama perbaharui tekad untuk melatih qiadah menanggung bebanan supaya yang terlantik nanti adalah mereka yang berwibawa dan berkelayakan; bermula daripada sof pertama, kemudian diikuti oleh sof kedua dan seterusnya. Sebagai persediaan ia adalah tiga barisan pelapis untuk qiadah. Sesungguhnya mempersiapkan kanak-kanak mumayyiz dengan hukum syara’ khusus membolehkan dia dijadikan imam dalam solat, sekalipun dia belum mukallaf. Ini menunjukkan bahawa mempersiapkan kepimpinan dengan ibadat merupakan objektif yang mesti diletakkan dalam perlaksanaan. Berkata Imam Al-Banna rahimahullah: “Jadilah kalian hamba yang tekun beribadat sebelum dilantik sebagai ketua, nescaya ibadat kamu itu akan menjadikan kamu pemimpin yang terbaik”, kerana di sana ada pendapat mengatakan bahawa kestabilan tidak tercapai melainkan dengan kejumudan dan menolak perubahan sedangkan badan yang sihat ialah badan yang darahnya mengalir dengan baik dan sel-selnya sentiasa berkembang. Bila aliran darah dalam badan terhenti dan sel-sel tidak lagi aktif badan tidak stabil dan ia adalah penyakit yang boleh membawa maut, na’uzubillah.
Inilah Jamaah kalian, dengan kurniaan Allah ia keluar dari fitnah yang melanda dengan lebih sihat dan kuat. Ia akan maju ke depan dengan penuh keazaman di jalan yang sama, di atas asas thawabit (tetap) dan nilai-nilai yang telah ditanam pertamakalinya oleh pengasasnya Imam Syahid Hasan Al-Banna rahimahullah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, lalu dituruti pula oleh pemimpin yang mursyid selepasnya. Berbekalkan kesabaran anggota-anggotanhya, Jamaah IM terus segar bergerak maju, berkorban apa sahaja yang dimiliki untuk dakwah ini kekal tinggi dan mulia demi menyebarkan kebaikan ke seluruh pelusuk Negara. Firman Allah: “Dan bagi Allahlah kemuliaan itu, bagi RasulNya dan bagi orang-orang beriman” (Surah Al-Munafiqun:ayat 8)
Allah Maha Besar berhadapan segala kesukaran.. Alhamdulillah di atas segala hal dan setiap keadaan… Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment