Sunday, December 29, 2013

Melihat Maqasid Praktis Politik Nabi saw

satu tulisan yang membuka minda pembaca memahami lebih jelas isu maqasid syariah....
 Friday, 27 December 2013
Tidak mungkin kita berbicara tentang “pelaksanaan Syariah” dalam realiti negara tanpa membezakan antara apa yang merupakan perakuan dan perbuatan Nabi saw menurut jalan pensyariatan (tashri’) dan apa yang dilakukan semata-mata atas faktor dirinya sebagai manusia dan bukan merupakan pensyariatan, dan apa yang dilakukan menurut jalan “kepemimpinan” (al-Imamah), atau apa yang kita sebutkannya dengan bahasa semasa sebagai al-siyasat (hal-hal berkaitan politik).
Adapun tashri’, ia merupakan wahyu Tuhan yang tetap dan tidak berubah, adapun apa yang datang daripada Nabi saw atas sebab perbuatan hariannya sebagai manusia (contohnya tiada pensyariatan padanya daripada pakaian, makanan, minuman, peralatan, perubatan,kenderaan, kelengkapan rumah, perhiasan, bangunan dan lain-lain), ia tidak wajib kepada manusia melainkan beberapa individu mengikuti Nabi saw dalam perkara-perkara itu atas faktor kebersangatan, meneladani dan kecintaan dalam diri mereka. Adapun apa yang menurut faktor hal-hal kepolitikan – menerusi jenisnya yang pelbagai – maka pengajarannya di sini ialah berdasarkan makna, prinsip dan tujuan-tujuan yang telah kami sebutkannya (dalam tajuk Membezakan Antara Hukum dan Prinsip Syariah), bukannya berdasarkan bentuk, hukum yang telah lalu dan keputusan-keputusan yang terbatas.
Terdapat ulama yang menyebut pembahagian lain daripada tujuan-tujuan perbuatan Rasulullah saw lalu mereka bertanya: “adakah Nabi saw bermaksud pensyariatan pada perkara tertentu ataupun tidak bermaksud pensyariatan?” Ini merupakan perkara yang saling bersilang, justeru terdapat terdapat perbuatan-perbuatan yang semestinya dimaksudkan Rasulullah saw padanya pensyariatan, dan ia diketahui, seperti solat kerana Nabi saw bersabda: (“solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku bersolat ”) dan seperti haji kerana baginda saw bersabda: (“ambillah daripada aku ibadat haji kamu”). Terdapat juga perbuatan yang semestinya tidak dimaksudkan Nabi saw padanya pensyariatan seperti kegemarannya terhadap sebahagian makanan yang terkenal dalam kalangan orang Arab, atau pakaiannya daripada pakaian putih Arab, maka baginda saw tidak berkata: “makanlah labu sepertimana aku memakannya,” “pakailah pakaian putih sebagaimana aku pakai,” “tanamlah pohon kurma sebagaimana aku tanam,” dan “binalah rumah sebagaimana aku bina,” semua ini daripada perkara adat iaitu Nabi saw melakukannya menerusi jalan al-jibillah (tabiat semula jadi) seseorang manusia. Perbuatan al-jibiliyyahsemata-mata merupakan perbuatan dengan hukum persekitarannya saw dan apa yang geografi dan sejarah jadikannya begitu.
Namun terdapat ruang penting dalam konteks perbincangan kita yang wujud perbezaan pandangan akannya, iaitu ruang-ruang yang kita bertanya padanya: “adakah Rasulullah saw maksudkan menerusi perbuatannya ini supaya menjadi pensyariatan untuk setiap Muslim atau tidak bermaksud demikian? Atau ia pensyariatan untuk sekumpulan tertentu yang baginya fungsi-fungsi tertentu?” ia merupakan topik yang menarik. [1] Ruang ini – iaitu antara apa yang merupakan pensyariatan dan apa yang bukan pensyariatan – sendiri terbahagi kepada beberapa bahagian. Imam al-Qarafi dalam karangannya al-Furuq (ia kitab yang penting) telah membezakan antara jenis-jenis perbuatan Nabi saw, lalu beliau rahimahullah berkata dalam bahagian ke-36:
“Terdapat perbezaan antara perbuatan-perbuatan Nabi saw berkenaanal-qadha’ (kehakiman), perbuatannya berkaitan fatwa dan ia adalah al-tabligh(penyampaian) dan al-Imamah (kepemimpinan) … Perbuatan-perbuatannya berdasarkan ciri-ciri ini berbeza kesannya dalam Shariah … Setiap apa yang beliau ungkap atau buat berdasarkan jalan al-tabligh ia merupakan hukum umum … Adapun baginda saw membangkitkan tentera, menguruskan harta –harta Baitul Mal, Pelantikan hakim dan pemimpin, pembahagian harta rampasan perang dan menandatangani perjanjian, perbuatannya padanya menerusi jalanal-Imamah bukannya selainnya.”[2]
Oleh itu, apa yang Rasulullah saw sabda menerusi jalan al-tabligh, maka ia wajib secara syarak kepada setiap Muslim (adapun secara kanun, ia topik yang berbeza, kita akan sampai perbincangannya). Apa yang Rasulullah saw sabda atas jalan al-qadha’ iaitu baginda saw menghakimi antara dua yang bertelingkah dan sesuatu kes, ia kembali kepada para hakim sahaja dan bukannya seluruh manusia. Apa yang Nabi saw kata atas jalan al-imamah iaitu atas jalan ‘politik’ atau apa yang kita sebut hari ini sebagai perkara-perkara kepolitikan, keputusan-keputusan eksekutif, prosedur-prosedur atau pentadbiran kepolitikan atau kekuasaan, semuanya menurut pemimpin atau pada hari ini ia menurut rakyat, sebagaimana kami akan terangkan.
Terdapat persoalan-persoalan yang dikenali dalam fiqh yang dibezakan para ulama padanya antara apa yang hanya harus kepada pemerintah – menurut perkataan mereka – dan apa yang harus kepada setiap Muslim. Apa yang boleh difahami di sini ialah apa yang Nabi saw buat dengan tujuan pelaksanaan atau perkara-perkara berkaitan politik tidak wajib ke atas semua Muslim elainkan pada konteksnya yang terhad dan bukannya pada setiap konteks. Apa yang wajib daripada perbuatan-perbuatan ini kepada setiap Muslim ialah tujuan, matlamat dan makna yang dimahukan Nabi saw menerusi perbuatannya yang mulia, bukannya semestinya perkara terperinci dalam sesuatu kes antara dua yang bertelingkah atau perkara-perkara terperinci berkaitan perjanjian bersama musuh tertentu atau perkara-perkara terperinci berkaitan politik dalam pelbagai jenis hal ehwal politik, kerana pengajarannya di sini ialah kepentingan umum ( maslahah ‘ammah) dan ia daripada apa berubah menurut zaman, tempat dan konteks.
Contohnya, semasa Nabi saw membahagikan tentera ke bahagian kanan, kiri dan tengah, ini dalam bab politik, atau sebagaimana mereka sebut, “ al-Imamah”, oleh itu pembahagian ini tidak wajib kepada umat Islam di setiap zaman dan tempat, bahkan mereka yang membahagikan tentera, iaitu pembahagian yang mereka lihat sesuai. Apa yang diwajibkan di sini ialah tujuan dan prinsip iaitu ketelitian pembahagian tentera untuk kebaikan perang.
Sama dengan makna ini ialah isu pembahagian harta rampasan perang (al-ghana-im) sekalipun ia disebut dalam al-Quran, firman Allah:
“Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”[3]
Sekalipun hukum ini disebut dalam al-Quran dengan jelas, namun hukum ini termasuk dalam bab hal-hal berkaitan politik, kerana Nabi saw telah melakukan pembahagian rampasan perang ini untuk tujuan dan matlamat tertentu yang mana berkait dengan pengagihan harta rampasan ini ke atas tentera, seolah-olah ia merupakan gaji, ganjaran atau bayaran kepada tentera. Contohnya apabila pemimpin memutuskan atau – sekarang – apabila rakyat memutuskan di setiap negeri supaya berubah sistem tersebut kepada gaji-gaji askar dan untuk setiap peringkat ada gaji yang berbeza dan ada syarat-syarat untuk kenaikan … hingga akhirnya. Penggajian, kenaikan dan sistem baharu ini tidak ‘bercanggah’ dengan sistem harta rampasan perang, kerana sistem harta rampasan perang asanya merupakan hal berkaitan politik dan bukannya syariah yang wajib, dan adalah tujuan Nabi saw dalamnya merupakan hal pengurusan. Oleh itu, ikutan kita secara syaraknya di sini bukannya ikutan secara literal, tetapi ikutan yang bersifat maqasid dan makna, tiada mana-mana sarjana Muslim hari ini berkata tentang kewajipan pembahagian harta rampasan perang dengan jalan yang disebut dalam al-Quran atau al-Sunnah kerana ia merupakan wasilah yang telah luput zamannya.
Persoalan ini benar-benar menyerupai persoalan-persoalan lain yang banyak perdebatan seputarnya, iaitu arahan-arahan Nabi saw kepada sahabatnya yang dimahukan menerusinya hanyalah maksud kepolitikan tertentu yang berkait dengan bukan Muslim dalam masyarakat pada masa itu. Contohnya persoalan jizyah ke atas bukan Muslim, perhambaan tawanan perang dan arahan-arahan kepolitikan lain yang Nabi saw tidak bermaksud padanya pensyariatan seperti pensyariatan Islam yang tetap ke atas umat Islam hingga hari kiamat. Sebaliknya yang dimaksudkan menerusi persoalan dan prosedur ini seluruhnya ialah tujuan dan matlamat tertentu. Apabila direalisasi tujuan-tujuan ini dengan jalan-jalan lain, maka jalan-jalan lain turut sah dan Islamik juga. Yang demikian kerana persoalan-persoalan ini bukanlah hal-hal ibadat dan bukan menjadi tujuan sendirinya. Oleh itu, sesungguhnya kita pada zaman ini hendaklah memahami dengan baik bahawa terdapat nas-nas wasa-il(jalan-jalan/mekanisme) dan nas-nas yang merupakan tujuan-tujuan (maqasid), dan kita hendaklah membezakan antara jalan dan tujuan, meskipun ia dinaskan dalam kitab Allah taala.
Sebagai contoh, semasa Allah taala berfirman dalam kitabnya yang mulia:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia”[4]
Pasukan-pasukan berkuda dalam ayat tersebut merupakan jalan sekalipun ia disebut dalam al-Quran, dan bukan setiap apa yang disebut dan dinaskan secara jelas dalam al-Quran, bertukar menjadi tujuan sendirinya dengan literalnya dan kedudukannya sebagai wasilah. Sebaliknya kita mesti bertanya – dan ini sudah tentu merupakan peranan sarjana yang mujtahid – soalan berikut: “adakah ini merupakan jalan menuju tujuan? Ataupun ini merupakan tujuan yang dimaksudnya sendirinya?” Sekiranya ia termasuk dalam bab jalan seperti kuda, pedang, harta rampasan dan jizyah, maka jalan itu berubah dengan perubahan zaman, tempat, keadaan dan individu. Adapun jika ia termasuk dalam bab tujuan, maka tujuan itu tetap dan tidak berubah. Ini merupakan pengajaran yang penting ketika kita berfikir dalam pelaksanaan Syariah pada realiti semasa.
Saya mengulang di sini bahawa perkara-perkara politik ini tidak termasuk padanya persoalan-persoalan yang mana tujuannya ialah al-ta’abbud (pengibadatan), iaitu ibadat semata-mata dan menuruti dengan literal, yang demikian sebagaimana kata Imam al-Shatibi yang merupakan Imam yang dikenali dari kalangan sarjanaal-maqasid:
“Asal dalam urusan ibadat ialah al-ta’abbud tanpa berpaling kepada tujuan-tujuan dan asal padanya ialah tidak dilakukan kecuali dengan keizinan, memandangkan tiada ruang untuk akal dalam mereka cipta hal-hal ibadat. Sementara apa yang termasuk dalam perkara kebiasaan manusia, maka asal padanya ialah berpaling kepada tujuan-tujuan dan asal padanya ialah keizinan sehingga ada dalil menunjukkan sebaliknya.”[5]
Justeru asal dalam perkara interaksi antara manusia (al-mu’amalat) ialah melihat kepada makna, prinsip, niat, tujuan dan matlamatnya yang tinggi, bukan semestinya melihat kepada bentuk, literal dan rupanya kerana bentuk dan rupa berubah dengan perubahan zaman, tempat dan kebiasaan yang dikenali setempat. Ini memberikan keanjalan dalam kefahaman Syariah Islam pada waktu yang kita sangat berhajat kepadanya (keanjalan) pada peringkat ini. Tetapi asal dalam urusan ibadat yang melibatkan antara manusia dan Tuhannya ialah melihat kepada bentuk dan rupa kerana ketaatan daripada hamba untuk Tuhan ini merupakan tujuan secara sendirinya.
Kenapa al-Shatibi menyebut: al-Asl (asal)? Kerana di sana terdapat pengecualian. Telah berkata para sarjana seperti al-Tufi dan beliau merupakan antara Imam besar mazhab Hanbali, beliau berkata sesungguhnya al-muqaddarat (iaitu apa yang ditetap kadar bilangannya) ia tetap dan termasuk dalam kategori ibadat. Iaitu contohnya 2.5 % dan kadar secara umumnya dalam persoalan-persoalan zakat, bilangan talak yang tiga, tiga bulan dalam tempoh ‘iddah (tempoh yang wajib ditunggu oleh seorang balu atau yang diceraikan sebelum boleh berkahwin dengan lelaki lain) dalam persoalan kekeluargaan dan lain-lain. Iaitu apa yang termasuk dalam kadar yang telah ditentukan secara spesifik yang disepakati tanpa khilaf akan tafsirannya oleh para ulama, maka ia merupakan dari kategori ibadat dan wajib kita mengambilnya dengan pengibadatan, kerana pengibadatan merupakan tujuan padanya.
Meskipun perkara-perkara al-mu’amalat yang disebut ini berkait dengan keluarga dan zakat, iaitu interaksi antara manusia dalam masyarakat, namun ia merupakan hal interaksi antara manusia dan separuhnya merupakan ibadat kerana ia merupakan kefarduan dan kewajipan agama yang ditetapkan, separuh lagi merupakan hal-hal interaksi antara manusia kerana ia berkait dengan harta yang diberi oleh golongan kaya kepada golongan fakir demi hikmah-hikmah kemasyarakatan dan ekonomi yang tertentu. Hikmah-hikmah tersebut contohnya: “... supaya harta itu tidak hanya berlegar-legar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu” [6], berlegar-legar dalam ayat ini bermaksud monopoli harta dalam kalangan golongan kaya semata-mata. Ia merupakan maksud kerana perkataan “kay” (supaya) yang disebut dalam ayat tersebut merupakansababiyyah (memberi maksud sebab). Antara hadis Nabi saw tentang zakat: (diambil daripada orang kaya dalam kalangan mereka dan diberi kepada golongan fakir dalam kalangan mereka) [7]. Justeru zakat dalam contoh ini merupakan perkara mu’amalat kerana baginya tujuan dan matlamat berkaitan kemasyarakatan dan ekonomi, juga ibadat padanya iaitu kadar, nilai, bilangan dan nisbah.
Adapun contohnya jika kita melihat kepada isu lain yang berkaitan dengan zakat iaitu disebut sebagai isu “wi’a’ al-zakah” iaitu apakah jenis dan harta yang wajib dikeluarkan zakat daripadanya? Isu ini bukanlah ditetapkan dan bukan dilihat secara literal. Di sini contohnya kita mendapati sedikit dari kalangan ulama mengambil secara literal seperti Imam Ibn Hazm al-Andalusi al-Zahiri yang menulis:
“Tiada zakat melainkan pada lapan jenis harta sahaja iaitu emas, perak, gandum, barli, kurma, unta, lembu dan kambing sahaja ... Berhubungnya telah datang sunnah ... Tiada zakat pada sesuatu daripada buah-buahan, pertanian dan tiada pada apa selain apa yang kami sebutkan dan tiada pada kuda, kepingan logam, madu dan harta perniagaan.”[8]
Jenis-jenis yang terhad untuk zakat yang disebut dalam hadis Nabi saw merupakan tujuan sendirinya menurut pandangan Ibn Hazmi. Pandangan sempit yang literal terhadap nas-nas tanpa melihat kepada matlamat, tujuan dan maknanya membawa kepada pemikiran, sesiapa yang memiliki lima ekor unta hendaklah membayar zakat, sebaliknya sesiapa yang memiliki satu telaga petrol contohnya, tidak perlu membayar zakat! Sesiapa yang memiliki emas contohnya hendaklah membayar zakat tetapi orang yang memiliki berlian tidak perlu membayar zakat! Pandangan ini salah kerana ia menafikan keadilan yang menjadi tujuan pada asalnya.
Namun jalan berbentuk sebegini dalam berfikir terhasil daripada fatwa-fatwa literal – dahulu atau sekarang – yang dekat kepada jenaka berbanding fatwa dan tidak elok untuk apa-apa pemikiran yang bagus dalam pelaksanaan Syariah pada zaman kita. Yang demikian meskipun keagungan Imam Ibn Hazm yang merupakan failasuf besar, Imam yang hebat dalam Fiqh, Usul al-Fiqh, sejarah agama-agama dan dalam ilmu hadis, selain merupakan penyair yang terkemuka, tetapi lihatlah sebagai contoh kepada satu hadis yang datang daripada Nabi saw mengenai “lelaki yang kencing dalam air, lalu Nabi saw berkata: janganlah seseorang daripada kamu kencil dalam air yang bertakung” [9] di mana Ibn Hazm membuat komentar ke atasnya dengan berkata: “Apabila seseorang kencing dalam bekas kemudian mencurahnya ke dalam air, air itu tidak bernajis (ia sangat aneh!). sebagaimana komentarnya ke atas hadis yang dinyatakan oleh Nabi saw bahawa keizinan seorang perempuan dara berhubung perkahwinannya cukup dengan diamnya – iaitu lantaran malu, di mana Nabi saw berkata: “keizinannya ada pada diamnya”, lalu Ibn Hazm menyebut dalam kitabnya ( al-Muhalla bi al-Athar) bahawa jika perempuan dara itu berkata “ya”, terbatallah akad perkahwinan.
Manhaj berfikir dalam pelaksanaan perkara berkaitan al-mu’amalat dan politik Islam dalam realiti kita pada hari ini, jika kita mengambilnya dengan literal, kita akan sampai kepada keputusan yang tidak logik dan tidak boleh diterima, sebagaimana kita lihat pada zaman kita menerusi sebahagian aliran Islam dan golongan yang Shaykh al-Qaradawi namakan sebagai al-Zahiriyyah al-Judud(Literal baharu)!
Sebaliknya, apabila kita mengambil manhaj berfikir yang melihat kepada makna dan prinsip sahaja tanpa meletakkan disiplin dan pengikat, seperti ibadat, kadar-kadar dan selainnya daripada disiplin-disiplin ijtihad yang kami telah sebutkannya, kita akan sampai kepada makna yang longgar yang menganggap setiap perkara di bawah erti kebebasan, fitrah atau bahkan keadilan. Apa yang kita perlu ialah manhaj pertengahan antara literal dan melihat kepada tujuan dalam berinteraksi dengan apa yang kita kenali dalam petunjuk Rasulullah saw dan daripada nas-nas al-Quran.
Perbincangan ini seluruhnya berkait dengan pengamalan Islam pada peringkat individu atau hingga ke peringkat masyarakat. Adapun apa yang berkait dengan pengamalan Islam yang merupakan perundangan yang diwajibkan ke atas negara dan undang-undang, ia persoalan yang perlu kepada penjelasan yang lebih banyak, akan menyusul nanti.



[1] Rujuk: Ali Khafif, “al-Sunnah al-Tashri’iyyah” dalam buku: al-Sunnah al-Tashri’iyyah wa ghayr al-Tashri’iyyah, suntingan Muhammad Imarah (Kaherah: Nahdah Mesir, 2001).
[2] Shihab al-Din al-Qarafi, al-Furuq (bersama komentarnya), suntingan Khalil Mansur (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1998), jilid 1, hlm. 357.
[3] Al-Anfal:41
[4] Al-Anfal:4
[5] Al-Shatibi, al-Muwafaqat, jilid 2, hlm. 6.
[6] Al-Hasyr:7
[7] Al-Bukhari: (1331), bab kewajipan zakat.
[8] Ali Ibn Hazm, al-Muhalla, suntingan Lajnah Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan pertama (Beirut: Dar al-Afaq, tanpa tarikh), hlm 209.
[9] Ibn Majah (344), daripada hadis Abu Hurayrah
Tulisan ini merupakan terjemahan kepada tulisan asal oleh Prof Dr Jasser Auda (gambar) bertajuk "Hal Siyasah al-Rasul Tulzimuna Shar'an?", salah satu tajuk dalam bukunya yang berjudul "Syariah dan Politik: Persoalan Pasca-Revolusi" (Bayn al-Shariah wa al-Siyasah: As-ilah Li marhalah ma ba'd al-Thawrah). Terjemahan oleh Marwan Bukhari

No comments: