Thursday, January 23, 2014

Peranan Qiadah Dalam Organisasi Dakwah (siri 1)



Bicara tentang pemimpin dakwah atau umat, Imam Hasan al-Banna menyebutkan empat peranan, iaitu sebagai bapa (daurul ab), peranan sebagai pemberi taujih ruhi (dauru as-sheikh), peranan sebagai pengajar ilmu (daurul ustaz) dan peranan sebagai pemimpin (daurul qaid). Keempat-empat peranan pemimpin atau naqib itu sangat penting dalam perjalanan dakwah agar para pendokong dakwah tetap beristiqamah dalam syariat Islam dan beriltizam dalam jamaah.

Dalam perjalanannya, para pendokong dakwah tidak akan terlepas dari pelbagai masalah yang dialami dalam hidupnya. Di situlah pentingnya qiadah dakwah yang berperanan sebagai bapa/orang tua yang bijaksana memimpin dengan penuh kasih sayang persis seperti perilaku bapa terhadap anak-anaknya, apalagi ikatan ukhuwah itu sebenarnya jauh lebih mendalam dari ikatan darah dan keturunan. Di dalam Pertubuhan Ikram Malaysia kita popularkan slogan 'Ukhuwah Teras Kegemilangan', alhamdulillah.

Peranan sebagai 'sheikh' yang memberikan taujihat ruhiyah sangat penting bagi qiadah dakwah.Qiadah adalah orang yang seharusnya memiliki potensi ruh yang tinggi. Tanpa kekuatan ruh, dakwah akan kekeringan, ia bergerak tanpa ruh dan hati. Dari situ akan berlaku kebarangkalian penyimpangan dan kemunduran kepada dakwah. Sumber kekuatan ruh paling utama ialah quwwah shilah billah (kekuatan hubungan dengan Allah). Hubungan ini amat diperlukan oleh semua da'i, lebih-lebih lagi qiadah dakwah.

Peranan qiadah berikutnya ialah peranan sebagai 'ustaz'. Qiadah mesti meningkatkan thaqafah-nya kerana orang yang tidak memiliki sesuatu, tidak akan dapat memberi sesuatu. Qiadah dan para da'i mestilah berusaha meningkatkan ilmu dan thaqafah-nya jika ingin melihat dakwahnya berkembang dan mampu memberi solusi terhadap permasalahan masyarakat. Qiadah dakwah harus dilihat mampu dan berupaya menjawab isu-isu semasa dan berwibawa membawa misi dan visi dakwah. Mereka bukan berteori, tetapi berupaya berinteraksi dalam realiti masyarakat lokal dan antarabangsa. Di dalam realiti hidupnya, qiadah menjadi qudwah dalam pedoman hidupnya.

Peranan qiadah dakwah adalah bahagian yang tidak terpisah sebagai pemimpin dalam ertikata sebenarnya, iaitu pemimpin yang memiliki autoriti atau punya kehebatan persis seorang komandan tentera kerana pemimpin dalam dakwah wajib didengari dan ditaati. Dakwah adalah aktiviti paling mencabar dalam kehidupan. Dakwah sangat berkait rapat dengan pengurusan, berupaya merancang, mampu beroperasi, bergerak cergas dan mengontrol (mengawal). Dakwah sangat berkait dengan manusia dan segala keistimewaannya sehingga qiadah dakwah harus memiliki kemampuan di bidang pengurusan secara keseluruhannya (dalaman dan luaran).

Keempat-empat peranan tersebut merupakan satu kesepaduan yang saling lengkap melengkapi agar para pemimpin dapat melaksanakan amanah sebagai qiadah dakwah dengan cemerlang.

insyallah akan bersambung.......

No comments: