Friday, April 18, 2014

Jawapan kepada penyelewengan anti-Hadis

Apr 15, 2014
PROF DR OMAR YAAKOB

AKHIR-AKHIR ini, masyarakat didedahkan kembali kepada pemikiran  golongan yang menolak hadis di dalam sistem perundangan Islam,  dikenali sebagai golongan “anti-hadis”.  

Walaupun pada zahirnya mereka merupakan sebuah aliran yang ‘hanya mempertikaikan kedudukan hadis sebagai sumber hukum’, mereka sebenarnya membawa satu cara pemahaman dan penafsiran baru terhadap sejarah awal umat Islam dan sumber perundangan yang harus menjadi rujukan.  

Lantas pentafsiran dan pemahaman baru ini menimbulkan satu kerangka konsep, ideologi dan cara-hidup dan berlainan dari apa yang dipegang oleh umat Islam selama ini.  

Pada zahirnya mereka menggunakan prinsip bahawa Islam memberi kebebasan kepada mereka membuat tafsiran dan berpegang kepada tafsiran yang mereka yakini,  di atas prinsip Islam membenarkan perbezaan pendapat.  

Namun, perlu diingat, perbezaan pendapat antara kita harus diasaskan kepada satu titik tolak yang dipersetujui bersama, yakni kita berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber pegangan yang primer dan kaedah perolehan hukum yang jelas dan sistematik.
  
Semua perselisihan dan perbezaan pendapat hanya boleh dimaafkan (dan sewajarnya dimaafkan) selagi pendapat yang bertentangan tersebut mempunyai asas di dalam kedua-dua sumber primer tadi.  Ini yang diyakini oleh umat Islam keseluruhannya masa kini dan pada hemat saya inilah juga cara yang dibawa oleh generasi Islam yang terdahulu. 

Sekiranya ada orang lain yang ingin membawa cara pentafsiran yang jauh menyimpang dan berlainan daripada asas ini, maka terkeluarlah mereka daripada definisi atau takrifan umat Islam sepanjang zaman; sebagaimana terkeluarnya Syiah dan Qadiyani/Ahmadi walaupun mereka tetap bertegas bahawa pentafsiran mereka lebih betul daripada pentafsiran kita selama ini. 

Di antara penyelewengan ketara kumpulan anti-hadis. golongan ini ialah mereka telah memperkecilkan dan meremehkan tugas Rasullullah dan para anbiya' seluruhnya.  Bagi mereka tugas Rasul tidak lain hanya sekadar alat menyampaikan al-Qur'an.  

Oleh kerana menurut pemahaman mereka peribadi, kata-kata, perbuatan dan sejarah hidup Rasulullah tidak mempunyai sebarang kaitan atau makna kepada hukum dan perundangan Islam pada masa dulu dan pada masa ini, maka tugas dan peranan Rasul tidak bermakna selain menjadi seolah-olah robot atau radio yang membacakan ayat-ayat al-Qur'an kepada umat.  

Anehnya, gambaran manusia sebagai robot sedemikian tidak juga diperolehi daripada al-Quran.  Golongan ini yang kononnya mahir tentang al-Quran seolah-olah buta terhadap kisah-kisah Nabi di dalam al-Quran.  

Kisah Nabi-nabi Ibrahim, Musa, Isa, Nuh dan seumpamanya jelas mebayangkan bahawa manusia-manusia ini bukan berfungsi hanya sebagai robot atau radio yang membacakan ayat-ayat Allah.  Mereka adalah pemimpin, pendakwah, pemberi hukum dan pemberi contoh.  


kenapa perlu diutus Rasul?

Di dalam Surah Mumtahanah Allah memberikan penyataan yang jelas bahawa Nabi Ibrahim ialah sebaik-baik ikutan bagi kita (umat Islam), dalam nada yang sama seperti di dalam Surah al-Ahzab Allah menyebut bahwa Nabi Muhammad adalah sebaik-baik ikutan.  

Adakah boleh mereka dijadikan ikutan sekiranya fungsi mereka hanya sebagai robot penyampai wahyu sedangkan diri, akhlak dan perbuatan mereka tidak menjadi sumber akhlak dan amalan kita?  

Jelas kepada kita bahawa gambaran Rasul sebagai robot penyampai wahyu bukan datangnya dari pemahaman keseluruhan ayat-ayat al-Quran tetapi sebaliknya andaian-andaian dan mainan hawa-nafsu golongan anti-hadis sendiri.

Sungguh menakjubkan!  Jika hanya itu tugasnya, kenapa perlu Allah membangkitkan Rasul dari kalangan manusia sedangkan Allah yang Maha Berkuasa boleh, sekiranya menghendaki, menurunkan kitab tanpa perantaraan Rasul dari kalangan manusia? 

Jika hanya itu tugas rasul, kenapa perlu diutus seorang Rasul yang terbukti berakhlak mulia sejak sebelum kenabian baginda?  

Kenapa perlu seorang Rasul yang perlu bertungkus-lumus, berlumuran darah dan bermandi keringat selama dua puluh tiga tahun?  

Kenapa perlu seorang manusia yang disokong oleh kumpulan sahabat berjiwa kental, yang berkorban jiwa raga untuk mempertahankan Rasulullah dan risalah yang dibawanya?  

Kenapa perlu seorang Rasul yang menunjukkan secara praktik cara pelaksanaan hukum-hakam yang termaktub di dalam al-Quran?

Golongan anti-hadis melihat Rasululullah hanya sebagai seorang tokoh sejarah, sama seperti mereka melihat Napoleon atau Julius Caesar; hanya sebagai tokoh yang telah mencipta sejarah, tidak lebih dari itu.  

Oleh itu mereka tidak menganggap kata-katanya maupun perbuatannya sebagai penting.  Bagi mereka kononnya yang penting ialah, Rasulullah telah berjaya melaksanakan tugasnya menyampaikan al-Quran kepada umat manusia.  Kemudian, pandai-pandailah manusia memanfaatkan al-Quran tersebut mengikut cara mereka masing-masing!   Apa yang telah dibuat oleh Rasulullah semasa hidup baginda tidak penting atau membawa apa-apa makna kepada kehidupan kita kini!

Kita sungguh sangsi dengan tanggapan golongan anti-hadis tentang kehidupan harian Rasulullah dan para sahabat baginda. Bagi mereka seolah-olah dalam sepanjang 23 tahun kenabian baginda, baginda membisu seribu bahasa, tidak menjawab segala persoalan yang pasti banyak sekali ditimbulkan oleh para sahabat baginda yang mahu melaksanakan tuntutan ibadat kepada Allah.  

Mengikut tafsiran golongan ini juga, semua perbuatan dan tingkah-laku baginda dan para sahabat hanyalah sekadar menurut 'adat dan kebiasaan orang Arab ketika itu' sahaja; lantas tidak memberi erti kepada peraturan, hukum dan perundangan kita masa kini, kecuali hanya apa yang tertera di dalam al-Quran.  Lagi sekali kehidupan Rasulullah diremehkan kepada seorang manusia `robot'. 


Menangani Penyewelengan Kumpulan Anti-Hadis

Golongan anti-hadis yang wujud di Malaysia dan peringkat antarabangsa sering menggunakan nama yang pelbagai bagi diri mereka sendiri.  Di Malaysia, mereka kadang-kadang menggunakan nama kumpulan ‘pro-al-Quran’ untuk menampakkan seolah-olah kononnya orang lain ‘anti-al-Quran’. 

Di dalam internet, mereka mempamerkan diri mereka sebagai kumpulan  ‘Muslim sebenar’ atau kumpulan ‘Submitters (yang tunduk)’.  Walau apa pun nama atau label yang digunakan, mereka tidak lari daripada ciri mereka yang paling penting yakni mempertikaikan kedudukan hadis sebagai salah satu sumber primer dalam perundangan Islam.  Bagi mereka hadis hanyalah ciptaan ulama yang tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam sebenar.

Pelbagai usaha telah dibuat untuk membawa kumpulan ini ke pangkal jalan.  Ada yang secara keras serta perbahasan, ada yang secara diplomasi dan perbincangan.  Namun, semuanya tidak berjaya kerana masing-masing bertitik-tolak dari prinsip asas yang berbeza .   

Saya dapati perbahasan yang sering diutarakan selama ini bagi menentang aliran anti-hadis mempunyai dua kelemahan.  

Pertama, ramai pembela hadis terjerat di dalam perangkap yang dipasang oleh golongan anti-hadis dengan mengutarakan hadis-hadis yang menyebutkan perlunya kita berpegang kepada hadis.  Oleh kerana mereka telah menolak  hadis, maka meletakkan hadis sebagai hujjah tidak wajar.  

Kedua, ayat-ayat al-Quran yang diutarakan oleh sebahagian pembela hadis bagi menjelaskan kesesatan golongan anti-hadis walaupun qat’i thubutnya tetapi dzanni dari sudut dilalahnya.  Ini tidak mungkin berkesan  terutama dalam menghadapi golongan yang menganggap mereka berhak membuat tafsiran al-Quran sendiri mengikut hawa nafsu mereka.  Mereka tidak semestinya bersetuju dengan tafsiran yang kita buat, sama seperti tidak bersetujunya kita dengan tafsiran yang mereka buat.

Oleh itu di sini, saya mengambil pendekatan yang rasional yang saya yakin boleh menggugat  akar-umbi golongan ini. 

Pandangan (atau tesis) anti-hadis boleh disimpulkan secara mudah seperti berikut: “Apa yang ada dalam kitab hadis bukan berasal dari Rasulullah; seandainya ia betul berasal dari Rasulullah pun, ia tidak mempunyai apa-apa erti bagi agama Islam”.  

Oleh itu, dalam kita menilai atau mempertikaikan kebenaran pandangan mereka ini, kita perlu menimbang secara rasional dua persoalan asas berikut:

Adakah benar Rasulullah mengucapkan perkataan atau melakukan sesuatu seperti yang dilaporkan di dalam kitab-kitab hadis?  Yakni adakah yang diriwayatkan oleh perawi-perawi hadis itu fakta sejarah atau hanya sesuatu yang diada-adakan.
Jika benar kata-kata tersebut diucapkan dan perbuatan tersebut dilakukan oleh baginda, apakah ia harus kita anggap sebagai hanya fakta sejarah atau ianya mempunyai kedudukan yang lebih penting daripada itu.  Adakah kata-kata tersebut mempunyai legal-standing?

Kedua-dua persoalan ini penting dipertimbangkan bagi  menjawab isu asas yang sering dibangkitkan oleh golongan anti-hadis.  Walaupun kedua-dua persoalan itu kait-mengait, soalan-soalan tersebut harus juga dalam masa yang sama dipertimbangkan secara berasingan kerana soalan yang pertama menyangkut masalah kesahihan fakta sejarah manakala soalan kedua berkaitan dengan persoalan asas perundangan. 


Tanggung jawab membuktikan terletak pada anti-hadis

Untuk menjawab soalan yang pertama, kita perlu menilai kaedah yang digunakan untuk mempersoalkan kebenaran hadis sebagai satu fakta sejarah yang sahih.  Soalan ini amat penting dijawab kerana hanya jika kita bersetuju bahawa apa yang dilaporkan sebagai ‘hadis’ di dalam kitab-kitab hadis adalah sebenarnya fakta sejarah baharulah kita boleh mempertimbangkan soalan kedua. 

Menurut golongan anti-hadis, "...Rasulullah tidak mengucapkan atau melakukan seperti mana yang dilaporkan di dalam kitab-kitab hadis.  Rasulullah menjalani kehidupan, yang berbeza daripada laporan dalam hadis.  Hadis yang ada bukan fakta sejarah; malah ianya hanya rekaan para ulamak yang datang sesudah baginda wafat.”

Kaedah yang sepatutnya digunakan oleh mana-mana pihak yang ingin mengkritik, mencabar atau mempertikaikan 'well-documented and accepted fact' adalah pihak tersebut patut mendatangkan bukti yang boleh meyakinkan bahwa fakta tersebut tidak benar.  

Seorang yang ingin mempertikaikan atau mencabar kenyataan “merokok membahayakan kesihatan” misalnya sepatutnya mendatangkan bukti dan alasan yang nyata dan objektif bagi menyokong bantahan beliau tersebut. 

Bagi fakta historis juga, sipembawa pandangan yang berbeza dari kefahaman dan pegangan umum harus mendatangkan bukti.  

Misalnya jika seseorang ingin mengatakan bahawa “orang-orang Portugis tidak pernah menakluk  Melaka” atau 'peperangan tidak pernah pernah terjadi di antara tentera Saidina Ali dan Saidina Muawwiyah' contohnya,  maka beliau mesti membawa bukti yang dapat menegakkan pandangannya yang bercanggah dengan 'well-documented and accepted historical fact' tersebut. 

Oleh itu,  tanggung-jawab membuktikan (the burden of proof) bahwa hadis tersebut ialah bukan catatan sejarah sebenarnya tertanggung pada golongan a

No comments: