Kekuatan adalah kerja hati dan tiada sesuatupun yang dapat menguasai hati seorang manusia setelah Allah yang menguasai pemiliknya. Sebagaimana burung-burung yang terbang tinggi di angkasaraya dengan kepakan dua sayapnya, demikian pula manusia yang terbang menuju ketinggian dengan tekad dan cita-citanya bebas dari belenggu yang mengikat tubuhnya.
Ibnu Qutaibah pernah berkata: "Seorang yang merdeka takkan rela kecuali berada di ketinggian bagai bola api yang hendak dipadamkan oleh pemiliknya, namun ia enggan dan terus menjulang ke angkasa."
Al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauzi berkata: "Ketahuilah bahawa seorang hamba menempuh perjalanannya menuju Allah dengan hati dan semangatnya, bukan dengan tubuhnya. Sesungguhnya hakikat taqwa itu ada di dalam hati, bukan pada anggota tubuh. Allah swt berfirman: 'Demikianlah (perintah Allah) dan barangsiapa mengagongkan syi'ar-syi'ar Allah, maka sesungguhnya yang demikian itu timbul dari kekuatan hati.' (Al-Hajj:32) dan firman-Nya lagi: 'Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah swt, tetapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.' (Al-Hajj:37)
Rasulullah saw bersabda: 'Ketaqwaan itu ada di sini (sambil menunjuk dada baginda).'"
Maka orang yang cerdas melintasi jalan panjang disertai dengan semangat, kemahuan yang kuat, cita-cita yang tinggi, tujuan yang murni dan niat yang ikhlas. Namun ada ramai orang malas yang melintasi jalan itu dengan penuh kelelahan, amal yang sangat sedikit dan perjalanan yang teramat berat. Mereka tidak tahu bahawa dengan tekad yang membaja dan cinta yang mendalam, kesulitan itu dapat disingkirkan dan perjalanan menjadi mudah dilalui. Melangkah maju menuju Allah hanya dapat dilakukan bila disertai dengan kemahuan yang kuat, kejujuran dan kebebasan.
Seorang yang memiliki kebebasan dan kemahuan kuat dapat membawa orang lain bersamanya. Petunjuk yang sempurna hanya Rasulullah saw. Baginda saw sentiasa menepati haknya pada kedua sudut ini. Kesempurnaannya sebagai manusia dan kemahuannya yang kuat membuat telapak kakinya bengkak kerana Qiyamullail yang baginda lakukan setiap malam. Puasa yang baginda sentiasa lakukan membuat para sahabat menduga bahawa baginda tidak pernah berbuka. Baginda berjihad pada jalan Allah, berinteraksi dengan para sahabat dan tidak menjauhkan diri dari mereka. Baginda tidak pernah meninggalkan amalan sunnahnya serta wirid hariannya. (al-Jawabul Kaafi, Ibnul Qayyim Al-Jauziyah)
No comments:
Post a Comment