Wednesday, April 22, 2009

PANDANGAN UMUM TENTANG KITAB ALLAH S.W.T. (1)

Kita memohon kepada Allah swt agar mengurniakan kepada kita kecintaan keranaNya serta menempatkan kita di jalan mereka yang disabdakan oleh Rasulullah saw:

"Sesungguhnya Allah berfirman pada hari kiamat: 'Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana Aku? Pada hari ini Aku naungi mereka dengan keagungan-Ku, pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Ku."

Tujuan perbincangan tajuk ini agar dapat menjadi cahaya yang menerangi dakwah kita. Dakwah kita adalah dakwah yang mengajak kepada Al-Quran, sehingga perbincangan tersebut sekaligus merupakan pengarahan bagi para juru dakwah, di samping sebagai rangkuman berbagai pengarahan dalam kitab Allah.

Ramai di kalangan kita mereka yang sentiasa membaca Al-Quran, berusaha memahaminya, berpindah-pindah dari ayat ke ayat yang lain seolah-olah berpindahnya mereka dari sebuah taman ke taman yang lain sambil menikmati bunga-bunga yang amat mengasyikkan.

Di dalam hadis yang sahih Rasulullah saw bersabda:

أن النبي صلعم سئل : أي العمل أفضل؟ قال : الحال المرتحل . قيل : وما الحال المرتحل ؟ قال : صاحب القرآن يضرب من أول القرآن إلى آخره ومن آخره إلى أوله , كلما حل ارتحل

"Nabi saw ditanya: 'Amal apa yang paling utama?' Baginda menjawab: 'Al-Hallul Murtahil (orang yang singgah dan pergi).' Nabi saw ditanya lagi: 'Apa Al-Hallul Murtahil itu?' Baginda menjawab: 'Ahli Al-Quran. Dia membaca dari awalnya hingga akhirnya; dari akhirnya kembali ke awalnya. Setiap kali dia singgah, maka dia akan segera pergi."

Sebagaimana perkataan Abdullah bin Mas'ud: "Jika saya membaca surah Alif Lam Haa Miim saya seolah-olah singgah dan menjelajah di kebun-kebun yang buah-buahannya matang." Hal tersebut disebabkan dalam surah itu terdapat ungkapan yang indah, bahasa yang elok serta anjuran dan ancaman.

Berkaitan 'orang yang singgah dan pergi' para ulama' mengatakan: "Jika seseorang telah mengkhatamkan Al-Quran, dianjurkan agar dia tidak mengakhiri bacaannya di situ, tetapi hendaklah dia mulai membaca Al-Fatihah dan beberapa ayat dari surah Al-Baqarah sehingga terjalin hubungan antara permulaan dan penutupan, setelah itu hendaklah dia berdoa sekehendaknya."

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah: 186)




No comments: