Sunday, November 1, 2009

Apa makna IHSAN kepada ibubapa?




Assalamualaikum wrt. wbt.

Mutaakhir ini timbul beberapa kekeliruan terhadap perkara yang dulunya mudah, tetapi kini menjadi sukar difahami. Bukan kerana hakikat itu telah berubah, namun ia diolah oleh mereka yang berkepentingan. Disebabkan terdesak untuk memahamkan orang tentang kaitan peristiwa atau isu yang telah berlaku, maka hakikat tersebut terpaksalah diterangkan dan diolah selari dengan kepentingan berkenaan. Jangan tertipu dengan apa yang diperkatakan, mari kita kembali kepada nas asal yang memperkatakan tentang itu.

Apa makna IHSAN kepada ibubapa?

1. Merujuk kepada ayat 23-24 dari Surah al-Isra' Allah telah berfirman yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik (ihsan) kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan "ah"** dan janganlah kamu membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah.."Wahai Tuhanku! Kasihanilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecilku."

** mengucapkan kata "ah" kepada orang tua tidak dibolehkan, apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.

Di dalam ayat di atas ada 10 permasalahan:

1. Qadho - ialah suruhan wajib untuk menyembah Allah swt iaitu Allah Ta'ala telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selainNya.

2. Allah swt memerintahkan agar manusia menyembahNya dan mentauhidkanNya disertakan dengan berbuat ihsan kepada kedua ibubapa, sama seperti bersyukur kepada Allah swt. disertakan dengan berterimakasih kepada kedua ibubapa. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abdullah ra, katanya: "Aku bertanya Nabi saw apakah amal yang paling disukai oleh Allah?" Nabi menjawab: "Solat dalam waktunya." Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?". Nabi saw menjawab: "Kemudian berlaku ihsan kepada kedua ibubapa." Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?" Nabi saw menjawab: "Berjihad fi sabilillah."

Lihatlah betapa pentingnya ihsan kepada kedua ibubapa sehingga Nabi saw menjadikan 'birrul walidaini' -berbuat baik kepada ibubapa- seafdhal2 amal selepas solat yang merupakan tiang agama yang terpenting.

3. Di antara makna 'birrul walidaini' dan 'ihsan' kepada kedua ibubapa ialah bahawa jangan seseorang itu menderhaka kepada kedua2nya kerana ia termasuk daripada dosa-dosa besar (kabaair) tanpa khilaf. Perkara ini ditegaskan oleh sunnah thabitah. Di dalam sahih Muslim daripada Abdullah ibn Amru bahawa Rasulullah saw telah bersabda: "Sesungguhnya dikira daripada kabaair itu berkata kesat (memaki) seorang lelaki terhadap kedua ibubapanya. Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah saw adakah orang yang akan berbuat demikian kepada ibubapanya?" Rasulullah saw menjawab: "Ya, boleh berlaku bila seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat kepada bapa orang lain, lalu orang tadi membalas dengan memaki ibu dan bapanya."

4. Termasuk derhaka kepada ibubapa ialah menyalahi kehendak kedua-duanya dalam perkara yang diharuskan oleh syara', sama halnya 'birrul walidaini' bermakna membuat sesuatu yang disukai oleh kedua-duanya. Berdasarkan kenyataan di atas apabila kedua-dua ibubapa menyuruh sesuatu perkara kepada anaknya, maka menjadi kewajipan ke atas anak itu mentaatinya selagimana suruhan itu dalam perkara yang bukan maksiat.

5. Imam Tarmizi meriwayatkan daripada ibnu Umar ra katanya: "Saya ada seorang isteri yang saya amat kasih, tetapi ayah saya membencinya dan menyuruh aku menceraikannya, lalu aku enggan. Aku mengadu kepada Rasulullah saw, lalu baginda saw bersabda: " Wahai Abdullah ibnu Umar! Ceraikan isterimu itu." (Hadith Hasan lagi Sahih).

6. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: "Seorang lelaki datang kepada Nabi saw lalu berkata: "Siapa yang paling berhak untuk aku melakukan ihsan dalam persahabatan dengannya?" Nabi saw menjawab: "Ibu kamu." Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: "Ibu kamu." Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: "Ibu kamu." Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: "Bapa kamu."

Dalam hadith ini menunjukkan kasih kepada ibu 3 kali ganda melebihi kasih kepada bapa kerana Nabi saw menjawab tiga kali ibu dan bapa disebut yang keempat.

7. Tidak dikhususkan 'birrul walidaini' hanya kepada ibubapa yang muslim sahaja, bahkan wajib berbuat baik kepada kedua-duanya sekalipun mereka kafir.

8. Termasuk yang dimaksudkan 'ihsan' kepada kedua-dua ibubapa ialah apabila tidak sampai ke tahap jihad menjadi fardhu ain, ia mestilah mendapat keizinan daripada ibubapa untuk keluar berjihad; tidak boleh keluar berjihad kalau ibubapa tidak memberi izin. Ini berdasarkan hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ra katanya: "Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw meminta izin untuk berjihad, maka Nabi saw bertanya: "Adakah kedua ibubapamu masih hidup?" Dia menjawab masih hidup, lalu Nabi saw bersabda: "Maka untuk kedua-dua ibubapamu hendaklah kamu berjihad." (Riwayat Muslim).

Di dalam riwayat yang lain lelaki tadi menjawab: "Ya, masih hidup dan aku meninggalkannya dalam keadaan kedua-duanya menangis. Nabi saw bersabda: "Pergi kamu, maka usahakan supaya kedua-duanya ketawa sebagaimana kamu telah membuat kedua-duanya menangis."

Dalam riwayat yang lain lagi.... Nabi saw bersabda: "Tidur kamu bersama kedua ibubapa kamu di atas tilamnya lalu kamu berusaha menjadikan kedua-duanya ketawa dan kamu pula bergurau senda dengan mereka lebih afdhal daripada kamu berjihad bersama aku."

9. Ulama' berselisih adakah apabila ibubapa musyrik diperlukan keizinan daripada kedua-duanya untuk berjihad (jihad kifayah)?

Imam Thauri berpendapat perlu, tetapi Imam Syafei berpendapat tidak perlu.

10. Sebagai penyempurna dalam 'birrul walidaini' ialah menghubungkan silaturrahim dengan mereka yang pernah bersahabat dengan ibubapa...

Semoga bermanfaat untuk direnung oleh anak-anak yang beribu dan berbapakan da'ie -para pendakwah- di jalan Allah swt. Jangan lupa hukum dalam melakukan dakwah dan jihad, nanti antum juga yang menyesal suatu hari nanti. Ingatlah kisah 'Alqamah yang tidak mampu mengucap syahadah dek kerana dia melebihkan si isterinya daripada ibu sendiri. Ibunya memendam rasa di hati, namun tidak diluahkan... Bagaimana ibu-ibu dan bapa-bapa yang kini berada dalam bahtera dakwah yang diketahui kebaikannya tiba-tiba anak sendiri yang mengherdik dan merendahkannya; bukankah itu menderhaka namanya??? Fikir-fikirkanlah di atas iman dan amal kata sahabat kita dari Jamaah Tabligh....

Sila rujuk - al-Jaami' Li Ahkaamil Quran oleh Imam al-Qurthubi, jilid ke5, m/s 155-157, cetakan ke6 tahun 1996 Darul Kutub al-Ilmiyah.

8 comments:

Abg D, Serdang, Selangor said...

Terima kasih ustaz. Tulisan yang saya kira menerangkan dgn jelas hubungan anak dan ibubapa dan asas birru walidaini..

Boleh saya copy artikel ini utk dikongsi dgn sahabat2 lain?

Tajul Arifin bin Che Zakaria said...

silakan, sebarkan seluas mungkin semoga ia bermanafaat utk anak2 kita. Mereka perlu memiliki kefahaman yang betul berdasarkan dalil yg sahih...halalan thoyyiba...

Anonymous said...

ustaz,di zaman Rasulullah, dalam berebut tempat/seat utk gi perang, berlaku perebutan antara si anak lelaki dan ayahnya. Si anak kata, kalau lah dalam hal selain syurga dan jihad, pasti dia akan dahulukan ayahnya. Mudah faham, si anak ni dah derhaka kat ayah dia? dosa derhaka adalah murka allah. Adakah si anak tiada hak memilih, dan mesti menurut apa saja pilihan ayahnya walaupun hilang peluang utk mencari jalan syurga, jihad,da'wah, memilih yang lebih terbaik dari yang terbaik..? apa fungsi dan peranan fikrah dan tarbiyyah dalm situasi ini? harap dapat pen 'dalil' an. thank you

Tajul Arifin bin Che Zakaria said...

di dalam tafsir tu dah jelas; tiada ibubapa yg mahu anaknya sesat..berebut tempat antara si anak lelaki dan ayahnya di zaman Rasulullah saw dlm konteks berlumba2 utk ke syurga...Isu ini berbeza..kena kembali kepada kes2 sebenar mengapa ia berlaku??

Anonymous said...

ustaz,

saya try nak agak apa issue yang ustaz nak sentuh, iaitu pemilihan jemaah.

mohon izin nak cuit sikit. cth mcm ni: kalau ayah saya presiden ABIM, adakah 'haram' bagi saya memilih PAS/JIM/ISMA/Haluan sebagai wadah jihad saya sebab kena taat perintah ayah? saya memilih berdasarkan kefahaman dan kejelasan sejelas jelasnya, bukan mainan kata2 orang lain, fitnah atau terpengarauh etc...

dalam hal ni adakah saya dihukum derhaka? Mungkin ribuan kes dah berlaku (tabligh vs PAS, JIM vs Haluan, ABIM vs ISMA) berat hukum anak derhaka nih. Adakah tafsiran ustaz birrulwalidain sampai tahap tu. dalil sikit ustaz.

dalil2 ustaz bersama dalil2 umum. Hukum umum derhaka, herdik mak-ayah, itu jelas. harap kalau boleh ustaz ambil masa sikit, bagi sikit dalil2 spesifik & pengalaman da'wah,utk persoalan diatas supaya mudah sikit. Jzklh. semoag dirahmati ALLAH.

Tajul Arifin bin Che Zakaria said...

Jzkk, saya rasa berpada dengan dalil2 umum sahaja.Adapun dalil2 spesifik perlu kepada jumpalah. Macam jumpa doktor kat pasar...diapun tak bawa alat utk 'checkup', jd kena gi ke klinik dulu utk confirmkan jenis penyakit, sebab2 sakit perut -sebagai contoh- baru boleh bg ubat yg sesuai. Ia merujuk kepada kes2 khusus dan pelik yg berlaku dlm rumahtangga dakwah...afwan setakat itu saja saya boleh respons.

Anonymous said...

assalamualaikum wbt, alfadhil ustaz.. lagi sekali saya harap ustaz dapat bertanggungjawab dgn dakwaan frasa negatif yang telah dinyatakan diawal tulisan ini. Itulah keutamaan dan sifat seorang da'ie yang amanah, ikhlas dan jujur. Betapa tak baiknya menghukum tanpa dalil dan hujah. Semua akan dihisab kelak. jzklh

-dari tullab yang sedang belajar dan memerhati-

Tajul Arifin bin Che Zakaria said...

Wassalaam, afwan kerana tak sempat nak jawab kerana agak sibuk. Saudara tak perlu rasa sempit dada dengan tulisan ini. Ia saya tujukan kepada orang yang mengatakan, "ibubapa hanya perlu dibuat ihsan sahaja dan tidak perlu ditaati." Mana organisasi dakwah yang ada jangan ambilhati kerana ia tidak berkait dengan anda semua, ia hanya berkait dengan segelintir manusia yang cuba menimbulkan keresahan ibubapa. Siapa yang makan lada dia akan terasa pedasnya.. siapa anda? Kalau boleh saya kenal....