Penulis: Ustaz Tajul Arifin bin Che Zakaria (Putrajaya)
Antara kehebatan Islam
ialah ia dapat menyeimbangkan di antara material dan ruh dalam nisbah yang
seimbang di mana seseorang itu mampu menikmati kepuasan dengan kedua-duanya
serentak. Material adalah asas terbinanya jasad untuk menguatkannya bangun
melakukan ibadat kepada Allah SWT. Begitu juga ruh merupakan asas dari sudut
maknawi dalam diri manusia itu agar dia berupaya mengecapi kemanisan Iman
dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai Din (agama) dan Sayyidina Muhammad
SAW sebagai nabi dan rasul.
Al-Quran
telah menegaskan hakikat ini melalui firman Allah Azzawajalla:
﴿وَابْتَغِ فِيمَا آَتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ
الْآَخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ
اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا
يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ﴾ (77)
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan
Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau
melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah
(kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan
pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan
kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat
kerosakan “. (Al-Qasas: 77)
Seorang
muslim yang benar dan kuat Imannya akan menjadikan Allah SWT sebagai matlamat
bagi segala amalannya, asasnya berdasarkan firman Allah Azzawajalla:
﴿قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ
وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ
وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ﴾(162)
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku,
hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam.
Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)”. (Al-Ana’am: 163)
Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)”. (Al-Ana’am: 163)
Sesungguhnya
puasa Ramadhan adalah merupakan asas terpenting tarbiyah ruhiyah dan penyucian
hati. Ia merupakan rawatan yang amat efektif bagi membuang segala jenis
penyakit hati seperti keras hati, malas melakukan ketaatan dan menunaikan
ibadat, sempit dada, penyakit lalai daripada mengingati Allah Ta’ala hingga
terjerumus ke lembah pelbagai maksiat.
Puasa
adalah perisai bagi jiwa manusia:
Puasa
adalah madrasah tarbiyah ruhiyah, di mana ia membangunkan adab bagi jiwa
manusia serta membetulkannya, membersihkan hati-hati manusia daripada
mengabdikan diri kepada harta, menguat dan memperdalamkan keimanan kepada Allah
Ta’ala, menyucikan ruh dan jasad daripada kezaliman material, seterusnya
memelihara manusia daripada kekotoran syahwat kebinatangan jasad bilamana
syariat Allah dicerobohi pada bulan mulia ini.
Puasa
melindungi jiwa manusia daripada api neraka. Imam Ahmad meriwayatkan dengan
sanad hasan daripada Jabir RA bahawa Nabi SAW:
Allah
berfirman: ‘Puasa itu adalah perisai yang berfungsi melindungi hamba daripada
api neraka dan puasa itu bagiKu dan Akulah yang membalasnya.
Kesan-kesan
puasa dari sudut ruhiyyah:
Kesan
puasa dari sudut ruhiyyah banyak, antaranya sebagai contoh:
Pertama:
Puasa menambahkan ketaqwaan dan kebaikan, memeliharanya daripada penyelewengan
dan maksiat. Asasnya adalah tarbiyah ruhiyyah. Allah SWT berfirman:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ
عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ
تَتَّقُونَ﴾ (183)
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan
berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya
kamu bertaqwa".
Ayat ini menerangkan bahawa matlamat daripada puasa
itu ialah taqwa.
Kedua:
Puasa membawa kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan serta memelihara jiwa
manusia daripada ketakutan dan kerisauan. Seorang muslim akan gembira dengan
kedatangan bulan Ramadhan justeru membuat persediaan sebaik-baiknya kerana
mengingati sabda Rasululllah SAW:
“Saat
menjelangnya Ramadhan, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutupkan pintu-pintu
neraka dan dirantai segala syaitan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketiga:
Puasa melatih jiwa seseorang membiasakan diri dengan doa dan ibadat, lalu akan
memeliharanya daripada sifat takabbur. Doa orang yang sedang berpuasa mustajab.
Di tengah-tengah ayat-ayat puasa terdapat ayat tentang doa:
﴿وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي
قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي
وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ﴾(186)
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai
Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir
(kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa
kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu),
dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul".
Dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam Qadar yang
kelebihannya lebih baik dari 1,000 bulan di mana orang yang berpuasa sentiasa
digalakkan memperbnyakkan doa yang baik seperti hadis riwayat Aisyah RA
berbunyi:
"اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني”
Keempat: Puasa menyuburkan
jiwa seseorang muraqobah dalaman, di mana dia merasai bahawa Allah Azzawajalla
sentiasa meniliknya dalam setiap urusan hidupnya. Badannya berpuasa, anggotanya
berpuasa dan hatinya berpuasa. Dengan demikian puasa memeliharanya daripada setiap
sesuatu yang akan merosakkan pahalanya. Allah SWT berfirman:
﴿وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ
وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِير﴾ٌ(4)
"Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu
berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan".
Rasulullah SAW bersabda:
اعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه
فإنه يراك""
“Dan beribadatlah kamu kepada Allah
seolah-olah kamu melihat Allah, kalau demikian maka percayalah bahawa
sesungguhnya Allah sentiasa melihat kamu”.
Kelima: Puasa
akan menambahkan seseorang keikhlasan dalam beramal seraya menjauhkannya dari
sifat nifaq, riya’ dan sombong. Puasa hanya bagi Allah Azzawajalla semata-mata
dan hanya Allah yang membalas pahala orang yang berpuas sebagaimana sabda
Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Rabbil Izzah, firmanNya:
كل عمل ابن آدم له إلا الصوم فهو لي
وأنا أجزي به
“Setiap amalan anak adam adalah baginya kecuali puasa, puasa itu
kepuyaanKu dan Akulah yang akan membalasnya”.
Keenam:
Puasa melatih jiwa seseorang untuk berjihad dan memeliharanya daripada bersifat
pengecut dan takut. Bermujahadah dengan jiwa yang sentiasa inginkan makan,
minum, syahwat, sabar, kesusahan dan sebagainya akan memberi kekuatan kepadanya
berjihad melawan musuh-musuh Islam.
Rawatan
penyakit hati/jiwa
Puasa
merupakan banteng bagi jiwa manusia dari terjerumus ke lembah maksiat yang terang
maupun yang tersembunyi, dek kerana orang yang berpuasa sentiasa hidup dalam
suasana keimanan di antara bacaan Quran, qiam, doa dan ibadat bersama-sama
hamba-hamba Allah yang soleh.
Puasa
juga merupakan ubat yang berupaya merawat hati yang keras kerana ia boleh
melunakkan hati kepada Allah SWT yang telah menciptanya dan mengurniakan rezki
kepadanya. Dia (Allah) lah juga yang akan memati, memasukkanya ke kubur,
membangkitkannya kembali dan seterusnya menghisabnya pada hari yang tiada manafaat
lagi harta dan anak pinak kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati
yang sejahtera. Maka puasa adalah rawatan yang amat efektif menyelesaikan
masalah futur (rasa lemah) yang menghinggapi jiwa manusia lalu
bermalas-malaslah dia daripada melakukan ketaatan, ibadat di mana seorang yang
berpuasa akan selalu bersama para hamba Allah di majlis-majlis zikir dan doa.
Pesanan
buat pemilik hati yang berpuasa
Rebutlah
peluang di bulan Ramadhan ini untuk mentarbiyah hati agar ikhlas kepada Allah
dan membersihkannya daripada sifat nifaq dan riya’
Rebutlah
peluang untuk mentarbiyah hatimu sentiasa tunduk dan taat kepada Allah Tuhan
Semesta Alam, justeru akan hilanglah nanti perasaan takabbur dan suka
bermegah-megah
Rebutlah
peluang untuk menumpukan perhatianmu kepada Allah SWT dengan doa dan ibadat,
penuh mengharap keampunanNya dan menyucikannya dari kealpaan dengan sentiasa
mengingati Allah SWT
Rebutlah
peluang di bulan mulia ini untuk tundukkan hatimu kepada muraqobatullah
Azzawajalla, nescaya nanti akan bertambahlah ketakutanmu terhadapNya
Rebutlah
peluang di bulan mulia ini untuk melatih dirimu berjihad melawan hawa nafsu
supaya kamu termasuk menjadi orang yang mempunyai keazaman dan kemahuan yang
kuat
No comments:
Post a Comment