Semoga semua berada dalam keceriaan dan mendapat rahmat daripada Allah Azzawajalla.....
Hari ini Rabu 17 Sya'aban 1434 bersamaan 26 Jun 2013. Hari-hari berikutnya membawa kita semua mendekati bulan Ramadhan Mubarak.
Pada pagi yang berbahagia ini, suka saya menyentuh 3 perkara yang amat menyentuh perasaan saya lantas membawa kep ada seribu keinsafan.
Pertama; Jerebu yang sampai ke saat ini belum selesai walaupun sedikit cerah pada pagi ini, namun di kebanyakan tempat masih dalam situasi tidak benar-benar sihat.
Kedua; Kematian akibat kanser selama hampir 6 tahun. Kelmarin hari Selasa jam 9.40 pagi, saya menerima berita kematian sepupu kepada isteri saya. Menyedihkan kerana keluarga ini agak rapat dengan keluarga kami. Kerap berziarah dan banyak memberi nasihat sekadar termampu. Bagaimana nasihatpun kita berikan, namun orang menanggung lebih merasai keperitannya berbanding kita yang melihat, kata orang "Berat mata melihat, berat lagi mahu yang memikul". Apapun saya kagum kerana keluarga ini memiliki sifat kesabaran luar biasa. Saya lihat, dengar dan kadang-kadang sampai menghayati dan hampir merasai penderitaan mereka sekeluarga kerana kerap berziarah. Keluar masuk hospital sudah menjadi rutin biasa, dialisis harian dan lain-lain yang lemah saya untuk menggambarkan dengan bahasa dan tulisan. Yang sakit bersabar, suami pun sabar menemani dan menyantuni isteri tercinta, anak-anaknya sabar juga menyantuni si ibu yang sering kesakitan tidak mampu melelapkan mata walau seketika lantaran kesakitannya yang amat sangat. Akhirnya setelah lebih 6 tahun dia pergi jua menemui penciptanya yang maha mengasihani lagi maha penyayang. Semoga ruhnya ditempatkan bersama para solehin di Syurga sana... Ameen...
Ketiga; Anak-anak Istimewa. Saya diundang menyampaikan ceramah Israk Mikraj sekalipun agak terlewat kerana sekarang sudah masuk pertengahan bulan Sya'aban. Ceramah ini sebenarnya program tertangguh kerana saya tidak dapat hadir atas sebab-sebab di luar kawalan. Ustaz yang menghubungi saya adalah teman lama semasa belajar di Univ Al-Azhar pada tahun-tahun 90an dulu. Lama kami tak jumpa, laman facebook menemukan saya dengan dia. Kebetulan Penolong Kanan di situ pula ialah senior saya semasa belajar di KIK pada tahun-tahun 80an dulu, namanya Dr Hamdi bin Ishak. Orangnya masih segak dan bermotivasi sekali. Saya pun rasa bersemangat lihat gelagatnya bercerita tentang anak-anak istimewa dengan penuh keceriaan. Dia tidak merungut walaupun saya tahu tidak mudah untuk menyantuni anak-anak istimewa.
Sebenarnya saya tidak berapa jelas daripada awal bahawa ceramah ini adalah untuk anak-anak istimewa. Mungkin kalau saya tahu dari awal, saya tidak akan terima kerana tidak biasa berceramah di suasana itu. Ada hikmat juga tahu sejurus sahaja sebelum saya ke sana. Saya tanya Ustaz Azmi yang jemput saya, alamat penuh SMK anta ni apa ya? Dia jawab SM Pendidikan Khas Vokasional, Syeksyen 17 Shah Alam. Tak sukar mencari kerana ia bersebelahan dengan INTEC yang menempatkan pelajar-pelajar persediaan ke luar negara yang kebetulan anak saya yang keempat sedang belajar di situ. Dia lepasan SPM berjaya mendapat tajaan MARA dalam bidang Ekonomi dan akan ke Univ di Jordan pada bulan September 2013 nanti insyallah.
Diringkaskan cerita, setelah sampai dan berdepan dengan anak-anak itu hati saya menjadi sayu dan hampir-hampir menitiskan airmata. Kalau tidak kerana sedikit segan berdepan guru-guru dan teman-teman yang puluhan tahun tidak berjumpa, saya akan menangis kerana terharu dengan suasana itu. Saudara disarankan untuk berziarah ke sana untuk memahami situasi. Ia tidak akan dapat difahami kecuali oleh mereka yang mengalaminya sendiri.
Apa yang mengisafkan saya ialah keadaan fizikal dan mental mereka yang istimewa itu. Mereka ditakdirkan Allah dilahirkan begitu. Tiada siapa yang meminta dilahirkan demikian, tapi Allah SWT yang menentukan demikian dan tentunya ada hikmat di sebaliknya yang terlindung daripada sesetengah orang. Kita yang sempurna ini harus bersyukur kerana telah mendapat nikmat yang begini besar. Sebenarnya tidak terbalas oleh kita jika mahu dihitung semua nikmat-NYA kepada kita.
Allah SWT berfirman yang bermaksud; "Jika sekiranya kamu menghitung nikmat Allah kepada kamu, nescaya kamu tidak akan terdaya menghitungnya".....
Justeru bersyukurlah kepada Allah SWT yang telah memberi kepada kita tanpa meminta balasan, akan tetapi yang dituntut daripada kita hanyalah pengabdian yang tidak berbelah bahagi kepada-NYA semata-mata buat selamanya selagi hayat dikandung badan.
Sekian,
Akhukum fillah,
UsTACZ
PUTRAJAYA
No comments:
Post a Comment