Tanggal 16hb. September 2004 menjadi nostalgia bagi saya kerana terima surat diberhentikan dari menjabat jawatan Imam Masjid KUSZA. Saya tidak pernah terfikir yang pihak KUSZA boleh menamatkan khidmat saya tanpa alasan. Yang dinyatakan dalam surat hanya 'mesyuarat majlis telah memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan tuan berkuatkuasa..... ', itu sahaja, ringkas dan diakhiri dengan ucapan terima kasih di atas sumbangan saya selama 8 tahun sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam (Imam) di bawah HEP pada masa itu. Tiada rayuan, tiada pampasan dan tiada majlis perpisahan dibuat oleh pihak KUSZA... cuma atas ihsan makmum masjid adalah mereka buat sedikit majlis makan malam selepas solat Isya' malam terakhir saya di situ, terharu juga rasanya.
Saya faham, oleh kerana status jawatan saya adalah kontrak, maka saya boleh sahaja diberhentikan pada bila-bila masa dengan syarat-syarat yang cukup simple. Persoalannya mengapa tidak dipanggil dulu atau minta surat tunjuk sebab mengapa dan mengapa kamu lakukan demikian dan sebagainya. Saya boleh sahaja datang untuk bersemuka dengan pihak yang bertanggungjawab.... namun itulah yang telah berlaku.
Alasan pemecatan saya akhirnya diketahui juga. Dari sumber dalaman KUSZA mengatakan kerana saya terlibat dengan kempen pilihanraya April 2004. Mereka kata saya berkempen di atas pentas PAS, membantu pembangkang dalam kempen tersebut. Kalau itulah alasannya, maka legalah rasa hati saya kerana saya membantu menyatakan yang haq, maknanya saya tidak bersalah sepanjang berkhidmat di KUSZA selama 8 tahun itu. Alhamdulillah sebab saya dipecat kerana membela Islam dan saya yakin bahawa Allah swt pasti akan menolong hambanya yang menolong AgamaNya.
Itulah ujian yang kecil yang saya telah lalui, orang lain menghadapi ujian yang jauh lebih hebat daripada saya dan mereka telah berjaya. Saudara-saudara kita di bumi Palestin menghadapi ujian yang amat dahsyat; diserang dari semua sudut dengan senjata tercanggih oleh kuasa ketiga terkuat di dunia. Mereka berjaya menghadapinya.
Kepada saudara Ramlang diharap bersabar kerana ada hikmat di sebalik ujian itu.
wallahu waliyyuna, huwa maulana, wani'man nasir.....
No comments:
Post a Comment