Tuesday, January 27, 2009

JAMAAH ISLAM QUDWAH

Oleh: Al-Ustaz Mustafa Masyhur

Assalamualaikum wa rahmatullah!

Artikel ini berdasarkan huraian Ustaz Mustafa Masyhur dalam bukunya, "القدوة على طريق الدعوة" Al-Qudwah Ala Toriq Ad-Dakwah (Tauladan Sepanjang Jalan Dakwah). Perkara-perkara yang dihuraikan hendaklah diambil sebagai panduan atau rujukan dan menggabungkan diri dalam sesebuah jemaah untuk menunaikan tanggungjawab dakwah yang diwajibkan ke atasnya. Huraian ini tidak bertujuan untuk menimbulkan perbezaan dan persengketaan antara jemaah sedia ada, tetapi sebaliknya mengharapkan agar jemaah-jemaah tersebut kembali kepada hakikat kesatuan ummah sejagat berdasarkan prinsip-prinsip haraki Islam dan dengan izin Allah S.W.T.

Dua puluh (20) perkara asasi yang perlu ada pada sebuah Jemaah Islam Contoh ialah :

1) Tujuan menegakkan jemaah ini ialah kerana Allah dan memiliki segala ciri-ciri Rabbani, serta mencari keredhaanNya (mardatillah). Jemaah ini jauh dari matlamat keduniaan seperti mencari kemasyhuran , kedudukan atau suka menonjolkan diri. Jemaah ini hendaklah juga jauh dari dorongan-dorongan jahilliyah seperti taa'sub kelompok, batas-batas geografi atau kenegaraan dan seumpamanya. Perkara seperti ini akan merosakkan amalnya dan membawa jemaah ke arah kegagalan.

2) Jemaah Islam ini hendaklah menjaga dirinya supaya ia tidak tunduk di bawah kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya berlaku ia memberi kesan buruk kepada gerakan dakwahnya atau mempengaruhi mesej dakwah.

3) Jemaah ini dibangunkan atas tujuan yang menyeluruh dan bersepadu, iaitu menegakkan agama Allah di bumi ini dengan mendirikan Negara Islam Sedunia. Manhajnya adalah berdasarkan apa yang diperlukan untuk mencapai tujuan ini, selagi menepati syariah Islam. Jemaah tidak sepatutnya mengongkong dirinya dalam perkara-perkara juz'i dalam Islam.

4) Kefahaman jemaah ini terhadap Islam hendaklah menyeluruh (syumul) dan pendekatan dakwah yang digunakan juga adalah bersifat menyeluruh (syamil). Kefahaman Islam dan mesej dakwah yang dibawa mesti bertepatan dengan al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah saw, dan bersih dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh memecah-belahkan orang-orang Islam.

5) Jemaah ini mestilah bersifat universal (alamiyyah) dan tidak tertakluk pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah Islam adalah ditujukan kepada sekalian alam. Jemaah ini juga menekankan bahawa orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan dengan sifat alamiyyahnya, jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam Alamiyyah, bukan Negara Islam Geografi. (rujuk karangan Ust Said Hawa, 'Durus fil Amal al-Islami') .

6) Jemaah ini mestilah mengikut methodologi dan cara (manhaj dan uslub) yang digunakan oleh Rasulullah saw ketika baginda mendirikan negara Islam; dengan mementingkan perkara-perkara seperti menanam Aqidah Tauhid dan Iman dalam hati, mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat Islam, mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraan, membina keluarga Islam dan tarbiyyah anak-anak dan lain-lain lagi. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan senjata sebelum aqidah dan penyatuan umat Islam akan membawa kepada perpecahan umat Islam dan kemudaratan yang besar.

7) Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari propaganda dan menunjuk-nunjuk kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan dan ganjaran pahala. Anggota jemaah ini hendaklah mengutamakan dirinya untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan menghindarkan dirinya dari sebarang sifat tercela (mazmumah), perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan 'tajassus' dan apa sahaja yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya prodaktif dalam dakwah. (surah al-Hujurat: 11-13)

8) Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang sempurna dan realistik. Segala tindakan yang diambil bukanlah secara spontan ataupun hanya reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh mengakibatkan risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan individu, keluarga dan masyarakat dalam semua lapisan umat Islam dilakukan atas dasar taqwa sebagai persediaan sebelum mendirikan Negara Islam.

9) Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek pendidikan dan pekerjaan yang dikehendaki; iaitu aspek rohani, jasmani, mental dan ilmu. Dari segi politik jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam dengan jalan kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara berparti atau jauh sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut parti sekular. Dari segi komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan sebaran am, akhbar, penulisan serta apa jua cara yang dapat menyebarkan dakwah serta menolak kekeliruan yang boleh timbul dari fitnah musuh atau sesiapa sahaja.

10) Jemaah contoh ini jangan sekali-kali meninggi diri serta sentiasa membuat perbandingan dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan tidak menganggap jemaahnya sahaja yang sempurna dan benar dan jemaah lain adalah sesat. Jangan memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah lain tetapi sebaliknya carilah ruang-ruang untuk bekerjasama. Hendaklah ia sentiasa berusaha ke arah penyatuan (wahdatul ummah) dengan jemaah-jemaah lain dan sentiasa bersabar, berlapang dada dan menerima segala kritikan dengan baik. Dengan izin Allah swt, kita semua mengharapkan akan tiba masanya, hilanglah semua nama-nama, gelaran dan perbezaan teknikal antara semua jemaah yang ada sekarang dan digantikan dengan satu Jemaah Muslimun.

11) Jemaah ini hendaklah bercampur-gaul dengan semua orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupun pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mendirikan Negara Islam.

12) Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta organisasi (tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah dididik (ditarbiyyah) sepenuhnya dan membentuk sof-sof yang terpilih dan tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak sihat, demi menjamin penerusan serta mesej dakwah yang dibawanya.

13) Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat serta kritikan yang membina kepada mereka yang memegang tanggungjawab tertentu atau pimpinan. Konsep ketaatan dan kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan.

14) Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mengkafir dan isu perbezaan jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan kekerasan dalam tindakan dan perkataan, kecaman, dan fitnah sewenang-wenangnya. Dari segi aqidah dan ibadah, jemaah ini tidak bertolak-ansur langsung.

15) Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama memberi sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama-sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam keseluruhannya.

16) Sentiasa berwaspada dengan tipu-helah musuh Islam dan sentiasa bersabar, melakukan pengorbanan dan banyak bermunajat kepada Allah apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.

17) Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakan Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya sebagai sumbangan kepada generasi akan datang. Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan bersabar.

18) Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta bergerak (muharrik) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, perundangan, dakwah, kesihatan, ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.

19) Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah, ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.

20) Jemaah ini sentiasa mengingatkan anggotanya bahawa keberkesanan dakwah dan natijah perjuangan tidak semestinya terlaksana semasa hayat mereka, tapi sebaliknya adalah urusan Allah swt dan dengan izinNya sahaja. Masa perjuangan yang diambil adalah diukur dengan 'umur dakwah' dan bukan umur individu anggota tersebut. Kejayaan akan menjelma bagi mereka yang beriman seperti janji Allah dalam surah an-Nur ayat 55.

Wallahu A'lam bis Sowaab..

No comments: