Tuesday, July 9, 2013

Syuhada’ Dakwah



Dr Abir Khalifa

(Tulisannya selepas Tragedi berdarah di Rabaah dan Haras Jumhuri)

Semalam mereka masih bersama kita membawa dakwah tuhan kita dengan penuh jujur, ikhlas, cinta dan pengorbanan. Tiba-tiba pada hari ini mereka telah pergi meninggalkan kita. Wahai saudara-saudaraku, sekalung tahniah untuk kamu yang telah mendapat syahadah (syahid) yang menjadi idaman sejak sekian lama. Ini kerana syahadah ini adalah permulaan dan bukan penamat kepada kehidupan yang hakiki.
Selepas hari ini, berakhirlah perkara yang menyakiti dan menyedihkan kamu. Yang tinggal untuk kamu hanyalah kebahagiaan sebaik sahaja kamu didatangi oleh malaikat-malaikat yang membawa khabar gembira dan nikmat ketika hembusan nafas terakhir kamu. Malaikat-malaikat tersebut memanggil-manggil kamu sebagaimana yang terdapat dalam firmanNya:

(إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ* نحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۖ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنْفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ)
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang berkata tuhan kami adalah Allah kemudian tetap teguh (istiqamah) di atasnya, akan turun malaikat-malaikat kepada mereka dan berkata: Tiada lagi ketakutan dan kesedihan untuk kamu. Bergembiralah dengan syurga yang sesungguhnya kamu telah dijanjikan. Kami adalah wali-wali kamu di dunia dan akhirat dan kamu akan mendapat apa sahaja yang kami inginkan dan di sana setiap yang kami harapkan akan menjadi kenyataan.

Kini, kamu seperti telah menyelam ke dasar syurga, lalu sekelip mata kamu terus melupakan segala kesakitan, penderitaan dan kesedihan yang kamu alami sebelum ini. Semua ruh-ruh bersih para syuhada’ dan pendakwah terdahulu telah menyambut ketibaan kamu. Kamu juga sedang berkumpul dengan semua yang kamu kasihi di alam yang suci dan bersih, menikmati kelazatan yang abadi di dalam kebun, taman dan syurga yang penuh kenikmatan. Alangkah beruntungnya kamu sekarang dapat menjadi sahabat Ilahi, dan kamu berjaya melepaskan diri dari semua yang menipu dan menekan hidup kamu selama ini.

Rasulullah pernah bersabda menceritakan kebahagian hidup yang abadi, maqam tinggi dan kelazatan yang kamu rasai sekarang... Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Setiap jiwa yang mati (yang mendapat kebaikan di sisi Allah) tidak akan teringin untuk kembali ke dunia walaupun dia telah memiliki dunia seisinya sebelum itu, kecuali para syahid yang ingin kembali ke dunia setelah melihat kemuliaan yang Allah sediakan kepada mereka (agar boleh berulang kami mendapatkan syahid).

Demi Allah, kamu telah mencorakkan penyudahan hidup kamu dengan corak terbaik. Tentunya kamu telah beramal demi Tuhan kamu dengan penuh keikhlasan sehingga Dia meredhai kamu dan memilih untuk ke maqam yang mulia ini. Sabda Rasulullah:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إذا أراد الله بعبده خيراً استعمله....قالوا : كيف يستعمله ؟ قال : يوفقه لعمل صالح قبل موته...
Maksudnya: Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang hamba itu, dia akan mempergunakannya. Sahabat bertanya: Bagaimana Allah mempergunakan hamba itu? Baginda menjawab: Allah akan menentukan kepadanya sesuatu amalan yang soleh sebelum kematiannya.

Apakah jenis amalan soleh yang ditentukan Allah kepada kamu sebelum mati?!! Tentunya keluar berjihad di jalanNya, meninggikan kalimah dan panji-panjiNya.

Oleh kerana siapa yang mati demi sesuatu, dia pasti akan dibangkitkan dengannya. Sudah tentu kamu akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak dengan darah-darah kamu yang suci bersih itu. Semua makhluk akan mengenali kamu dengan bauan yang seharum kasturi itu.. Ia bau darah kamu yang keluar ketika mengangkat tinggi panji-panji Allah SWT.

Kini, kami seperti dapat mendengar kamu sedang bersama-sama as-Syahid Syed Qutb mendendangkan nasyid akhi (saudaraku) ....

Saudaraku,
Seandainya kau tangisi kematianku ini
Dan kau siram pusara dengan air matamu
Maka dari tulang-tulangku yang hancur luluh nyalakanlah obor
Buat pedoman umat ini berjalan ke gerbang kegemilangan

Saudaraku
Seandainya kamu mati, kamu tentu akan berjumpa kekasih-kekasih
Begitu juga taman-taman tuhan yang telah disediakan untuk kita
Burung-burung berpesta di sekeliling kita
Maka berbahagialah kita di negeri abadi itu

Benar wahai saudara-saudaraku, berbahagialah kamu di negeri abadi itu. Seakan terdengar suara kamu memanggil-manggil kami: Wahai pendokong ikhwan, dan juga semua gerakan Islam, inilah darah syahid yang bersih dan harum berbicara kepada kamu, ruh yang bersih menyeru-nyeru kamu semua:

“Kami telah merealisasikan rukun pengorbanan dan jihad untuk kamu. Kami telah berkorban semua yang kami miliki; dengan keringat dan darah sehingga panji Allah tetap tertegak di ufuk. Siapa yang inginkan kesudahan sebegini, maka ikutilah jalan kami dan buat apa sahaja yang kami telah lakukannya. Demi Allah, tiada jalan lain yang akan menyampaikan kamu ke maqam kami yang tinggi ini kecuali jalan ini”.

“Siapa yang inginkan kesudahan baik yang ditentukan oleh Allah untuknya, maka bersedialah untuk mencorakkannya dari sekarang. Siapa yang ingin mendapat maqam syahid, hendaklah dia hidup dengan gaya kehidupan seorang syahid. Dia perlu segera mendahulukan mahar tanpa malas dan bertangguh. Siapa yang ingin mati sebagai pendakwah kepada Allah, dia hendaklah hidup dengan gaya hidup pendakwah di mana dakwah menguasai setiap rongga hatinya. Ketika itu dakwah menjadi perkara yang utama dalam priority hidupnya dan tiada keuzuran lagi untuknya (untuk lalai)”.

Wahai pendokong gerakan Islam, kamu pasti akan mendapatkannya dengan kegigihan kamu dalam hidup yang singkat ini, juga dengan kesanggupan untuk menanggung beban, penat dan kesusahan. Perjumpaan usrah, katibah, bacaan-bacaan quran, persatuan, perhimpunan-perhimpunan, muktamar-muktamar, demonstrasi, rapat-rapat umum, kem-kem muaskar, juga majlis-majlis kamu adalah satu-satunya jalan untuk mendapat kesudahan abadi ini untuk bersama orang yang kamu sayangi; bersama Allah yang maha tinggi, juga para nabi, syuhada dan solihin. Alangkah baiknya teman-teman sedemikian.
Ketahui dan yakinilah bahawa dakwah yang kita sirami dengan darah-darah ini adalah dakwah yang tetap akan dijaga. Sesungguhnya ia tetap akan terpelihara.

No comments: