Wednesday, September 30, 2009

BAGAIMANA SEORANG MUKMIN MENDAPATKAN KEMANISAN IMAN?

"Tiga perkara yang apabila terdapat di dalam jiwa seseorang, maka dia akan merasai kemanisan Iman: Bahawa Allah swt dan RasulNya saw terlebih kasih kepadanya dari segala yg lain, Dia mencintai seseorang tiada lain kecuali kerana Allah swt, Dia benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Manhaj amali ini menetapkan tiga perkara dasar untuk mendapatkan kemanisan Iman.....
1) Cinta yang murni khusus hanya untuk Allah swt dan RasulNya saw.
2) Persaudaraan yg benar kepada jamaah kaum muslimin.
3) Kebencian terhadap sumber-sumber kekufuran dengan segala macamnya dan menjauhi mereka yg sesat.
(1)
Cinta yang tulus hanya untuk Allah swt dan RasulNya

Setiap muslim mesti bertanya dirinya sendiri kenapa cinta dan kesetiaan diserahkan hanya untuk Allah ta'ala dan RasulNya saw?

Hal ini disebabkan faktor-faktor berikut:
Kerana Allah swt satu-satunya sang pencipta bagi seluruh alam ini; termasuk manusia dan jin.
Kerana Allah swt telah menganugerahkan ke atas seluruh makhlukNya nikmat sama ada yang zahir maupun batin.
Kerana Dia-lah Allah swt yang menundukkan seluruh makhlukNya untuk kemaslahatan manusia.
Kerana Dia-lah Allah swt yang telah menetapkan hukum dan manhaj sesuai dengan kudrat manusia.
Kerana Dia-lah Allah swt yang menjawab permohonan orang yang mengalami kesempitan sehingga terhindar ia dari mara bahaya dan keburukan dari manusia.
Kerana seluruh makhluk memerlukan Allah swt dan Dia-lah satu-satunya tempat pergantungan dalam semua keadaan.

Sila rujuk......
*Surah Ibrahim ayat:32-34 dan Surah an-Naml ayat:59-64

Menyerahkan rasa cinta kepada Rasulullah saw kerana dia adalah orang yang paling berhak mendapat cinta dan kesetiaan

Nabi Muhammad saw merupakan orang yang paling berhak mendapatkan cinta dan kesetiaan kerana baginda adalah manusia yang sempurna yang terpelihara dari kesalahan dan suci dari perbuatan dosa.

Ketaatan kepada Rasulullah saw merupakan ketaatan kepada Allah swt.
Kerana Sunnah Rasulullah saw menduduki tingkatan kedua dalam dasar hukum Islam selepas al-Quran.
Kerana Rasulullah saw adalah 'qudwah hasanah' bagi orang-orang beriman.
Kerana baginda saw telah melaksanakan amanah risalah dengan sempurna, memberi nasihat untuk seluruh ummah, telah berjihad di jalan Allah swt dengan jihad yang benar.... sehingga Islam tegak di Jazirah Arab sebagai Daulah Islam...
Baginda saw berhak mendapatkan cinta dan kesetiaan kerana baginda adalah penerang yang memberi cahaya kepada seluruh alam semesta dengan izin Allah swt, baginda adalah pencetus kasih sayang Allah yang memberikan petunjuk kepada manusia... Maha Benar firman Allah swt yang telah disampaikan dalam salah satu ayatNya:

لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجو الله واليوم الآخر وذكر الله كثيرا

"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah saw suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah swt dan hari akhirat dan dia banyak mengingati Allah swt (berzikir)." (Surah al-Ahzab ayat: 21)

** Surah al-Ahzab ayat: 45-46, Surah al-Anbiya' ayat: 107, Surah al-Qalam ayat: 4, Surah Ali Imran ayat: 31 dan Surah an-Nisa' ayat: 65

Cukuplah itu semua menjadikan Rasulullah saw sebagai manusia termulia, terhormat dan terunggul, sentiasa berada dalam kebaikan.... Sesungguhnya Allah swt telah mengangkat darjat baginda saw di alam semesta. Allah swt menjadikan Rasulullah saw sebagai pemimpin seluruh generasi manusia dan baginda saw telah dimuliakan Allah swt di atas seluruh manusia....

Semoga kasih sayang Allah swt terlimpah kepada Al-Bushiri ketika beliau berkata:

Sesungguhnya kemuliaan Rasulullah saw tidak terbatas,
Tidak ada orang yang mampu menggambarkan kemuliaannya,
Puncak ilmu manusia hanya mengatakan baginda saw adalah manusia biasa,
Sesungguhnya Rasulullah saw adalah sebaik-baik makhluk yang Allah swt ciptakan...


Berbagai hal yang dapat dirasakan oleh lautan cinta dan kebahagiaan yang indah bersama Rasulullah saw

Apabila kita perhatikan setiap lembaran sejarah, maka akan kita dapati cerita-cerita tentang kehebatan generasi awal Islam. Mereka adalah para sahabat Rasulullah saw serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik... Pastinya kita akan memperolehi buah-buah yang manis dari rasa cinta dan ketaatan yang dilakukan oleh mereka terhadap Rasulullah saw...
Pastinya kita dapat melihat bagaimana para sahabat mencium bau wangian hasil cinta kasih kepada Rasulullah saw dan bagaimana mereka merasai nikmat serta lazatnya iman.....

Ada sebuah kisah yang cukup terkenal menyebutkan bahawa seorang pemuda bernama Junaid; dia dikenali sebagai seorang yang luas ilmunya dan kuat beribadat. Ketika dia merasakan dalam jiwanya kenikmatan dan kelazatan ibadat serta ketaatan, beliau lantas berkata dengan penuh kegembiraan, "Seandainya para raja mengetahui nikmat yang kami rasai pastilah mereka akan menghentam kami dengan pedang untuk merebut nikmat tersebut." Seolah-olah beliau ingin mengatakan, "Sesungguhnya para raja di dunia ini meskipun mereka merasai nikmatnya kekuasaan dan kerajaan, mereka belum pernah merasai nikmat hakiki yang diraih oleh orang-orang yang dicintai Allah swt ketika mereka sedang bermunajat kepada-Nya secara suci dan lurus serta ibadat mereka yang khusyuk."

Bacalah kisah Tsauban maula Rasulullah saw sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Baghawi bahawa beliau sangat mencintai Rasulullah saw. Sehingga suatu hari dia datang kepada Rasulullah saw sedang raut wajahnya berubah. Maka Rasulullah saw lantas bertanya kepadanya: "Apa yang membuatmu kelihatan berubah?" Maka Tsauban menjawab: "Wahai Rasulullah saw ! aku tidak mengalami apa-apa penyakit atau terluka, ini disebabkan apabila aku tidak melihatmu aku merasakan diriku mengalami kekeringan yang amat sangat (dan ia tidak akan hilang) sehingga aku dapat bertemu denganmu. Kemudian setelah melihatmu maka aku teringat negeri akhirat dan aku merasa takut apabila kelak tidak melihatmu, kerana darjatmu diangkat bersama para nabi2. Sedang diriku apabila aku masuk syurga maka kedudukanku berada di bawah kedudukanmu, sedangkan apabila aku tidak masuk syurga, maka aku tidak akan pernah melihatmu selamanya." Maka turunlah ayat Allah swt dari surah an-Nisa' ayat 69 bermaksud:

"Barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat dari Allah terdiri daripada para nabi, para shiddiqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang solih. Dan mereka itulah teman yang paling baik."

Al-Baihaqi meriwayatkan bahawa ketika orang-orang kafir musyrikin membawa keluar Zaid bin Datsnah ra dari tanah haram untuk dibunuh dengan cara direjam dengan batu hingga mati dan diletakkan di bawah terik matahari bersama dengan Khubaib bin Adi al-Ansori. Kedua-duanya saling mewasiati tentang kesabaran dan tsabat terhadap siksaan serta kesukaran yang dihadapi. Kemudian Abu Sufyan -pada masa itu dia masih musyrik- berkata kepada Zaid: "Aku bertanyamu dengan bersumpah, demi Allah wahai Zaid... Apakah engkau suka apabila Muhammad sekarang berada di tempatmu untuk dipotong lehernya, sedangkan engkau aman di tengah keluargamu?" Maka Zaid menjawab: "Demi Allah! Aku tidak rela Muhammad saw sekarang sedang memijak duri sedangkan aku duduk bersenang linang di tengah keluargaku." Lantas Abu Sufyan berkata: "ما رأيت أحدا يحب أحدا كحب أصحاب محمد محمدا"

"Aku tidak pernah melihat seorang yang mengasihi seorang yang lain seperti kasihnya sahabat Muhammad kepada Muhammad."

Al-Hafizh ar-Zarqani berkata... 'Dan disebutkan dalam satu riwayat yang lain... Sesungguhnya mereka bertanya kepada Khubaib sambil bersumpah dengan nama Allah swt, lalu Khubaib menjawab: "Demi Allah! Aku sekali-kali tidak suka apabila Rasulullah saw menjadi tebusanku meskipun itu hanya sebatang duri yang mencucuk di kaki baginda saw."

Zaid dan Khubaib radiallahu 'anhuma lebih memilih mati dari membiarkan Rasulullah saw tertimpa musibah sekalipun ia hanya kecederaan yang kecil.

Al-Baihaqi dan Ibnu Ishaq meriwayatkan... Sesungguhnya Nusaibah binti Ka'ab Al-Ansori ra ketika bapanya, bapa saudara dan suaminya terbunuh sebagai syuhada' dalam perang Uhud, ketika mendapat berita kematian mereka beliau berkata: "Apa yang sedang berlaku kepada Rasulullah saw?" Yang dimaksudkan ialah tentang tentang keselamatan Rasulullah saw. Maka para sahabat berkata: "Segala puji bagi Allah, sesungguhnya baginda berada dalam keadaan selamat insyallah sebagaimana yang engkau inginkan." Maka Nusaibah berkata: "Perlihatkan baginda kepadaku hingga aku dapat melihatnya." Demi dilihat Rasulullah saw, maka Nusaibah berkata: "Semua musibah yang menimpa diriku -kematian 3 orang yang dikasihi- setelah dirimu adalah kecil wahai Rasulullah saw!" .....

Ibnu Asakir meriwayatkan dengan sanad jayyid daripada Bilal bin Rabah ra ketika beliau tinggal di daerah Badariya -nama tempat dekat Syam- dia bermimpi melihat Nabi saw setelah wafatnya baginda. Dalam mimpi itu Rasulullah saw berkata kepada Bilal: "Betapa keringnya keadaan wahai Bilal? Maukah engkau sekarang datang mengunjungiku?" Maka Bilal bangun dalam keadaan sedih dan takut. Maka dia segera mengenderai kuda dan pergi menuju ke Madinah. Kemudian dia segera menuju ke maqam Nabi saw dan menangis sambil bercucuran air matanya.

Kemudian Bilal pergi menemui Hasan dan Husain ra. Maka Bilal segera memeluk dan mencium mereka berdua. Berkatalah Hasan dan Husain kepada Bilal: "Kami sangat rindu ingin mendengar kembali azanmu yang pernah engkau kumandangkan dahulu semasa hayat Rasulullah saw di masjid." Maka di atas masjid tempat yang dahulu pernah digunakannya untuk mengumandangkan azan, Bilal berdiri. Tatkala Bilal meneriakkan azan Allahu Akbar Allahu Akbar, bergoncanglah kota Madinah. Ketika Bilal mengucapkan asyhadu alla ilaha illallahu, maka Kota Madinah semakin hiruk pikuk. Dan ketika sampai kepada lafaz asyhadu anna Muhammadar Rasulullah maka keluarlah kaum wanita dari lorong-lorong di Madinah seraya berteriak dan berkata: "Mungkinkan Rasulullah saw kembali dibangkitkan dari kuburnya?"

Dan hari itu menyaksikan kaum lelaki dan wanita paling ramai keluar menangis kerana rindu dan cinta kepada Rasulullah saw....









Monday, September 21, 2009

SELAMAT HARI RAYA


SEMOGA IBADAT KITA SEMUA DIMAQBULKAN OLEH ALLAH SWT
& SEMOGA BEKALAN TAQWA YANG DIPEROLEHI SEPANJANG RAMADAN DAPAT MEMANDU KITA SEPANJANG 11 BULAN MENDATANG

Monday, September 7, 2009

Puasalah Nescaya Kamu Jadi Sihat


Sabda Rasulullah saw:
صوموا تصحوا
"Berpuasalah kamu, nescaya kamu akan jadi sihat."

Lihat sahaja kepada saranan Rasulullah saw di atas betapa baginda amat prihatin terhadap kesihatan umatnya. Dengan berpuasa kita akan sihat.

Menjadi hikmat yang besar mengapa Allah swt mewajibkan setiap muslim berpuasa sebulan Ramadhan. Allah swt yang menciptakan insan, Dia maha mengetahui apa yang baik dan apa yang memudharatkan insan. Dalam setahun insan perlu berpuasa selama sebulan (sama ada 29 @ 30 hari). Alat pencernaan insan perlu direhatkan dalam tempoh yang tertentu untuk mengembalikan kecergasannya; seumpama motosikal yang kita tunggang juga perlu di'service' dalam masa yang ditentukan. Hayat motosikal tidak akan lama kalau ditunggang tanpa service. Hal yang sama berlaku kepada makhluk bernama insan ini.

Imam Syahid Hasan al-Banna (ISHAB) pernah menyebutkan: الصحة تاج المرء
"Kesihatan itu adalah mahkota seseorang." Akan hilang keselesaan dan keceriaan bila seseorang terkena penyakit dan insan itu akan belanjakan harta yang ada di dalam simpanannya untuk mengembalikan kesihatannya secepat yang boleh. Namun kebiasaannya bila terkena satu-satu penyakit sukar untuk kembali pulih seperti sediakala. Lihat saudara-saudara kita yang terkena angin ahmar... sukar dipulihkan melainkan mereka yang dirahmati Allah swt.
Oleh itu menjaga lebih baik dari berubat. Maka puasa adalah salah satu method yang Allah swt fardhukan kepada insan muslim untuk menjaga dan memberi kesihatan sepanjang hayatnya insyallah....

Wallaahu A'lam....

Saturday, September 5, 2009

JOM BERSAMA MEMBANTU SAUDARA KITA

Klik, muat turun brosur1 & brosur2

Rujukan Kami : Q-10-3-10-27-04(30) 2009

Tarikh : 06 Ogos 2009 / 13 Syaaban 1430H

Kepada :

Yang Berbahgia/Dato’ /Datin/Tuan/ Puan,

PER: TAJAAN BERBUKA PUASA & SEDEKAH KEPADA YANG LEBIH MEMERLUKAN

Semoga tuan/puan berada dalam lindungan Allah SWT dan diberi kesihatan dan kesejahteraan.

Ramadhan menjenguk lagi. Dan kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal.

}Firman Allah SWT yang bermaksud: {Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelas an mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil)}. [Al-Baqarah: 185]

Ibadat memberi makan bagi orang yang berbuka, akan menjadi asas kepada banyak ibadat-ibadat lain, rahmat dan kasih sayang terhadap sahabat yang diberi makan, akan melahirkan majlis para solihin, yang mengharapkan pahala di atas ketaatan, yang dikuatkan dengan makanan yang disedekahkan tadi.

}Firman Allah SWT: Maksudnya: {Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. (Mereka berkata:) Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dan dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera.} [Al-Insan: 8-12].

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) akan menganjurkan projek rayuan Ramadhan dan sedekah kali ke 11 untuk membantu umat Islam yang ditindas, ditimpa bencana alam, dilupakan dan mereka yang berjihad di jalan Allah SWT. Antaranya di Sudan, Palestin, Mindanao, Selatan Thailand, Afghanistan, Sri Lanka, Indonesia, Kemboja, Hidayah Centre dan lain-lain. Kami amat mengharapkan penyertaan umat Islam di Malaysia dalam menjayakan projek ini. Hasil sumbangan tuan/puan akan diagihkan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Sabda Rasulullah SAW sewaktu menaiki mimbar di Madinah: Maksudnya: "Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya". [HR: Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi]


Oleh itu, janganlah kita melepaskan peluang yang hanya datang sekali dalam setahun. Marilah kita bertekad dan berazam untuk memperuntukkan waktu dan masa kita dengan amal ibadat bagi merebut peluang ganjaran pahala yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya.

Bersama-sama ini disertakan brosur untuk edaran di tempat tuan/puan. Sebarkanlah kepada rakan, sahabat dan kenalan di pejabat atau kepada individu yang dikenali. Untuk makluman, brosur ini boleh juga didapati dari laman web: http://rayuan- ramadhan. jim.org.my/

Segala amal yang baik harus didokongi kerana ianya adalah amalan yang soleh dan diberkati Allah. Semoga segala sumbangan kita pada bulan Ramadhan yang mulia ini diterima sebagai amal soleh demi mendapat keredhaan dan keampunan Ilahi serta pembuka jalan bagi kita ke pintu syurga. Dan semoga Allah memberkati usaha kita semua.

Kasihilah untuk saudara kita apa yang kita kasihi untuk diri kita sendiri…

Sekian, wassalam.

Yang menjalankan amanah,

(HJ. IBRAHIM BIN MOHAMAD)

Pengarah Program

Rayuan Ramadhan / Sedekah JIM 1430H

+60341053159 @ +6041089669

TARIKH TAMAT: 19 RAMADHAN 1430H / 09 SEPTEMBER 2009
(Penyertaan yang diterima selepas tarikh tutup dimasukkan sebagai sedekah)
Terima kasih diucapkan kepada semua penderma budiman yang telah menghulurkan sumbangan kepada mereka yang lebih memerlukan. Mudah-mudahan sumbangan kecil kita ini dapat mengurangkan keperitan, kesusahan dan kesengsaraan umat Islam yang lebih memerlukan ini. Dan semoga Allah meredhai serta memberkati amal soleh anda ini.
JOM INFAQ...

Sumbangan boleh dibuat melalui PO/MO/Cek/Tunai yang dideposit ke akaun:

1. Bank Muamalat Malaysia Berhad 1403-0000391- 713
2. Bank Islam Malaysia Berhad 1211-3010005-797
Semua pembayaran atas nama "Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia".
Pembayaran juga boleh dibuat secara online di JIM e-bazaar
Sila hantarkan atau fakskan bank in slip sumbangan saudara/i kepada:
SEKRETARIAT RAYUAN RAMADHAN 1430H
PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA
LOT 300.2, LORONG SELANGOR,
PUSAT BANDAR MELAWATI
53100 KUALA LUMPUR
No Faks: +60341071754 @ +60341086319

"BERSAMA HAYATI MAKNA RAMADHAN YG SEBENAR"

Sekian, wassalam.

Sekretariat Rayuan Ramadhan 1430H
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Lot 300.2, Lorong Selangor,
Pusat Bandar Melawati,
53100 Kuala Lumpur.
Phone: +60341053159 @ +60341089669

Tuesday, August 25, 2009

Puasa dan Sains

Oleh: syabab007

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Pejam celik hari ini sudah masuk hari ke-3 kita berpuasa. Alhamdulillah Allah SWT masih lagi mengurniakan kita dua nikmat yang besar iaitu nikmat iman dan Islam. Serta masih diberikan kesempatan untuk meneruskan melakukan ibadah puasa di bulan yang penuh dengan keberkatan ini.

Secara fitrahnya manusia memerlukan kepada puasa
“Setiap manusia memerlukan kepada puasa sekalipun dia tidak sakit, kerana toksin-toksin makanan dan ubat berkumpul di dalam tubuh lalu menjadikannya seperti orang yang sakit dan memberatkannya, maka kecergasannya akan berkurang. Apabila seseorang berpuasa, dia akan akan terlepas daripada bebanan toksin-toksin berkenaan dan dia akan merasai kecergasan dan kekuatan yang tidak dialami sebelum itu.” (Dr. Mac Fedan – Ahli Perubatan Antarabangsa)

Daripada kata-kata Dr. Mac Fedan di atas, jelas kepada kita bahawa secara fitrahnya manusia sangat memerlukan suatu jangka masa untuk merehatkan tubuh badan daripada berterusan menerima toksin-toksin makanan dan ubat-ubatan. Ini kerana apabila ubat dan toksin berkumpul di dalam badan manusia akan menyebabkan badan menjadi lemah dan kecergasan seseorang akan berkurang.

Ramadhan yang panas terik
Ramadhan daripada perkataan ‘ramadho’ yang membawa maksud panas yang terik. Di dalam Islam bulan Ramadhan merupakan bulan yang ke-9 di dalam kalendar hijrah. Puasa telah difardhukan kepada seluruh umat Islam semenjak tahun ke-2 hijrah sehingga hari kiamat.

Lazimnya pada bulan ini cuacanya sangat panas. Bersempena dengan nama tersebut, semoga Ramadhan akan membakar dan melebur segala dosa yang telah dilakukan oleh orang yang berpuasa.

Kelebihan bulan Ramadhan:
1. Bulan untuk berpuasa

2. Al-Quran diturunkan
Peristiwa agung ini berlaku pada 17 Ramadhan ketika Nabi Muhamad SAW berusia 40 tahun semasa baginda sedang berkhulwah di Hira’.

3. Bulan kemenangan
Berlakunya kemenangan yang terbesar yang berjaya dicapai oleh umat Islam ialah didalam peperangan Badar al-Kubra. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadhan, hari Jumaat tahun 2H iaitu tahun pertama disyariatkan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Seperti yang kita sedia maklum Allah SWT telah mengurniakan kemenangan kepada umat Islam walaupun bilangan tentera Islam hanya berjumlah 313 orang berbanding orang kafir seramai 1300 orang.

Satu lagi peristiwa agung berlaku pada bulan Ramadhan ialah berlakunya peristiwa ‘Fathul Makkah’. Ianya berlaku dalam bulan Ramadhan tahun ke 8H.

4. Penuh dengan keberkatan
Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disebut ‘permulaan adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada api neraka'.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulallah S.A.W bersabda apabila bulan Ramadhan telah datang maka dibuka lah pintu-pintu syurga ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikat lah semua syaitan.

5. Bulan penghapus dosa
Dari Abi Hurairah dari Nabi SAW sabdanya: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan beriman dan mengharap keredhaan Allah nescaya akan diampunkan dosa-dosanya pada masa-masa lalu.” (HR Bukhari Muslim)

6. Bulan tarbiyah
Bulan Ramadhan mendidik umat Islam supaya menjadi hamba yang bersabar. Juga mendidik hambaNya kearah melakukan kebaikan serta mendidik hamba menjadi insan yang soleh dengan istiqamah menjaga seluruh anggota daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh Allah SWT.

7. Malam Lailatul qadar
Umat Nabi Muhamad SAW merupakan umat yang sangat istimewa kerana dikurniakan satu malam yang mempunyai pahala melebihi 1000 bulan beribadah.

8. Bulan taqwa
Dengan melakukan amalan yang dianjurkan dilakukan pada bulan puasa secara istiqamah seperti qiamulail, bertadarus al-quran dan solat tarawikh Allah SWT akan mengurniakan taqwa kepada hambaNya.

Kenapa perlu berbuka dengan kurma?

Ketika berbuka puasa Islam menganjurkan umatnya agar berbuka dengan buah tamar dan air. Kurma akan memberikan tenaga dengan cepat kepada badan. Apabila kita menyoroti kisah Maryam ibu Nabi Isa AS, Maryam telah bersandar pada pangkal pokok kurma di saat merasa sakit melahirkan anak. Lalu Allah SWT telah mengutuskan malaikat untuk memberitahu supaya digoncangkan pohon kurma untuk mendapatkan kurma yang masak. Daripada kisah ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa kurma boleh membekalkan tenaga kepada Maryam tatkala merasa sakit untuk melahirkan Nabi Isa AS.

Kurma juga bertepatan dengan sunnah Nabi SAW. Kurma merupakan buah yang sangat berkat untuk dimakan. Rasulullah SAW telah mewasiatkan kepada umatnya untuk berbuka dengan kurma pada bulan Ramadhan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Apabila seseorang dari kalangan kamu berbuka, maka hendaklah dia berbuka dengan tamar. Jika dia tidak ada, maka hendaklah dia berbuka dengan air kerana ia adalah penyuci."(Diriwayatkan oleh Abu Daud, kitab Puasa, nombor 2355 dan At-Tirmizi, kitab Sedekah, nombor 658)

Dari Anas, sesungguhnya Nabi SAW berbuka puasa dengan beberapa ruthab sebelum solat, kalau tidak ada ruthab, maka dengan beberapa kurma matang, kalau tidak ada, maka dengan meneguk beberapa tegukan air putih. (HR. Abu Daud dan Tirmidzi)

Kurma makanan kesihatan
Jelas disebalik sunnah Nabi SAW mengandungi manfaat yang banyak untuk kesihatan. Itulah sebabnya Rasulullah SAW memilih kurma berbanding makanan lain untuk berbuka puasa. Ini tidak lain dan tidak bukan ialah kerana kurma mempunyai kandungan yang baik untuk kesihatan.

Jika melihat dari sudut sains pula apabila saat untuk berbuka, organ-organ pencernaan mula aktif dan perlu diberikan sesuatu yang lembut. Ini akan menyebabkan organ-organ pencernaan memulakan kerjanya dengan perlahan-perlahan untuk terus mencernakan makanan yang lebih berat. Sebagai contoh di dalam kehidupan seharian, untuk melicinkan pergerakan sesebuah kenderaan ianya perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum bergerak. Ianya juga bertujuan untuk memastikan hayat kenderaan lebih lama.

Begitu juga dengan tubuh badan kita. Kesihatan sangat diperlukan untuk memudahkan melakukan ibadah bukan sahaja di bulan Ramadhan. Seperti kata pepatah arab berbunyi “al-aqlus salim fil jismi ssalim” yang bermaksud: ‘aqal yang sihat lahirnya daripada badan yang sihat’.

Kurma menghilangkan lapar dan dahaga
Keadaan orang yang sedang berpuasa sangat memerlukan makanan yang mempunyai gula yang mudah dicerna dan yang boleh menghilangkan rasa lapar. Nutrisi makanan yang paling cepat dicerna dan sampai ke darah adalah gula khususnya makanan yang mengandungi satu atau dua zat gula (glukosa atau sukrosa). Ini kerana tubuh mampu menyerap dengan mudah dan cepat zat gula hanya dalam beberapa minit. Apatah lagi jika perut sedang kosong, seperti orang yang berpuasa ini.

Jika kita mencari makanan yang boleh menyamai dua kandungan sekaligus (menghilangkan lapar dan dahaga), maka kita tidak akan menjumpai makanan yang lebih baik daripada apa yang disarankan oleh Nabi SAW. Iaitu kurma.

Kandungan gula dalam kurma
Berdasarkan kajian yang dibuat, menyatakan bahawa satu bahagian kurma yang dimakan menyamai 86-87% beratnya mengandungi 20-24% air, 70-75% gula, 2-3% protein. Manakala mengandungi hanya 8.5% serat. Berdasarkan penelitian, juga ditemui bahawa ruthab (kurma segar) mengandungi 65-70% air berdasarkan berat bersihnya, 24-58% zat gula, 1.2-2% protein dan 2.5% serat.

http://abuaiman786.blogspot.com/

Tuesday, August 18, 2009

Renungan Ramadhan - ISHAB



Kita panjatkan puji syukur ke hadrat Allah swt. Kita ucapkan shalawat dan salam untuk junjungan kita Nabi Muhammad saw, juga untuk segenap keluarga dan sahabatnya serta siapa saja yang menyeru kepada dakwahnya hingga hari kiamat.

Wahai Ikhwan yang mulia….

Saya sampaikan salam penghormatan Islam, salam penghormatan dari sisi Allah yang diberkati dan baik:

Assalamu ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuh.

Ramadhan adalah bulan perasaan dan rohani serta saat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sejauh yang saya ingat, ketika bulan Ramadhan menjelang, sebahagian Salafush Shalih mengucapkan selamat tinggal kepada sebahagian lain sampai mereka berjumpa lagi dalam shalat ‘Id. Yang mereka rasakan adalah ini bulan ibadah, bulan untuk melaksanakan shiyam (puasa) dan qiam (shalat malam) dan kami ingin menyendiri hanya dengan Tuhan kami.

Ikhwan sekalian…

Sebenarnya saya berupaya untuk mencari kesempatan untuk mengadakan kajian Selasa pada bulan Ramadhan, tetapi saya tidak mendapatkan waktu yang sesuai. Jika sebahagian besar waktu selama setahun telah digunakan untuk mengadakan kajian-kajian tentang Al-Qur’an, maka saya ingin agar waktu yang ada di bulan Ramadhan ini kita gunakan untuk melaksanakan hasil dari kajian-kajian tersebut. Apalagi, banyak di antara ikhwan yang melaksanakan shalat tarawih dan memanjangkannya, sampai mengkhatamkan Al-Qur’an satu kali di bulan Ramadhan. Ini merupakan cara mengkhatamkan Al-Quran yang indah. Jibril biasa membacakan dan mendengarkan bacaan Al-Qur’an daripada Nabi saw sekali dalam setahun. Nabi saw. mempunyai sifat dermawan, dan sifat dermawan baginda ini paling menonjol terlihat pada bulan Ramadhan ketika Jibril membacakan dan mendengarkan bacaan Al-Qur’an baginda. Baginda lebih dermawan dan pemurah dibandingkan dengan angin yang bertiup.

Kebiasaan membacakan dan mendengarkan bacaan Al-Qur’an ini terus berlangsung sampai pada tahun ketika Rasulullah saw. diberi pilihan untuk menghadap kepada Ar-afiq Al-A’la (Allah swt. — pen.), maka ketika itu Jibril membacakan dan mendengarkan bacaan Al-Qur’an beliau dua kali. Ini merupakan isyarat bagi Nabi saw. bahawa tahun ini merupakan tahun terakhir baginda hidup di dunia.

Ikhwan sekalian….

Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an. Rasulullah saw. pernah bersabda tentangnya;

الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ الصِّيَامُ أَيْ رَبِّ مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ وَيَقُولُ الْقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ قَالَ فَيُشَفَّعَانِ

“Puasa dan Al-Qur’an itu akan memberikan syafaat kepada hamba di hari kiamat. Puasa akan berkata, ‘Ya Rabbi, aku telah menghalangi-nya dari makan dan syahwat, maka perkenankanlah aku memberikan syafa ‘at untuknya.’ Sedangkan Al-Qur’an akan berkata, ‘Ya Rabbi, aku telah menghalanginya dari tidur di malam hari, maka perkenankan aku memberikan syafaat untuknya. ‘Maka Allah memperkenankan keduanya memberikan syafaat”. (HR. Imam Ahmad dan Ath Thabrani)

Wahai Ikhwan…

Dalam diri saya terdetik satu pemikiran yang ingin saya bicarakan. Kerana kita berada di pintu masuk bulan Puasa, maka hendaklah pembicaraan dan renungan kita berkaitan dengan tema bulan Ramadhan.

Ikhwan sekalian…

Kita telah berbicara panjang lebar tentang sentuhan perasaan cinta dan persaudaraan yang dengannya Allah telah menyatukan hati-hati kita, yang salah satu yang paling terasa adalah terjadinya pertemuan ini kerana Allah. Bila kita tidak akan berjumpa dalam masa empat minggu atau lebih, maka bukan bererti bara perasaan ini akan padam atau hilang. Kita tidak mesti melupakan prinsip-prinsip luhur tentang kemuliaan dan persaudaraan kerana Allah, yang telah dibangun oleh hati dan perasaan kita dalam majlis yang baik ini. Sebaliknya, saya yakin bahawa ia akan tetap menyala dalam jiwa sampai kita berjumpa kembali setelah masa terluang pada bulan Ramadhan yang mulia ini, insyaAllah. Jika ada salah seorang dari Anda melaksanakan shalat pada malam Rabu, maka saya berharap agar ia mendoakan kebaikan untuk ikhwannya. Jangan Anda lupakan ini! Kemudian saya ingin Anda selalu ingat bahawa jika hati kita merasa dahaga akan perjumpaan ini selama minggu-minggu tersebut, maka saya ingin Anda semua tahu bahawa dahaganya itu akan dipuaskan oleh mata air yang lebih utama, lebih lengkap, dan lebih tinggi, iaitu hubungan dengan Allah swt. yang merupakan cita-cita terbaik seorang mukmin bagi dirinya di dunia maupun akhirat.

Kerana itu, Ikhwan sekalian…

Hendaklah Anda semua berusaha agar hati Anda menyatu dengan Allah swt. Pada malam-malam bulan mulia ini. Sesungguhnya puasa adalah ibadah yang dikhususkan oleh Allah swt. bagi diri-Nya sendiri.

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

“Semua amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa. la untuk-Ku dan Aku akan memberikan balasannya.”

Ini wahai Ikhwah, mengisyaratkan bahawa setiap amal yang dilaksanakan oleh manusia mengandung manfaat lahiriah yang boleh dilihat, dan di dalamnya terkandung semacam bagian yang baik untuk diri kita. Kadang-kadang jiwa seseorang terbiasa dengan shalat, sehingga ia ingin melaksanakan banyak shalat sebagai habuan bagi dirinya. Kadang-kadang ia terbiasa dengan zikir, sehingga ia ingin banyak berzikir kepada Allah sebagai habuan bagi dirinya. Kadang-kadang ia terbiasa dengan menangis kerana takut kepada Allah, maka ia ingin banyak menangis kerana Allah sebagai habuan bagi dirinya. Adapun puasa, wahai Akhi, di dalamnya tidak terkandung apa pun selain larangan. Ia harus melepaskan diri dari bermacam keinginan terhadap apa yang menjadi habuan dirinya. Bila kita terhalang untuk berjumpa satu sama lain, maka kita akan banyak berbahagia kerana bermunajat kepada Allah swt. Dan berdiri di hadapan-Nya, khusus-nya ketika melaksanakan shalat tarawih.

Ikhwan sekalian…

Hendaklah senantiasa ingat bahawa Anda semua berpuasa kerana melaksanakan perintah Allah swt. Maka berusahalah sungguh-sungguh untuk selalu bersama dengan Allah pada bulan mulia ini.

Ikhwan sekalian…

Ramadhan adalah bulan keutamaan. Ia mempunyai kedudukan yang agung di sisi Allah swt. Hal ini telah dinyatakan dalam kitab-Nya:

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang batil).” (Al-Baqarah:185)

Wahai Akhi, pada akhir ayat ini Anda mendapati: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Al-Baqarah: 185)

Puasa adalah kemanfaatan yang tidak mengandung bahaya. Dengan penyempurnaan puasa ini, Allah swt. akan memberikan hidayah kepada hamba-Nya. Jika Allah memberikan taufiq kepada Anda untuk menyempurnakan ibadah puasa ini dalam rangka mentaati Allah, maka ia adalah hidayah dan hadiah yang patut disyukuri dan selayaknya Allah di Agungkan atas kurnia hidayah tersebut. “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)

Kemudian, lihatlah wahai Akhi, jelas dari semua ini;

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah; 186)

Wahai Akhi…

Di sini Anda melihat bahawa Allah Yang Maha Benar meletakkan ayat ini di tempat ini untuk menunjukkan bahawa Dia swt. paling dekat kepada hamba-Nya adalah pada bulan mulia ini. Allah swt. telah mengistimewakan bulan Ramadhan. Mengenai hal ini terdapat beberapa ayat dan hadis. Nabi saw. bersabda:

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِل وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ

“Jika bulan Ramadhan datang, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu, kemudian datang seorang penyeru dari sisi Allah Yang Maha Benar swt “Wahai pencari kejahatan, berhentilah! Dan wahai pencari kebaikan, kemarilah!’”

Wahai Akhi…

Pintu-pintu syurga dibuka kerana manusia berbondong-bondong melaksanakan ketaatan, ibadah dan taubat, sehingga jumlah pelakunya banyak. Syaitan-syaitan dibelenggu, kerana manusia akan beralih kepada kebaikan, sehingga syaitan tidak mampu berbuat apa-apa. Hari-hari dan malam-malam Ramadhan, merupakan masa-masa kemuliaan yang diberikan oleh Allah swt. agar orang-orang yang berbuat baik menambah kebaikannya dan orang-orang yang berbuat jahat mencari kurnia Allah swt. sehingga Allah mengampuni mereka dan menjadikan mereka hamba-hamba yang dicintai dan didekatkan kepada Allah.

Keutamaan dan keistimewaan paling besar bulan ini adalah bahawa Allah swt. telah memilihnya menjadi waktu turunnya Al-Qur’an. Inilah keistimewaan yang dimiliki oleh bulan Ramadhan. Kerana itu Allah swt. mengistimewakan dengan menyebutkannya dalam kitab-Nya.” (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur’an.” (Al-Baqarah: 185)

Ada ikatan hakikat dan fisik antara turunnya Al-Qur’an dengan bulan Ramadhan. Ikatan ini adalah selain bahawa Allah telah menurunkan Al-Qur’an di bulan Ramadhan, maka di bulan ini pula Dia mewajibkan puasa. Kerana puasa artinya menahan diri dari hawa nafsu dan syahwat. Ini merupakan kemenangan hakikat spiritual atas hakikat material dalam diri manusia. Ini bererti wahai Akhi bahawa jiwa, ruh dan akal manusia pada bulan Ramadhan akan menghindari tuntutan-tuntutan jasmani. Dalam keadaan seperti ini roh manusia berada di puncak kejernihannya kerana ia tidak disibukkan oleh syahwat dan hawa nafsu. Ketika itu ia dalam keadaan paling bersedia untuk memahami dan menerima ilmu dari Allah swt. Justeru itu bagi Allah, membaca Al-Qur’an merupakan Ibadah paling utama pada bulan Ramadhan yang mulia.

Pada kesempatan ini, Ikhwan sekalian, saya akan meringkaskan untuk Anda semua pandangan-pandangan saya tentang kitab Allah swt., dalam kalimat-kalimat ringkas:

Wahai Ikhwan yang mulia…

Tujuan-tujuan asasi dalam kitab Allah swt. dan prinsip-prinsip utama yang menjadi landasan bagi petunjuk Al-Qur’an ada empat:

1. Perbaikan Aqidah

Anda mendapati bahawa Al-Qur’anul Karim banyak menjelaskan masalah aqidah dan menarik perhatian kepada apa yang seharusnya tertanam sungguh-sungguh di dalam jiwa seorang mukmin, agar ia mampu mengambil manfaatnya di dunia dan di akhirat. Keyakinan bahawa Allah swt. adalah Yang Maha Esa, Yang Mahakuasa, Yang menyandang seluruh sifat kesempurnaan dan bersih dari seluruh kekurangan. Kemudian keyakinan kepada hari akhir, agar setiap jiwa dihisab tentang apa saja yang telah dlkerjakan dan ditinggalkannya.

Wahai Akhi…

Jika Anda mengumpulkan ayat-ayat mengenai aqidah dalam Al-Qur’an, nescaya Anda mendapati bahawa keseluruhannya mencapai lebih dari sepertiga Al-Qur’an. Allah swt. berfirman dalam surat Al-Baqarah, “Hai manusia, beribadahlah kepada Rabb kalian Yang telah menciptakan kalian dan orang-orang yang sebelum kalian, agar kalian bertaqwa. Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagi kalian dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untuk kalian; kerana itu janganlah kalian mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah padahal kalian mengetahui.” (Al-Baqarah: 21-22)

Wahai Akhi…

Setiap kali membaca surah ini Anda mendapati kandungannya ini terpampan di hadapan Anda. Allah swt. juga berfirman dalam surat Al-Mukminun, “Katakanlah, Kepunyaan siapa-kah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kalian mengetahui?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah.’ Katakanlah, ‘Maka apakah kalian tidak ingat?’ Katakanlah, ‘Siapakah Yang Empunya langit yang tujuh dan Yang Empunya ‘Arsy yang besar?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah.’ Katakanlah, ‘Maka apakah kalian tidak bertaqwa?’ Katakanlah, ‘Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (adzab)-Nya, jika kalian mengetahui?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah.’ Katakanlah, ‘(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kalian ditipu?’ Sebenar-nya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka, dan sesungguhnya mereka benar-benar orang yang berdusta.” (Al-Mukminun: 84-90)

Allah swt. juga berfirman di surah yang sama, “Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu dan tidak pula mereka saling bertanya. Barangsiapa yang berat timbangan (kebaikannya) maka mereka itulah orang-orang yang dapat keberuntungan. Dan barangsiapa yang ringan timbangan (kebaikannya), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka kekal di dalam neraka Jahanam.” (Al-Mukminun: 101-103)

Allah swt. juga berfirman, “Apabila bumi diguncangkan dengan guncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya. Dan manusia bertanya, ‘Mengapa bumi (jadi begini)?’ Pada hari itu bumi menceritakan beritanya. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang demikian itu) kepadanya. Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat dzarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula.” (Az-Zalzalah: 1-8)

Allah swt. berfirman, “Hari Kiamat. Apakah hari Kiamat itu? Tahukah kalian apakah hari Kiamat itu?” (Al-Qari’ah: 1-3)

Dalam surat lain Allah berfirman, “Bermegah-megahan telah melalaikan kalian. Sampai kalian masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kalian akan mengetahui (akibat perbuatan kalian itu). Dan janganlah begitu, kelak kalian akan mengetahui.” (At-Takatsur: 1-4) Wahai Akhi, ayat-ayat ini menjelaskan hari akhirat dengan pen-jelasan gamblang yang bisa melunakkan hati yang keras.

2. Pengaturan Ibadah

Anda juga membaca firman Allah swt. mengenai ibadah. “Dan dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat.” (Al-Baqarah: 43) “…diwajib-kan atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian.” (Al-Baqarah: 183) “…mengerjakan haji adalah kewa-jiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah.” (Ali-Imran: 97) Maka aku katakan kepada mereka, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.” (Nuh: 10) Dan banyak lagi ayat-ayat lain mengenai ibadah.

3. Pengaturan Akhlak

Mengenai pengaturan akhlak, wahai Akhi, Anda biasa membaca firman Allah swt. “Dan demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)-nya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya.” (Asy-Syams: 7-8) “…Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan yang ada dalam diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d:11) “Adakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran. (Yaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merusak perjanjian. Dan orang-orang yang sabar kerana mencari ridha Tuhannya, mendirikan shalat, dan menafkahkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik). (Yaitu) surga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang shalih dari bapak-bapaknya, istri-istrinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu. (Sambil mengucapkan), ‘Salamun ‘alaikum bima shabartum (keselamatan atasmu berkat kesabaranmu),’ maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” (Ar-Ra’d: 19-24)

Wahai Akhi…

Anda mendapati bahwa akhlak-akhlak mulia bertebaran dalam kitab Allah swt. dan bahwa ancaman bagi akhlak-akhlak tercela sangatlah keras. “Dan orang-orang yang memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mengadakan kerusakan di bumi, orang-orang itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (Jahanam).” (Ar-Ra’d: 25)

Inilah peraturan-peraturan tersebut, Ikhwan sekalian, sebenarnya, peraturan-peraturan itu lebih tinggi daripada yang dikenal oleh manusia, karena di dalamnya terkandung semua yang dikehendaki manusia untuk mengatur urusan masyarakat. Ketika mengupas sekelompok ayat, maka Anda mendapati makna-makna ini jelas dan gamblang. “Seperempat Juz Khamr” yang diawali dengan “Mereka bertanya kepadamu tentang khamr dan judi” (Al-Baqarah: 219), mengandung lebih dari dua puluh lima hukum praktis: tentang khamr, judi, anak-anak yatim, pernikahan laki-laki dan wanita-wanita musyrik, haid, sumpah, ila’, talak, rujuk, khuluk, nafkah, dan hukum-hukum lainnya yang banyak sekali Anda dapatkan dalam seperempat juz saja. Hal ini kerana surat Al-Baqarah datang untuk mengatur masyarakat Islam di Madinah.

Ikhwan tercinta…

Hendaklah Anda semua menjalin hubungan dengan kitab Allah. Bermunajatlah kepada Tuhan dengan kitab Allah. Hendaklah masing-masing dari kita memperhatikan prinsip-prinsip dasar yang telah saya sebutkan ini, kerana itu akan memberikan manfaat yang banyak kepada Anda. Wahai Akhi. Insya Allah Anda akan mendapatkan manfaat darinya.

Semoga shalawat dan salam dilimpahkan kepada Sayidina Muhammad dan kepada segenap keluarga dan sahabatnya.