Friday, September 7, 2012

Pesanan untuk Pejuang Islam di Medan Al-Qadisiyyah

Oleh: kamal_hasan
"Kepahlawanan Saad bin Abi Waqqas tertulis dengan tinta emas saat beliau memimpin pasukan tentera Islam menentang tentara Parsi Majusi pada masa lampau di Medan Qadissyah, Iraq.

Peperangan Qadisiyyah merupakan salah satu peperangan terbesar yang belum pernah terjadi sebelumnya di Iraq. Sejumlah kisah keberanian dan pengorbanan yang mendebarkan hati menghiasi insiden bersenjata ini.

Peristiwa monumental tersebut berlangsung pada tahun 14 H, iaitu pada zaman khalifah Umar bin al Khaththab R.A. Umar telah memerintahkan Saad bin Abi Waqqas bersama 30 000 pasukannya, berangkat menuju Qadasiyyah. Umar kemudiannya turut melaungkan tekadnya, "Demi Allah, aku akan mempertemukan penguasa bukan Arab dengan penguasa-penguasa di kalangan Arab."

Di antara mereka yang menuju ke medan Qadisiyyah terdiri daripada sembilan vateran perang Badar, manakala 300 pasukan yang lain pernah ikut serta dalam ikrar Bai'at Ar Ridhwan di Hudaibiyyah, dan 300 di antaranya mereka yang lain pernah mengikut serta dalam memerdekakan Makkah (peristiwa Fathu Makkah) bersama pimpinan Rasulullah S.A.W. Manakala yang berbaki adalah putera-putera Para Sahabat, dan ribuan wanita yang ikut serta sebagai perawat. Untuk mengekang pasukan tentera Muslim yang hadir ini, pasukan Parsi telah bersiap untuk bertempur dengan jumlah tentera 120 ribu orang dibawah panglima perang kawakan mereka, Rustum.

Sebelum tentera Islam menghadapi tentera Parsi di medan al Qadisiyyah, Khalifah Umar al Khattab R.A telah mewasiatkan pengajaran yang berguna buat kepada panglima tentera Islam Sa`ad ibn Waqqas R.A, "Sesungguhnya aku memerintahkanmu dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah Taala dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh-musuh mereka. Sesungguhnya orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita."
Di dalam Bidayah wan Nihayah Ibn Kathir mencatatkan, "Apabila bertembungnya dua bala tentera (Islam pimpinan Saad ibn Abi Waqqas dan Parsi pimpinan Rustum di medah al Qadisiyyah) Rustum mengutus utusan kepada Saad supaya dihantar kepadanya seorang yang bijak dan tahu menjawab soalannya. Lalu Saad mengirim al Mughirah ibn Syu'bah R.A".

Apabila al Mughirah ibn Syu'bah tiba, Rustum terus berkata kepadanya, "Kamu jiran kami. Kami telah bersikap baik kepada kamu. Kami menahan diri dari menyakitkan kamu. Pulang ke negeri kamu dan kami tidak akan menghalang kamu datang berniaga ke negeri kami."

Panglima Al Mughirah menjawab, "Kami bukan mencari dunia. Keinginan dan tuntutan kami adalah akhirat. Allah Taala telah mengirimkan seorang utusannya kepada kami dengan membawa pesanan (( Aku serahkan kepada kumpulan ini untuk menguasai setiap orang yang tidak beragama dengan agamaku (agama Islam) dan aku menghukum mereka melalui kumpulan ini. Aku tetap memberi jaminan bahawa kemenangan menjadi milik mereka (umat Islam) selama mana mereka berikrar dengan perkara ini (hukum-hukum Islam). Ia (Islam) adalah agama kebenaran. Sesiapa yang membencinya pasti dihina. Sesiapa yang berpegang teguh dengannya pasti mulia."

Rustum bertanya, "Maka apa dia sebenarnya?"

Al Mughirah menjawab, "Asas perjuangan kami ialah kesaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Nabi Muhammad adalah Rasulullah S.A.W dan memperakui apa jua yang dibawa dari Allah Taala."

Rustum menjawab, "Alangkah baiknya perkara ini! Apa lagi?"

Al Mughirah menjawab, "Membebaskan hamba-hamba dari penyembahan kepada sesama hamba kepada penyembahan kepada Allah."

Rustum menjawab, "Ini baik juga. Apa lagi?"

Al Mughirah menjawab, "Ke semua manusia adalah anak-anak Adam. Mereka semua bersaudara dari satu bapa (Nabi Adam) dan satu ibu (Hawa)."

Rustum menjawab, "Baik juga. Adakah jika kami masuk agama kamu, apakah kamu akan kembali dari negeri kami?"

Dia menjawab, "Demi Allah. Kami tidak mendekati negeri kamu melainkan untuk urusan muamalah dan apa-apa hajat."

Apabila al Mughirah keluar, Rustum berbincang dengan kumpulannya tentang masuk Islam, namun mereka enggan menerima.

Ibn Kathir seterusnya mencatat, "Kemudian Saad bin Abi Waqqas kembali menghantar seorang lagi utusan dengan permintaan darinya iaitu Rub'ie ibn 'Amir".

Mereka bertanya, "Khabar apakah yang membawa kedatanganmu ke sini?"

Rub'ie ibn 'Amir menjawab, "Allah mengutuskan kami untuk membebaskan dunia penghambaan sesama hamba kepada penghambaan diri kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada kelapangannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Dia utuskan kami agamanya untuk kami mengajak manusia kepadanya. Sesiapa yang menerimanya kami menerimanya dan kami kembali darinya. Sesiapa yang enggan kami peranginya sehingga kami kembali kepada janji Allah Taala (sama ada mati syahid ataupun mencapai kemenangan)."

Mereka bertanya, "Apa dia janji Allah itu?"

Rub'ie ibn 'Amir menjawab, "Syurga bagi yang mati berperang dan kemenangan bagi yang hidup."

Rustum berkata, "Aku telah dengar ucapanmu. Apakah kamu boleh tangguhkan urusan ini sehingga kami boleh bertenang memikirkan tawaranmu dan kamu juga bertenang menanti jawapan kami?"

Rub'ie ibn 'Amir menjawab, "Ya. Berapa lama kamu mahu? Sehari atau dua hari?"

Rustum menjawab, "Kamu perlu tunggu sehingga kami selesai menulis surat kepada penasihat-penasihat dan wakil-wakil kerajaan kami."

Rub'i ibn 'Amir berkata, "Kami tidak diajar untuk menangguhkan musuh ketika bertempur lebih dari tiga hari. Selesaikan urusan antara kamu dan mereka itu segera."

Rustum bertanya, "Alangkah tegasnya kamu, adakah kamu ini ketua tentera Islam?"

Rub'i ibn 'Amir menjawab, "Tidak. Tetapi umat Islam itu seperti satu jasad. Orang yang paling lemah dilindungi oleh orang paling kuat (tiada sikap zalim-menzalimi antara satu sama lain)."

Kemudian Rustum bermesyuarat dengan pembesar-pembesarnya dan berkata, kata Rustum, "Adakah kamu dapat melihat manusia lebih berwibawa dan lebih bijak dari kata-kata lelaki ini (Rub'ie ibn 'Amir)?"

Mereka menjawab, "Mengapa kamu berkata demikian? Adakah kamu mahu cenderung kepada agama dia ini (agama Islam) dan meninggalkan agama nenek moyang kita. Engkau tidak lihat bajunya?"

Rustum menjawab, "Celaka kamu. Jangan lihat kepada bajunya (yang kusut-masai), tetapi lihatlah kepada pendapat, percakapan dan keperibadiannya. Orang Arab memang bermudah-mudah dalam hal pakaian dan makanan, namun mereka menjaga maruah dan keturunan." - Rujuk "al Bidayah Wan Nihayah" Jilid 9 Halaman 621-623.

Peperangan al Qadisiyyah berakhir pada tahun 15 H dengan kekalahan tentera Parsi.

Sumber: http://silverheritage.blogspot.com/2012/09/mesej-islam-dari-medan-al-qadisiyyah.html
" 

No comments: