Saturday, April 13, 2013

PENYEBAB TINGGI DAN RENDAHNYA HIMMAH (SEMANGAT)


Dalam usaha memotivasi diri untuk sentiasa berada pada posisi himmah (semangat) yang tinggi, kita perlu mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhinya. Berikut beberapa faktor yang perlu difahami sebaiknya, semoga Allah SWT membantu kita semua;

1. Tabiat Manusia

Kerana Allah SWT telah menciptakan manusia sesuai dengan tabiatnya masing-masing. Oleh kerana itu hendaknya seseorang memahami tabiatnya dan memilih tempat-tempat yang tepat sesuai dengan tabiat yang dia miliki untuk mengembangkan potensi diri yang ada padanya. Misalnya ada orang yang diberikan kemampuan untuk berfikir, maka hendaknya ia berusaha dalam meningkatkan semangat tersebut seperti mengurus pejabat, menulis, mengeluarkan idea-idea yang baik, kemudian menggambarkan tujuan-tujuan, menyusun program-program kerja dan lain-lain. Ada orang yang diberikan kemampuan untuk senang bergerak ke sana ke mari, kalau urusan di medan dialah yang sesuai, maka orang seperti ini perlu mencari kerja-kerja yang memenuhi tabiat tersebut. 

Rasulullah s.a.w. ketika melihat potensi-potensi para sahabat sesuai dengan tabiat yang mereka miliki, maka baginda memberikan semangat dan menempatkan para sahabat sesuai dengan potensinya. 

Contohnya Abu Hurairah r.a. diberi gelaran atau disebutkan wadah dari ilmu, kerana Rasulullah s.a.w. melihat beliau kuat hafalannya dan sangat mudah menimba ilmu dan menerima hadis daripada Rasulullah s.a.w. sehingga dikenali sebagai sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis. 

Khalid bin Walid r.a, misalnya, beliau ini bukan termasuk sahabat yang banyak menghafal dan bukan pula setaraf sahabat yang banyak meriwayatkan hadis dan penuntut ilmu, akan tetapi Rasulullah s.a.w. melihat beliau tangkas di medan peperangan dan memiliki kemampuan dalam berperang, sehingga Rasullullah s.a.w, demikian pula sahabat seperti Abu Bakar r.a, dan khalifah setelahnya mengangkat beliau (Khalid) sebagai panglima perang untuk melawan orang-orang kafir, bahkan beliau diberi gelar sebagai saif min suyufillah (pedang dari pedang-pedang Allah). 

Demikian dengan yang lain. Adapun Ali bin Abi Thalib r.a, dan Muadz bin Jabal r.a, mereka ini adalah orang-orang yang faham tentang halal haram dan faham dalam masalah hukum-hakam maka sahabat tersebut terkenal dengan hukum-hukumnya tersebut kerana orang-orang yang bergelut dalam masalah ini seperti qadhi atau hakim harus memiliki ketajaman dalam mempraktikkan daripada nash-nash yang ada tersebut. Sehingga Rasulullah s.a.w, betul-betul dapat memanfaatkan potensi yang dimiliki para sahabat. Maka hendaknya kita melihat tabiat masing-masing sehingga kita dapat memilih tugas yang sesuai dengan potensi yang dimiliki, supaya Himmah kita tetap terjaga. 

2. Bagaimana bapa dan ibu mentarbiyah anak-anaknya di rumah

Rasulullah s.a.w. bersabda yang ertinya : “Tidaklah lahir seorang anak kecuali dalam keadaan fitrah. Maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi” 

Jika kita melihat hadis tersebut, kita dapati peranan orang tua sangat berpengaruh dalam pembinaan Himmah anak-anaknya. Kalau orang tua senantiasa mengajarkan perkara-perkara yang tinggi, perkara yang memiliki keutamaan yang besar, maka insyallah anak itu akan terbentuk seperti didikan orang tuanya. 

Tetapi sebaliknya jika orang tua sentiasa mengajarkan hal-hal yang hina dan kurang bermamfaat maka anak tersebut akan terbentuk menjadi seperti itu pula. Banyak contoh di kalangan para sahabat. Sebagai contoh Zubair ibnu Awwam r.a, di mana sahabat ini dijamin masuk syurga oleh Rasulullah s.a.w, . Beliau ini sentiasa mengajarkan anaknya berperang sampai dalam satu situasi beliau sampaikan kepada anaknya bahawa siapa yang paling awal masuk dalam pasukan musuh dan paling cepat kembali.... Ini salah satu contoh sahabat yang membina anaknya dengan menanamkan Himmah Aliyah sehingga tidak hairan kalau Ibnu Zubair menjadi seorang khalifah kerana sejak awal terlatih seperti itu. Contoh lain adalah kisah pada perang badar, di mana  ada dua kanak-kanak di antara para sahabat bertanya manakah yang bernama Abu Jahal, lalu berkata kami akan mencari Abu Jahal dan berusaha membunuhnya, dia yang mati atau kami yang terbunuh padahal mereka masih anak-anak, lalu mereka berhasil membunuhnya. 

Ini kerana mereka telah ditarbiyah sejak kecil. Kerana itu seorang penyair mengatakan, “Ibu itu adalah madrasah atau tempat belajar yang pertama”. Kalau ibu dipersiapkan dengan baik, maka akan lahir generasi yang baik. 

Dalam situasi kita sekarang ini banyak orang tua tidak memperhatikan anaknya, membiarkan anaknya banyak bermain, mendengar  muzik, bergelut dengan urusan-urusan hina yang tidak bermanfaat, atau orang tua tidak memilih bagi mereka teman-teman yang baik dan tidak memerintahkan anaknya mengerjakan solat sehingga mereka membesar dalam keadaan seperti itu. Oleh kerana itu, agar Himmah itu tetap ada maka hendaknya orang tua mentarbiyah anaknya di rumahnya.

3. Masyarakat yang baik

Apabila masyarakat itu adalah masyarakat yang baik di dalamnya sentiasa dibina akhlak yang mulia, maka darinya akan lahir orang yang baik pula. Juga sebaliknya apabila masyarakat memiliki biah (suasana) yang buruk, hidup dalam suasana yang kurang baik, maka akan hidup individu-individu yang buruk pula.

Contohnya Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada para sahabat kisah seorang daripada Bani Israil yang telah membunuh 99 orang yang ingin bertaubat, mencari orang yang paling alim di dunia ini lalu ia ditunjukkan kepada ahli ibadah, lalu ahli ibadah tersebut menghukumi dengan perasaannya dan mengatakan tidak ada taubat lagi bagimu, maka dibunuh pula ahli ibadah tersebut sampai korbannya genap 100. Dia tidak puas dengan jawapan ahli ibadah tersebut dan keinginannya masih kuat untuk bertaubat maka dia mendatangi alim yang lain dan bertanya apakah taubat saya masih diterima, saya telah membunuh 100 orang. Alim tersebut berkata apa yang menghalangi kamu untuk bertaubat, Allah SWT akan menerima taubatmu. Kemudian dia disuruh pindah dari kampungnya yang rosak ke kampung yang baik, lalu berangkatlah orang tersebut dan di tengah perjalanan dia meninggal, maka dengan rahmat Allah SWT iapun dicatat sebagai penghuni syurga. 

Dari kisah ini dapat kita mengambil pelajaran bahawa biah ini dapat memproses orang tersebut, maka tanggungjawab kita bagi pejuang-pejuang dakwah untuk mengajak orang ikut dalam majlis-majlis ilmu, dan berlepas diri dari akhlak jahiliyah dan perkara-perkara yang buruk.

4. Dengan adanya para murabbi dan guru boleh diteladani/dijadikan qudwah

Allah SWT telah memerintahkan kita untuk meneladani Rasulullah s.a.w.

Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”. (Surah al-Ahzab:21)

Dari ayat ini menunjukkan pentingnya keberadaan murabbi di tengah-tengah muridnya/mutarabbi sebagai qudwah. Apabila mutarabbi betul-betul menimba ilmu dengan akhlak dari murabbi tersebut, maka akan terbentuk peribadi yang soleh. Bagaimana seorang murabbi betul-betul dapat memberikan contoh perbuatan sesuai dengan apa yang disampaikan. Sebagaimana yang telah ditunjukkan Rasulullah s.a.w. kepada sahabatnya sehingga beliau mendapat pujian sebagai seorang yang berakhlak mulia. 

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radiallahu anha, tatkala ditanya tentang bagaimana akhlak Rasulullah s.a.w, beliau menjawab : “Akhlak Rasulullah adalah al-Quran”. Sahabat dahulu adalah bagaikan al-Qur’an yang berjalan, sebab teori-teori yang ada dalam al-Qur’an telah dipraktikkan oleh sahabat di setiap sudut hidupnya sampai Islam dimenangkan. Inilah pelajaran bagi murabbi untuk mempraktikkan teori-teori yang telah disampaikan kepada mutarabbinya. 

Contoh lain ketika Rasululah s.a.w. berbicara tentang jihad, maka beliau adalah orang yang paling kedepan dalam peperangan dan sangat berani. Suatu ketika di Madinah orang-orang mendengar sesuatu yang menakutkan dan orang ramai bersembunyi seraya mencari di mana dan suara apa itu. Namun ternyata Rasulullah s.a.w. telah pulang dari tempat tersebut dengan kudanya tanpa pelana dan mengatakan bahawa tidak ada apa-apa bahaya. Ini menunjukkan keberanian Rasulullah s.a.w, baginda bukanlah seorang pengecut. 

5. Tasyji' (Pembakar Semangat)

Kebanyakan orang memiliki semangat tinggi namun kurang diarahkan pada perkara yang bagus. 

Suatu ketika Ibnu Mas'ud r.a. tatkala melewati seorang yang bernyanyi dengan suaranya yang indah, maka Ibnu Mas’ud r.a. berkata alangkah indahnya suaramu dan lebih bagus lagi seandainya engkau membaca al-Quran lalu pemuda ini kerana terdorong oleh kata-kata Ibnu Mas’ud dia mulai membaca al-Qur’an dan akhirnya dia menjadi orang yang bersuara indah dalam membaca al-Qur’an. Lalu dia bertanya siapakah orang ini ? Maka dijawab dia adalah Ibnu Mas'ud, sahabat Rasulullah s.a.w. 

Imam Syafi’i adalah seorang yang menguasai syair-syair, yang beliau kuasai dari para pakarnya. Suatu ketika seseorang mendengar Imam Syafi’i sedang melantunkan syair-syair. Orang itu berkata : “Masakan engkau dari keturunan Quraish, hanya boleh menghafal syair-syair saja. Tidakkah engkau memulai menghafal al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. "Mendengar kata-kata orang ini, Imam Syafi’i terdorong untuk belajar kepada Imam Malik sampai beliau menjadi ulama besar, bahkan menjadi salah satu mahzab terbesar. 

Dari riwayat ini boleh diambil contoh bahawa tasyji’ atau penyemangat itu bukan hanya dari orang-orang seperti Ibnu Mas’ud r.a. atau sepertinya tetapi boleh saja berasal dari orang-orang awam bahkan pelaku maksiat.

Adalah imam Ahmad, yang terkena fitnah tentang al-Qur’an yang dianggap makhluk. Tatkala masuk ke penjara bersama seorang peminum khamar tetapi peminum itu memberi semangat kepada Imam Ahmad, ertinya semangat itu boleh kita ambil dari manapun , apa kata orang tesebut: “Wahai Imam, saya ini masuk penjara kerana bermaksiat maka saya dicambuk tapi saya tetap sabar menahan siksaan, sedangkan anda wahai imam dipenjara dan disiksa kerana mempertahankan kebenaran, tentunya anda harus lebih kuat dari saya”. Sehingga Imam Ahmad berkata: “Perkataan itulah yang menjadikan saya semakin kuat untuk bertahan siksaan tersebut."

6. Iman kepada Allah SWT

Setiap kali bertambah iman seseorang maka semakin bertambah Himmah seseorang. Iman ini akan mengajak kepada akhlak yang baik. Rasulullah s.a.w, bersabda : “Sesungguhnya aku diutus tidak lain kecuali untuk menyempurnakan akhlak manusia”

Allah SWT berfirman : “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik” (Surah al-Ankabut:69)

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa Dia bersama orang-orang yang berbuat ihsan. Dan ihsan ini adalah kedudukan tertinggi dalam urutan agama ini; Islam, Iman dan Ihsan. Sebagaimana dalan hadis Jibril, ihsan iaitu engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, meskipun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Allah melihatmu. Maka ini adalah tingkatan yang tertinggi.. 
Maka barangsiapa yang telah menyempurnakan keislamannya, memenuhi keimanannya dengan sekuat tenaga maka hal ini adalah perkara yang sangat penting menyebabkan seseorang untuk mendapatkan Himmah ‘aliyah. 

7. Membaca Sejarah Orang-Orang Yang Telah Berhasil Kerjayanya 

Membaca sirah atau sejarah orang-orang besar yang telah berhasil dalam kerjayanya, sama ada dia seorang muslim ataupun non-muslim. Jika dia seorang muslim, tentunya dari para ulama-ulama yang telah berhasil. Dan sebenarnya perkara keberhasilan itu bukanlah suatu yang sulit, kerana perkara itu adalah perkara yang manusiawi, yang semua orang mampu meraihnya. Sehingga ini adalah persoalan mudah dan tidak dianggap sebagai persoalan yang tidak mungkin.

Kemudian dari kisah-kisah tersebut, kita juga boleh mempelajari uslub-uslub atau bagaimana tatacara mereka memperoleh keberhasilan tersebut, dan tidak memiliki Himmah yang rendah.

Semoga Allah SWT membantu kita semua untuk sentiasa bersemangat melaksana tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan sebaiknya. Kita berusaha sehabis kemampuan dan tenaga yang ada demi membebaskan diri ini daripada azab Allah SWT.

Allahu Akbar Walillahilhamd...

akhukum,
UsTACZ

No comments: